Isnin, Oktober 26, 2009

Pendidikan: Misi Utama Rasulullah




ADALAH menjadi salah satu tanda keagungan Allah SWT dan kemukjizatan Rasul-Nya SAW, walaupun sudah lebih 1400 tahun Baginda SAW meninggalkan kita, tetap akan ada sejumlah individu, kumpulan dan organisasi yang berusaha untuk menyambung misi perjuangan Rasulullah SAW.

Tinggal lagi, mungkin kerana keluasan skop misi perjuangan Rasulullah SAW, kita dapati, kalaupun mereka ini sama bersemangat untuk menyambung misi perjuangan beliau, akhirnya bentuk amal Islami yang terhasil akan berbeza-beza pendekatan dan acuan penghayatannya.

Antara pendekatan-pendekatan utama yang dapat kita perhatikan ialah pendidikan, kebajikan, politik, dakwah,
kerohanian, ekonomi dan termasuk juga jihad bersenjata.

Dalam kepelbagaian 'jalan' yang dipilih, perlu rasanya dibuat penegasan bahawa misi utama dan teras kepada perjuangan Rasulullah SAW adalah pendidikan. Malah tidak salah dikatakan bahawa dimensi pendidikanlah yang lazimnya menjadi penentu kualiti dan keberkesanan sudut-sudut lain perjuangan warisan Nabawi.

Keutamaan pendidikan dan pendidik sebagai misi utama Nabi SAW jelas tampak dalam sumber al-Quran dan hadis seperti dalam ayat yang bermaksud: Dia lah Yang telah mengutuskan Dalam kalangan orang-orang (Arab) Yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad SAW) dari bangsa mereka sendiri, Yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad Yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan Yang mendalam mengenai hukum-hukum Syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad SAW) itu adalah Dalam kesesatan yang nyata. (al-Jumu'ah : 2)

Manakala satu hadis yang menarik dalam soal ini ada diriwayatkan oleh Ibnu Majah dalam sunannya dan al-Darimi dalam sunannya daripada Abdullah ibnu Amru ibnu al 'Aas r.a, beliau berkata: "Pada satu hari, Rasulullah SAW keluar daripada salah satu biliknya dan masuk ke masjid lalu Baginda berada antara dua kumpulan.
Salah satu daripadanya manusia yang sedang membaca al-Quran dan berdoa kepada Allah Taala. Sementara yang satu kumpulan lagi sedang belajar dan mengajar.

Lalu bersabda Rasulullah SAW berkata: "Kesemua mereka adalah baik. Adapun orang yang membaca al-Quran dan berdoa kepada Allah SWT, jikalau Allah SWT inginkan kebaikan kepada mereka, nescaya Allah SWT akan beri, jikalau Allah SWT tidak menginginkan maka Dia akan menegahnya. Adapun orang yang mengajar dan belajar, maka sesungguhnya saya diutuskan sebagai pendidik," lalu Rasulullah SAW duduk bersama kumpulan mereka." (Sunan Ibnu Majah :1:83)

Bukti kejayaan Nabi SAW sebagai pendidik terlihat pada kualiti insan sebelum Baginda dibangkitkan dan sesudahnya. Baginda telah berhasil mengubah masyarakat jahiliah yang tandus daripada nilai kemanusiaan kepada satu generasi yang paling tinggi nilai keperibadiannya.

Lahirlah di tangan Baginda SAW, tokoh-tokoh perkasa berkeperibadian luhur yang muncul memimpin manusia secara sambung-menyambung hingga buahnya dapat dinikmati hingga ke zaman ini.


Rasulullah cintai ilmu

Penekanan dan keutamaan yang diberikan oleh Rasulullah SAW terhadap pendidikan juga dapat dirasakan apabila kita meninjau beberapa sikap Rasulullah SAW dalam aspek ini.

Kitab al-Targhib wa al-Tarhib oleh al Hafiz al-Munziri dalam bab al-Tarhib fi Katmi al-'Ilm (Celaan Terhadap Menyembunyikan Ilmu) dan al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Majma' al-Zawaid ada merakamkan daripada 'Alqamah ibnu Saad ibnu Abd Rahman ibnu Abza daripada ayahandanya daripada datuknya dari Abd. Rahman ibnu Abza r.a telah berkata, Rasulullah SAW telah berkhutbah pada satu hari.

Baginda memuji Allah SWT dan berdoa serta menyebutkan tentang sekumpulan orang Islam dan mendoakan kebaikan ke atas mereka, lalu bersabda, "Alangkah malangnya kaum yang tidak memahamkan dan mengajarkan agama kepada jiran-jiran mereka serta tidak mencerdikkan mereka terhadap agama dan tidak pula menyuruh mereka membuat kebaikan dan melarang membuat keburukan."

Allamah Syeikh Mustofa al-Zarqa dalam kitabnya al-Madkhal al-Fiqhi al-'Aam telah mengulas hadis ini dengan berkata, "Ini adalah satu pernyataan yang penting dan jelas bahawa pengabaian terhadap pendidikan dan menuntut ilmu adalah merupakan jenayah kemasyarakatan yang amat besar dan sewajarnya mereka yang terlibat dalam jenayah ini dikenakan denda di dunia lagi. Jenayah kemasyarakatan ini akan mengakibatkan pengabaian pelbagai kewajipan agama."

Oleh itu, apabila seorang alim tidak melaksanakan peranannya mendidik dan seorang yang jahil tidak menunaikan tugasnya untuk menuntut ilmu pengetahuan, maka wajib kedua pihak ini mendapat hukuman denda terhadap kecuaian mereka.

Umum mengetahui bahawa Rasulullah SAW telah mewajibkan menuntut ilmu dalam sabdanya yang bermaksud: "Menuntut ilmu itu adalah wajib ke atas lelaki dan perempuan."

Daripada pengertian hadis ini, dapat kita faham bahawa Nabi SAW mengkaitkan kefarduan menuntut ilmu dengan sifat Islam seseorang sebagai peringatan bahawa sesiapa yang menisbahkan dirinya sebagai seorang Islam, maka telah menjadi kewajipan padanya untuk menuntut ilmu dan menjauhi kejahilan.

Rasulullah SAW juga memperingatkan umatnya supaya mempelajari ilmu yang bermanfaat serta berwaspada daripada ilmu yang tidak bermanfaat.

Mesej ini dapat difahami daripada doa Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam satu hadis daripada Zaid Ibnu Arqam r.a berkata: Bahawasanya Rasulullah SAW telah berdoa: Ya Allah, aku berlindung denganMu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, daripada hati yang tidak khusyuk (lalai) , daripada nafsu yang tidak pernah puas dan daripada doa yang tidak mustajab. (Sahih Muslim 17:41)


Nabi model pendidik

Sewajarnya bagi setiap orang yang menjadi pembimbing dan pendidik manusia mempunyai sifat-sifat yang sesuai dengan peranan yang dilakukan.

Dalam konteks ini, tidak ada di sepanjang zaman seorang manusia pun yang mempunyai atau menghampiri ciri-ciri kesempurnaan akhlak sebagaimana yang dimiliki oleh Rasulullah SAW sehingga mendapat pujian unggul daripada Allah SWT sebagaimana firmannya: Dan bahawa sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) mempunyai akhlak Yang amat mulia. (al-Qalam :4)

Kesempurnaan yang dimiliki oleh Rasulullah SAW adalah sifat-sifat yang seharusnya ada pada seorang pendidik dan boleh diperincikan kepada empat perkara iaitu kesempurnaan kejadian, kesempurnaan akhlak, kelebihan kata-kata dan kelebihan perbuatan.

Kesempurnaan zahir yang ada pada Nabi SAW yang ditonjolkan oleh kesederhanaan tubuh badannya terdiri daripada;

1. Ketenangan yang membangkitkan sifat hebat (menggerunkan) dan dipandang hebat. Sifat inilah yang telah menyebabkan utusan Raja Kisra menggeletar ketakutan apabila berhadapan dengannya. Sekalipun pandangan manusia kepadanya hebat tetapi Nabi SAW tetap bersifat tawaduk tidak mengambil kesempatan untuk menguasai seseorang.

2. Air muka yang berseri menyebabkan Baginda dicintai oleh setiap orang yang memandang wajahnya. Yang hampir berharap ingin sentiasa bersamanya, yang jauh ingin berdekatan dengannya.

3. Mendapat penerimaan yang menjadikan semua hati cenderung untuk menerima apa sahaja yang datang daripada Nabi SAW. Tidak ada yang mengingkari kecuali orang yang hasad.

4. Kecenderungan manusia untuk mentaati Rasulullah SAW sekalipun perlu kepada kesabaran dan kesusahan yang terpaksa mereka tetap berpegang teguh dan mentaati-Nya. Demikian antara kesempurnaan fizikal yang dimiliki oleh Rasulullah.

Adapun kesempurnaan akhlak Nabi SAW pula terdiri dari empat perkara iaitu:

*kebernasan fikiran, sangkaan dan firasatnya.

*Sabar di atas segala kesusahan dan rintangan.

*Zuhud terhadap dunia serta tidak berkehendak dan tidak cenderung kepadanya.

*Tawaduk kepada manusia lain sedangkan mereka semua adalah pengikutnya. Bermesra dengan sahabatnya tanpa ada jurang pemisah yang membezakan mereka.

*Berlemah lembut dengan manusia serta mudah mesra dan simpati dengan manusia lain. Sehingga setiap orang merasakan Rasulullah SAW seumpama ayah mereka.

*Memelihara janji dan tidak pernah memungkirinya.

Kelebihan Rasulullah dari sudut pengucapannya pula ialah:

1. Diberikan kepadanya kebijaksanaan dari segi menuturkan ucapan. Perkataannya dipenuhi dengan seni bahasa Arab yang terdiri daripada balaghah, ma'ani dan badi'. Walaupun begitu perkataan Rasulullah mudah difahami oleh mereka yang ingin menerimanya.

2. Menghafaz apa-apa yang dikhabarkan oleh Allah kepadanya dari kisah-kisah para nabi terdahulu dalam hafalan dadanya tanpa dicatat.

3. Perkara-perkara yang disuruhnya adalah terdiri dari perkara yang baik-baik dan adab-adab yang tinggi.

Kelebihan perbuatan Rasulullah SAW pula dapat dilihat dari berapa sudut. Antara ialah:

1. Elok perjalanan hidupnya dan tepat perancangannya.

2. Sederhana dalam melakukan perkara yang disyariatkan tanpa berlebihan atau kekurangan.

3. Tidak menjadikan sahabatnya terlalu cenderung terhadap hal keduniaan dan tidak pula menolak dunia secara keseluruhannya.

Kita tidak menafikan bahawa agenda pendidikan ada digarap dalam pelbagai pendekatan individu dan kumpulan yang beridealismekan perjuangan Rasulullah SAW di zaman kita ini.

Cuma yang harus dimuhasabah adalah setakat mana agenda ini diberi tempat yang utama dan sepatutnya dalam kerangka gerak kerja masing-masing. Juga setakat mana ciri-ciri acuan pendidikan Rasulullah SAW yang hakiki telah dihayati.

Seperti yang dihimbau di atas, sebagai pendidik ulung, acuan pendidikan Rasulullah SAW dicirikan oleh gaya penerangannya yang jelas, tuturan yang fasih, gaya bahasa yang indah, isyarat fizikal yang menawan, sinaran roh yang memancar, sifat kasih sayang yang tebal serta kebijaksanaan yang tiada tolok bandingnya. Semoga kita semua mampu menterjemahkannya dalam diri dan organisasi kita.

Artikel ini dipetik dari ruangan Bicara Agama, Utusan Malaysia keluaran 26 October 2009.

Isnin, Oktober 12, 2009

Zikrayat: Fitrah Diri yang Sejahtera




Di antara rahmat Allah SWT ke atas makhluk yang bergelar insan ialah Dia menjadikan bagi mereka hati-hati yang mampu merasai dan mencerna pelbagai rasa. Mereka merasa sedih dan hiba apabila datang peristiwa-peristiwa yang memilukan dan merasa sukacita apabila hadir berita-berita yang menggembirakan.

Ia adalah sifat semula jadi bagi hati manusia yang mana ia turut digelar sebagai fitrah yang telah ditetapkan oleh Allah semenjak awal penciptaan mereka.

Maka berbahagialah mereka-mereka yang memiliki hati dan fitrah yang sejahtera dengan mendapat manfaat dan ganjaran yang besar di sisi Allah SWT. Allah SWT berfirman maksudnya:Hari akhirat itu adalah suatu hari yang tidak memberi manfaat segala harta benda dan anak pinak, melainkan bagi mereka yang hadir menemui Allah dalam keadaan berhati sejahtera. (al-Syu'ara: 89)

Zikrayat atau kenang-kenangan yang bersangkut paut dengan sejarah perjalanan hidup manusia adalah sesuatu dirasai secara semula jadinya oleh hati yang sejahtera. Ia kadangkala tiba-tiba menyelinap dan menyentuh jiwa lebih-lebih lagi apabila bertepatan dengan tarikh dan waktu peristiwa itu berlaku.

Setiap manusia tidak kira apa jua pegangan dan kepercayaan mereka akur terhadap hakikat ini. Oleh yang demikian, manusia di timur dan di barat tanpa mengira agama dan pegangan akan mengingati peristiwa-peristiwa lalu yang berlaku dalam sejarah kehidupan agama dan bangsa mereka lalu diraikan dengan cara tersendiri.

Islam turut tidak mengingkari hakikat ini. Islam mengingatkan umatnya tentang peristiwa-peristiwa silam yang berlaku kepada bangsa-bangsa dan Nabi-nabi yang diutuskan di zaman dahulu bertepatan dengan fitrah yang diciptakan oleh Allah SWT di dalam hati manusia. Allah SWT mengingatkan tentang banyak peristiwa dan kenangan yang berlaku di zaman silam sebagai menguatkan lagi rantaian rohani di antara umat ini dengan sejarah Rasul dan Nabi yang terdahulu.

Di antara faedah terbesarnya ialah demi mengukuhkan keimanan, meningkatkan kesabaran dan mencerna rasa syukur di dalam hati para hamba atas segala nikmat yang dikurniakan oleh-Nya.

Allah SWT berfirman: Dan kami khabarkan kisah-kisah dari berita-berita Rasul-rasul yang terdahulu kepadamu (wahai Nabi Muhammad) sebagai mengukuhkan lagi keteguhan hatimu.(Hud: 120)

Demikianlah bagaimana Allah SWT mengeratkan hubungan peristiwa silam dalam ingatan umat Islam sebagai suatu yang dirasai dan terbit daripada fitrah yang sejahtera.


Zikrayat dan tempat

Selain hubungan waktu dan zaman, tempat-tempat bersejarah juga memberi sumbangan yang besar dalam kehidupan manusia. Tempat-tempat yang berkait rapat dengan sejarah kehidupan seseorang dan juga bersangkut paut dengan peristiwa yang berlaku dalam urusan dunia dan agamanya secara fitrahnya terbit di dalam hati manusia.

Manusia akan pasti mengenang tempat kelahirannya yang diistilahkan sebagai 'tanah tumpah darahku' dan tempat-tempat dia mencipta kenangan-kenangan terindah, pencapaian dan kejayaan gemilang dalam kehidupannya.
Ia secara umumnya memberi rasa kekuatan, meningkatkan motivasi diri dan menjadikan pemikiran dan diri manusia sentiasa maju ke hadapan cekal menempuh dugaan dan cabaran yang silih berganti. Islam mengakui dan mengiktiraf realiti ini dan berterusan mengingatkan manusia mengenainya.

Dalil dan bukti yang paling jelas ialah disyariatkan fardu haji di mana kaifiat rukun-rukunnya itu pada asalnya dipetik berdasarkan tempat dan peristiwa yang berlaku pada umat Islam terdahulu dari perbuatan dan pergerakan para Rasul seperti tawaf, sa'i, wukuf di Arafah dan sebagainya.

Demikian juga bagi tempat-tempat bersejarah seperti tempat kelahiran para Nabi dan Rasul, diperingatkan sebagai membuktikan ia memberi kesan pada hati dan jiwa manusia yang memiliki fitrah yang sejahtera.

Di dalam peristiwa Israk, Jibril memerintahkan Rasulullah SAW agar menunaikan solat di suatu kawasan. Selepas menunaikan solat, Jibril bertanya kepada Baginda SAW: Wahai Muhammad, tahukah engkau di mana engkau bersolat? Rasulullah SAW menjawab: Tidak. Maka Jibril pun berkata: Engkau telah bersolat di Baitulahm (Betlehem) di mana ia adalah tempat dilahirkan Isa a.s.

Lihatlah bagaimana Jibril mengingatkan Nabi SAW kaitan tempat dan peristiwa dalam kehidupan manusia. Tidaklah Jibril memaklumkan tempat tersebut sebagai suatu pemberitahuan yang sia-sia yang tidak memberi faedah apa-apa. Bahkan dipetik daripada hadis tersebut bahawa Allah SWT mencurahkan keberkatan pada waktu dan tempat yang dikehendaki-Nya lalu menjadikan bagi kedua-duanya kemuliaan iaitu dimakbulkan doa dan permintaan.

Diriwayatkan di dalam Sahih Muslim bahawa ketika Rasulullah SAW memasuki kota Madinah, Baginda SAW melihat kaum Yahudi berpuasa pada hari 'Asyura.

Maka Baginda SAW pun bertanya mengenai puasa mereka itu, lalu dimaklumkan kepada Baginda SAW bahawa kaum Yahudi berpuasa pada hari tersebut sebagai mengenang peristiwa Allah menyelamatkan Nabi Musa as dan membinasakan musuh-Nya Firaun. Lalu Rasulullah SAW bersabda: Kami lebih berhak meraikan kejayaan Musa daripada mereka (kaum Yahudi). Maka Baginda SAW berpuasa pada hari tersebut dan memerintahkan umat Islam agar turut berpuasa.

Di dalam hadis ini, diterangkan bagaimana peristiwa gemilang di zaman silam yang menjadi sejarah umat Islam adalah merupakan suatu perkara yang berkait rapat dengan umat sehingga ke hari kiamat. Rasulullah SAW mengenang dan mengagungkan peristiwa itu lalu zikrayat itu yang terbit dari hati sanubari Rasulullah SAW yang sejahtera kemudiannya menjadi suatu sunnah yang mulia dan diikuti.

Berdasarkan istinbat dan kefahaman yang dipetik dari dalil ini juga, diharuskan menyambut perayaan Mawlid Nabi SAW menurut Sheikh al-Islam al Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani dan Imam al-Hafiz Jalaluddin al-Suyuti.


Umat Islam hari ini dan zikrayat


Dalam dunia hari ini yang begitu mencabar, kita terus berusaha menongkah arus kehidupan yang dipasung dengan nilai-nilai materialistik. Maka pada hari ini, kita terlebih memerlukan majlis-majlis zikrayat sebagai suatu sumber pedoman dalam menjalani kehidupan dengan sejahtera.

Di antara sebesar-besar bukti yang menunjukkan zikrayat ini adalah fitrah semula jadi yang terbit dalam diri umat manusia tanpa mengira pegangan agama dan bangsa ialah mereka saban tahun mengingati tokoh-tokoh pujaan mereka, artis-artis yang mewarnai dunia hiburan antarabangsa dengan majlis-majlis dan konsert peringatan.
Dicanangkanlah segala pemikiran dan sumbangan tokoh serta lagu-lagu artis pujaan mereka tersebut dalam suatu upacara yang gilang gemilang.

Fitrah meraikan dan memperingati golongan-golongan yang telah menabur jasa di dalam Islam tetap ada dalam jiwa umat Islam selagi mana mereka memiliki fitrah yang sejahtera.

Cuma fitrah ini tidaklah dibiarkan meraba-raba tersasar tanpa haluan sebagaimana yang dilakukan oleh kepercayaan-kepercayaan lain di dunia juga pemuja-pemuja artis antarabangsa yang telah mati.

Fitrah memperingati suatu peristiwa dan tokoh di dalam Islam dikemudi dan dipantau ketat oleh al-Quran dan sunnah agar ia tidak dibiarkan sewenang-wenangnya melanggar batasan yang telah ditetapkan.

Dengan kefahaman mudah, ia tidak boleh disamakan dengan perbuatan-perbuatan penganut agama lain contohnya dengan menyamakan sambutan Mawlid Nabi dengan sambutan Hari Krismas dengan kaedah qias.

Qias seumpama ini adalah qias yang batil dan tertolak kerana ia bersifat mengqiaskan sesuatu yang mempunyai sandaran daripada al-Quran dan sunnah dengan perbuatan agama lain yang tidak mempunyai asas dan kaitan walau sedikitpun dengan al-Quran dan sunnah.

Demikian juga tidak harus mengqiaskan hukum haram bertemu ulama yang mengamalkan jampi azimat daripada al-Quran dengan perbuatan bertemu Bomoh Siam, kerana kedua-duanya datang dari sumber yang berlainan dan tiada kaitan antara satu sama lain iaitu mengqiaskan sesuatu amalan yang mempunyai nas dengan amalan yang tidak mempunyai nas.


Memperingati jasa tokoh


Allah SWT memuliakan mereka yang ikhlas berjuang di dalam agamanya di dunia dan di akhirat. Lantaran dari curahan jasa bakti mereka itu, kematian tidak menjadi sebab mereka dilupakan dan lenyap dari ingatan manusia.

Dunia memperingati mereka, bibir-bibir tidak lekang menyebut kebaikan, jasa bakti serta pengorbanan yang dipersembahkan. Jiwa-jiwa masih terus meruntun untuk terus bersama mereka di mana manhaj, buah fikiran dan pendapat mereka dijadikan pegangan dan bekalan bagi umat menempuh jarak kehidupan mendatang.

Kematian menjadikan mereka lebih sempurna dan hidup. Mereka hidup di alam sana dalam keadaan diberikan rezeki dan di suatu sudut yang lain mereka hidup di dalam hati-hati yang memiliki fitrah sejahtera. Majlis-majlis peringatan, muktamar mengupas pemikiran dan mengenang jasa bakti mereka dianjurkan di sana sini.

Sambutan gilang-gemilang di adakan bagi mengekalkan ingatan umat Islam terhadap jasa bakti dan sumbangan mereka dalam memajukan pembangunan ruhiyyah dan minda.

Getaran dan lonjakan fitrah jiwa umat Islam untuk meraikannya amat ketara dirasai apabila ia bertepatan dengan zaman
dan waktu kelahiran atau kewafatan tokoh tersebut. Maka majlis-majlis seperti hawl memperingati jasa ulama dan orang-orang soleh, raja-raja dan sultan-sultan yang adil dan berjasa diadakan dengan penuh adab dan tertib, pantauan dan kawalan syariat.

Ia terus dianjurkan dan diraikan zaman-berzaman oleh mereka yang masih memiliki walau sekelumit fitrah sejahtera yang berbaki di sudut hati. Oleh itu amalan sebegini sewajarnya digalakkan dan didokong sebagai sebahagian daripada usaha kita membentuk keperibadian individu dan masyarakat yang lebih segar dan murni penghayatan agamanya.

Dipetik dari Ruangan Bicara Agama, Utusan Malaysia keluaran 12 October 2009.

Rabu, Oktober 07, 2009

Diabolisme Pemikiran dan Dakwah Islamiyyah: Satu Muhasabah

Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT)
Pembentangan Usrah Muafakat pada 06 Oct 2009


Muqaddimah
Kertas ini akan cuba membincangkan Dakwah Islamiyyah yang kita ceburi sejak lama dulu dan peranan Iblis dan diabolisme pemikiran dalam usaha yang mulia ini, dan juga apa yang perlu diberi muhasabah khusus demi meneruskan usaha dakwah ini.
Petikan intipati pembentangan:

Diabolisme dan Dakwah Islamiyyah
Kerja mulia ini adalah tidak mudah kerana senantiasa diganggu Iblis. Seperti janjinya kepada Allah, Iblis bertekad: “… saya benar-benar akan (menghalangi) mereka (anak Adam) dari jalan Engkau yang lurus. Kemudian saya akan mendatangi mereka (anak Adam) dari depan dan dari belakang mereka, dan dari kanan mereka dan dari kiri mereka – al-A’raf:16-17.  Kerja-kerja dakwah menjadi terbantut dan menyimpang malah kadangkala terkeluar dari landasan dakwah Islamiyyah yang haqiqi semata-mata kerana diabolisme mendominasi organisasi dakwah.
Iblis amat kenal Allah dan telah lama ta‘at kepada-Nya, namun kenapa dia di halau dari kedudukan paling sempurna dan dihina sedemikian rupa? Di sini wajar kita bermuhasabah.  Aktivis dakwah bukan orang yang tidak beriman dan bukan juga orang yang tidak solat, namun kenapa ada yang terkena penyakit diabolisme yang menyebabkan kerja-kerja organisasi dakwah tergendala, tergelincir, malah terkeluar dari landasan dakwah sebenar? Dakwah kita semata-mata li wajhi ’llah’il-karim. Hayya bina nufakkir saa`ah.



Diabolisme dan ‘Ilmu

Perjalanan, cara dan pengurusan dakwah dan islah, tidak boleh lari dari landasan yang seperti kata Imam Malik rh: tidak akan berjaya mengislahkan masyarakat sehingga yang kemudian mengikuti cara orang yang awal; iaitu diantaranya melalui ‘Ilmu yang dalam dan luas. Ia wajib dijayakan secara menyeluruh untuk semua aktivis dakwah.
Adalah di sarankan demi mencapai tujuan ini perlu ditubuhkan program tafaqquh fi’d-din.

Diabolisme dan Tauhid
Tauhid – al-Anbiya’:25; al-Nakhli:2;  merupakan misi utama para Rasul ‘ass, dalam dakwah dan islah.  Justeru, organisasi dakwah wajib mengikuti perjalanan mereka dengan menjadikan ‘Aqidah-Tauhid sebagai dasar dan agenda paling utama dalam dakwah, dari mula hingga akhir.
Untuk mengujudkan golongan mukhlasin, organisasi dakwah wajar mengadakan program pengajian dan pembelajaran berbentuk pembacaan teks-teks ‘Aqidah-Tauhid ASWJ yang muktabar bersama-sama dengan program tarbiyah.  Dengan program seperti ini, insya Allah, para aktivis dakwah akan dapat menikmati kelazatan Tauhid.  Adalah ditakuti, andainya tiada program seperti ini, para aktivis dakwah akan terdedah kepada dan menjadi mangsa Iblis.
Oleh kerana tasawwur dan doktrin Tauhid terlalu kabur dan kefahamannya tidak menepati ajaran sebenar ASWJ, maka Tauhid tersebut tidak memberi apa-apa faedah kepadanya. Imam Syahrastani rh w:548H., dalam al-Milalnya berkata, Iblislah yang merosakkan ‘aqidah sebahagian Ummat Islam dan ujudnya berbagai firqah yang kontra-Tauhid seperti Khawarij, Qadariyyah-Mu`tazilah, Murji`ah, Syi‘ah dsb; dan di zaman sekarang pula muncul ajaran sekular-liberal yang antaranya Islam Liberal, Islam Inklusif, Islam Menghalalkan Cara dsb. Adalah amat malang apabila ada aktivis dakwah terkena  virus diabolisme ini.
Satu aspek lain dari Tauhid, yang kurang diberi perhatian oleh organisasi dakwah Islam ialah sifat-sifat yang mencacatkan ‘Aqidah-Tauhid.  Oleh kerana Tauhid tidak mantap dan tidak melekat pada diri, maka Iblis dengan mudah dapat merasuk dan membungkus aktivis Islam dengan sifat-sifat kontra-Tauhid seperti kibr dan ingkar kepada suruhan Allah. Dua sifat inilah yang menjadikan Iblis disingkir dari kedudukannya yang tinggi dan mulia. Dalam pekerjaan dakwah dan islah, para aktivis dakwah wajar sedar bahawa diantara syarat kepada kejayaan dakwah ialah Tauhid yang khalis yang tiada bercampur dengan sifat kibr. Kibr dan sekutunya riya’ serta syirk dengan segala sifat kontra ikhlas, menjadi alat Iblis yang berkesan untuk merosakkan aktivis dakwah dan dengan itu usaha dakwah dan islah mereka tidak akan mendapat nusrah Allah.
Selain dari apa yang telah di sebut terdahulu, maka hasil dan ni’mat Tauhid ialah ikhlas, benar, zuhud (dalam pengertian: Supaya kamu tidak berdukacita terhadap apa yang terlepas dari tangan kamu dan tidak pula menjadi gembira terhadap apa yang dikurniakan oleh Allah kepada kamu semua – al-Hadid:23), tawakkul, mencintai Allah, khauf dan raja’, taqwa dan wara‘, syukur, sabar dan redha, muraqobah dan musyahadah, dan taubat yang berterusan. Wahai Tuhan Yang Maha Pengasih, anugerahkan kepada kami sifat-sifat ini!


Islam Kaffah
Islam syumul atau Islam kaffah ialah Islam yang bertunjangkan Iman, Islam dan Ihsan dengan segala cabangnya.  Para aktivis Islam sering menekankan mengenai Islam syumul. Namun, ketika bercakap mengenai Islam syumul atau kaffah itu, sesetengah mereka telah terkena sampok Iblis yang paling dahsyat, yang mana mereka pada hakikatnya, tidak bercakap langsung mengenai Islam syumul itu, tetapi bercakap mengenai Islam ‘hawanafsu’ mereka. Kalau mereka berminat dengan politik, maka politiklah yang menjadi syumul bagi mereka dan tidak peduli mengenai segala hukum akhlaq dan kehidupan Ihsan; atau bagi yang giat dalam aktiviti kemasyrakatan pula, mereka tidak begitu peduli mengenai hal hati, tetapi lebih mementingkan liputan media semata-mata. Dan yang paling ironiknya lagi ialah semasa bercakap memperjuangkan Islam syumul itu, dalam masa yang sama, mereka hidup dalam syari ‘at Jahiliyyah, mementingkan hawa-nafsu, berakhlaq dengan akhlaq diabolik, terlalu longgar dalam Syari ‘at; ertinya, Islam yang diperjuangkannya ialah Islam yang sudah disuntik dengan racun diabolisme-liberalisme oleh agen-agen Iblis melalui Yahudi dan Kuffar.
Rengkasnya, Islam kaffah ialah Islam yang di dalamnya tiada sifat-sifat muhlikat dan yang ada hanya sifat-sifat munjiyat; hidup senantiasa dalam muhasabah dan mujahadah untuk sampai ke paras muraqabah dan kalau boleh hingga ke paras musyahadah. Pendeknya hidup dalam budaya makruf semata-mata.
Satu hal yang kurang diberi perhatian apabila bercakap mengenai Islam kaffah ialah mengenai sikap kapada kehidupan lagha. Kehidupan aktivis dakwah perlu bebas dari kehidupan lagha, hidup dalam was-was dan dalam ma‘isyatan donka serta dipenjara oleh diabolosme dan terhijab dari kehidupan muraqabah- musyahadah. Adalah wajib menghindarkan diri dari program lagha yang akan mematikan hati dan ‘aqal seperti program kebudayaan yang mengandungi maksiat, wanita, pendedahan `aurat dan seumpamanya. Mereka boleh mengatur program ‘kebudayaan quddus’ yang dapat menghidupkan hati dan ‘aqal seperti program bacaan qasidah Busoyriy, bacaan Solawat, Maulid dan seumpamanya yang mana pasti akan dilimpahi rahmat dan keberkatan yang tiada terhingga. Tetapi Iblis tidak mengizinkannya! Perhatikanlah wahai aktivis Islam!

Dakwah dan Siyasah
‘Ulama Islam menyatakan bahawa saluran politik-siyasah merupakan antara tonggak utama dalam menegakkan al-Din, jika kena gayanya.  Untuk tujuan tersebut organisasi politik wajar diterajui oleh orang yang mempunyai iltizam yang kuat dan peribadi yang soleh. Organisasi dakwah kena menyediakan peribadi seperti itu untuk dibekalkan kepada organisasi politik. Sekiranya organisasi dakwah tidak dapat menyediakan peribadi seperti itu adalah ditakuti orang yang menerajui organisasi politik ialah individu yang menganut faham diabolisme.
Aktivis politik diabolik tidak akan memperjuangkan Islam yang sebenar tetapi Islam yang sudah dicairkan sesuai dengan kehendak diabolismenya. Ia akan menggunakan kaedah diabolik, untuk mencapai cita-cita peribadinya yang rendah lagi hina, yang mana ia tidak peduli dengan cita-cita untuk mendaulatkan Islam dan nasib Ummah. Siyasah yang mulia dan qudus serta bersifat Nabawiy ini, diturunkannya menjadi rendah.
Benar kata Sayyiduna ‘Umar al-Khattab r ‘a: Belajarlah Islam sebelum menjadi pemimpin!

Dakwah dan Ummah

Ummati, ummati, ummati. Demikian prihatinnya Junjungan yang mulia s‘aw kepada kita, menjelang wafatnya. ‘Alaykum bi’l mukminina raufu’r-rahim. Demikian kasihnya Baginda s‘aw kepada orang Mukminin. Kedua-dua nass yang mulia ini wajib mendapat prihatian serius organisasi Islam. Ia perlu difahami dan dihadamkan. Organisasi Islam wajib menjaga Ummah dan mengasihi mereka seperti Nabiyy yang mulia s‘aw mengasihi mereka. Organisasi Islam perlu menghindari diabolisme dalam hal ini. Iblis amat suka Ummah terbiar dan tiada kasih sayang sesama mereka. Ia tidak suka kepada kesejahteraan Ummah, bahkan mahu memusnahkan Ummat dengan menganjurkan kebencian, permusuhan, kesengsaraan dan perpecahan.  Allah menjelaskan melalui al-Qur`an, bahawa angkara Iblislah, Qabil membunuh saudara kandungnya Habil; anak-anak Nabiyy Ya‘kub ‘as membuat konspirasi hingga hampir terbunuhnya Nabi Yusuf ‘as; memecahbelah institusi keluarga melalui Harut dan Marut. Dan kita jangan lupa, bahawa atas pandangan Iblis jugalah, mesyuarat di Dar an-Nadwah, mengambil keputusan membunuh Junjungan kita yang mulia Nabiyy s‘aw. Ringkasnya, Iblis tidak suka kepada keharmonian dan perpaduan baik pada peringkat keluarga, organisasi, masyarakat maupun peringkat Ummat.

Menghidupkan Hati
Akibat menelan pil rangsangan Iblis, kedapatan aktivis Islam yang diabolik tidak menjadikan Islam sebagai matlamat yang sebenar dalam kerjayanya baik dibidang politik maupun dakwah itu sendiri. Kegiatan mereka sekadar memenuhi profil peribadi untuk ditatap orang kemudian. Terdapat juga orang yang menggunakan platform dakwah untuk menjana hawa nafsu, demi mencapai tujuan peribadi mereka yang rendah dan hina.  Pengikut yang jahil menjadi tentera-tenteranya. Ini adalah akibat dari penyakit hati yang kemudiannya membawa kepada matinya hati itu.
Untuk menghidupkan hati yang mati ini ialah dengan ma’ al-hayah iaitu dengan menghapuskan segala sifat muhlikat dalam diri dan menggantikannya dengan sifat munjiyat. Aktiviti untuk menghidupkan hati yang mati ialah seperti kata al-Ghazzaliy rh ialah melalui pintu ‘ilmu, zikir, muhasabah, mujahadah dsb. Organisasi dakwah wajar memberi perhatian khusus kepada aktiviti ini, kerana ia adalah tuntutan Syara‘ dan berstatus fardu ‘ayn. Kata Syaikh Sa‘id Hawwa rh, aktiviti seperti ini sudah ditinggalkan! Sesetengah aktivis Islam lebih menekankan aktiviti untuk mendapat kemasyhuran, tetapi dalam hal membersihkan diri dari sifat-sifat muhlikat dan menghiasinya dengan sifat munjiyat, tiada usaha sungguh-sungguh dibuat, malah ada yang mencemohkannya. Tanpa hati yang hidup, maka kebenaran yang haqiqi tidak akan masuk dan yang masuk ialah Iblis yang akan bertakhta di lubuk hati. Sebab itu kata Syaikh Sa ‘id Hawwa rh, bahawa kerosakan hati akan menimbulkan sifat berdusta, munafiq, berbuat fasiq, maksiyat, takabbur, ‘ujub, enggan menerima yang benar, melawan hukum agama, melampaui batas Syari ‘at, menganggap orang lain hina dan merasa dia lebih tinggi dan hebat dan mulia daripada orang lain, dan sifat-sifat jahat yang lain seperti dengki, suka fitnah, khianat, tipu, manipulasi, tidak amanah dalam menjalankan organisasi, tidak menguruskan harta organisasi secara jujur, memperlekeh kehidupan berdasarkan al-Sunnah malah anti-Sunnah, memelihara dan membesarkan hawa nafsu dsb.
Kadangkala organisasi menjadi milik peribadi dan mereka adalah taukenya.  Bagi mereka yang diabolik ini, institusi tidak penting, yang penting adalah diri peribadi mereka. Ini adalah kerana yang menguasai diri mereka bukannya Syari‘at dan akhlaq ruhaniyyah yang mulia, tetapi hawa nafsu yang ditunjangi Iblis. Mereka menjadikan hawa nafsu sebagai panduan dan Tuhan!
Kepada aktivis dakwah: hidupkanlah hati. Jadikanlah organisasi Islam sebagai organisasi ruhaniyy. Jangan ikut pandangan diabolik dari sesetengah pemimpin organisasi Islam yang melarang organisasi dakwah menjadi organisasi ruhaniyy dengan berkata bahawa hal ruhaniyy adalah urusan peribadi yang tidak kaitan dengan organisasi. Pandangan diabolisme yang sesat ini amat bercanggah dengan ajaran Islam kerana dalam al- Qur’an terdapat istilah hizbu’llah – al-Mujaadilah:22, dan al-Maaidah:56; bunyaanu ’m- marsus- al-Saff:4 dan dalam al-Hadith perkataan al-Jama ‘ah, yang semuanya itu merujuk kepada makna kumpulan atau persatuan orang ramai.  Istilah itu merujuk kepada kumpulan yang benar dan kumpulan yang benar antara cirinya ialah kebersihan ruhaniyy – al- Syams:9, hadith al-Ihsan dll. Organisasi Islam ialah organisasi yang menjadikan rukun-rukun agama – arkanu ’d-din- sebagai dasar perjuangan. Bukankah al-Ihsan iaitu suatu kedudukan dan suasana ruhaniyy yang merupakan salah satu ruknu’d-din? Jadi, apakah organisasi yang menolak ruhaniyy itu masih boleh dinamakan organisasi Islam?
Nabiyy s‘aw, melalui apa yang biasa disebut sebagai Madrasah al-Rasul, telah memproses bukan satu-dua qabilah tetapi seluruh Negara bahkan seluruh Ummah menjadi ruhaniyy, yang memandang ma‘ad sebagai tujuan tertinggi. Baginda s‘aw tidak menyerahkan dan membiarkan kepada individu untuk mencari kehidupan ruhaniyy masing-masing tetapi Baginda s ‘aw dan organisasinya yang mendidik ahli-ahli. Dari sini dapat diqiyaskan bahawa organisasi dakwah perlu diruhaniyykan dan bertanggung jawab mendidik ahlinya dalam ahwal ruhaniyy, kalau tidak, ahli-ahli akan mendapatkan ajaran ruhaniyy dari luar yang bertentangan dengan ajaran Islam sebenar. Demikian juga Muhammad bin ‘Aliyy al-Sanusi rh, menjadikan jama‘ah/organisasinya sebagai organisasi ruhaniyy, yang sekali gus organisasi mujahidin, ditransformasikan kepada siyasah hingga dapat menegakkan daulah. Inilah yang amat ditekankan oleh ‘alim besar dan ‘alim haraki dewasa ini iaitu Syaikh Sa ‘id Hawwa rh. Beliau mewajibkan orang ramai menyertai organisasi jenis ini dan menjauhi organisasi yang tidak mementingkan ruhaniyy. Kekuatan dan keberkatan organisasi berada bersama dengan hati yang hidup dan ruhaniyy yang mantap.
Ingatlah!  Iblis dan aktivis dakwah diabolik tidak menginginkan perkara ini berlaku.

Kenal Kebenaran dan Kebatilan
Seperti disebut terdahulu, ‘ilmu amat penting dalam diri pendakwah. Dalam usaha dakwah dan islah, ajaran dan cara berdakwah mestilah benar-benar mengikut kaedah Islam. Aktivis dakwah mestilah memiliki kualiti ‘ilmu yang membolehnya membezakan antara ajaran dan jalan yang haq dan yang batil; ‘aqidah yang sohih dan salimah dengan ‘aqidah yang sesat dan batil; ‘ibadah yang benar dengan yang palsu, akhlaq yang mulia dengan yang jahat dsb, menurut ukuran Syari‘at bukan menurut ukuran diabolisme. Dalam konteks dakwah, ‘ilmu mengenai kebenaran dan kebatilan amat sangat di perlukan kerana ia dapat mengenali cara dan jalan dakwah dan islah yang sebenar dan dapat menilai usaha-usaha dakwah dari masa ke masa, mana yang sudah tersasar dan mana yang masih lurus dan benar.
Dalam perjalanan dakwah dan islah yang bercampur aduk dengan berbagai faham dan ideologi, maka keperluan kepada ‘ilmu yang dapat mengenali haq dan batil, amat terasa terlalu penting. Percampuran antara yang benar dan batil seperti sabda Nabiyy yang mulia s‘aw sebagai asap, kita kini memang benar-benar berada dalam asap tersebut. Percampuran antara ajaran dan cara Islam yang benar dan palsu sukar di kenali dan dipisahkan, melainkan oleh ahli ‘ilmu yang di beri petunjuk dan faham oleh Allah. Adalah amat malang apabila aktivis Islam tiada memiliki piawai dan ‘ilmu untuk mengenali yang benar dan yang batil, tetapi masih berani bercakap mengenai yang benar dan yang batil menurut Islam! Lebih banyak khutoba’ dari ahli ‘ilmu!.

Mengembalikan Kegemilangan Dakwah
Kita perlu berusaha sedaya upaya untuk mengembalikan kegemilangan dakwah dalam ertinya yang sebenar – sudah tentu dengan rahmat dan nusrah Allah. Untuk tujuan tersebut, organisasi dakwah wajib melahirkan golongan rasikhuna fi’l ‘ilmi, pemikir dan perancang yang iltizamnya amat tinggi.
Selain golongan rasikhuna fi’l ‘ilmi seperti yang telah di sebut di atas, kekurangan besar yang amat ketara dalam organisasi dakwah ialah ketiadaan golongan pemikir. Organisasi dakwah wajib mengujudkan golongan pemikir yang serius yang berfikir secara Syara‘ dengan ‘aqal ‘ubudiyyah, berlandaskan al-Qur`an dan al-Sunnah, bukan pemikir diabolik.  Golongan pemikir serius yang dimaksudkan ialah orang-orang yang menggunakan semua kekuatan intelek, emosi dan ruhaniyy secara serious dengan menumpukan kepada berfikir, kemudian merumuskannya dan meletakkan hasil rumusan itu ke dalam organisasi dakwah sebagai suatu doktrin, falsafah dan dasar yang menjadi panduan dan landasan kepada organisasi dalam melaksanakan cita-cita organisasi tersebut.  Mereka juga dapat menjadi penghurai kepada doktrin dan falsafah modern dan pasca-modernisme yang bercanggah dengan Islam dan bersedia untuk berdepan dengan siapa sahaja.  Adalah amat malang apabila organisasi dakwah menjadi tunggangan kepada golongan pemikir diabolik di luar lingkungan mereka dan menjadi lebih malang lagi apabila di kalangan organisasi dakwah dan islah itu sendiri terdapat orang yang berfikir secara rasa hina diri dan hanya mahu bergantung kepada golongan diabolik berfikir untuk mereka. Keadaan ini akan menjadikan organisasi dakwah senantiasa berada dalam kehinaan padahal ia adalah tinggi – antumu ’la’launa  inkuntum mukminin.
Golongan pemikir ini akan meletak dan membina cara berfikir Islamiyy pada setiap aktivis dan mengukuhkannya. Mereka juga akan memberi input, pandangan, saranan dsb kepada organisasi demi kebaikan, kemajuan, dan kejayaan organisasi dakwah hingga ke paras yang paling tinggi. Mereka ini bukan sahaja menjadi pemikir dilingkungan organisasinya tetapi juga pemikir untuk memajukan Ummah dan Negara dalam usaha membina sebuah tamaddun yang benar-benar di redhai Allah, sesuai dengan motto dakwah: Untuk Ummah dan Negara – ukhrijat li ’n-nas dan baldah toyyibah. Pengalaman gerakan al-Sanusi di Afrika Utara wajar menjadi panduan organisasi dakwah yang mana mereka memiliki pemikir organisasi-persaudaraan yang kemudian menjadi pemikir politik hingga dapat mendirikan Negara.
Satu lagi golongan pemikir yang penting ialah mereka yang bukan dari golongan yang pertama tadi, tetapi mereka ini memiliki ‘ilmu, yang mampu berfikir dan pandai menilai perjalanan dakwah. Golongan ini berupaya menegur dan membetulkan keadaan, jika didapati ada kepincangan dalam pengurusan dan perjalanan dakwah. Mereka merupakan pembantu, rakan dan penguat organisasi.
Di samping pemikir, organisasi dakwah memerlukan golongan perancang yang solih. Mereka bersama dengan golongan rasikhuna fi’l ‘ilmi dan pemikir, akan merancang perjalanan organisasi selari dengan kehendak Syara‘. Mereka akan merancang untuk kejayaan organisasi demi mendaulatkan dakwah dan Islam, bukan merancang dengan segala manipulasi diabolik untuk menguasai organisasi demi kepentingan diri dan nafsu keiblisannya yang hina yang akhirnya organisasi dakwah itu kucar-kacir, lemah dan tidak kemana.  Mereka juga merancang dan menyusun strategi untuk menghindar dan menolak serangan Iblis dan tenteranya dari kalangan manusia. Kesungguhan berserta dengan sifat ikhlas dan ketepatan merancang dan strategi, amat diperlukan lebih-lebih lagi dewasa ini, yang mana berbagai rancangan dan strategi  musuh Islam, merancang untuk melemah dan memesongkan matlamat murni organisasi Islam itu, bahkan untuk menggagalkan sama sekali cita-cita untuk mendaulatkan Islam.
Dengan adanya paduan golongan rasikhuna fi’l ‘ilmi, pemikir dan perancang yang baik, insya Allah, organisasi dakwah akan dapat merancang dan menyusun kerja-kerja dakwah dan islah dengan lebih baik dan berkesan, melalui organisasi yang diurus secara benar, ikhlas, amanah, hikmah, ta‘aawun dan tawakkul dan bukan melalui tukang syarah yang imannya seperti sabda Nabiyy yang mulia s‘aw: tidak lepas dari kerongkong!
Kebenaran tidak akan tertegak melainkan dengan perancangan yang rapi!
Dakwah kita ialah dakwah yang membawa ke Jannah bukan ke abwabi jahannam!


Penutup
Muafakat sebagai organisasi dakwah Islam, wajar mengambil langkah yang konkrit untuk mensejahterakan Ummah. Ia perlu memiliki falsafah yang jernih dengan matlamat yang jelas iaitu Islam syumul dan melalui jalan yang benar iaitu Syari‘at.  Organisasi Muafakat perlu membina kekuatan ‘ilmu, Tauhid dan ruhaniyy. Ia patut menjadi organisasi ruhaniyy yang sempurna!

Wa ma taufiqi illa billah.
Teks penuh artikel di atas boleh dibaca di laman blog MUAFAKAT.





Isnin, Oktober 05, 2009

Fahami Agama Melalui Tokohnya








Kita perlu mendalami al-Quran dan al-hadis untuk menimba pelbagai ilmu yang terkandung di dalamnya. - Gambar hiasan







Setiap fasa atau generasi umat ini pasti menghadapi ujian dan cabaran tersendiri. Sebagai antara generasi akhir umat ini yang terpisah jauh dari Nabi Muhammad SAW dari sudut masa, antara cabaran utama umat ini adalah untuk memahami Islam dengan setepat dan seutuhnya.

Sudah lumrah, semakin jauh kita dari Nabi SAW dan daripada generasi didikan baginda, semakin mencabar bagi kita untuk mendapa dan mencari kefahaman dan penghayatan Islam yang benar.

Pada masa yang sama, kita diajar untuk tidak sekali-sekali meragui keadilan Allah SWT yang bersifat Maha Penyayang dan Maha Pengasih dan segala sifat-sifat kesempurnaan yang ada.

Jika kita sedia mengikut panduan dan ajaran yang ditentukan-Nya, risalah dan nur Islam hakiki sedia untuk ditemui dan dihayati oleh generasi demi generasi tanpa terputus hinggalah ke hari kiamat.

Sebaliknya sesiapa yang dinafikan rahmat-Nya akan enggan mengikut naluri iman dan lebih yakin dengan akal sendiri atau dikelabui oleh keegoan dan terkeliru oleh pelbagai sentimen, inilah hakikat yang menjadi latar di sebalik pelbagai salah faham dan kekeliruan tentang Islam dan ajarannya.

Selain daripada ajaran-ajaran yang jelas menyeleweng seperti mengaku dilantik menjadi rasul dan menerima wahyu yang lebih mudah dikenal pasti dan dijauhi, dengan izin Allah SWT, yang lebih membimbangkan adalah tersebarnya fahaman dan kecenderungan yang tidak begitu zahir berbahayanya.

Di antara fahaman sebegitu yang dapat dirasakan kehadirannya dalam masyarakat kita adalah kecenderungan terlalu liberal atau terlalu literal dalam memahami Islam.


Terlalu liberal

Kecenderungan terlalu liberal bererti seseorang itu menghayati dan memahami Islam dengan terlalu bebas dan tanpa mematuhi kaedah dan disiplin ilmu Islam yang benar.

Kecenderungan ini boleh mengakibatkan seseorang itu menolak ajaran dan prinsip agama yang sudah tetap sehingga ketahap mengambil sikap yang bercanggah dengan nas-nas wahyu yang jelas.

Di antara gejala kecenderungan liberal di negara kita termasuklah sikap menolak dan mempertikaikan hukum jenayah Islam berkaitan kes Kartika Sari yang heboh diperkatakan akhir-akhir ini.

Sebelum ini kita juga ada mendengar 'ayat-ayat' liberal ini di sekitar isu-isu seperti murtad, poligami, pencegahan maksiat dan sebagainya. Mujurnya di negara kita kecenderungan seumpama ini rata-ratanya dijuarai oleh individu dan kumpulan yang bukan berlatar belakangkan pendidikan agama yang menyebabkan masyarakat umum tidak akan mudah menerima tafsiran dan 'ijtihad' mereka.

Alhamdulillah, orang kita tidak akan mudah menerima hujah agama daripada mereka yang tidak berkelulusan dan berimej agama. Ini berbeza dengan situasi di Indonesia di mana kecenderungan liberal ini turut menghinggapi sebahagian para lulusan pesantren dan pendidikan tinggi Islam.

Akhirnya kesan gejala ini dirasakan lebih menggawatkan dan mengancam dalam masyarakat Islam Indonesia. Kita memohon kepada Allah SWT agar menyelamatkan para agamawan negara kita khasnya dan masyarakat amnya daripada dihinggapi virus kecenderungan terlalu liberal ini.


Nas lawan pandangan tokoh?

Adapun kecenderungan terlalu literal dalam menafsirkan Islam nampaknya semakin kelihatan di kalangan segelintir agamawan di negara kita. Oleh kerana mereka berkelulusan dan berimej agama, jika tidak diawasi mungkin fahaman ini akan mempengaruhi sejumlah besar masyarakat Islam.

Apakah yang kita maksudkan dengan kecenderungan terlalu literal ini? Ia boleh dirujuk kepada sikap terlalu berpegang kepada maksud zahir atau literal nas-nas hukum tertentu sambil mengenepikan tafsiran dan takwilan (makna di sebalik yang zahir) ulama-ulama muktabar terhadap nas-nas tersebut.

Ia juga bermaksud kecenderungan seseorang merujuk terus kepada al-Quran dan al-Sunnah tanpa perantaraan tafsiran ulama muktabar di atas nama berpegang kepada dua sumber asasi agama.

Ini secara tidak langsung juga akan membawa kepada pemahaman sendiri yang lebih literal atau zahiri terhadap nas-nas ini kerana tanpa merujuk kepada khazanah ilmu warisan untuk memahami nas-nas ini, kemampuan seseorang itu memahaminya secara mendalam dan halus akan lebih terbatas.

Golongan berkecenderungan ini kadang-kadang mendakwa bahawa dengan sikap begini, maka mereka lebih mengutamakan nas daripada pandangan tokoh. Nas-nas wahyu tentunya lebih utama daripada pandangan mana-mana tokoh tanpa mengira sebesar mana tokoh tersebut.

Ini adalah kata-kata yang bunyinya benar tetapi hakikatnya membawa kepada kebatilan. Ia mengingatkan kita kepada tempelakan Saidina Ali r.a kepada dakwaan puak Khawarij yang melaungkan slogan daripada ayat al-Quran, surah al-An'am, ayat 57 yang bermaksud, Hanya Allahlah yang membuat penentukan hukum. Saidina Ali r.a menjawab, Kalimatu Haqqin Uriida biha Batil (Kata-kata yang benar tetapi digunakan untuk yang batil).

Dakwaan ini kita katakan batil kerana adalah hakikat yang tidak dapat dinafikan bahawa nas-nas al-Quran dan hadis tidak akan dapat difahami dengan tepat dan benar tanpa merujuk kepada pandangan tokoh-tokoh.

Kita tidak akan dapat berlaku adil kepada dua sumber utama Islam ini tanpa sumbangan kajian dan pandangan para tokoh-tokoh ulama. Malah ilmu-ilmu alat dan kaedah berkaitan dengan kedua-dua sumber ini pun disusun dan diperkembangkan oleh para tokoh ulama dari zaman ke zaman.

Oleh itu sebenarnya tindakan mempertentangkan antara nas dan pandangan tokoh ulama adalah suatu yang janggal dan asing dalam tradisi ilmu Islam. Nas dan pandangan tokoh yang muktabar adalah suatu yang harmoni dan berjalan seiring. Yang penting pandangan dan tokoh yang kita rujuk haruslah pandangan yang muktabar dan diiktiraf.

Memilih pandangan dan tokoh yang terbaik pula bukanlah mudah kecuali bagi mereka yang dibantu dan dipermudahkan oleh Allah SWT. Walau bagaimanapun, jika tradisi keilmuan, budaya ilmu dan berguru dalam Islam benar-benar diikuti, insya-Allah kefahaman dan penghayatan Islam yang murni sentiasa ada dan boleh dicapai oleh umat Islam di sepanjang zaman.


Memperlagakan

Tindakan memperlagakan nas dan pandangan tokoh salah kerana hakikatnya tiada siapapun yang dapat membebaskan diri daripada merujuk dan bersandar kepada pandangan tokoh dalam memahami nas, memahami Islam malah mana-mana persoalan khusus atau ilmiah.

Hakikatnya mereka yang mendakwa merujuk dan berpegang kepada al-Quran dan al-sunnah juga sebenarnya bersikap demikian kerana mengikuti pandangan dan saranan tokoh tertentu.

Dalam menafsirkan nas dengan pendekatan yang lebih literal atau mendekati sunnah dengan manhaj tertentu pun mereka kuat berpegang dan bersandarkan tokoh tertentu.

Ini jelas daripada nama beberapa tokoh ulama yang sering mereka ulangi dan jadikan rujukan utama dalam tulisan dan bahasan mereka. Akhirnya realiti yang berlaku adalah sekadar peralihan daripada pandangan sebaris tokoh kepada mengikuti pandangan tokoh-tokoh lain.

Malah yang selalu berlaku adalah sikap meninggalkan pandangan tokoh-tokoh yang sudah menjadi pandangan yang muktabar dan menonjolkan pandangan-pandangan yang lebih lemah dan dipertikaikan.

Sikap ini juga akan menimbulkan satu kesan sampingan buruk yang bukannya kecil iaitu perpecahan dan permusuhan sesama umat Islam dalam memahami dan mengamalkan agama mereka.

Ini kerana jika pandangan dan tokoh yang muktabar dalam Islam cuba dilayan dengan tidak wajar sudah tentu akan ada tindak balas dari kalangan umat Islam yang sedar bangkit mempertahankannya.

Jika pihak yang cenderung mempersalahkan para tokoh muktabar ini berkeras dan berterusan melakukannya maka rosaklah hubungan dan persaudaraan di kalangan mereka yang mahukan Islam.

Saranan dan prinsip untuk memahami dan mengambil ajaran agama daripada tokoh-tokohnya yang muktabar adalah suatu yang ditetapkan oleh nas-nas yang banyak dan hujah aqli yang kukuh. Insya-Allah, ruangan ini akan menghuraikannya dalam kesempatan yang mendatang.

Tulisan kali ini sekadar lontaran awal melihatkan adanya kecenderungan sesetengah pihak untuk mengkritik tokoh-tokoh, kitab-kitab dan institusi warisan muktabar dalam Islam.

Memanglah mana-mana tokoh selain Nabi SAW akan ada kelemahan mereka. Soalnya menumpukan perhatian dan menonjolkan kelemahan mereka hanya akan menenggelamkan kehebatan dan kelebihan mereka yang jauh lebih penting dan lebih kita perlukan.

Artikel ini dipetik dari ruangan Bicara Agama, Utusan Malaysia keluaran 05 October 2009.