Isnin, November 01, 2010

Ibadah Qurban 1431 di Kemboja dan Indonesia

Ibadah Qurban anjuran Maahad Amanullah, Kemboja dan Darul Mustafa Indonesia

Sesiapa yang berminat untuk beribadah Qurban di Kemboja di bawah kelolaan Ust Sulaiman dari Madrasah Amanullah, bolehlah menyalurkan wang qurban lembu sebanyak RM190.00 sebahagian ke akaun amanah seperti di bawah.

Darul Mustafa Indonesia, di bawah kelolaan Tn Habib Sholeh al-Jufri juga turut menawarkan ibadah Qurban di Indonesia, RM300.00 untuk seekor kambing.

Sedikit maklumat berkaitan Maahad Amanullah, Kemboja:
Dikendalikan oleh Ust Sulaiman dengan penuntut seramai 500 orang (300 lelaki dan selebihnya perempuan). Seramai 42 orang penuntut Maahad telah melanjutkan pelajaran ke Darul Mustafa, Tarim, Yaman di bawah al-Mukarram Habib Umar ben Hafidz. Alamat Maahad Amanullah seperti berikut:

Sambour Village kor commune,
Tbong khomum district,
kompong cham province,
Kingdom of Cambodia.
Tel: 0085512269455

Pembayaran bagi ibadah qurban boleh dibuat menggunakan akaun amanah berikut:
Maybank Account: 562227008760
Pemegang Amanah: Tn Syed Hussin b Shaikh alJunid dan Ust Nor Azian b Man.

Slip pembayaran dan borang qurban bolehlah diemailkan kepada Ustaz Azian/Tn Syed (madrasannur@hotmail.com) atau fax no: 03-6157 4144 untuk tujuan penyelarasan.

Borang qurban boleh didapati di sini.

Mudahan ibadah qurban kita diterima Ilahi, InsyaALlah.

Selasa, Mei 18, 2010

Sejarah Perkembangan Tasauf


Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN


Pengajian tasauf bertujuan lebih mendekatkan kita kepada Allah. - Gambar hiasan


MINGGU lepas kita telah meninjau takrif dan makna istilah-istilah utama dalam cabang ilmu tasauf. Ia memberi gambaran betapa tasauf adalah satu disiplin ilmu yang tersendiri, tersusun dan ilmiah sifatnya.

Di kalangan ulama terdapat perselisihan mengenai bila ilmu ini bermula. Ada yang berpandangan ia telah wujud sebelum Nabi SAW dibangkitkan. (Abu Nasr al Siraj, al-Luma' h.42, Ibnu al-Jawzi, Talbis al-Iblis, h.173)

Ibnu Khaldun dan beberapa ulama lain pula berpendapat bahawa tasauf mula tumbuh pada kurun ke-2 Hijrah ketika manusia mula menumpukan perhatian kepada dunia.

Maka golongan sufi berusaha mengajak mereka ke arah zuhud dan beribadat. (Muqaddimah, h. 517)

Dapat diperhatikan bahawa perbincangan tentang tasauf banyak dinaqalkan daripada tokoh-tokohnya yang awal seperti al-Hasan al-Basri r.a (w. 110 H) dan Sufyan al-Thauri r.a (w. 161 H).

Pada permulaannya, tasauf berkisar tentang sifat zuhud kepada dunia, mengosongkan diri untuk beribadat, bermujahadah melawan hawa nafsu dan mentaati perintah Allah sehingga menatijahkan akhlak yang mulia.


Tasauf di zaman nabi SAW

Jika inilah inti dan pokok ajaran tasauf maka pada hakikatnya, tasauf sudahpun wujud dan terjelma pada zaman nabi SAW lagi iaitu melalui acuan akhlak dan kehidupan Rasulullah SAW.

Amat jelas perjalanan awal baginda SAW menuju kepada Allah adalah berasaskan acuan tasauf iaitu tafakur, 'uzlah (khalwat), riadah (latihan) dan mujahadah. Elemen ini dicernakan melalui perkataan dan perbuatan baginda SAW, sehingga roh baginda SAW berjaya melalui proses penjernihan dan penyucian sebagai persiapan untuk menerima wahyu.

Kita maklum bahawa nabi SAW pernah beruzlah mengasingkan diri di Gua Hira' sebelum diturunkan wahyu. Sesudah diangkat sebagai rasul, baginda SAW menjalani kehidupan yang sarat dengan keimanan, ilmu, ibadah, zuhud, warak dan mujahadah.

Para sahabat pula berjalan di atas risalah yang dibawa oleh Rasulullah SAW dengan tekun dan penuh dedikasi. Mereka tidak menghafaz satu ayat daripada ayat-ayat al-Quran, melainkan selepas beramal dan melaksanakannya. Mereka hidup dalam keadaan zuhud dan warak semasa hayat dan selepas kewafatan Rasulullah SAW.

Selain kehidupan amali nabi SAW dan para sahabat kita juga boleh menemukan bukti hadirnya tasauf dalam ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis yang bercitra tasauf. Sekalipun istilah tasauf belum lagi dipopularkan pada zaman tersebut.


Era pengasasan dan perkembangan

Kemudiannya, tumpuan terhadap agama mula berkurangan bermula pada akhir kurun pertama Hijrah (zaman sahabat) dan ia berterusan tahun demi tahun hingga para salafussoleh bimbang akan berlaku musibah.

Untuk menyelesaikan permasalahan tersebut, para ulamalah yang menjadi wakil untuk berusaha menjaga dan memelihara agama. Maka sekumpulan mereka bangun untuk menjaga kedudukan Islam dan menulis permasalahan
hukum-hakam agama dan kaedah-kaedahnya (fiqh).

Bagi kumpulan ulama yang lain, bangun untuk menjaga kedudukan iman, menulis usul agama dan kaedah-kaedahnya (tauhid) sebagaimana yang terdapat di sisi salafussoleh mereka. Sementara kumpulan ulama yang lain, bangun menjaga kedudukan ihsan dan menulis amalan-amalannya dan keadaannya (tasauf).

Kumpulan yang pertama (fiqh) ialah imam-imam yang empat (Imam Hanafi, Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad) dan pengikut-pengikut mereka. Kumpulan yang kedua (tauhid) ialah Imam Abu Hasan al-Asy'ari r.a, sheikh-sheikh dan sahabat-sahabatnya dan golongan yang ketiga (tasauf) ialah Imam al-Junaid r.a, sheikh-sheikh dan sahabat-sahabatnya.

Berdasarkan pemerhatian ini, para imam ini bukanlah pengasas ilmu-ilmu dalam erti kata sebenar. Imam al-Junaid r.a (w. 297H) bukanlah pengasas tasauf dan tarekat kerana tasauf merupakan sebahagian daripada warisan Rasulullah SAW yang bersumberkan wahyu daripada Allah SWT.

Tasauf sering dinisbahkan kepadanya, kerana beliaulah tokoh yang mengambil inisiatif awal memperkatakan kaedah tasauf dan usulnya serta menyeru manusia beramal dengannya.

Ada juga yang mempersoalkan kenapa ilmu tasauf tidak tersebar pada kurun yang pertama Islam dan ia tidak muncul melainkan selepas zaman sahabat dan tabien?

Pada kurun yang pertama, mereka tidak berhajat kepada ilmu tasauf kerana penduduk pada zaman tersebut terdiri daripada orang yang warak, bertakwa dan kuat bermujahadah.

Oleh yang demikian, ketika itu belum timbul keperluan diadakan pengajaran tentang sesuatu ilmu secara terperinci.
Keadaan mereka samalah dengan orang Arab tulen; mereka mengetahui Bahasa Arab melalui warisan daripada satu generasi ke satu generasi sehingga mereka boleh menggubah bait syair yang indah dan tinggi mutu bahasanya berdasarkan fitrah mereka tanpa ada pengetahuan sedikitpun mengenai kaedah-kaedah Bahasa Arab, i'rab dan sebagainya. Mereka tidak perlu mempelajari ilmu nahu dan balaghah.

Namun, setelah meluasnya pelbagai lahjah dan berlakunya kelemahan untuk mengungkapkan bahasa, pembelajaran Bahasa Arab dan kaedah-kaedahnya menjadi penting untuk memberi kefahaman kepada orang asing.

Ketika itu, ilmu ini menjadi penting dalam masyarakat sebagaimana ilmu-ilmu lain yang tumbuh dan disusun mengikut urutan masa dan waktu yang munasabah.

Sahabat dan tabien, sekali pun tidak dinamakan dengan mutasawwifin, mereka adalah ahli sufi sebenar yang menerapkan nilai-nilai kesufian di dalam kehidupan mereka.

Apakah yang dikehendaki oleh tasauf selain menjuruskan kehidupan semata-mata kerana Allah dan bukannya kerana diri sendiri, sambil menghiasi diri dengan sifat zuhud dan bermulazamah(diiringi) dengan ibadah, serta menghadapkan jiwa dan roh sepenuhnya kepada Allah setiap masa.

Sifat-sifat kesempurnaan inilah yang diamalkan oleh para sahabat dan tabien sehingga melayakkan rohani mereka meningkat kepada darjat yang lebih tinggi.

Mereka tidak sekadar mengikrarkan keimanan dan melaksanakan kefarduan Islam, tetapi menyertakan pengakuan dengan zauq dan wujdan (menyelami amal dengan merasai nikmat kelazatan beramal).

Malah, mereka juga menambah amalan-amalan sehingga basirah (mata hati) mereka disuluh cahaya, dan hati-hati mereka terpancar hikmah dan limpahan cahaya ketuhanan.

Keadaan mereka diikuti pula oleh golongan tabien dan tabi' tabien. Juga penting diperhatikan, tokoh-tokoh ulama yang menyusun ilmu tasauf ini seperti al-Hasan al-Basri (w.110H), Sariy al-Saqati (w.253H), Abu Yazid al-Bustami (w.261H),
Sahl al-Tustari (w.283H) dan al-Junaid (w.297H), masih tergolong daripada generasi tiga kurun terawal Islam yang mendapat pengiktirafan nabi SAW sebagai kurun-kurun terbaik Islam.

Kesimpulannya, kandungan dan konsep ilmu tasauf telah wujud pada zaman Rasulullah SAW dan sahabat. Cuma istilah-istilah ini belum lagi digunakan dalam amalan mereka.

Pada zaman tersebut, tasauf merupakan sifat umum yang terdapat pada hampir seluruh sahabat r.a tanpa terkecuali.

Kekuatan cahaya nubuwwah dan hidayah kerasulan yang ada pada masa itu, menyebabkan mereka tidak memerlukan kepada satu bentuk yang khusus, berkenaan cara-cara menjalani perjalanan menuju kepada Allah.

Namun konsep tasauf telah pun ada dan dihayati oleh nabi SAW dan para sahabat baginda kerana perjalanan dan konsep tasauf dan tarekat itu sendiri adalah sebahagian daripada Islam.

Artikel ini dipetik dari Ruangan Bicara Agama, Utusan Malaysia keluaran 18 Mei 2010 / 4 Jamadil Akhir 1431

Sabtu, Mei 15, 2010

Definisi Sufi dan Tasauf


Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN


Imam Al Ghazali seorang tokoh sufi yang berpengaruh.


SEBAGAI memulakan siri pengenalan dan penjelasan kita terhadap tasauf dan dunianya marilah kita melihat makna istilah tasauf dan sufi itu sendiri. Terdapat banyak pendapat ulama mengenai kata asal tasauf.

Ini kerana, perkataan sufi pada asalnya diambil atau berasal daripada suatu benda atau perkara yang dinisbahkan kepadanya.

Di antaranya:

1. Perkataan sufi berasal dari nama seorang lelaki yang dipanggil Sufah. Nama sebenarnya ialah al-Ghauth ibnu Mur ibn Ud ibnu Tabikhah ibn Ilyas ibnu Mudhar. Beliau telah menumpukan seluruh kehidupannya hanya untuk beribadat kepada Allah di Masjid al Haram.

Daripada perbuatannya itu, nama sufi dinisbahkan kepada namanya. (al Fairuz Abadi, Qamus al-Muhit, Jld 2. H: 1105).

Ada ulama yang menolak pandangan ini kerana jika sufi sememangnya dinisbahkan kepada nama orang yang kuat beribadat, maka nama para sahabat dan tabien lebih layak dinisbahkan kepada sufi kerana kedudukan mereka yang lebih tinggi dan mulia.

2. Sebahagian ulama yang lain pula berpendapat, nama sufi dinisbahkan kepada perkataan sufiaitu pakaian yang dibuat daripada bulu kambing. Pendapat ini dipilih oleh Ibnu Taimiyyah, al Suhrawardi (Awarif al Ma'arif. H: 41) dan Ibnu Khaldun (Muqaddimah Ibni Khaldun, H: 517) berdasarkan beberapa perkara.

3. Dikatakan juga perkataan sufi dinisbahkan kepada Ahli Suffah. Iaitu, mereka yang tinggal di anjung Masjid Nabawi di Madinah yang disediakan oleh Rasulullah SAW untuk sahabat-sahabat yang miskin.

Di antaranya, sahabat baginda, Abu Hurairah, Abu Zar dan Abu Darda' kerana mereka mempunyai persamaan dengan orang sufi dari segi hubungan dengan Allah. Mereka telah memutuskan hubungan dengan dunia dan meluangkan masa untuk beribadat.

Pendapat ini ditolak, kerana dari segi bahasa, sekiranya mereka menyandarkan kepada Ahli Suffah, maka mereka akan dipanggil sebagai Suffi, iaitu dengan dua fa, sedangkan perkataan sufi hanya mempunyai satu fa.

Pengarang Qamus al-Muhit menyatakan, bahawa sandaran nama ini adalah salah dari segi tatabahasa Bahasa Arab.

4. Dikatakan ia berasal daripada perkataan sof iaitu saf hadapan, kerana orang-orang sufi akan berdiri di saf-saf hadapan ketika menghadap Allah di akhirat kelak. Ini juga tidak tepat dari segi bahasa, kerana sekiranya nama sufi disandarkan kepada perkataan sof, maka sudah tentu ia disebut sebagai soffi bukannya sufi.

5. Dikatakan juga, perkataan tasauf dinisbahkan kepada makhluk pilihan Allah (sofwah). Ini juga tidak tepat dari sudut bahasa, kerana mengikut bahasa, orang yang terpilih disebut di dalam Bahasa Arab sebagai Sofawi.

6. Dinisbahkan kepada Sufanah yang bermaksud tumbuhan di padang pasir. Ini kerana, mereka hidup memadai dengan makanan yang sedikit seperti tumbuh-tumbuhan yang berada di padang pasir.

Pendapat ini juga tidak betul kerana mengikut Bahasa Arab, sekiranya dinisbahkan kepadaSufanah maka ia menjadi Sufani bukannya sufi.

7. Dikatakan, perkataan sufi berasal dari perkataan Sufah al-Qafa (rambut-rambut yang tumbuh di hujung bahagian belakang kepala) kerana ahli sufi memalingkan pandangan mereka daripada makhluk dan menghadapkan pandangan mereka kepada Allah.

8. Dikatakan perkataan sufi berasal dari perkataan sofaa, yang bermaksud suci. Sekalipun terdapat pendapat yang menyangkalnya dari segi bahasa, namun ini adalah pendapat yang sahih dan dipersetujui oleh kebanyakan ulama.

Abu al-Fath al-Busti r.a (wafat 401 H) pernah menyatakan dalam syairnya:

"Manusia telah bercanggah pendapat di dalam memberikan makna sufi dan mereka telah berselisih pendapat padanya, mereka menyangka bahawa ia terbit daripada perkataan suf (pakaian bulu kambing);

"Dan aku tidak sekali-kali memberikan nama ini melainkan kepada pemuda yang mensucikan dirinya, maka ia menjadi suci sehingga dinamakan sebagai sufi".

Mereka dinamakan sufi kerana dinisbahkan kepada perkataan Sofaa disebabkan Ahli Sufi memandang kepada batin atau dalaman sesuatu perkara, ketika manusia memandang kepada zahirnya.

Orang sufi juga sentiasa berusaha membersihkan dan menyucikan diri mereka daripada kotoran zahir dan batin. (Abdul Aziz Ahmad Mansur, Al-Tasauf al-Islami al-Sohih, H: 24-27)


Tasauf dari sudut istilah

Sheikh Zarruq r.a menyebut, definisi tasauf mencapai sehingga dua ribu pentakrifan. (ibn Ajibah,Iqaz al Himam. H: 24)
Semua definisi tersebut dicetuskan oleh ulama berdasarkan zauq dan pengalaman rohani yang mereka alami dalam mujahadah mereka menuju kepada Allah.

Sebahagian mereka pula, mendefinisikan tasauf berdasarkan peringkat-peringkat yang terdapat dalam tasauf.

Di antaranya, Abu Muhammad al-Jariri r.a mentakrifkan tasauf berdasarkan keadaan Ahli Bidayah (orang yang berada di peringkat permulaan).

Beliau mentakrifkan: "(Tasauf) adalah berakhlak dengan segala akhlak yang mulia dan keluar daripada setiap akhlak yang hina". (al Qusyari, Risalah al-Qusyairiyyah fi Ilmi al-Tasauf. H: 280)

Manakala Abu al-Hasan al-Nuri mentakrifkan tasauf berdasarkan mujahadah orang-orang yang sedang salik menuju kepada Allah (Orang yang mengambil tariqah daripada penghulu kaum sufi dan menjalaninya mengikut syarat-syarat yang telah mereka tetapkan).

Beliau berkata: "Tasauf ialah meninggalkan segala kehendak nafsu". (Al-Kalabazi, al-Ta'aruf li Mazhab Ahli al Tasauf H: 32, al Munawi, Al-Kawakib al-Durriyyah fi Tarajim al-Sa'adah al-Sufiyyah, Jilid 1 H: 524)

Imam al-Syazuli r.a pula berkata: "Tasauf adalah melatih nafsu ke arah pengabdian kepada Allah dan menundukkan nafsu di bawah hukum-hakam-Nya". (Al-Mafakhir al-'Aliyyah, H: 111)

Imam al-Junaid r.a, yang diiktiraf umum sebagai Imam dan penghulu golongan sufi (w. 297H / 910M) pula mentakrifkan tasauf berdasarkan keadaan Ahli Nihayah atau orang yang telah merasai hasil perjalanannya yang dicita-citakan.

Menurutnya, tasauf adalah: "Allah mematikan kamu daripada memandang kepada diri kamu (fana') dan Dia menghidupkan kamu dengan mengingati-Nya dan bermunajat kepada-Nya (baqa')". (Al-Risalah al Qusyairiah H: 280, Awarif al Ma'arif H: 39 dan Nataij al Afkar al-QudsiyyahJilid 4 H: 6)

Ini merupakan darjat sufi yang paling tinggi dan sempurna. Berdasarkan definisi-definisi di atas, kita mendapati bahawa seseorang Ahli Sufi perlu melalui tiga peringkat berikut:

1. Bidayah
Orang yang berada di peringkat ini, akan merasai pada fitrahnya bahawa terdapat suatu hakikat yang perlu dikecapi. Hakikat itu ialah akhlak dan peradaban yang mulia.

Natijahnya, rohnya benar-benar merasa rindu untuk mengecapinya. Untuk mengenali dan mengecapinya pula, memerlukan kepada suatu perjalanan yang berbekalkan keazaman dan niat yang jujur dan benar.

2. Mujahadah
Aspek amalan yang berhubung kait dengan syariat.

3. Orang yang merasai Zauq
Merasai dan mencapai hasil yang dicita-citakan.

Dalam erti kata lain, peringkat tasauf adalah:

  •  Mengenal nafsu, rangsangan dan keinginannya.



  •  Menyucikan hati dan membersihkan roh daripada sifat-sifat yang kotor dengan bermujahadah.



  •  Menghiasi diri dengan sifat-sifat yang mulia dan meningkatkan diri dari satu makam ke satu makam untuk menjadi ahli sufi yang mempunyai hati yang sentiasa sibuk bersama Allah.



  • Maka, seseorang salik masih belum layak untuk digelar sebagai Ahli Sufi, melainkan setelah melalui ketiga-tiga peringkat ini dan orang-orang yang masih belum merentasi ketiga-tiga peringkat ini, dinamakan sebagai murid atau mutasawwif. (Abdul Aziz Ahmad Mansur, al-Tasauf al-Islami al-Sohih H:23)


    Kesimpulan

    Berdasarkan semua definisi di atas, dapatlah dibuat kesimpulan, bahawa tasauf tertegak di atas konsep kejernihan, merebahkan kedegilan nafsu, mengikut sunnah, zuhud terhadap dunia dan keseronokannya, memutuskan hubungan dengan selain Allah dan sentiasa bertafakur tentang-Nya.

    Sebahagian Ahli Sufi berkata: Permulaan tasauf ialah ilmu, pertengahannya ialah amal, dan penghujungnya ialah mendapat kurniaan daripada Allah SWT.

    Berdasarkan huraian di atas, dapat kita fahami, tasauf adalah suatu cabang ilmu yang definisinya telah ditangani secara ilmiah dan kemas. Ia juga terbit daripada usul agama yang sahih dan bukannya berpunca daripada mazhab serpihan atau agama lain, seperti dakwaan sesetengah pihak.

    Artikel ini dipetik dari Ruangan Bicara Agama, Utusan Malaysia keluaran 26 Jamadil Awal 1431 /11 Mei 2010

    Jumaat, Mei 07, 2010

    Jangan Sakiti RasuluLlah SAW


    Oleh SYEIKH MUHAMMAD FUAD KAMALUDIN AL-MALIKI


    SESIAPAPUN akan merasa sedih dan terguris hati jika keburukan kedua ibu bapanya disebut-sebut di hadapannya kalaupun ia suatu yang benar dan bukan sekadar tuduhan. Inilah fitrah hubungan kasih dan sayang yang ada di antara seseorang itu dengan ibu bapa kandungnya.

    Keburukan apakah yang lebih besar daripada kekufuran dan kekufuran siapakah yang lebih jelas daripada Abu Lahab sehingga celaan Allah SWT terhadapnya terakam jelas di dalam al-Quran. Tetapi apabila sampai ke telinga Nabi SAW bahawa ada sahabat yang mengungkit tentang kekufuran dan penentangan Abu Lahab di hadapan anak perempuannya yang Muslim, Nabi SAW telah melarang dan menegur perbuatan itu dengan sabdanya, "Jangan engkau mencerca mereka yang mati, lalu engkau menyakiti mereka yang hidup." (Riwayat al-Tirmizi).

    Jika itulah sikap Nabi SAW dalam kes Abu Lahab, bagaimanakah pula jika ibu dan ayah Nabi SAW sendiri yang disebut dan diungkit sebagai kufur dan berada dalam neraka? Adakah Nabi SAW tidak terguris hati atau merasa disakiti, tanpa mengira apa pun niat si penyebut? Lebih buruk lagi keadaannya jika diinsafi bahawa pandangan yang ibu dan ayah
    Nabi itu kufur adalah tidak benar dan bercanggah dengan pandangan jumhur ulama umat ini. Maka kenyataan tersebut turut merupakan suatu pendustaan dalam isu yang begitu dekat dengan kekasih Allah SWT dan makhluk-Nya yang paling mulia.

    Malangnya, akhir-akhir ini, telah beberapa kali dakwaan bahawa ibu dan bapa Nabi SAW itu kufur dan berada dalam neraka di ketengahkan dalam masyarakat kita secara terbuka dalam media perdana oleh para pendakwah yang popular dan dikenali ramai. Dalam keadaan begitu, tidak mustahil akan ramai ahli masyarakat yang tidak berkeahlian akan mudah terpengaruh, lantas sama-sama mengulangi kalimah yang pastinya menyakiti Nabi SAW itu. Mahukah kita jika umat Islam di Malaysia sampai terhitung sebagai tidak peka dengan apa yang menyakiti Nabi SAW? Bukankah ini boleh mengundang kemurkaan Allah dan Rasul-Nya?

    Isu Yang Tak Patut Ditimbulkan

    Jika diteliti secara insaf, sebenarnya tidak terdapat satu sebab pun yang munasabah untuk isu status ibu dan bapa Nabi SAW kita ungkit dan ditimbulkan di tengah-tengah masyarakat kita. Jika tidak ditimbulkan isu ini, masyarakat kita amnya mempunyai tanggapan yang sangat mulia terhadap ibu dan bapa Nabi SAW. Sikap ini adalah sikap yang lebih tepat dan berasas, seperti yang akan kita huraikan. Kalau pun ada yang bertanggapan bahawa ini adalah suatu sikap yang bercanggah dengan hadis, apakah isu ini menepati keutamaan yang begitu tinggi dan mendesak sehingga perlu ditimbulkan. Adakah selama ini dengan memuliakan ibu dan bapa Nabi SAW telah begitu merugikan dan memundurkan
    Islam dan umatnya di Malaysia?

    Selain kerana tiada keperluan jelas untuk ditimbulkan, isu ini juga tidak patut ditimbulkan secara terbuka kerana untuk benar-benar menganggapnya secara adil menuntut kajian dan penelitian ilmiah khusus. Kenapalah kita perlu menyibukkan masyarakat awam dengan persoalan-persoalan yang tidak mudah atau tidak mampu untuk mereka sikapi dengan adil?

    Sebenarnya, isu ini ada persamaan dengan beberapa isu-isu agama yang sifatnya kompleks dan boleh mengelirukan yang suka ditimbulkan oleh segelintir penceramah akhir-akhir ini. Walaupun kita sangat keberatan membahaskannya, tetapi apabila sudah ada yang menimbulkannya secara terbuka maka wajiblah pula penjelasan dibuat agar masyarakat tidak keliru dan tersalah faham. Pendek kata ia sudah menjadi suatu kemungkaran dan kezaliman ilmiah yang wajib dicegah dan dibetulkan.

    Fahaman Yang Lebih Sejahtera

    Pandangan yang mendakwa ibu dan bapa Nabi SAW adalah kufur dan berada dalam neraka sebenarnya berpunca daripada dua hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim. Dalam salah satunya, Nabi SAW bersabda bahawa
    Baginda tidak diizinkan oleh Allah memohon keampunan bagi ibu Baginda tetapi diizinkan menziarahi kuburnya. Dalam hadis kedua, Nabi SAW diriwayatkan menjawab pertanyaan seorang lelaki tentang nasib bapanya dengan menjawab bahawa ayah lelaki tersebut dan ayah Baginda sendiri berada dalam neraka. Walaupun sahih dari segi sanadnya tetapi jumhur ulama berpendapat bahawa teks hadis-hadis ini tidak boleh difahami secara zahir semata-mata. Ia adalah suatu yang biasa berlaku dalam kita berinteraksi dengan hadis. Bukan hanya kesahihan sanad menjadi penentuan hukum daripada sesuatu hadis. Terdapat juga kaedah-kaedah tertentu dalam memahami teks hadis itu sendiri yang perlu dipatuhi.

    Berdasarkan kaedah-kaedah dalam memahami teks hadis, hadis-hadis di atas sebenarnya tidak mendokong kesimpulan bahawa ibu dan bapa Nabi SAW kufur dan diazab. Pertamanya, makna zahir hadis-hadis ini tidak boleh dipegang kerana ia bertentangan dengan nas-nas al-Quran dan hadis-hadis lain. Antaranya, ayat-ayat dan hadis yang mensabitkan bahawa Nabi SAW adalah berasal daripada keturunan yang mulia dan terpelihara seperti ayat 219, surah al-Syu'ara' yang bermaksud, "dan (Allah melihat) pergerakanmu di antara orang-orang yang sujud". Ibnu 'Abbas r.a, seperti yang diriwayatkan oleh al-Bazzar, al-Tabrani dan Abu Nuaim serta dalam tafsir-tafsir al-Tabari dan al-Qurtubi, berpendapat bahawa ayat ini bermaksud bahawa Nabi SAW telah berpindah dari satu sulbi ke satu sulbi di kalangan nenek moyang yang sujud dan beriman. Hal ini disokong oleh hadis-hadis yang merakamkan bahawa Nabi SAW pernah memuji atau berbangga dengan ibu bapa dan keturunannya, sedangkan adalah tidak wajar Nabi SAW melakukan demikian jika mereka itu syirik atau kufur.

    Maksud zahir hadis-hadis ini juga bertentangan dengan nas-nas al-Quran berkenaan kaedah bahawa Allah SWT tidak akan mengazab sesuatu kaum sebelum dikirimkan para rasul-Nya untuk menyampaikan agama yang benar (al-Israa':15, al-An'aam:131, al-Syu'araa', al-Nisaa':165). Terdapat pula ayat-ayat yang menafikan bahawa terdapat rasul yang dikirim kepada kaum Nabi Muhammad SAW sebelum kebangkitan Baginda (Saba':44, al-Qasas:46). Maka kesimpulan yang lebih tepat adalah kedua-dua ibu dan bapa Nabi SAW sama ada beriman dengan peninggalan risalah rasul-rasul yang terdahulu ataupun tergolong dalam kalangan Ahlul Fatrah, iaitu mereka yang berada di zaman yang tiada rasul, menyebabkan mereka secara prinsipnya tidak akan diazab.

    Ada juga pandangan ulama yang mentakwilkan makna 'abi' dalam hadis kedua yang zahirnya bermaksud 'ayah' kepada Abu Talib atau Abu Lahab, bapa-bapa saudara Nabi SAW dan bukannya Abdullah, bapa Baginda SAW.

    Penggunaan panggilan sebegini memang berlaku dalam bahasa Arab dan dalam al-Quran sendiri dalam kes Nabi Ibrahim AS (al-An'aam : 74). Ada juga pandangan ulama bahawa kedua-dua hadis Riwayat Muslim itu memang perlu ditakwilkan kerana makna zahirnya bercanggah. Jika ibu Nabi SAW benar-benar kafir, Nabi SAW tidak akan diizinkan Allah SWT untuk menziarahi kuburnya.

    Kita juga telah menyentuh bagaimana mengatakan ibu dan bapa Nabi SAW berada di dalam neraka akan menyakiti Nabi SAW. Menyakiti Nabi dengan apa cara sekalipun adalah jelas diancam di dalam al-Quran dengan laknat Allah SWT di dunia dan akhirat serta dijanjikan dengan siksa yang pedih dan hina (al-Tawbah:61 dan al-Ahzab:57). Melihat betapa besarnya kesalahan ini, tidak hairanlah Saidina Umar bin Abdul Aziz dilaporkan telah mengancam seorang pegawainya yang mengatakan ibu dan bapa Nabi SAW musyrik dengan hukuman dipotong lidahnya, dipotong tangan dan kakinya dan dipancung kepalanya. Lalu pegawai itu dilarang memegang apa-apa jawatan sepanjang khilafahnya.(Tarikh Ibn 'Asakir). Imam al-Alusi (m.1127H) pula dalam Tafsir Ruh al-Maaninya ada memberi amaran keras, "Aku bimbangkan kekufuran terhadap seseorang yang menuduh ibu dan ayah Nabi SAW (kufur) (Jilid 11, ms.207).

    Perincian dan huraian lanjut tentang pandangan para ulama yang membela ibu dan bapa Nabi SAW boleh didapati dalam beberapa kitab termasuk kitab-kitab khusus karangan Imam al-Hafiz Jalaluddin al-Suyuti, Masalik al-Hunafa dan al-Ta'dzim wal Minnah, kitab al-Hujaj al-Wadhihaat karya ulama' Makkah, Al-'Allamah Sayyid Ishaq Azzuz, kitab Sadad al-Din oleh Imam al-Barzanji, kitab Hadyu al-Nairain karya al-Allamah Prof.Dr.Judah al-Mahdi dari Universiti al-Azhar Mesir dan fatwa Mufti Mesir, Al-Syeikh Dr.Ali Jum'ah dalam koleksi fatwanya, al-Bayan. Insya-Allah dalam masa terdekat, kami akan mengeluarkan terjemahan dan sedutan daripada kitab-kitab ini dalam bahasa Melayu.

    Jelas daripada perbahasan ringkas kita ini bahawa, jika kita mahu, ruang untuk kita mempertahankan keimanan dan terselamatnya ibu dan bapa Nabi SAW yang mulia adalah luas terbentang. Kalaulah bersangka baik itu terpuji, maka apakah lagi situasi yang lebih utama untuk kita bersangka baik selain dalam isu ini yang membabitkan hak kekasih dan makhluk yang paling dimuliakan oleh Allah SWT. Ia juga sebenarnya adalah sangka baik kita terhadap Allah SWT sendiri yang Maha Kaya lagi Berkuasa untuk meletakkan zuriat kekasih-Nya dalam rantaian keturunan hamba-hamba-Nya yang terpilih.

    Di sebalik episod yang sangat mengguris hati ini, mungkin ada beberapa hikmah dan pengajaran yang perlu diambil.
    Para penceramah yang giat mengisi ruang dakwah di tengah masyarakat mestilah sangat berhati-hati dalam memilih kandungan dan mesej dakwah mereka. Ini kerana, bersama populariti dan kemasyhuran itu datangnya amanah yang dipertanggungjawabkan. Bagi masyarakat pula, di zaman ledakan informasi ini yang turut menyaksikan informasi agama turut tersebar tanpa kawalan, mereka perlulah lebih berhati-hati dalam mempercayai apa yang mereka baca dan dengar. Maklumat agama yang keluar di akhbar, terdengar di radio, tersiar di TV dan popular di internet tidaklah semestinya dijamin betul dan benar. Dalam bab agama, janganlah kita malas mengkaji dan mempastikan kerana akhirat kitalah yang jadi pertaruhannya. Isu ini juga adalah satu contoh jelas bagaimana sikap terlalu merujuk kepada
    Sunnah tanpa berpandukan kaedah dan panduan para ulama muktabar adalah sikap yang silap dan merbahaya.
    Janganlah kita mudah terbawa-bawa dengan sesetengah aliran yang mendakwa sebagai menjuarai Sunnah sedangkan hakikatnya mereka sering menzalimi Sunnah dan yang empunya Sunnah SAW. Semoga Allah SWT menjadikan kita di kalangan mereka yang sentiasa menggembirakan dan mempertahankan kekasih-Nya, Nabi Muhammad SAW.

    Penulis ialah Ali Majlis Agama Islam Negeri Sembilan dan Penasihat Yayasan Sofa Negeri Sembilan

    Artikel ini dipetik dari Ruangan Rencana Utusan Malaysia keluaran 23 Jamadil Awal 1431 / 7 Mei 2010

    Jumaat, April 16, 2010

    Polemik tajdid dan pembaharuan


    Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN


    ABDUL Malik Karim Amrullah atau Hamka adalah antara tokoh yang sering dikaitkan dengan gerakan tajdid.


    DI antara isu yang sering menjadi punca tergelincir langkah dalam memahami dan menghayati Islam adalah isu tajdid atau pembaharuan dalam agama.

    Jika tidak berhati-hati dan tanpa perlindungan Ilahi, ramai yang mungkin terkeliru dalam beberapa persoalan pokok berkaitan soal pembaharuan ini.

    Antara persoalan pokok di sekitartajdid termasuklah falsafah pembaharuan yang sahih dan diterima dalam Islam, skop atau ruang untuk pembaharuan dan kaedah serta manhaj untuk pembaharuan agama.

    Akhirnya pemahaman terhadap semua persoalan ini akan memandu kita mengenalpasti siapakah paramujaddid atau pembaharu sebenar, dulu dan kini.

    Kekeliruan dalam soal ini mudah berlaku kerana sering ada pihak yang cuba bercakap atas nama pembaharuan kalaupun mereka dan aliran pemikiran mereka menyimpang daripada fahamantajdid yang murni dalam Islam.

    Ringkasnya mereka ini cuba berselindung dan memanipulasi tajdid dalam usaha mereka meminggirkan aliran yang tidak selari dengan mereka agar merekalah yang akan mendominasi fahaman agama di kalangan masyarakat.

    Jika mereka ini agresif dan bijak memainkan lagu mereka ini tidak mustahil ramai orang awam yang akan terpengaruh.

    Tidak mudah sebenarnya untuk mengambil sikap yang tepat dalam hal ini kerana isu tajdid agama ini merupakan persoalan kompleks yang memerlukan kajian dan kepakaran.


    Falsafah tajdid

    Istilah tajdid atau renewal memang punya imej dan daya tarikannya secara semulajadi kerana ia membawa makna-makna yang positif dan segar.

    Ditambah apabila mengingatkan kalimah dan konsep tajdid ada disebut oleh Rasulullah dalam hadis yang menjanjikan suatu berita gembira untuk umat Islam, "Sesungguhnya Allah (SWT) akan membangkitkan dari kalangan umat ini dipermulaan setiap kurun mereka yang akanmentajdidkan agama umat ini." (riwayat Abu Dawud, al-Hakim dan al-Baihaqi)

    Hadis ini adalah antara yang popular kerana berita baik yang terkandung di dalamnya. Cuma, harus diingat, seperti mana-mana nas al-Quran mahupun Sunnah perlulah difahami dan ditafsirkan mengikut maksudnya yang sebenar.

    Walaupun hadis ini ada menyebut pembaharuan agama tetapi ia mestilah merujuk kepada faham dan konsep tajdid yang khusus dalam Islam. Hakikat dan sejarah Islam adalah berbeza berbanding agama-agama lain.

    Kita meyakini bahawa Islam bermula sempurna dan murni sejak generasi awalnya lagi. Malah kurun-kurun awal Islam adalah diiktiraf oleh hadis Nabi sebagai era terbaik bagi Islam.

    Jadi umat Islam sebagai umat pilihan sudah dibekalkan acuan dan panduan terbaik dari peninggalan generasi awalnya. Maka falsafah Islam tentang tajdid harus setia kepada hakikat ini.

    Tajdid dalam Islam adalah suatu usaha untuk menghayati dan menterjemahkan dengan sebaik mungkin acuan Islam yang ditinggalkan oleh generasi awal umat ini. Risalah Islam itu sendiri tidak perlukan perubahan (taghyir) ataupun reformasi (islah) kerana ia sudah sedia lengkap, murni dan utuh.

    Taghyir dan islah hanya layak untuk orang Islam yang lalai agar mereka berubah dan mengislah diri kembali mengikut fahaman Islam sebenar.

    Adapun agama Islam itu sendiri sebagai risalah yang terakhir tetap dijamin kesinambungan dan keterpeliharaannya sepanjang zaman. Islam terpelihara dengan kehadiran para ulama yang dinobatkan oleh Nabi SAW sebagai para
    pewarisnya yang sah.

    Ilmu-ilmu dan kefahaman agama pula sebagai inti dan paksi agama Islam dijamin hanya akan beredar di kalangan para ulama yang berkeperibadian adil dan jujur.

    Mereka ini akan berperanan memelihara fahaman agama ini daripada gangguan aliran yang batil, melampau dan menyeleweng.

    Janji dan jaminan tentang hal ini yang kita temui dalam al-Quran dan Sunnah ternyata menjadi kenyataan. Di sepanjang sejarah Islam, sentiasa muncul barisan ulama menjuarai pelbagai disiplin ilmu Islam dengan tradisi menyusun, memperkembangkan dan memperjelaskan lagi acuan Islam yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW dan para Salaf al-Soleh.

    Mengenali diri peribadi dan keterampilan para ulama muktabar ini, kita memandang mereka dan khazanah ilmiah yang mereka tinggalkan sebagai jelmaan janji Allah SWT dan Rasul-Nya SAW yang sekali-kali tidak akan membiarkan umat ini tanpa panduan yang benar sepanjang hayatnya. Malah hadis mujaddid itu sendiri merupakan sebahagian daripada janji Ilahi ini.

    Tajdid agama dalam hadis ini perlu difahami dalam kerangka sejarah dan perkembangan tiga aspek agama iaitu Islam, iman dan ihsan seperti yang dinyatakan dalam hadis Jibril yang masyhur itu.

    Aspek Islam, iman dan ihsan ini dihuraikan di bawah ilmu-ilmu syariah/fiqh, akidah/tauhid dan akhlak/tasauf.

    Ketiga-tiga cabang ilmu agama ini yang hakikatnya diasaskan oleh Rasulullah SAW sendiri berdasarkan wahyu telah berkembang dengan cemerlang di tangan para ulama Islam sehingga muncul sebagai disiplin ilmu yang baku dan tersusun rapi.

    Pada masa yang sama ilmu-ilmu ini mengandungi aspek dinamika dan keanjalan yang menyebabkannya mampu untuk memenuhi tuntutan pelbagai zaman dan situasi.

    Para pengkaji dan pemerhati yang jujur akan bersetuju bahawa sesudah dikembang dan disusun oleh para ulama muktabar umat ini, fahaman Islam arus perdana dan muktabar atau yang dinamakan Ahlus Sunnah wal Jamaah boleh disimpulkan kepada yang berakidahkan acuan akidah Asha'rah-Maturidiyyah, bersyariahkan mazhab-mazhab yang muktabar dan bertasauf dalam akhlaknya.

    Mengambil kira hakikat ini, tidak hairanlah jika dalam senarai utama para mujaddid sepanjang kurun yang dikemukakan oleh para ulama muktabar seperti Imam Jalaluddin al-Suyuti (m.911H) dan Shah Waliyyullah al-Dehlawi (1176H) kita melihat nama-nama Imam Abul Hassan al-Ash'ariy, al-Shafi'ie, al-Ghazali dan lain-lainnya yang memang merupakan arkitek-arkitek utama penyusunan, pembakuan dan perkembangan ilmu-ilmu Islam ini sepanjang kurun yang lampau.

    Susulan perbahasan di atas, tumpuan sebenar tajdid dan pembaharuan dalam Islam adalah kefahaman dan penghayatan umat Islam dan bukannya terhadap fahaman Islam itu sendiri.

    Sebagai muslim, kita meyakini fahaman dan ilmu-ilmu Islam yang ada pada kita adalah fahaman dan manhaj terbaik yang dikurniakan Allah kepada kita.

    Ruang dan batas apa yang haram dan halal, yang baik dan buruk semuanya tersedia di hadapan kita. Ruang perkara-perkara khilafiah yang dibolehkan kita berbeza pegangan padanya juga jelas di hadapan kita.

    Perkara-perkara yang jelas haram, halal atau khilafiah tidak patut dijadikan bahan untukditajdidkan atau dibahaskan lagi oleh para mujaddid hakiki.


    Mengenal mujaddid sebenar


    Hasil perbahasan ini, bolehlah disimpulkan para mujaddid sebenar dalam Islam ialah mereka yang berjaya memimpin umat Islam sepanjang kurun yang silih-berganti agar memperbaharui iltizam dan penghayatan mereka terhadap akidah/tauhid, syariah/fiqh dan akhlak/tasauf yang benar dan murni.

    Apabila umat Islam mengikut pimpinan dan panduan para mujaddid maka agama akan terpelihara dan berkembang.
    Mereka juga mampu mencapai ketamadunan yang hebat seperti kemunculan Islam sebagai salah satu tamadun agung dunia.

    Kesetiaan umat Islam dengan manhaj para mujaddid sebenar umat ini juga menjadi rahsia di sebalik episod-episod tertentu yang gemilang dalam sejarah Islam seperti kejayaan generasi Sultan Salahuddin al-Ayyubi dan Sultan
    Muhammad al-Fateh.

    Kesimpulan yang kita kemukakan ini tidak akan mampu menghalang aliran-aliran pinggiran umat ini untuk tetap mendakwa dan bercakap atas nama tajdid dan pembaharuan.

    Tajdid dan pembaharuanlah jenama yang paling laku dalam mereka cuba mengalih perhatian umat daripada khazanah keagungan ilmu-ilmu Islam kepada pegangan mereka yang pada hakikatnya janggal dan asing.

    Mereka ini akan menjulang nama-nama tokoh yang dikenali masyarakat yang dirasakan dapat mendokong pegangan mereka.

    Dalam masyarakat kita, nama-nama seperti Zaaba, Hamka, Syed Sheikh al-Hadi dan seumpamanya yang dikenali oleh masyarakat kerana sumbangan mereka yang tersendiri turut digunakan tanpa mendedahkan keseluruhan sisi dan kedudukan sebenar tokoh-tokoh ini. Aspek-aspek kontroversi tokoh-tokoh ini disembunyikan.

    Khalayak awam yang kurang teliti mungkin terpengaruh kerana terhimbau dengan kemasyhuran tokoh-tokoh ini tanpa mampu menilai mereka dengan tepat dalam kerangka faham tajdid agama sebenar seperti yang kita sentuh dalam makalah ini.

    Artikel ini dipetik dari Ruangan Bicara Agama, Utusan Malaysia keluaran 13 April 2010

    Isnin, April 05, 2010

    Kedudukan Nabi di sisi Islam


    Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN


    SESUNGGUHNYA Allah SWT telah memuliakan Islam dan menjadikan umatnya sebagai sebaik-baik umat. Nabinya adalah sebaik-baik nabi dan risalah dakwah yang disampaikan oleh baginda adalah sebaik-baik risalah.

    Di antara ciri-ciri keistimewaan Islam adalah ia merupakan agama yang memelihara dan sentiasa sensitif terhadap perkara-perkara yang suci di sisi agama.

    Barangkali pada kaca mata musuh Islam ia merupakan suatu ketaksuban terhadap sebuah pegangan atau anutan. Namun, di sisi Islam itu merupakan intipati keutuhan agama yang kekal diamalkan sejak lebih 1,400 tahun lalu.
    Al-Quran merakamkan fakta sejarah umat-umat terdahulu yang begitu mudah menyelewengkan agama dan kitab yang diturunkan ke atas nabi-nabi mereka.

    Kalam-kalam para paderi dan rahib mereka dicampuradukkan dengan wahyu hingga hilang ketulenan dan lenyap kecantikan agama yang mereka anuti.

    Semua ini berlaku kerana masyarakat dahulu terutama kaum Yahudi tidak mengiktikad bahawa nabi dan rasul yang diutuskan kepada mereka adalah golongan maksum yang terpelihara daripada kesalahan dan dosa baik kecil mahupun besar.

    Maka tidak hairan sekiranya mereka tanpa segan silu memfitnah Maryam a.s sebagai perempuan jalang dan anaknya
    Nabi Isa sebagai anak luar nikah.

    Mereka mempersenda, memperlekeh dan merendah-rendahkan kedudukan nabi mereka sendiri. Lebih dahsyat lagi mereka mencaci, menghina, mendustai dan membunuh nabi-nabi yang diutuskan ke atas mereka.

    Begitulah rosak dan binasanya akidah umat-umat terdahulu kerana mereka tidak mengakui kedudukan nabi-nabi mereka serta kitab yang diturunkan. Mereka juga tidak menganggap nabi dan wahyu sebagai suatu amanat suci.

    Maka Allah SWT membinasakan kaum Yahudi dengan pelbagai azab seksaan kerana keingkaran mereka mengakui kedudukan Nabi di sisi agama.


    Masyarakat Barat dan nabi


    Meneliti kehidupan dan pegangan masyarakat barat, kita akan mendapati bahawa unsur-unsur ini masih kuat melekat dalam tradisi kehidupan mereka. Apatah lagi setelah mereka melakukan pemisahan antara agama dan kehidupan 
    (sekularisme).

    Masyarakat Barat mengakui mereka penganut Kristian dan pengikut Nabi Isa a.s yang dianggap sebagai tuhan.
    Pengakuan itu hanya di bibir semata-semata kerana apabila kita bertanya apakah itu Kristian, siapakah yang Jesus , apakah risalah yang dibawa olehnya dan siapakah yang menurunkan wahyu ke atasnya, mereka akan menggelengkan
    kepala.

    Mungkin mereka mengakui beriman dan percaya dengan tuhan. Tetapi mereka sedikitpun tidak memahami erti iman dan percaya kepada tuhan itu. Keadaan itu sama dengan dakwaan kaum musyrikin yang dirakamkan di dalam al-Quran bermaksud: Apabila engkau bertanya kepada mereka siapakah yang telah menciptakan langit dan bumi? Mereka menjawab: Allah. (al-Ankabut: 61)

    Sedangkan kaum musyrikin tidak mengetahui siapakah Allah dan menyebut nama-Nya tanpa mengenali dan mengiktikadkan kewujudan-Nya. Jika mereka mengiktikadkan kewujudan Allah dan mengakui kekuasaan-Nya, nescaya mereka akan meninggalkan amalan penyembahan berhala.

    Pemikiran masyarakat Barat ini diwarisi zaman berzaman semenjak ia dicetuskan oleh Yahudi Bani Israel.
    Doktrin ini telah melahirkan ramai golongan yang tidak mempercayai kewujudan Allah sertakemaksuman para nabi dan rasul.

    Ia turut meresap dalam pemikiran masyarakat Islam yang lemah asas dan pegangan akidahnya sehingga tidak lagi memandang dengan pandangan yang tinggi perkara-perkara suci di sisi Islam seperti Allah, rasul, kitab-kitab dan para malaikat.


    Mengutamakan akal


    Para orientalis bersama misi mereka sedaya upaya mengajak manusia menyanjung kehebatan akal dalam menyelesaikan semua perkara.

    Ini termasuk permasalahan akidah, syariah dan perkara-perkara yang suci di sisi Islam. Semua ini turut dibahas dan diolah dengan kebijaksanaan akal.

    Hasilnya lahirlah golongan manusia yang mengukur perkara-perkara bersangkut paut dengan akidah umat Islam berdasarkan kupasan akal.

    Semua ini mendedahkan mereka kepada gejala memperlekehkan al-Quran dan mencalarkan keperibadian nabi, sahabat, ahli keluarga dan isteri-isteri baginda.


    Larangan menghina nabi


    Islam adalah agama yang sempurna. Hampir semua permasalahan yang berlaku di dunia ini ada jawapan dan penyelesaian daripada al-Quran dan hadis.

    Memandangkan keimanan kepada nabi dan rasul adalah rukun iman, maka Islam memperuntukkan bab berkaitan hukum khusus bagi mereka yang menghina dan mencerca nabi.
    Ini kerana menghina para nabi dan rasul menjurus kepada usaha menghancurkan Islam dari asas atau akar umbinya.

    Apabila nabi dan rasul sewenang-wenangnya dihina tanpa ada sebarang hukuman yang tegas, maka kesinambungannya ialah manusia terjerumus ke dalam jurang menghina Islam, syariat dan hukum-hakamnya.

    Firman Allah SWT yang maksud-Nya: Sesungguhnya orang menyakiti Allah dan Rasul-Nya, Allah melaknat mereka di dunia dan di akhirat dan menyediakan untuk mereka azab seksa hina. (al-Ahzab: 57)

    Firman Allah SWT yang maksud-Nya: Tidakkah mereka mengetahui bahawa sesiapa yang menentang Allah dan Rasul-Nya, maka Sesungguhnya adalah baginya neraka jahanam serta ia kekal di dalamnya? Balasan yang demikian adalah kehinaan yang dahsyat. (al-Taubah: 63)

    Ayat ini menyatakan ancaman bagi sesiapa yang menentang Allah dan rasul. Menghina dan mencerca nabi adalah penentangan terhadap rasul kerana merendah-rendahkan keperibadian insan maksum yang diamanahkan menyampaikan risalah Ilahi.

    Para salafussoleh mengambil pendirian yang tegas dalam permasalahan ini. Diriwayatkan oleh Ibnu Munzir di dalam kitab al Awsot bahawa dikatakan kepada Ibnu Umar r.a: "Sesungguhnya seorang lelaki telah mencaci Nabi SAW, maka Ibnu Umar berkata: Jikalau aku dengari, nescaya aku bunuh dia. Tidaklah kami mahu berbaik-baik dengan orang yang mencaci nabi."

    Diriwayatkan bahawa Gabenor Kufah pada zaman Khilafah Umar ibn Abdul Aziz r.a ingin menjatuhi hukuman bunuh kepada seorang yang menghina beliau (khalifah). Maka dia menulis surat kepada Umar ibn Abdul Aziz r.a meminta pendapat mengenai hukuman itu sama ada ia wajar dijalankan atau tidak.

    Maka Khalifah Umar ibn Abdul Aziz r.a membalas suratnya di antara kandungan surat tersebut berbunyi: "Sesungguhnya tidak halal perbuatan membunuh seorang muslim yang mencaci orang lain melainkan bagi seorang lelaki yang mencaci Nabi SAW."

    Diriwayatkan oleh Abu Daud daripada al Sya'bi daripada Ali r.a berkata: "Sesungguhnya seorang wanita Yahudi mencaci Nabi SAW dan menghinanya, lalu seorang lelaki mencekik wanita itu sehingga mati. Maka Rasulullah SAW menghalalkan darah wanita itu."


    Hukum menghina nabi


    l Al Qadhi Iyadh al Maliki menyatakan di dalam al Syifa: "Ijmak ulama menyatakan bahawa dihukum bunuh orang-orang Islam yang mengurangkan dan merendah-rendahkan kedudukan Nabi SAW dan mencacinya".

    l Abu Bakar ibn Munzir al Syafii berkata: "Telah bersepakat keseluruhan ahli ilmu bahawa sesiapa yang menghina Nabi SAW akan dibunuh. Di antara mereka menyatakan sedemikian ialah Malik ibn Anas, Imam Laith, Imam Ahmad dan
    Ishaq; dan ini adalah pendapat mazhab Syafii".

    l Berkata Muhammad Ibnu Suhnun: "Ulama telah berijmak bahawa orang yang mencaci Nabi SAW dan mengurangkan kedudukan baginda SAW adalah kafir, akan dibalas dengan azab Allah dan hukumannya di sisi Islam ialah bunuh."

    l Berkata Abu Sulaiman al Khattabi: "Tidak saya ketahui seorang pun dari kaum muslimin yang berselisih pendapat tentang hukum wajib dibunuh orang yang mencaci Nabi SAW apabila dia adalah seorang muslim".

    l Ishaq ibn Rohuyah berkata: "Kaum muslimin telah berijmak bahawa sesiapa yang mencaci Allah atau mencaci rasul-
    Nya, atau menolak sesuatu daripada ayat-ayat Allah, atau membunuh seorang dari Nabi Allah adalah kafir dengan perbuatannya itu sekalipun dia memperakui setiap ayat yang diturunkan oleh Allah."


    Nabi dan masyarakat Melayu Islam


    Betapa besarnya kurniaan dan rahmat Allah ke atas umat Melayu di nusantara ini tatkala mereka dipilih untuk menyahut risalah Penghulu Segala Rasul SAW.

    Malaysia amat bernasib baik kerana menikmati keamanan, kemakmuran dan masyarakat yang bersatu padu. Allah SWT memelihara umat Melayu Islam ini kerana mereka sentiasa meletakkan nabi SAW pada kedudukan yang tinggi dan martabat yang selayaknya sebagai seorang kekasih Allah.

    Nabi SAW dipuji, disebut-sebut, diketengahkan keistimewaannya dan diulang-ulang sirah kehidupannya saban waktu.

    Inilah sebenarnya rahsia keamanan negara kita di mana dalam pada kita mengamalkan perintah Allah dan rasul, kita tidak meminggirkan perasaan kasih dan cinta kepada Baginda SAW kerana ia adalah sebesar-besar tanda keimanan kepada Allah SWT.

    Umat Islam di Malaysia akan bersama dalam satu usaha mempertahankan nabi SAW, memelihara maruah dan kedudukannya dari ditohmah oleh musuh-musuh agama.

    Moga-moga golongan inilah yang sentiasa kekal pada setiap zaman berdasarkan sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Sentiasalah ada sekelompok manusia dari kalangan umatku yang zahir di atas jalan kebenaran sehingga datangnya perintah Allah (hari kiamat)."

    Artikel ini dipetik dari ruangan Bicara Agama, Utusan Malaysia keluaran 13 Rabiul Akhir 1431 / 30 Mac 2010

    Isnin, Mac 29, 2010

    Rasulullah SAW di Mata Sahabat


    PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN


    PADA minggu sebelum ini, kami membicarakan serba ringkas mengenai tuntutan memuliakan Rasulullah SAW dan perbezaan di antara maksud menyembah dan membesarkan Rasulullah SAW.

    Menyambung tajuk tersebut, pada kali ini kami tidak berhasrat untuk mengemukakan dalil-dalil selanjutnya. Melihat kepada ruangan yang agak terhad kami ingin mengajak pembaca melihat bagaimana kuat dan tingginya kecenderungan para sahabat memuliakan dan mengagungkan Rasulullah SAW.

    Ini adalah jalan yang paling mudah untuk kita melihat dan mengetahui cara yang sepatutnya kita menyanjung Rasulullah SAW dan bagaimana seharusnya kita meletakkan pandangan dan ikatan hati kita terhadap Baginda SAW.


    Kelebihan para sahabat


    Al-Quran dan hadis telah mencatatkan para sahabat ialah insan-insan agung dan jaguh-jaguh yang menjuarai keseluruhan gelaran terhebat dalam segenap aspek kehidupan duniawi dan ukhrawi.

    Mereka adalah para penghulu yang mempunyai pencapaian tertinggi dalam ibadah dan pendekatan diri kepada Allah.
    Mereka juga adalah sahabat-sahabat yang menjuarai gelaran tertinggi dalam persahabatan dan menjaga etika persahabatan dengan Rasulullah SAW.

    Sehingga mereka merangkul gelaran pejuang terhandal dan terkuat mempertahankan Rasulullah SAW dan agama yang dibawa oleh Baginda SAW.

    Apa yang jelas, sehebat mana pun manusia yang datang selepas para sahabat, tiada seorang pun yang dapat menandingi ketinggian dan ganjaran pahala yang dikurniakan kepada mereka.

    Rasulullah SAW bersabda: "Sekiranya seseorang kamu membelanjakan emas setinggi gunung Uhud pun, nescaya tidak akan mencapai satu gantang seseorang daripada mereka, apatah lagi setengah daripadanya".


    Keghairahan para sahabat memuji Nabi SAW


    Mereka juga adalah insan yang paling kuat memuji dan mengagungkan Rasulullah SAW sehinggakan dilihat Nabi SAW sentiasa menjadi keutamaan mereka yang lebih utama daripada diri dan nyawa mereka sendiri.

    Nama Rasulullah SAW sentiasa meniti di bibir mereka, wajah Nabi SAW sentiasa bertakhta di hati mereka dan keindahan Rasulullah SAW sentiasa menambat hati mereka.

    Tidak ada dalam Islam tegahan daripada memuji baginda SAW. Yang ada hanya tegahan menyamatarafkan baginda SAW dengan manusia yang lain dan tegahan daripada menyamatarafkan baginda SAW dengan Allah atau menyatakan baginda SAW adalah anak tuhan seperti yang dipercayai oleh penganut ajaran Kristian.

    Sirah para sahabat dipenuhi dengan kata-kata pujian dan sanjungan mereka terhadap Rasulullah SAW. Bagaimana mungkin seorang insan yang dimuliakan oleh Allah dengan sifat-sifat keistimewaan dan dinobatkan dengan ketinggian kesempurnaannya tidak menarik hati manusia untuk menyayangi dan melantunkan kata-kata pujian memujinya.

    Jika Heraclius seorang raja dari bangsa Eropah yang duduk di singgahsana yang indah dan memiliki kedudukan di sisi rakyatnya terlontar di lidahnya kata pujian terhadap baginda SAW apabila mengetahui sifat-sifat Nabi SAW, bagaimana pula hati seorang Muslim yang disuluhi cahaya kebenaran dan keimanan?

    Abu Sufyan pernah mengaku secara jujur rasa kagumnya melihat kecintaan para sahabat terhadap Nabi SAW dengan berkata: "Aku tidak pernah melihat dari kalangan manusia seseorang yang mencintai seseorang seperti kecintaan sahabat-sahabat Muhammad terhadap Muhammad".

    Amru ibn al 'As r.a pernah berkata: Tidak ada seorang pun yang lebih aku cintai daripada Rasulullah SAW. Tidak ada seorang pun yang lebih agung pada pandanganku daripadanya. Aku tidak mampu memenuhi pandangan mataku dengan sifat-sifatnya, kerana terlalu mengagungkannya. Seandainya aku diminta untuk menggambarkan peribadi Baginda SAW, pasti aku tidak akan mampu kerana aku tidak mampu memenuhi pandangan mataku dengan kehebatannya. (riwayat Muslim)

    Mereka terlalu mengagungkan Rasulullah SAW dan menjaga peradaban dan tingkah laku terhadap baginda SAW sama ada ketika Rasulullah berada di hadapan mereka atau tidak.

    Imam Tirmizi r.a meriwayatkan hadis daripada Anas r.a: Bahawa Rasulullah SAW pernah menemui para sahabatnya daripada golongan Ansar dan Muhajirin ketika mereka sedang duduk. Di antara mereka terdapat Abu Bakar dan Umar ibn al Khattab. Tidak seorang pun di antara mereka yang mengangkat pandangan kepada Rasulullah SAW kecuali Abu Bakar dan Umar al Khattab. Kedua-duanya memandang baginda SAW dan Nabi SAW memandang mereka berdua.
    Mereka berdua tersenyum kepada baginda SAW, dan baginda juga tersenyum kepada mereka berdua".

    Usamah ibn Syarik r.a berkata: "Aku mendatangi Rasulullah SAW ketika para sahabat berada di sekeliling baginda SAW. Aku lihat seakan-akan terdapat burung di atas kepala mereka".

    Apabila Nabi Muhammad SAW berbicara, maka mereka yang duduk bersamanya akan menundukkan kepala mereka, seakan-akan terdapat burung di atas kepala mereka.

    'Urwah ibn Mas'ud pernah menyaksikan betapa besar penghormatan dan pengagungan para sahabat r.a terhadap Rasulullah SAW ketika dia diutuskan oleh kaum Quraisy kepada Rasulullah SAW pada Tahun Perjanjian Hudaibiah.

    Menurut Urwah, jika Nabi SAW berwuduk, air wuduknya menjadi rebutan para sahabat hingga mereka hampir berbunuh-bunuhan kerananya. Tidaklah baginda SAW berludah dan berkahak, melainkan mereka menadahnya dengan telapak tangan mereka, lalu menggosok-gosokkannya ke muka dan badan mereka.

    Tiada sehelai rambut baginda SAW yang jatuh ke tanah, kecuali mereka berebut-rebut mengambilnya. Apabila baginda mengeluarkan suatu perintah, mereka segera melakukannya.

    Apabila baginda berbicara, mereka merendahkan suara di hadapannya. Mereka tidak menajamkan pandangan mereka kepada baginda SAW kerana membesarkannya.

    Ketika kembali kepada kaum Quraisy yang mengutusnya, 'Urwah ibn Mas'ud berkata: "Wahai bangsa Quraisy! Sesungguhnya aku pernah menemui Kisra (Raja Farsi) dalam kerajaannya dan aku juga pernah menemui Qaisar (Raja Rom) di dalam kerajaannya. Aku juga pernah melihat Najasyi (Raja Habsyah) di dalam kerajaannya. Demi Allah! Sesungguhnya aku tidak pernah melihat seorang raja pada suatu kaum seperti Muhammad SAW dengan para sahabatnya".

    Dalam riwayat yang lain, dia berkata: "Tidak pernah sekali pun aku melihat seorang raja yang diagungkan oleh rakyatnya, sebagaimana Nabi Muhammad SAW diagungkan oleh para sahabatnya. Sesungguhnya, aku telah melihat suatu kaum yang tidak akan menyerahkannya (Muhammad SAW) kepada musuh-musuhnya untuk selama-lamanya".

    Lihatlah bagaimana para sahabat begitu mengagungkan Nabi Muhammad SAW dengan pelbagai kebesaran. Mereka tidak pernah dikatakan musyrik atau kafir kerana menyanjung baginda SAW. Mereka telah menjaga hak ketuhanan dan kerasulan dengan sempurna.

    Bagaimana pula dengan kita? Adakah sirah para sahabat yang menjadi ikutan atau amalan jahiliah yang kita amalkan?
    Menyempitkan perbicaraan mengenai perkara yang luas ini hanya akan menjauhkan umat manusia daripada Nabi SAW dan dari menghayati keindahan Islam itu sendiri.

    Ini secara tidak langsung akan menjauhkan umat Islam dari roh Islam yang sebenar kerana Rasulullah SAW adalah lambang dan simbol kepada roh Islam yang sejati.

    Ketandusan roh Islam dalam jiwa umat Islam akan melahirkan umat Islam yang lemah, lesu dan mudah diperkotak-katikkan oleh agenda musuh-musuh Islam.

    Artikel ini dipetik dari Ruangan Bicara Agama, Utusan Malaysia keluaran 6 Rabiulakhir 1431 / 23 Mac 2010

    Isnin, Mac 22, 2010

    Jangan Abai Hak RasuluLlah SAW


    Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN


    SENARIO begini lumrah kelihatan acap kali tiba hari keputeraan junjungan besar Nabi Muhammad SAW.


    SUDAH menjadi agenda terpenting dalam setiap majlis Maulid Nabi SAW, ucapan selawat dan memuji Baginda dialunkan dan dikumandangkan. Selain mendapatkan pahala dan keberkatan, majlis ini juga berperanan mendekatkan umat Islam kepada nabi mereka dalam rangka mengingatkan umat Islam tentang ketinggian dan keluhuran agama Islam yang dibawa Baginda SAW.

    Namun, dalam kerancakan penganjuran maulid, dalam keindahan suasana keistimewaan dan ketinggian Rasulullah SAW dihayati dan dimartabatkan, ada terdengar suara-suara sumbang yang menempelak majlis seperti ini kerana dikatakan mengandungi unsur ghuluw (pelampauan) dalam memuji Baginda SAW.

    Setakat manakah kebenaran dakwaan mereka ini? Jika memuji Nabi SAW dikatakan boleh membawa kepada perbuatan menyamatarafkan kedudukan Baginda SAW dengan Allah SWT, bagaimanakah pula dengan pujian dan sanjungan tinggi menjulang yang diberikan kepada manusia-manusia lain yang jauh lebih rendah kedudukannya daripada Nabi Muhammad?

    Pada minggu lepas, kita telah membicarakan bahawa Baginda SAW juga adalah seorang insan ciptaan Allah, tetapi berbeza daripada manusia lain dengan dikurniakan pelbagai keistimewaan tertentu oleh Allah.
    Justeru, memandang Baginda sebagai seorang manusia semestinya disertai dengan pandangan istimewa sesuai dengan kedudukan Baginda yang telah dimartabat dan dijulang oleh Allah dan bukannya menurut pandangan mereka yang terkesan dengan fahaman Jahiliah.

    Jika kita tidak menyingkap ayat-ayat al-Quran dan hadis yang sarat membicarakan perkara ini pun, akal yang sejahtera sudah boleh menerima dan mudah untuk memahaminya.

    Seseorang yang ditugaskan membawa suatu risalah yang agung daripada Tuhan Yang Maha Agung sudah tentu mempunyai ciri-ciri istimewa dan khusus bagi memastikan risalah agung itu dapat disampaikan dengan sempurna.


    Salah faham makna ta'zhim dan ibadah

    Masalah ini hanya terjadi apabila seseorang itu tidak dapat memahami dengan jelas tentang hakikat ta'zhim (mengagungkan atau membesarkan) dan hakikat ibadah (penyembahan).

    Mereka juga tidak dapat membezakan antara dua kedudukan iaitu kedudukan Allah dan makhluk di mana setiap kedudukan mempunyai hak-haknya yang khusus.

    Oleh itu, mereka mencampuradukkan di antara kedua-duanya dan menganggap apa jua bentuk ta'zhim yang dilakukan merupakan suatu penyembahan kepada yang diagungkan. Rentetan itu, perbuatan berdiri bagi menghormati orang yang mulia, mencium tangan, membesarkan Nabi Muhammad SAW dengan menyematkan gelaran Sayyid dan Maulana, berdiri di hadapan Nabi SAW ketika menziarahinya dengan adab-adab yang baik, penuh hormat dan merendah diri; semuanya dianggap ghuluw (berlebih-lebihan dan melampau) di sisi mereka, hingga membawa kepada penyembahan kepada selain Allah SWT.

    Hakikatnya, anggapan seperti ini merupakan suatu kejahilan dan kesilapan, bahkan Allah dan Rasul-Nya tidak reda terhadapnya dan ia tidak sejalan dengan roh syariat Islam.


    Sujud para malaikat kepada Nabi Adam

    Kita sedia maklum, Nabi Adam as merupakan insan dan hamba Allah yang soleh dan pertama daripada jenis manusia. Allah SWT telah memerintahkan para malaikat supaya sujud kepadanya sebagai memuliakan dan membesarkan ilmunya dan sebagai pemberitahuan kepada mereka, bahawa Allah telah memilih Adam as menjadi Nabi daripada sekalian makhluk-Nya. Ini dijelaskan dalam surah al-Isra' ayat 61 hingga 62. Begitu juga dalam surah (Saad ayat 76 dan surah al-Hijr ayat 30 hingga 31.

    Dari ayat-ayat ini kita melihat, para malaikat turut mengagungkan insan yang diagungkan oleh Allah SWT, cuma Iblis bersikap takbur dan enggan sujud kepada makhluk yang diciptakan daripada tanah. Alasan yang dikemukakan, ia diciptakan daripada api, sedangkan Nabi Adam diciptakan daripada tanah, sehingga ia enggan memuliakan Adam a.s dan tidak mahu sujud kepadanya.

    Iblis adalah makhluk pertama yang bersikap takbur dan tidak mahu mengagungkan insan yang diagungkan oleh Allah SWT. Lantaran itu, ia diusir dan dihalau jauh daripada rahmat Allah kerana sikap sombong dan takbur terhadap hamba yang soleh.

    Pada hakikatnya, sikap takbur iblis itu merupakan suatu kesombongan terhadap Allah kerana sujud itu sebenarnya kepada Allah; sebagai menurut perintah-Nya. Ini menjelaskan kepada kita perintah sujud tersebut adalah sebagai suatu penghormatan kepada Nabi Adam dan bukannya suatu penyembahan.


    Hak-hak Rasulullah

    Adapun hak Nabi SAW supaya diagungkan dan dimuliakan adalah sebagaimana perintah Allah SWT dalam al-Quran:
    Sesungguhnya Kami telah mengutusmu (wahai Muhammad) sebagai Rasul yang menjadi saksi (yang diterima keterangannya), dan sebagai pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman), serta pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar). (Kami mengutusmu wahai Muhammad) supaya engkau dan umatmu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, dan supaya kamu kuatkan agamanya dan memuliakannya. (al Fath: 8-9)

    Dalam ayat lain, disebutkan: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu memandai-mandai (melakukan sesuatu perkara) sebelum (mendapat hukum atau kebenaran) Allah dan Rasul-Nya. (al-Hujurat: 1)

    Allah juga berfirman: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengangkat suara cakap kamu melebihi suara cakap Nabi SAW. (al Hujurat: 2)

    Dalam ayat yang lain pula disebut: Janganlah kamu jadikan seruan atau panggilan Rasulullah di antara kamu sama seperti seruan atau panggilan sesama kamu. (al-Nur: 63)

    Umat Islam dilarang mendahului Nabi Muhammad SAW dalam berkata-kata ketika berada di hadapan Baginda. Bahkan, mendahului percakapan Nabi SAW dianggap sebagai akhlak atau adab yang buruk.

    Kita juga dilarang mendahului Baginda atau tergesa-gesa menghukum suatu perkara sebelum Baginda menentukan hukumannya, ataupun berfatwa tentang apa sahaja perkara; baik berkaitan dengan peperangan, mahupun hal-hal lain yang berkaitan dengan urusan agama kecuali dengan perintahnya. Kemudian Allah menasihatkan dan memperingatkan
    umat Islam agar tidak menyalahi perintah tersebut, sebagaimana menurut surah al-Hujurat ayat 1 tadi.

    Al Sulami ra. berkata tentang maksud ayat ini, "Maksudnya adalah bertakwalah kamu kepada Allah dengan tidak meremehkan atau mengabaikan hak-hak Nabi Muhammad SAW dan mensia-siakan kehormatannya, kerana sesungguhnya Allah Maha Mendengar segala perkataan kamu dan Maha Mengetahui segala perbuatan kamu".

    Dalam ayat seterusnya, Allah SWT melarang umat Islam daripada meninggikan suara melebihi suara Nabi SAW dan mengeraskan suara kepada Baginda SAW seperti percakapan sesama rakan biasa. Menurut pendapat yang lain, maksudnya Allah SWT melarang umat Islam memanggil Baginda SAW seperti panggilan sesama mereka dengan menyebut namanya sahaja. Tetapi hendaklah mengagungkan, menghormati dan memanggil Baginda SAW dengan semulia-mulia panggilan; yang disukainya, seperti panggilan, "Wahai Rasulullah!" dan "Wahai Nabi Allah!"

    Allah juga memperingatkan orang yang bersikap biadap terhadap Rasulullah SAW dengan ancaman akan dihapuskan amalan mereka jika mereka melakukan perbuatan yang tidak sopan terhadap Rasulullah SAW. Bahkan, Allah mencela mereka dengan menganggap mereka sebagai orang yang bodoh dan menyifatkan mereka sebagai orang yang tidak berakal.

    Perintah dan peringatan Allah di atas ini jelas menunjukkan ketinggian Baginda SAW di sisi-Nya yang wajib kita muliakan dan besarkan sepanjang masa.

    Tidak timbul dalam menyempurnakan hak dan adab terhadap Baginda SAW, soal penyembahan Nabi Muhammad SAW selagi seseorang itu mengetahui yang mana menjadi hak Allah dan yang mana menjadi hak Rasulullah SAW.

    Perbincangan selanjutnya akan menyusul minggu hadapan.

    Artikel ini dipetik dari Ruangan Bicara Agama, Utusan Malaysia keluaran 15 Mac 2010 / 30 Rabiulawal 1431

    Isnin, Mac 08, 2010

    RasuluLlah Manusia Istimewa


    Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA NEGERI SEMBILAN


    SELAKU umat Islam, kita meyakini dan mempercayai bahawa Nabi Muhammad SAW ialah manusia yang harus berlaku ke atas Nabi SAW apa yang harus ke atas manusia yang lain.

    Ia seperti mengalami hal-hal yang mendatang dan ditimpa penyakit yang tidak mengurangi kewibawaan baginda SAW sebagai seorang nabi dan tidak menyebabkan orang menjauhkan diri daripadanya.

    Nabi Muhammad SAW juga adalah seorang hamba Allah SWT yang tidak memiliki kekuasaan pada dirinya untuk menolak sebarang kemudaratan atau mendatangkan manfaat, memati atau menghidupkan atau membangkitkan, kecuali apa yang dikehendaki oleh Allah SWT.

    Allah SWT berfirman: Katakanlah, "Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Dan kalau aku mengetahui (perkara-perkara) yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman. (al-A'raf: 188)

    Sesungguhnya Nabi SAW telah menyampaikan risalah dengan sempurna, menunaikan amanah, menasihati ummah, menghapuskan dukacita dan berjihad di jalan Allah sehingga kewafatan baginda SAW. Kemudian baginda kembali ke hadrat Tuhannya dalam keadaan reda dan diredai, sebagaimana firman Allah SWT: Sesungguhnya engkau (wahai
    Muhammad!) akan mati, dan sesungguhnya mereka juga akan mati. (al Zumar: 30)

    Sifat 'ubudiyyah (perhambaan) adalah semulia-mulia sifat baginda SAW. Oleh kerana itu, baginda amat berbangga dengannya sebagaimana sabdanya: "Sesungguhnya aku hanyalah seorang hamba Allah".

    Allah SWT telah menyifatkan nabi SAW sebagai hamba-Nya, pada setinggi-tinggi kedudukan ketika Allah menceritakan
    anugerah Isra' kepada baginda sebagaimana firman-Nya: Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya…(al-Isra: 1)

    Begitu juga firman Allah: Dan sesungguhnya tatkala hamba Allah (Nabi Muhammad SAW) berdiri mengerjakan ibadat kepada-Nya, mereka (golongan jin yang mendengar bacaan ayat al-Quran baginda di dalam solatnya) hampir-hampir menindih satu sama lain mengerumuninya. (al Jin: 19)

    Sifat manusiawi Nabi SAW inilah merupakan mukjizat baginya. Baginda SAW adalah manusia seperti manusia yang lain, tetapi baginda jelas jauh berbeza daripada manusia umum; tanpa ada seorang manusia pun yang dapat menandinginya atau menyamainya.

    Baginda SAW sendiri pernah bersabda di dalam hadis sahih mengenai keistimewaan dirinya: "Sesungguhnya aku tidak seperti keadaan kamu. Aku tidur di sisi Tuhanku dalam keadaan diberi makan dan minum".

    Dengan ini, jelaslah bahawa menyifatkan Rasulullah SAW sebagai manusia biasa wajib disertai dengan keistimewaannya yang membezakannya daripada manusia umum; dengan menyebut keistimewaannya yang tersendiri dan biografinya yang terpuji.

    Tuntutan ini bukan sahaja khusus terhadap Rasulullah SAW, bahkan terhadap nabi-nabi dan rasul-rasul yang lain supaya pandangan kita terhadap mereka bersesuaian dan layak dengan martabat dan kedudukan mereka.

    Jika kita memandang mereka hanya sebagai manusia biasa semata-mata, tanpa mengaitkannya dengan ciri-ciri khusus atau istimewa mereka sebagai nabi dan rasul, maka kita telah terjerumus ke dalam tradisi dan sikap orang jahiliah.

    Di dalam al-Quran, terdapat banyak ayat yang menyentuh hal tersebut. Antaranya, perkataan kaum Nabi Nuh a.s
    mengenai nabi mereka sebagaimana yang dihikayatkan oleh Allah dalam firman-Nya: Maka berkatalah ketua-ketua yang kafir daripada kaumnya, "Kami tidak memandangmu (wahai Nuh!) melainkan sebagai seorang manusia seperti kami". (Hud: 27)

    Ayat yang lain adalah perkataan kaum Nabi Musa a.s dan Harun a.s mengenai nabi mereka sebagaimana yang dihikayatkan oleh Allah SWT dalam al-Quran: Sehingga mereka berkata (dengan angkuhnya), "Patutkah kita beriman kepada dua manusia seperti kita, sedangkan kaum mereka (Bani Israel) menjadi orang-orang suruhan kita?" (al-Mukminun: 47)

    Begitu juga dengan apa yang dikatakan oleh kaum Thamud kepada nabi mereka, iaitu Nabi Saleh a.s, sebagaimana yang dikisahkan oleh Allah dalam al-Quran: Engkau hanyalah seorang manusia seperti kami; oleh itu, bawakanlah satu tanda (mukjizat) jika betul engkau daripada orang-orang yang benar. (al-Syu'ara': 154)

    Hal yang sama pernah juga dilakukan oleh kaum Nabi Syuaib a.s yang memandang nabi mereka sebagai manusia biasa, bahkan sebagai seorang pendusta, sebagaimana yang dikisahkan oleh Allah melalui firman-Nya: Mereka berkata, "Sesungguhnya engkau adalah dari kalangan pelaku sihir. Dan engkau hanyalah seorang manusia seperti kami; dan sesungguhnya kami fikir engkau ini daripada orang-orang yang dusta. (al- Syu'ara': 185)

    Begitu juga dengan apa yang dikatakan oleh orang musyrikin terhadap Nabi Muhammad SAW. Mereka hanya memandang nabi SAW sebagai manusia biasa, sebagaimana yang dikisahkan oleh Allah SWT dalam al-Quran: Dan mereka pula berkata, "Mengapa Rasul ini makan, minum dan berjalan di pasar-pasar (seperti manusia yang lain)?" (al-Furqan:7)

    Rasulullah SAW sendiri telah menyatakan dalam sabdanya tentang kemuliaan yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepadanya dengan semulia-mulia sifat dan pelbagai perkara yang mencarik adat (mukjizat) yang membezakannya daripada manusia yang lain.

    Di antaranya ialah sabda Rasulullah SAW mengenai peribadinya di dalam hadis sahih: "Kedua-dua mataku tidur, tetapi hatiku tidak tidur".

    Di dalam hadis sahih yang lain, nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya aku dapat melihat kamu dari belakangku sebagaimana aku melihatmu dari depanku".

    Baginda SAW juga bersabda: "Aku dianugerahkan kunci-kunci perbendaharaan bumi."

    Meskipun pada fizikalnya, baginda SAW telah wafat, tetapi baginda masih hidup dengan kehidupan Barzakhiyyah (di alam barzakh) secara sempurna. Baginda SAW dapat mendengar perkataan orang yang masih hidup di dunia dan mendengar salam mereka serta menjawabnya.

    Bahkan, disampaikan kepada baginda SAW setiap selawat yang diucapkan kepada Baginda SAW dan juga diperlihatkan kepadanya segala amal perbuatan umatnya.


    Keampunan

    Baginda SAW berasa senang dan gembira dengan amal soleh orang-orang yang baik, dan sentiasa meminta keampunan bagi umatnya yang melakukan dosa. Sesungguhnya, Allah SWT telah mengharamkan bumi ini daripada memamah jasad nabi SAW yang sentiasa terpelihara daripada sebarang kerosakan dan pemusnah yang terdapat di dalam bumi.

    Diriwayatkan daripada Aus ibn Aus r.a, beliau berkata: Sabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya, di antara hari kamu yang paling mulia ialah hari Jumaat. Pada hari itulah, Nabi Adam a.s diciptakan dan pada hari itu juga beliau diwafatkan.
    Pada hari Jumaat juga, terjadinya tiupan sangkakala, dan pada hari itu juga terjadinya so'iqah (petir dahsyat atau Kiamat). Maka perbanyakkanlah membaca selawat kepadaku pada hari itu kerana selawat kalian akan dipersembahkan kepadaku". Para sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah! Bagaimanakah selawat kami akan dipersembahkan kepadamu, padahal kamu telah binasa?" Baginda SAW bersabda, "Sesungguhnya Allah mengharamkan ke atas bumi ini daripada memamah jasad para Nabi". (riwayat Imam Ahmad, Abu Daud, Ibnu Majah, Ibnu Hibban di dalam Sohihnya dan Imam Hakim mensahihkannya.)

    Al Hafiz Imam Jalaluddin al Suyuti r.a menulis risalah khusus mengenai perkara ini yang bertajuk Anba' al Azkiya' bi Hayah al Anbiya' (Perkhabaran Orang Cerdik Pandai Mengenai Kehidupan Para Nabi).

    Diriwayatkan daripada Ibnu Mas'ud r.a, daripada Rasulullah SAW yang bersabda: "Kehidupanku adalah baik bagi kamu, kamu berbicara (bertanya masalah dan hukum kepada Baginda SAW) dan dibicarakan bagi kamu (dengan wahyu dan syariah daripada Allah melalui perantaraan Baginda SAW). Kewafatanku juga adalah baik bagi kamu kerana dibentangkan amalan kamu ke atasku. Apa yang aku lihat dari amalan itu baik, maka aku memuji Allah dan apa yang aku lihat dari amalan itu jahat, aku memohon keampunan kepada Allah untuk kamu". (Al Haithami mengatakan bahawa hadis ini diriwayatkan oleh al Bazzar, dan rijalnya adalah sahih)

    Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Tiada seorang pun yang mengucapkan salam ke atasku kecuali Allah mengembalikan kepadaku rohku, sehingga aku (dapat) menjawab salamnya". (riwayat Abu Daud dan Imam Ahmad)

    Menurut sebahagian ulama, maksud Allah mengembalikan rohku adalah: "Allah mengembalikan kepadaku kemampuan berbicara".

    Diriwayatkan pula daripada 'Ammar ibn Yasir r.a berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah SWT mewakilkan pada kuburku malaikat yang diberikan nama-nama makhluk kepadanya. Maka tidak ada seorang pun yang membaca selawat ke atasku hingga hari kiamat, melainkan dia menyampaikan kepadaku nama orang tersebut beserta nama ayahnya, "Ini Fulan ibn Fulan telah berselawat ke atasmu". (riwayat al Bazzar dan Abu al Sheikh Ibnu Hibban).

    Berdasarkan hadis tersebut, jelaslah bahawa meskipun baginda telah wafat, tetapi kemuliaan, kedudukan dan pangkatnya yang tinggi di sisi Tuhannya tetap kekal dan tidak diragui lagi di sisi orang yang beriman.

    Menganggap Nabi SAW sama sahaja dengan manusia yang lain pada semua keadaan dan sifat-sifat mereka adalah suatu tanggapan yang jelas salah dan kejahilan yang ditolak sama sekali oleh dalil-dalil yang sahih dari al-Quran dan sunnah.

    Jika Nabi SAW tidak mempunyai ciri-ciri istimewa dan khusus, apakah hikmah dan faedah terpilihnya mereka menjadi nabi dari manusia yang lain? Tidak ada salahnya kita memuliakan dan memuji baginda SAW. Malah sememangnya kita digalakkan memuji dan memuliakan nabi SAW lebih-lebih lagi pada bulan kelahiran baginda SAW ini selagi ia tidak sampai menyamatarafkan baginda SAW dengan sifat-sifat ketuhanan.

    Artikel ini dipetik dari Ruangan Bicara Agama, Utusan Malaysia keluaran 22 Rabiulawal 1431 / 8 Mac 2010

    Sabtu, Mac 06, 2010

    Kenapa Pertikai Maulid Nabi?

    Oleh SHEIKH MUHAMMAD FUAD KAMALUDIN AL-MALIKI 




    ALHAMDULILLAH sambutan umat Islam di serata pelosok dunia terhadap hari dan bulan kelahiran Nabi SAW tetap segar dan bersemangat.

    Di negara kita sendiri, pelbagai bentuk sambutan yang diadakan di pelbagai peringkat mendapat sokongan dengan kehadiran begitu ramai anggota masyarakat.

    Masih banyak majlis yang dijadualkan dalam masa terdekat sehingga mungkin melimpah keluar bulan Rabiulawal. Semua ini adalah suatu nikmat dan kurniaan istimewa daripada Allah SWT bagi umat dan negara kita.

    Kita berdoa agar umat Islam di Malaysia akan sentiasa terkedepan dalam mengagungkan, menyanjung, mempertahankan dan membuktikan kecintaan kita terhadap Sayyiduna Muhammad SAW yang semuanya merupakan inti dan hakikat sambutan Maulid Nabi.

    Kita berdoa agar sambutan Maulid Nabi di negara kita akan terus meriah dan lebih semarak walaupun terdapat suara-suara yang nampaknya tidak senang dan kelihatan seolah-olah alahan (alergik) dengan sambutan Maulid.

    Pada tahun ini, suara-suara ini turut 'menumpang' isu pembatalan perarakan sambutan Maulid di sebuah negeri.
    Sebenarnya, saban tahun, apabila datang sahaja bulan Maulid, ada sahaja suara-suara yang nampaknya bersumber daripada orang-orang yang sama yang mempertikaikan dan tidak senang dengan Maulid.

    Sikap tidak senang ini disuarakan pada pelbagai tahap dan dengan pelbagai ibarat. Ada yang menafikan adanya keistimewaan atau fadilat Maulid Nabi SAW dan membanding-bandingkannya dengan keutamaan Nuzul Quran. Ada yang mengungkit-ungkit bahawa sambutan Maulid tidak pernah dibuat oleh Nabi SAW dan para sahabatnya (maksud bidaah yang sesat).

    Ada pula yang memilih musim Maulid ini untuk menulis dan menekankan tentang soal keinsanan Nabi Muhammad SAW. Dan ada juga yang mempertikaikan cara dan kaedah sambutan itu diadakan.

    Mereka yang faham dan mengenali suara-suara ini tidaklah terlalu terperanjat walaupun tetap menepuk dahi dan mengurut dada kerana sedih dan kesal dengan kekeliruan yang cuba dijaja dan kedegilan sikap yang ditonjolkan.

    Mereka yang kurang mengerti dan memahami pula mungkin sedikit-sebanyak akan terkeliru dan timbul kesangsian terhadap sambutan Maulid. Apatah lagi jika isu ini turut bercampur dan bertindan dengan isu dan sentimen politik kepartian.

    Bukanlah terlalu besar isunya, jikalau yang dipertikaikan tentang Maulid ini adalah kaedah dan cara sambutannya.
    Prinsip-prinsip Islam dalam menentukan kaedah dan cara dalam sesuatu amalan sudah ada pada kita. Yang haram dan halal sudah jelas dalam Islam, manakala yang syubhah eloklah dijauhi.

    Kita turut diajar berlapang dada dalam persoalan yang statusnya masih khilaf. Kita juga dilarang mempertikaikan niat orang lain serta perlu bersangka baik sesama Islam. Berbekalkan sikap ini soal-soal rinci seperti berarak atau tidak, pembaziran, percampuran dan batas aurat, lafaz dan bacaan selawat, berkompang dalam masjid dan sebagainya dapat
    kita singkapi tanpa menimbulkan banyak masalah.

    Malangnya, sebahagian suara yang alahan Maulid ini turut mempertikaikan prinsip dan hukum Maulid serta kewajaran dan kebijaksanaan menganjurkannya dari sisi Islam. Ini adalah soal yang lebih besar dan mendasar.

    Kegelinciran kaki dalam hal ini boleh melibatkan soal-soal besar termasuklah menyakiti Nabi SAW, tidak beradab dengan Baginda SAW, menentang syiar Islam, menyesatkan para ulama dan umat Islam, memecahkan kesatuan umat dan seumpamanya.

    Tidak hairanlah seorang tokoh ulama Yaman, al-Allamah Abu Abdullah 'Alawi al-Yamani turut memperuntukkan bab khusus tentang persoalan Maulid dalam kitabnya yang bertajuk Intabih Diinuka fi Khotrin (Awas, Agamu Dalam Bahaya!). Memang, jika tidak berhati-hati, kata-kata dan perbuatan kita dalam bab Maulid ini boleh membahayakan dan mengancam agama kita sebenarnya.

    Kerangka Fikir Menolak Maulid

    Jika diteliti, ada beberapa kerangka faham agama tertentu yang dipegangi oleh mereka yang alahan Maulid ini yang akhirnya menyebabkan mereka bersikap begitu. Kerangka faham agama yang sama juga menyebabkan mereka turut
    berbeza sikap dengan majoriti umat dalam soal-soal tertentu seperti fiqh bermazhab, tasawuf, dan beberapa isu-isu
    khilafiyyah.

    Kita boleh menyimpulkan kerangka faham agama mereka ini kepada beberapa fahaman utama:

    Pertamanya: Fahaman mereka yang ganjil berkenaan prinsip dan konsep bidaah. Mereka tidak mahu menerima pandangan ulama-ulama muktabar yang membahagikan bidaah kepada yang sesat dan yang terpuji. Bagi mereka semua bidaah dalam hal agama adalah sesat. Mereka keras berpegang dengan tafsiran literal dan sempit kepada hadis yang berkaitan persoalan bidaah ini.

    Kedua: Mereka terlalu menekankan sikap Ittiba' (mematuhi) dalam sikap mereka terhadap Nabi SAW dan Sunnahnya.
    Seterusnya, secara langsung atau tidak mereka ini sering mempertentangkan Ittiba' dengan sikap-sikap lain kita terhadap Nabi seperti Hubb (mengasihi)Ta'dzim (mengagungkan), Tasyaffu' (memohon syafaat), Tabarruk (mengambil berkat),Tawassul (mengambil sebagai perantaraan) dan seumpamanya.

    Ketiga: Mereka berpegang serta bertaklid kuat dengan fahaman dan tafsiran beberapa tokoh ulama khalaf tertentu yang akhirnya telah diolah dan terolah menjadi suatu aliran terasing daripada arus perdana Umat. Berbekalkan fahaman-fahaman dalam aliran ini yang telah mereka angkat ke tahap doktrin dan memang disebarkan secara indoktrinasi (secara perbincangan sebelah pihak serta tidak saksama ataupun objektif), mereka ini rata-rata bersikap lebih pesimistik dan cenderung mempertikaikan tafsiran para ulama lain selain daripada beberapa ulama yang menjadi ikutan mereka.

    Jika direnungi fahaman-fahaman asas mereka ini maka tidak hairanlah mereka ini cenderung menolak Maulid.
    Sebaliknya, mereka yang mendokong Maulid tidak perlu mengambil kira pandangan ini kerana asas-asas fahamannya ternyata berbeza dengan arus perdana umat.

    Pertamanya, di sisi majoriti umat, sambutan Maulid adalah paling kurang pun dikira sebagai biaah Hassanah. Malah ada pandangan menyatakan bahawa ia termasuk sunnah yang dimulakan oleh Nabi SAW sendiri berdasarkan hadis yang menyebut bahawa kelahirannya pada hari Isnin menjadi salah satu asas Baginda SAW berpuasa sunat pada hari-hari tersebut;"Padanya (hari Isnin) aku dilahirkan dan padanya (hari Isnin wahyu pertama) diturunkan kepadaku." (Syarah Sohih Muslim, Imam Nawawi Jld 8 H: 235)

    Majoriti umat juga tidak melihat konsep Ittiba', Hubb, Ta'dzim, Tasyaffu', Tabarruk dan Tawassul sebagai konsep-konsep yang bercanggahan antara satu sama lain. Malah semuanya adalah sebahagian dan selari dengan dasar mematuhi dan mentaati Nabi SAW kerana konsep-konsep ini tidaklah dilarang atau bercanggah dengan ajaran yang dibawa oleh Nabi SAW.

    Merujuk kepada asas fahaman mereka yang ketiga, majoriti umat Islam telah mewarisi khazanah fahaman agama meliputi ketiga-tiga cabang utamanya Akidah/Tauhid, Syariah/Fiqh dan Akhlak/Tasawuf daripada generasi demi generasi ulama-ulama pilihan dalam suatu kerangka yang kemas dan sistematik.

    Para pemuka ulama umat dalam kerangka ini rata-ratanya tidak menolak dan mendokong Maulid sehingga boleh dianggap terdapat sebentuk Ijma' Sukuti (ijma' senyap) tentang sambutan Maulid Nabi selepas ia mula dianjurkan secara besar-besaran.

    Penulis ialah Ahli Majlis Agama Islam Negeri Sembilan dan Penasihat Yayasan Sofa Negeri Sembilan.

    Isnin, Mac 01, 2010

    Mengapa Sambut Maulid Nabi


    Susunan Panel PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

    Kita sekarang berada di tengah-tengah kehangatan dan keharuman hari-hari memperingati kelahiran junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW bagi tahun Hijrah 1431.

    Alhamdulillah, sebenarnya, sekelumit manapun ingatan dan perasaan kasih terhadap Nabi SAW yang dicampakkan oleh Allah SWT dalam hati kita, ia adalah kurniaan istimewa dan amat bermakna dari-Nya kepada kita. Jika di hari-hari dalam bulan Rabiulawal ini ingatan dan kerinduan kita terhadap Nabi SAW lebih terasa oleh sebab pelbagai acara dan majlis yang giat diatur dan dianjur maka itu sebenarnya suatu kelebihan dan nikmat yang sudah kena pada tempatnya.

    Namun, sudah menjadi lumrah alam, setiap yang baik dan bermanfaat itu tetap akan ada lawan dan tentangannya sama ada secara zahir dan terbuka atau secara tersembunyi seperti bisikan nafsu dan iblis dalam diri kita, yang saban masa cuba menghalang kita daripada mendekati amal soleh dan kebajikan.

    Begitulah juga hakikatnya dengan amalan dan kebiasaan yang tersebar luas di kalangan umat Islam serata alam meraikan Maulid Nabi kita Muhammad SAW. Kemeriahan dan keriangan yang rata-rata dirasai majoriti Umat sedikit-sebanyak terganggu dengan suara-suara yang mempertikaikan dan mempermasalahkan sambutan Maulid Nabi SAW ini.

    Menginsafi situasi ini, Relung Cahaya kali ini mengajak kita menjawab semula suatu soalan yang sepatutnya sudah terang dan nyata bagi setiap fitrah yang sejahtera. Kenapa dan mengapakah kita menyambut Maulid Nabi SAW?

    Sebenarnya sambutan Maulid Nabi SAW seperti yang difahami dan dihayati oleh para kekasih Allah dan Rasul-Nya yang sejati tidaklah terhad kepada hari dan bulan Rabiulawal sahaja.

    Sebab itulah para ulama pewaris Nabi SAW dipelbagai pelosok dunia Islam sehingga ke hari ini sentiasa menjadikan sambutan Maulid Nabi SAW sebagai majlis untuk meraikan pelbagai munasabah yang penting seperti kesyukuran, kunjungan tetamu, memohon hajat ataupun sebagai pengisian tetap amalan harian, mingguan dan bulanan.

    Ini adalah tanda makrifah mereka yang tinggi terhadap kandungan dan hakikat sambutan Maulid Nabi SAW yang sebenarnya menjadi penyubur dan pengobar ikatan kasih kita dengan Nabi SAW yang merupakan pintu utama kita untuk sampai kepada Allah SWT.

    Sesungguhnya terasa lemah dan kerdil jika hendak diungkapkan dengan perkataan hakikat sebenar tautan kasih dan hak Nabi SAW yang terpikul di pundak kita dan jika diberikan kekuatan untuk melakukannya sekalipun maka halaman dan ruang sebesar manakah yang cukup besar untuk menyenaraikan satu persatu segala makna dan faham yang berkaitan dengan persoalan yang begitu agung ini?

    Dalam kemampuan dan ruang yang terbatas marilah kita menghimbau secara ringkas asas-asas kenapa kita perlu menyambut Maulid Nabi SAW, di sepanjang masa dan ketika, termasuklah di hari dan bulan yang memang terpilih untuk untuk peristiwa agung tersebut.

    Kita menyambut Maulid kerana kasih kita terhadap Rasulullah SAW. Sambutan itu adalah gerak naluri yang melimpah daripada perasaan kasih terhadap Baginda SAW yang ada dalam diri. Ia adalah tanda dan bukti lahiriah dan amali kasih kita terhadap Baginda SAW. Perasaan kasih yang memang diajar sendiri oleh Baginda SAW sebagai suatu perintah Allah SWT ke atas hamba-hamba-Nya.

    Perasaan kasih yang merupakan sebahagian daripada keimanan kepada Allah SWT sendiri. Kalaupun ada perbezaan dalam beberapa hal-hal rinci berkenaan Maulid, kita semua sepakat bahawa kita wajib mencintai Baginda SAW lebih daripada semua makhluk termasuk diri kita sendiri, seperti yang termaktub dalam pelbagai sabda nabi SAW.

    Kita menyambut Maulid sebagai ibadah dan untuk beribadat. Mengingat, mengenang, menyebut nama nabi SAW dan berselawat ke atas Baginda SAW adalah ibadah. Berselawat dan memuji Nabi SAW perbuatan Allah SWT dan suatu amalan yang diperintahkan dengan jelas oleh-Nya seperti dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (melimpahkan rahmat dan keampunan) ke atas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kalian berselawat (mendoakan rahmat) baginya dan mengucapkan salam penghormatan kepadanya. (al-Ahzaab: 56)

    Bukankan ini merupakan pengisian-pengisian utama majlis-majlis Maulid Nabi SAW? Maulid turut diisi dan disekalikan dengan solat fardu berjemaah, solat-solat sunat, iktikaf di masjid-masjid, tilawah al-Quran, majlis ilmu, zikir, sedekah, menjamu makan sesama Islam, berukhuwah dan bermahabbah sesama Islam, bergotong-royong dan seumpamanya yang semuanya adalah ibadah.

    Bagi kebanyakan daripada kita, jika tidak menghadiri majlis-majlis Maulid ini, mungkin masa tersebut tak akan mampu kita isi dengan ibadah yang lebih baik daripadanya atau mungkin sahaja digunakan kepada perkara-perkara yang tidak berfaedah.

    Kita menyambut Maulid Nabi SAW kerana dengannya kita mengagungkan dan membesarkan syiar agama Allah SWT.
    Mengagungkan dan membesarkan syiar-syiar Islam adalah suatu suruhan dan ajaran yang jelas seperti yang termaktub pada firman Allah SWT yang bermaksud:Dan sesiapa yang memuliakan syiar (tanda-tanda) Tuhan, sesungguhnya ia adalah suatu manifestasi dari hati yang bertakwa kepada Allah. (al-Hajj: 32)

    Dalam begitu banyak syiar Islam, bukan nabi SAW itu sendiri merupakan syiar terbesar dan teragung. Bukankah nabi SAW, dengan ketentuan Allah SWT, yang telah mengajar dan memperkenalkan kepada kita segala syiar yang lain dalam Islam?

    Kita menyambut Maulid Nabi SAW untuk memantapkan lagi pijakan hati dan akal kita dalam kehidupan beragama kerana bukankah dalam majlis-majlis Maulid Nabi SAW kita meriwayatkan kembali sirah dan keistimewaan Baginda SAW.

    Bukankah cara ini telah tercatat dalam al-Quran sebagai kaedah berkesan untuk memantapkan pegangan dan perjalanan kita sebagai mana firman Allah yang bermaksud: Dan tiap-tiap berita dari berita Rasul-Rasul itu, Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) untuk menguatkan hatimu dengannya. (Hud:120)

    Di dalam majlis-majlis Maulid, terutama yang dibimbing oleh para ulama, apresiasi terhadap sirah Nabi SAW dilaksanakan dengan cara yang tersendiri yang mampu menggerakkan hati dan akal sekali gus serta menimbulkan sentuhan yang seni. Ia pasti tidak sama dengan kajian yang sifatnya formal dan akademik semata-mata.


    Kaedah berdakwah


    Kita menyambut Maulid Nabi SAW sebagai suatu kaedah berdakwah dan menyampaikan risalah Islam di tengah-tengah masyarakat.

    Majlis-majlis Maulid terbukti berkesan sebagai medan untuk menarik minat masyarakat untuk bersama-sama berhimpun sejenak memperbaharui iman mereka. Dalam majlis-majlis ini masyarakat diajak mendekati dan beradab dengan Nabi SAW.

    Mereka dijamu dengan pelbagai pelbagai santapan rohani dan aqli yang sangat mereka perlukan dalam perjalanan hidup mereka. Mereka diajak membetulkan kembali senarai keutamaan dalam hidup mereka dengan tentunya kembali meletakkan Allah dan rasul-Nya di atas segala yang lain.

    Hinggakan segala jamuan dan santapan jasmani yang turut menjadi ciri majlis-majlis Maulid tidaklah sunyi daripada menjadi hidangan yang penuh berkat, insya-Allah.

    Adakah hidangan dalam majlis seumpama ini sama sahaja keberkatannya berbandingan dengan hidangan-hidangan lain? Sudah tentu tidak. Bahkan ia merupakan keberkatan bagi yang dijamu dan kebajikan besar bagi yang menjamu.

    Jika ditilik dari sudut segala persiapan yang dibuat untuk menganjurkan majlis-majlis Maulid, kita akan mendapati bahawa ia membuka begitu banyak pintu kebajikan yang boleh dikongsi oleh semua. Yang alim dan yang jahil, yang kaya dan yang miskin, yang tua dan yang muda, lelaki dan wanita, semuanya ada peranannya dan sumbangannya dalam majlis-majlis sambutan Maulid.

    Kita menyambut Maulid nabi kerana sudah menjadi fitrah manusia bahawa memperingati tarikh kelahiran seseorang itu merupakan cara dan tanda kita mengasihinya dan seluruh kehidupannya.

    Menjadi kebiasaan manusia menganggap istimewa dan meraikan sedikit atau banyak hari kelahirannya sendiri atau mereka yang dikasihinya. Selain daripada isteri, suami, anak-anak, keluarga dan teman terdekat, manusia juga sering meraikan hari-hari kelahiran, kematian atau hari-hari peristiwa penting dalam kehidupan orang dan tokoh yang mereka sanjung.

    Maka tepatlah jika hari kelahiran tokoh segala tokoh, Nabi kita Muhammad SAW, kita raikan dengan sewajarnya. Apatah lagi jika mengenangkan bahawa kelahiran nabi kita bukanlah sama tarafnya dengan kelahiran insan biasa.

    Sebagai nabi, walaupun belum diutuskan secara rasmi, kelahiran dan kehidupan baginda SAW sebelumnya sudahpun dipenuhi pelbagai keistimewaan yang diberikan istilah khusus iaituIrhas.

    Nabi kita sendiri menganggap hari kelahirannya sebagai hari yang istimewa sehingga menjadi asas untuk baginda SAW berpuasa sunat pada hari Isnin. Sabda Baginda SAW yang bermaksud, Padanya (hari Isnin) aku dilahirkan dan padanya (hari Isnin wahyu pertama) diturunkan kepadaku. ( Syarah Sahih Muslim, Imam Nawawi Jld 8 H: 235)

    Kita telah menghimbau beberapa sebab utama yang mulia di sebalik sambutan terhadap Maulid. Jika begitu jelas, banyak dan pelbagai asas-asasnya untuk kita menyambut Maulid kenapa masih ada yang mempertikaikan?

    Daripada pengamatan kita, suara-suara yang bernada sumbang dan tidak selari dengan suara majoriti umat dalam menyambut Maulid ini dapat dikenal-pasti sebab dan puncanya.

    Pepatah hikmah menyatakan, Iza 'Urifa al-Sabab, Batolal 'Ajab! (Apabila sudah diketahui sebabnya, tidak ada yang perlu dihairankan lagi!)

    Jika diamati, suara-suara utama yang suka dan berani mempertikaikan, memperlekeh dan mempersoalkan sambutan
    Maulid dari neraca agama datangnya daripada aliran dan madrasah pemikiran tertentu dalam Islam.

    Yang perlu diingat, pada hakikatnya aliran ini bukanlah aliran arus perdana dan bukannya aliran majoriti ummah dari dahulu hinggalah sekarang. Hujah mereka dalam isu-isu sebegini telah dijawab para ulama muktabar dulu dan kini.

    Bahkan dalam isu sambutan Maulid ini, pandangan para pemuka, pendokong dan mereka yang cenderung kepada aliran ini sendiri adalah tidak sepakat. Sebahagian daripada mereka tidak menolak dan bahkan turut mengakui kelebihan amalan ini.

    Maka jika sebab dan asas untuk menyambut Maulid Nabi SAW sudah begitu jelas. Tiada pula di sana sebab dan asas untuk mempertikaikan atau menolaknya.

    Artikel ini dipetik dari Ruangan Bicara Agama, Utusan Malaysia keluaran 15 Rabiulawal 1431 / 01 Mac 2010