Isnin, November 23, 2009

Kebesaran Bulan Zulhijjah


Oleh: PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN



keadaan jemaah haji di Padang Arafah ketika wukuf setiap tahun.


DALAM kekecohan beberapa isu dan bencana alam yang melanda negara kita mutakhir ini, sedar atau tidak, hari ini kita telah pun melangkah masuk ke dalam bulan Zulhijjah.

Untuk sama-sama menghayati kebesaran dan anugerah yang disediakan dalam bulan Zulhijjah, maka ruangan Relung Kasih menangguhkan persoalan Tauhid Tiga Serangkai yang sepatutnya disambung pada minggu ini.
Dengan 'inayah dan ri'ayah Allah pastinya, maka pada hari ini kita dikurniakan lagi untuk kesekian kalinya nikmat bulan Zulhijjah yang besar fadilat dan ertinya.

Bulan Zulhijjah bukanlah bulan hanya bagi tetamu Allah tetapi bulan istimewa bagi seluruh umat Islam yang peka dengan waktu-waktu yang dimuliakan oleh Allah dan bijak mengambil peluang bagi meraih curahan rahmat, maghfirah (keampunan) dan keredaan-Nya.

Sesungguhnya pada kejadian Allah SWT terdapat benda-benda, masa-masa, tempat-tempat dan insan-insan yang dibesarkan dan dimuliakan oleh-Nya.

Di antaranya ialah kaabah, Hajar Aswad, zamzam, bulan Ramadan, hari Jumaat, 10 terawal bulan Zulhijjah, Mekah, Madinah, Baitul Maqdis, para Nabi, Rasul dan sebagainya.

Kesemua perkara itu merupakan syiar Allah yang diperintahkan supaya dibesarkan sebagaimana firman-Nya: Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama Allah maka (dialah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat takwa hati (orang Mukmin). (al-Hajj: 32)
Dalam bulan Zulhijjah, Allah menganugerahkan masa-masa yang dibesarkan dan dimuliakan oleh Allah. Iaitu sepuluh hari terawal bulan Zulhijjah, Hari Arafah, Aidil Adha dan Hari Tasyriq.

Sesungguhnya, Allah SWT telah bersumpah dengan Fajar Aidil Adha dan 10 malam bulan Zulhijjah dalam surah al-Fajr ayat 1 dan 2: Demi waktu fajar Aidil Adha; dan malam 10 Zulhijjah (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah).
Kita maklumi, Allah tidak bersumpah dengan suatu perkara melainkan kerana kemuliaan dan kepentingan perkara tersebut. Allah telah menganugerahkan pada 10 malam terawal bulan Zulhijjah dengan kelebihan-kelebihan yang lebih besar dan hebat daripada malam-malam yang lain.

Banyak hadis yang menerangkan tentang kelebihan hari-hari ini dan kelebihan amalan yang dilakukan padanya.
Di antaranya, sebagaimana yang disebut di dalam hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Tidak ada dari hari-hari yang dilakukan amal soleh padanya yang lebih disukai oleh Allah daripada hari-hari yang sepuluh ini. Sahabat r.a bertanya, Wahai Rasulullah! Dan tidakkah juga berjihad fi sabilillah (lebih afdal daripada beramal pada hari-hari ini)? Rasulullah SAW bersabda, "Tidak juga berjihad fi sabilillah, kecuali orang yang berjihad dengan diri dan hartanya dan kemudian dia syahid". (riwayat al Bukhari)

Ulama berdalilkan hadis ini sebagai galakan atau sunat berpuasa pada sembilan hari daripada 10 hari terawal bulan Zulhijjah kerana puasa juga termasuk dalam kategori amalan soleh.

Perkara ini disebut oleh al Hafiz Ibnu Hajar r.a, Rasulullah SAW juga bersabda: "Berpuasa sehari dalam bulan ini (hari yang ke-9) menyamai puasa 1000 hari dan sehari puasa pada hari Arafah menyamai puasa 10,000 hari".

Daripada Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda: "Tidak ada dari hari-hari yang lebih dikasihi Allah untuk dipenuhi dengan ibadah kepada-Nya daripada 10 hari terawal dari bulan Zulhijjah; puasa setiap hari daripadanya menyamai puasa setahun, solat pada setiap malam daripadanya menyamai solat pada malam al-Qadar".

Bahkan, disunatkan bagi orang yang mahu melakukan korban menahan dirinya terlebih dahulu daripada memotong kukunya dan mencukur bulu sama ada pada kepala, muka dan badannya. Iaitu, bermula dari masuknya bulan Zulhijjah hinggalah selesai melakukan ibadah korban.

Hal ini berdasarkan hadis Ummu Salamah, bahawa Nabi SAW bersabda: "Apabila masuk hari yang 10 Zulhijjah, dan seseorang dari kamu mahu berkorban, maka jangan disentuh rambut dan kulitnya sedikitpun".

Di dalam satu riwayat yang lain, Rasulullah SAW bersabda: "Apabila kamu melihat anak bulan Zulhijjah, dan seseorang dari kamu mahu berkorban, maka hendaklah ditahan dari memotong rambut dan kukunya".

Ini sebagai menunjukkan terbukanya pintu penerimaan Allah terhadap amal yang dilakukan pada hari-hari yang berkat ini, kerana Allah Yang Maha Mulia apabila Dia kasih atau suka kepada sesuatu, maka Dia akan menerimanya.

Kesimpulannya, maksud yang paling utama dari hadis ini, kita digalakkan melakukan amal yang disukai dan diredai Allah pada hari-hari tersebut, sekalipun amalan yang mudah dan tidak sulit untuk dilakukan.

Sekiranya tidak mampu untuk berjihad, berpuasa atau bersedekah, janganlah pula berasa lemah untuk melakukan ibadah yang lain seperti solat sunat, tasbih dan tahlil. Kadang kala amal yang sedikit dan mudah itu besar nilainya di sisi Allah dan lebih dikasihi-Nya.


Hari Arafah

Hari Arafah ialah hari para jemaah haji mengerjakan wukuf di Arafah iaitu pada 9 Zulhijjah. Ia terkenal sebagai kemuncak bagi segala amalan atau rukun haji.

Allah yang bersifat Maha Pemurah memuliakan dan membesarkan hari tersebut dengan mencurahkan rahmat dan keampunan kepada hamba-hamba-Nya yang berdoa dan meminta keampunan kepada-Nya.

Rasulullah SAW bersabda: "Tidak ada hari yang lebih banyak pembebasan dari neraka daripada hari Arafah".
Justeru pada hari tersebut, kita amat digalakkan supaya memperbanyakkan doa dan istighfar. Daripada Abdullah ibn Amru r.a berkata: "Kebanyakan doa Nabi SAW pada hari Arafah ialah "Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah; Yang Maha Esa tanpa ada sekutu bagi-Nya. Bagi-Nya segala kekuasaan dan pujian. Di dalam kekuasaan-Nya segala kebaikan dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu".

Di antara doa bagi memohon keampunan dan pembebasan dari api neraka ialah:

"Ya Allah! Bebaskanlah tengkukku daripada api neraka, luaskanlah untukku dengan rezeki yang halal dan palingkanlah (hindarilah) daripadaku jin dan manusia yang fasiq".

Kita juga disunatkan berpuasa pada hari Arafah kerana Rasulullah SAW bersabda: "Puasa pada hari Asyura akan mengkafarahkan dosa setahun (sebelumnya). Manakala puasa hari Arafah, akan mengkafarahkan dosa dua tahun;
setahun sebelumnya dan setahun selepasnya yang akan datang".

Sebagaimana yang disebut di dalam hadis, bahawa Rasulullah SAW berdoa pada petang hari Arafah agar diampunkan dosa-dosa umatnya termasuk orang yang zalim. Apabila Allah memakbulkan doanya, Baginda SAW tersenyum kerana melihat iblis mengambil tanah lalu menaburnya di atas kepalanya sambil mengeluh panjang apabila mengetahui doa
Baginda SAW dimakbulkan dan dosa-dosa umatnya diampunkan.


Aidil Adha

Solat hari raya merupakan khususiat/keistimewaan umat ini seperti solat istisqa' (minta hujan) dan kusuf (gerhana matahari).

Di antara dua solat hari raya, solat Aidil Adha lebih afdal daripada solat Aidilfitri kerana terdapat nas dari al-Quran yang menyebut tentangnya, sebagaimana firman Allah SWT: Oleh itu, kerjakanlah solat (Aidil Adha) kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). (al Kauthar: 2)

Dalil ini juga menunjukkan bahawa ibadah yang dituntut pada Aidil Adha bukan setakat ibadah jasad iaitu solat tetapi juga ibadah yang melibatkan pengorbanan harta iaitu melakukan korban.

Ibadah korban merupakan sunat muakkad bagi umat Islam dan makruh meninggalkannya bagi orang yang berkemampuan. Rasulullah SAW sendiri memberi amaran kepada orang yang enggan berkorban.
Ini sebagaimana sabdanya: "Sesiapa yang mempunyai kemampuan untuk berkorban tetapi tidak berkorban, maka jangan hadir di tempat solat kami".

Sesiapa yang melakukan korban pada hari tersebut, akan diampunkan dosanya dan ahli rumahnya pada titik pertama darah sembelihan korbannya.

Sesiapa yang memberi makan dan bersedekah dengannya, akan dibangkitkan pada hari Kiamat sebagai orang yang mendapat keamanan dan timbangannya lebih berat daripada Jabal Uhud.

Aidil Adha adalah Aidil Akbar (Raya Terbesar) bagi umat ini kerana banyaknya pembebasan dari neraka atau pengampunan dosa yang dianugerahkan oleh Allah pada hari sebelumnya iaitu hari Arafah.

Tidak dilihat pembebasan dari neraka yang lebih banyak daripada pembebasan pada hari Arafah seperti yang disebut dalam hadis. Sesiapa yang telah dibebaskan, maka keesokannya adalah hari raya baginya.

Sekiranya tidak, maka dia berada jauh dari rahmat Allah dan dijanjikan dengan seburuk-buruk balasan.

Justeru, sementara kita masih diberi ruang dan kemampuan, marilah bersama-sama kita merebut peluang keemasan yang dianugerahkan oleh Allah kepada kita semata-mata kerana kasih dan sayang-Nya terhadap kita.

Artikel ini dipetik dari ruangan Bicara Agama, Utusan Malaysia keluaran 5 Zulhijjah 1430 / 23 November 2009

Mengapa Tauhid Tiga Serangkai?


Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN



umat Islam di negara ini kuat berpegang dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah. – Gambar hiasan


SEJAK kemasukan Islam ke Tanah Melayu, umat Islam di negara ini kuat berpegang dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) yang disusun atau diformulasikan oleh dua tokoh terbesar dalam bidang ilmu tauhid iaitu Imam Abu al Hasan al Asy’ari r.a dan Imam Abu Mansur al Maturidi r.a. Perkara ini telah ditegaskan oleh ulama ulung Tanah Melayu, al Allamah Sheikh Abdullah Fahim.

Beliau juga menyatakan bahawa ia telah menjadi ijmak ulama di Tanah Melayu. Antara kenyataannya berbunyi: “Tuan-tuan sedia maklum beratus-ratus tahun bahawa orang bangsa Melayu seMelaya ini dari peringkat ke bawah hingga peringkat ke atas; awam-awam, kadi-kadi, ulama-ulama, menteri-menteri, hingga Raja-raja sekalian mereka itu bermazhab dengan mazhab al Imam al Syafi’e r.a ijma’an (ijmak), tiada seorang pun yang bermazhab lain daripada mazhab Syafi’e. Usuluddin atas perjalanan Abi al Hasan al Asy’ari r.a. Diambilkan dari Syuruh dan Hawasyi Ummu al Barahin dan Jauharah dan sebagainya daripada kitab-kitab Melayu”.

Di dalam kitab ini, pendekatan Sifat 20 digunakan bagi memahami permasalahan ketuhanan. Pendekatan ini juga diguna pakai di kebanyakan negara-negara Islam yang berpegang dengan akidah ASWJ seperti di Mesir, Syria dan Morocco.

Ia juga menjadi silibus di kebanyakan universiti di dunia Islam termasuklah universiti Islam terulung di dunia, Universiti al Azhar al Syarif.

Sejak doktrin ini diguna pakai di negara kita, kita berupaya mengecapi nikmat keamanan beragama dan ketamadunan negara. Tidak seperti negara-negara Islam lain yang memakai acuan yang bercanggah dengannya seperti aliran fahaman Syiah, Muktazilah, Musyabbihah dan sebagainya.

Tidak timbul di dalam doktrin Sifat 20 ini soal-soal kepincangan dan percanggahannya dengan akidah ASWJ yang tulen.
Namun, setelah ratusan tahun pendekatan ini digunakan tanpa sebarang masalah dalam menjaga kemurnian tauhid dan akidah umat Islam, timbul desas-desus yang mengatakan bahawa ia diambil dari Falsafah Greek.

Malah, tidak lagi sesuai dijadikan sebagai pendekatan dalam pembelajaran ilmu Tauhid. Sementelahan itu juga, pendekatan tauhid tiga serangkai yang dirumuskan oleh Ibnu Taimiyyah menjadi pengganti Doktrin Sifat 20.

Usaha-usaha untuk menukar pendekatan tauhid tiga serangkai ini dalam kurikulum pendidikan negara juga nampaknya begitu pantas dilakukan.

Persoalannya, kenapakah tiba-tiba pendekatan ini pula yang perlu dipilih sebagai pengajaran ilmu tauhid di negara kita?

Adakah pendekatan Sifat 20 mengandungi unsur-unsur yang mengelirukan atau terseleweng dari iktikad ASWJ?

Adakah pembahagian tauhid tiga serangkai ini telah dinaskan oleh syarak dan terdapat dalil-dalil yang menunjukkan ke atasnya?

Apakah kita pasrah sahaja dengan pendapat yang mengatakan doktrin Sifat 20 yang kita pegang dan pakai selama ini bukan tauhid yang benar tetapi diambil dari fahaman falsafah Greek.

Jika begitu, semua orang yang berpegang dengan Tauhid 20 mengikut ajaran yang salah dan sesat. Apakah boleh kita terima penyesatan ini yang melibatkan nenek moyang kita, para ulama kita dan majoriti umat Islam di seluruh dunia?

Dibawa Rasullulah SAW

Kita telah sedia maklum, bahawa akidah ASWJ yang diketahui secara umum ialah akidah yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan diikuti oleh sahabat-sahabat baginda.

Tidak kedapatan langsung, perkataan yang terkeluar daripada Rasulullah SAW dan sahabat baginda yang menyebut tentang tauhid yang digembar-gemburkan oleh pengikut Ibnu Taimiyyah dan Wahhabi ini.

Begitu juga dalam metodologi ASWJ yang telah disusun oleh pelopornya, Imam Abu al Hasan al Asy’ari r.a dan Imam Abu Mansur al Maturidi r.a, tidak pernah menggariskan tauhid ini dalam ruang lingkup akidah ASWJ.

Apa yang kita dapati tauhid ini telah ditimbulkan dan direka oleh Ibnu Taimiyyah dan dikembang biakkan pula oleh anak-anak muridnya sehingga ke generasi Muhammad ibn Abdul Wahhab. Dalam erti kata lain, tauhid inilah yang menjadi pegangan golongan Wahhabi secara khusus.

Sejak dahulu lagi hinggalah ke hari ini, telah terdapat banyak penentangan dan penolakan yang diutarakan oleh ulama terhadap Tauhid 3 Serangkai ini.

Oleh yang demikian, kita melihat di dalam kitab-kitab penulisan ulama ASWJ, terdapat banyak butiran lanjut mengenai penolakan mereka terhadap tauhid yang direka cipta ini.

Jika kita menyoroti dari perspektif ulama tersebut, kita mendapati ulama al Azhar telah bersetuju mengeluarkan kenyataan tentang kesalahan tauhid ini yang sebenarnya telah direka dan dicipta oleh orang-orang yang terkeliru dengan maksud sebenar ayat al-Quran dan hadis.

Justeru, kenapa pula kita perlu memakai pendekatan Tauhid 3 Serangkai yang mengandungi kepincangan dan telah ditolak oleh ulama kecuali Ibnu Taimiyyah dan pengikut-pengikutnya?

Untuk lebih jelas lagi, di bawah ini disenaraikan beberapa cendekiawan dan sarjana Islam dan kitab penulisan mereka yang mengandungi penolakan terhadap ajaran tauhid rekaan ini:

*Al ‘Allamah al Mufassir al Muhaddith Sheikh Yusof al Dijwi RA, Ahli Lembaga Majlis Ulama Besar al Azhar.
Beliau mengeluarkan fatwa penolakan al Azhar terhadap tauhid rububiah dan uluhiah. Kenyataannya ini dipaparkan dalam Majalah Nur al Islam edisi tahun 1933 yang merupakan lidah rasmi al Azhar pada masa itu.

Fatwa yang dikeluarkannya ini, turut dipersetujui oleh ulama al Azhar yang lain tanpa adanya sebarang bangkangan. Sehingga hari ini, fatwa tersebut masih lagi segar. Ini dapat dilihat dalam beberapa majalah yang diiktiraf oleh al Azhar. Antaranya, di dalam majalah al Muslim. Al Muhaddith al ‘Allamah Sheikh Muhammad Zaki Ibrahim r.a telah mengeluarkan kembali fatwa ini dalam majalah tersebut.

*Al Muhaddith al ‘Allamah Sheikh Salamah al Qudha’i al ‘Azzami al Syafi’i r.a dalam kitabnya al Barahin al Sati’ah fi Raddi b’ad al bida’ al Syai’ah.
Kitab ini telah mendapat pengiktirafan dan pujian daripada muhaddith pada zaman tersebut iaitu al ‘Allamah Sheikh Muhammad Zahid al Kauthari r.a.

*Al Allamah al Muhaddith Prof. Dr. Sayyid Muhammad ibn Alawi al Maliki al Hasani, ulama besar di Mekah al Mukarramah dan bekas tenaga pengajar Masjid al Haram yang diakui ilmunya oleh ulama pada zaman ini.

Beliau telah menulis penolakannya terhadap tauhid ini dalam kitabnya Huwallah. Bahkan beliau menyarankan kerajaan Arab Saudi supaya mengkaji semula pengajaran tauhid ini di institusi pengajian rendah, menengah dan Tinggi di dalam Muktamar Hiwar al Watoni di Mekah yang diadakan pada 5/11/1424 hingga 9/11/1424. Ia disebut di dalam kertas kerja beliau yang bertajuk al Ghuluw.

*Mufti Besar Mesir, Prof. Dr. Ali Jumu’ah.
Beliau turut menyentuh masalah ini di dalam laman web beliau ketika menjawab soalan yang dikemukakan kepadanya. Iaitu, tentang seorang pemuda yang mengkafirkan seluruh penduduk kampung kerana bertawassul dengan mendakwa orang yang bertawassul tergolong dalam golongan musyrikin yang beriman dengan tauhid rububiah tetapi tidak beriman dengan tauhid uluhiah.

Beliau menolak sekeras-kerasnya pembahagian tauhid ini dengan mengatakan bahawa pembahagian tauhid ini adalah perkara rekaan yang tidak pernah datang dari Salafussoleh tetapi orang pertama yang menciptanya ialah Sheikh Ibnu Taimiyyah.

Beliau juga menyatakan bahawa pendapat yang menyatakan bahawa tauhid rububiah sahaja tidak mencukupi bagi keimanan seseorang adalah pendapat yang diadakan-diadakan dan bercanggah dengan ijmak kaum Muslimin sebelum Ibnu Taimiyyah.

*Prof. Dr. Muhammad Sa’id al Ramadhan Bouti, Ulama Kontemporari Dunia Islam dari Syria.
Beliau menyatakan dengan tegas bahawa pembahagian tauhid ini adalah bidaah dalam Seminar Pengurusan Fatwa Negara-negara Asean anjuran Universiti Sains Islam Malaysia pada pada 16 hingga 17 April 2005 di Hotel Nikko Kuala Lumpur.

*Prof. Dr. Isa ibn Abdullah Mani’ al Himyari - Mantan Pengarah Jabatan Waqaf dan Hal Ehwal Islam Dubai.
Beliau telah menulis mengenai kepincangan pembahagian tauhid ini di dalam kitabnya yang bertajuk ‘al Fath al Mubin fi Bara’at al Muwahhidin min ‘Aqaid al Musyabbihin.

*Al ‘Allamah Abu Abdullah ‘Alawi al Yamani dalam kitabnya Intabih Dinuka fi Khatorin.
Kitab ini telah mendapat pujian dari lima ulama besar Yaman.

*Al ‘Allamah Abu al Hasanain Abdullah ibn Abdur Rahman al Makki al Syafi’i, ulama besar Mekah.
Beliau juga telah membahaskan masalah ini di dalam kitabnya al Qaul al Wajih fi Tanzih Allah Taala ‘an al Tasybih.

*Dr. Sheikh Yusof al Bakhur al Hasani salah seorang ahli fatwa di Kanada juga telah menulis risalah mengenainya.

*Sheikh Sirajuddin Abbas seorang ulama unggul Indonesia, juga menghuraikan masalah ini yang ditulis dalam versi Melayu dalam kitabnya Akidah Ahli Sunnah wal Jamaah.
Beliau dengan tegas menyatakan bahawa tauhid ini merupakan iktikad rekaan puak Wahhabi dan bukannya iktikad ASWJ.

Dalam satu petikan, beliau menyatakan: Kaum Wahhabi mencipta pengajian baru ini bertujuan untuk menggolongkan orang-orang yang datang menziarahi Makam Nabi SAW di Madinah, orang-orang yang berdoa dengan bertawassul dan orang yang meminta syafaat Nabi SAW serupa dengan orang kafir yang dikatakan bertauhid rububiah itu.

*Al ‘Allamah Muhammad al ‘Arabi ibn al Tabbani al Hasani, Tenaga Pengajar di Masjid al Haram.
Beliau juga turut menulis kepincangan tauhid ini di dalam kitabnya Bara’ah al Asy’ariyyin min ‘Aqaid al Mukhalifin.

*Dr. Umar Abdullah Kamil, sarjana dan pakar ekonomi Arab Saudi serta ahli eksekutif Universiti al Azhar.
Beliau pernah membentangkan kebatilan konsep Tauhid 3 Serangkai ini di dalam Seminar Perpaduan Ummah dan Pemurniaan Akidah anjuran Kerajaan Negeri Pahang pada 25-26 Ogos 2006 dan di Multaqa 3 Ulama Mekah al Mukarramah yang dianjurkan oleh Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Johor pada 20 Februari 2008.

Kertas kerja tersebut telah diterbitkan oleh Sekretariat Penjelasan Hukum Berkenaan Isu-isu Aqidah dan Syariah Majlis Agama Islam Johor.

Beliau turut membahaskan kepincangan pembahagian tauhid ini di dalam kitabnya yang bertajuk Kalimah Hadi’ah fi Bayan Khata’ al Taqsim al Thulasi li al Tauhid (Perkataan yang tenang dalam menjelaskan kesalahan pembahagian yang tiga bagi ilmu Tauhid).

*Al Allamah Abdur Rahman Hasan Habannakah al Maidani.
Beliau juga telah menulis masalah ini secara khusus di dalam kitabnya yang bertajuk Tauhid al Rububiah wa Tauhid al Ilahiyyah wa Mazahib al nas bi al Nisbah Ilaihima.

Ulama-ulama ini telah lama melakukan pengkajian dan penelitian rapi terhadap tauhid tiga serangkai ini.
Kepada pembaca yang prihatin dan bijaksana sebaik-baiknya mendapatkan keterangan lanjut dari kitab-kitab ini terlebih dahulu sebelum berani membuat kesimpulan dan melontarkan pendapat di khalayak ramai.


Asas sahih

Perkara agama apatah lagi berkaitan dengan akidah tidak boleh dibuat kesimpulan sebarangan tetapi perlu merujuk kepada asas yang sahih.

Untuk mempertahankan agama tidak cukup bermodalkan semangat juang dan sijil menjela-jela semata-mata sehingga kita terpekik dan terlolong tidak kena pada tempatnya tetapi memerlukan kemantapan ilmu, kecemburuan terhadap penodaan yang dilakukan ke atas agama dan umatnya, keikhlasan kepada Allah dan hati yang disinari cahaya oleh Allah.

Ibnu Taimiyyah dan pengikut-pengikutnya didapati telah menjadikan konsep pembahagian tauhid ini sebagai batu loncatan untuk mengkafirkan umat Islam.

Mereka telah mengkafirkan orang-orang yang bertawassul dengan Rasulullah SAW dan wali-wali, orang-orang yang menziarahi kubur dan sebagainya dengan dakwaan orang yang melakukan pekerjaan tersebut bertauhid dengan tauhid rububiah sahaja tetapi tidak tidak bertauhid dengan tauhid uluhiah.

Mereka menyamakan tauhid yang dimiliki oleh orang-orang yang melakukan pekerjaan ini sama dengan orang musyrikin yang menjadikan berhala sebagai sampingan mereka dengan Allah.

Apakah pernah ketika Rasulullah SAW berdakwah, Baginda SAW mengatakan kepada orang yang memeluk Islam kamu telah mempunyai tauhid rububiah tetapi masih belum memiliki tauhid uluhiah?

Apakah boleh kita katakan orang bukan Islam juga mempunyai tauhid seperti orang Islam atau ahli tauhid?

Objektif tauhid Asma’ dan Sifat digembar-gemburkan untuk menyandarkan kepada Allah SAW makna perkataan tangan, mata, bersemayam, ketawa, turun dan sifat penyerupaan yang lain kepada makna yang hakiki yang dikenali di sisi makhluk.

Maha Suci Allah daripada apa yang mereka sifatkan kerana yang demikian itu menyerupakan Allah dengan makhluk-Nya.

Sehubungan dengan ini, umat Islam diseru agar sama-sama berfikir dan meneliti dengan hati yang lapang dan dada yang terbuka rasional perkara ini.

Kita seharusnya berbangga dengan ramainya bilangan umat Islam dan berusaha menambah bilangan umat Islam tetapi sebaliknya kita sendiri yang mengecilkan lagi kuantiti umat Islam yang semakin hilang kualitinya hanya kerana permasalahan uluhiah dan rububiah yang sengaja ditimbulkan.

Tidak ada suatu perkara yang lebih buruk daripada mengkafirkan orang Islam yang menyebut kalimah tauhid Laa ilaaha illallah dan mentasdiqkannya di dalam hati.

Banyak kemusnahan yang berlaku di negara-negara Islam disebabkan oleh perkara ini. Kita sendiri telah menyaksikan dengan mata kepala kita bagaimana persengketaan umat Islam telah mencetuskan kelemahan dan kemusnahan terhadap negara-negara Islam seperti di Afghanistan, Yaman, Lebanon, Syria, Mesir dan sebagainya.

Semoga persengketaan dan kehancuran ini tidak terjadi di negara kita Malaysia yang tercinta ini. Justeru, sewajarnya pembahagian ini dibentangkan di atas meja perbincangan secara ilmiah dan profesional serta berlandaskan kepada usul kitab dan sunnah.

Ini hanyalah lontaran awal dari hasil penelitian kami yang dirujuk kepada sumber-sumber yang sahih dan tokoh-tokoh ulama yang berkeahlian. Insya-Allah, penerangan lanjut mengenai tauhid ini akan dikeluarkan pada keluaran akan datang.

Bahan-bahan yang bakal dipersembahkan banyak merujuk kepada kitab penulisan Imam al Haramain al ‘Allamah Ibnu al ‘Arabi al Tabbani bertajuk Bara’ah al Asy’ariyyin. Ia telah diringkaskan oleh al Allamah Prof. Dr. Isa ibn Abdullah Mani’ al Himyari, Mantan Pengarah Jabatan Waqaf dan Hal Ehwal Islam Dubai di dalam kitabnya yang bertajuk ‘al Fath al Mubin fi Bara’at al Muwahhidin min ‘Aqaid al Musyabbihin.

Artikel ini dipetik dari Ruangan Bicara Agama, Utusan Malaysia keluaran 16 November 2009

Sabtu, November 21, 2009

Sekitar Rakaman Al-Kuliyyah: Antara Adab dan Biadab


Malam tadi (19 November 2009), saya mengikuti sesi rakaman rancangan Al-Kuliyyah (TV3) di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Sesi kali ini agak menarik, dengan tajuk “1 Akidah” rancangan kali ini menampilkan Al-Fadhil Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dan Dr. Fauzi Deraman. Perbincangan yang bertajuk “1 Akidah” ternyata banyak berkisar sekitar persoalan tentang adab, tentang perbezaan pendapat. Itupun, tidak sepenuhnya perbincangan itu bersifat ilmiah. Apa yang pasti, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dan Dr. Fauzi Deraman mengecewakan. Sikap dan kata-kata mereka ternyata menggambarkan suatu kebiadaban; apa yang diistilahkan oleh Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady sebagai fenomena “kebiadaban intelektual”.

Perbezaan pendapat adalah suatu lumrah yang tidak mungkin boleh dielakkan. Justeru, menurut Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady, dalam ajaran Islam telahpun disiapkan panduan dan pedoman untuk menangani perbezaan pendapat tersebut. Sepertimana yang telah difirmankan oleh Allah Subhanahu wa ta’ala di dalam kitab suci Al-Qur’an, kita hendaklah mengikuti jalan orang-orang yang beriman (sabiilil-mu’minin); yakni, kita hendaklah patuh kepada ijma’ ‘ulama – kesepakatan majoriti ‘ulama. Beliau menghuraikan, ini maksudnya kita hendaklah taat kepada ajaran Islam arus perdana. Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady memetik di dalam kitab Fathul Bari yang menyatakan bahawa imam-imam yang muktabar di dalam Ahli Sunnah wal Jamaah adalah perlu ditaati sama ada dari segi aqidah, syariat mahupun akhlak. Jika adapun perbezaan pendapat, maka hal itu haruslah ditangani secara cermat dan dengan penuh adab.

Apa yang disampaikan oleh Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady tersebut ternyata merupakan satu panduan yang penting kerana apa yang sedang berlaku di dalam negara ini pada hari ini adalah sikap segelintir “kaum muda” (Salafi, Wahabi, gerakan Tajdid, atau apa sahaja namanya) yang cuba melawan ‘arus perdana’. Amalan dan pegangan umat Islam di negara ini, yang merupakan amalan dan pegangan arus perdana yang telah disusun hasil kesepakatan para ‘ulama, cuba dicabar tanpa kita memahami apakah maksud sebenar di sebaliknya. Kelihatannya, hanyalah kerana mereka itu inginkan publisiti dan ingin menjadi jaguh yang dikenali di dalam masyarakat. Apakah ada keperluan amalan membaca doa qunut yang telah lama diamalkan oleh masyarakat negara ini dilawan? Apakah ada keperluan amalan membuat majlis tahlil arwah diharamkan? Apakah ada keperluan Selawat Syifa’ yang sangat masyhur di kalangan masyarakat negara ini dikatakan amalan yang salah? Itu semua adalah amalan yang datangnya melalui ajaran arus perdana di negara ini, yang semuanya ada dalil dan nas yang menyebabkan para ‘ulama mengajar amalan-amalan tersebut.

Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin (MAZA) kemudian menyebut tentang sikap majoriti para imam mazhab, yang menyuruh agar ditinggalkan pendapatnya apabila ada dalil yang sahih yang bercanggah dengan pendapatnya. Hal itu, menurutnya, menjadi bukti betapa para imam menghormati dalil dan nas. Dr. MAZA juga menyebut bahawa adalah penting untuk menghormati pandangan para ‘ulama muktabar; apa yang diistilahkan di dalam usul fiqh sebagai ijma’ ‘ulama. Dr. MAZA juga menyentuh tentang masalah fanatik mazhab. Sehinggakan, katanya, hanya kerana berbeza pandangan seseorang itu boleh dihukum sesat, biadap dan sebagainya.

Hal ini telahpun disanggah dengan mudahnya oleh Al-Fadhil Ustaz Yusri Mohd. melalui soalan beliau kepada Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady. Kata-kata para imam mazhab bahawa “apabila bertemu dalil yang sahih hendaklah ditinggalkan pendapatku” adalah kata-kata khusus yang ditujukan kepada para ‘ulama jua, dan bukannya kepada orang awam seperti kita semua. Kata-kata tersebut ditujukan khusus kepada para ‘ulama yang berkapasiti untuk membuat ijtihad. Mana mungkin masyarakat awam, ataupun sesiapa sahaja yang mempelajari ilmu agama tetapi tidak sampai ke tahap mujtahid, untuk membuat ijtihad sendiri apabila bertemu sahaja hadith sahih (atau yang dikatakan sahih) di dalam kitab-kitab mahupun buku-buku. Apakah ada jaminan interpretasi mereka terhadap maksud hadith itu betul? Apakah mereka faham benar konteks kegunaan hadith tersebut? Harus diingat bahawa hadith itu datangnya dengan konteks yang tertentu. Kerana itu kita banyak bertemu hadith-hadith yang kelihatannya seperti bercanggah antara satu sama lain, tetapi sebenarnya tidak kerana konteksnya berbeza. Cukup menghairankan apabila Dr. MAZA menekankan tentang perlunya kita patuh kepada ijma’ ‘ulama, tetapi dia sendiri menentang aliran arus perdana (yang merupakan hasil ijma’ ‘ulama) di negara ini; seperti contoh, dia mempertikaikan dan memperlekeh majlis maulid, memperlekeh al-Fadhil Syeikh Jaafar al-Barzanji (bacaan Maulid Barzanji – disebut ‘berzanji’ oleh orang Melayu – telah lama diamalkan di negara ini), dan sebagainya yang mana semuanya adalah perkara-perkara yang dipersetujui oleh para ‘ulama. Jika adapun pandangan berbeza, maka itu adalah perbezaan pendapat yang tidak wajar dan tidak patut dijadikan polemik di dalam masyarakat! Hormatilah apa yang telah disusun oleh para ‘ulama terdahulu untuk kesejahteraan umat Islam di negara ini!

Pensyarah di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM), Dr. Fauzi Deraman kemudiannya menyatakan bahawa semua orang, termasuk para ‘ulama, adalah tertakluk kepada ayat Al-Qur’an yang menyatakan bahawa kita semua tidak dikurniakan pengetahuan melainkan sedikit. Justeru, Al-Qur’an juga mengajarkan kita agar “bertanyalah kepada ahlinya jika kamu tidak mengetahui”. Menurutnya, setiap orang ada bidang kepakaran masing-masing dan bidang tersebut harus dihormati. Tentang fenomena masa kini di mana semakin ramai orang awam yang turut melibatkan diri dalam perbincangan terbuka tentang hal-hal agama yang sebenarnya bukan bidang mereka, Dr. Fauzi Deraman menyatakan bahawa orang awam tidaklah wajar disalahkan sepenuhnya kerana orang awam mengikuti ‘mentor’ mereka. Maka, apa yang penting adalah orang awam harus dididik dan diberikan panduan yang betul. Apa yang dikatakan oleh Dr. Fauzi Deraman ternyata benar. Namun, apa yang berlaku pada hari ini adalah orang sudah tidak menghormati autoriti. Dalam hal agama sebagai contoh, semakin ramai orang sudah tidak lagi menghormati autoriti kerana terpengaruh dengan sikap segelintir orang muda yang kononnya berilmu, mungkin kerana memilik Ph.D. lalu memakai gelaran ‘Doktor’ di hadapan namanya, yang dengan sewenang-wenangnya mempersoal dan mempertikaikan pendapat para ‘ulama sedangkan mereka bukanlah orang yang layak untuk melakukan hal yang sedemikian. Ada juga di kalangan para ilmuan sombong ini yang mengatakan diri mereka, ataupun mengatakan ‘ulama ikutan mereka, sebagai pakar hadith dan memakai gelar ‘Al-Muhaddith’ sedangkan antara syarat untuk seseorang itu digelar ‘Al-Muhaddith’ adalah ia haruslah menghafal 100,000 hadith! Itu belum termasuk syarat mempunyai dan menghafal sanad hadith. Sedangkan golongan ‘ulama sombong ini menolak amalan pemberian ijazah hadith; maka mana mungkin mereka menjadi pakar hadith!

Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady memberikan satu peringatan yang ringkas tetapi penuh makna; bahawa setiap urusan itu haruslah diserahkan kepada ahlinya. Peringatan daripada Allah Subhanahu wa ta’ala agar kita merujuk kepada ahlinya dan tidak memandai-mandai. Justeru, dalam soal memberikan pandangan, sepertimana yang dipraktikkan oleh para salafussoleh, hendaknya para ‘ulama itu berbincang di dalam wacana “para ‘ulama” untuk mendapatkan kesepakatan – dengan mengambil kira semua faktor – sebelum akhirnya keputusan itu disalurkan kepada orang ramai. Apa yang berlaku pada hari ini adalah kita terpengaruh dengan wacana ala pasca-modenisme, yang menganggap semua wacana adalah sama – atas nama ‘kebebasan bersuara’.

Penekanan yang diberikan oleh Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady ini, walaupun ringkas, tetapi adalah sangat fundamental. Apa yang disebutkan adalah tentang hal adab. Hal ini demikian kerana tidak semua orang mempunyai kelayakan untuk membincangkan semua perkara. Perkara-perkara yang berkaitan dengan pengajian ‘aqidah, berkaitan dengan fiqh dan akhlak, yang sudah tentu akan ditemukan banyak perbezaan pendapat tentangnya, adalah perkara-perkara yang tidak wajar, tidak patut dan tidak perlu untuk dibincangkan di dalam wacana terbuka di tengah-tengah masyarakat yang rata-ratanya tidak berkeahlian dalam hal ilmu Islam. Justeru, di situlah peranan para ‘ulama untuk menyusun dan menyepakati apakah kaedah, pendekatan, amalan, dan sebagainya yang patut diketengahkan kepada masyarakat. Itulah yang dilakukan oleh para imam mazhab dan para mujtahidin. Mereka meneliti dalil dan menyusun amalan-amalan dalam agama agar mudah diikuti oleh orang awam; agar tidak perlu lagi orang awam melalui proses penelitian dalil kerana tidak semua orang berkapasiti untuk memahami dengan benar dalil Al-Qur’an dan Al-Hadith, apatah lagi untuk mencapai tahap mujtahid!

Tindakan membawa wacana yang berkaitan dengan penentuan asas-asas serta amalan-amalan dalam agama ke tengah kancah masyarakat, hanyalah akan menyebabkan berlaku kecelaruan kerana masyarakat akan mula keliru, dan lebih teruk lagi sudah mula muncul di tengah-tengah masyarakat golongan muda (khususnya) yang dengan beraninya berwacana menggunakan nama-nama ‘ulama seperti Imam Syafie, Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani dan sebagainya, sedangkan mereka hanyalah ‘berguru’ dengan Internet ataupun dengan membaca sendiri buku-buku para ‘ulama tersebut. Jika adapun guru tempat merujuk, hanyalah seorang atau dua orang guru-guru yang tidak mempunyai susur galur ilmu yang mantap. Hal ini berlaku kerana melihatkan wacana-wacana yang semakin banyak dibincangkan secara terbuka, sehingga mereka merasakan bahawa sesiapa sahaja layak untuk membincangkan persoalan agama.

Bagaimanapun, Dr. MAZA seolah-olah gagal memahami apa yang cuba disampaikan oleh Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady. Dia memetik hadith yang menyatakan bahawa Allah akan membangkitkan seorang ‘mujaddid’ (pembaharu urusan agama) pada setiap 100 tahun. Dia menyentuh tentang bagaimana urusan membaharui urusan agama ini telah dilakukan oleh semua mujaddid, biarpun ditentang hebat. Dia menyebut cabaran-cabaran yang dihadapi oleh Imam Ahmad, Imam Syafie dan sebagainya dalam menyatakan kebenaran. Saya tertanya-tanya, apakah dia mahu menyamakan dirinya dengan Imam Ahmad dan Imam Syafie? Dia menyebut contoh-contoh itu sebagai menyatakan bahawa dirinya juga perlu melakukan ‘tajdid’ (membaharui urusan agama) biarpun sukar diterima. Namun, sekali lagi, perlu diperhatikan siapakah Imam Ahmad dan siapakah Imam Syafie? Mereka adalah ornag yang diberikan pembukaan oleh Allah Subhanahu wa ta’ala, sehingga mempunyai keluasan ilmu yang hebat. Sekiranya salah seorang daripada mereka masih hidup pada hari ini, maka tidaklah keterlaluan jika dikatakan adalah wajib bagi seluruh umat Islam di dunia ini mematuhinya sebagai rujukan utama masa kini! Siapalah Dr. MAZA jika hendak dibandingkan dengan Imam Syafie, Imam Ahmad? Juga, harus diperhatikan apakah yang diperjuangkan oleh imam-imam besar itu sama seperti apa yang diperjuangkan oleh Dr. MAZA? Imam Syafie dan Imam Ahmad berjuang untuk membetulkan ‘aqidah umat Islam (diulangi: ‘aqidah), kerana tanpa ‘aqidah yang betul boleh jatuh kufur seseorang itu. Sedangkan di negara ini kita sudah mempunyai suatu susunan amalan dan pegangan yang betul, tidak perlu lagi dipertikaikan!

Dr. MAZA kemudiannya menyatakan, sebagai membantah pandangan Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady, bahawa sekiranya dia perlu berbincang dahulu sebelum menyampaikan pandangannya, maka tidak akan berlakulah “sampaikan daripadaku walaupun sepotong ayat”. Saya dan rakan-rakan di pentas penonton hanya mampu menepuk dahi dek kerana lemahnya hujah yang digunakan oleh dia. Hadith tersebut bukan untuk hal tajdid! Jika hadith tersebut adalah berkaitan dengan hal tajdid, maka mudah sangatlah proses tajdid itu dan tidak perlulah dibangkitkan seorang mujaddid kerana sesiapa sahaja boleh melakukannya! Juga, apa yang dimaksudkan oleh Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady agar diadakan perbincangan di peringkat para ‘ulama terlebih dahulu bukanlah maksudnya agar jangan dilakukan dakwah! Maksud beliau adalah supaya perkara-perkara khilaf, perkara-perkara yang berkaitan dengan dasar, dengan pendekatan dan sebagainya, dibincangkan secara ilmiah terlebih dahulu di kalangan para ‘ulama, agar para ‘ulama yang berkeahlian itu dapat memutuskan apakah dia yang paling sesuai untuk disalurkan kepada masyarakat. Hal ini demikian kerana masyarakat tidak berkeahlian untuk menentukan bagi diri mereka sendiri apakah yang patut atau tidak, apa yang benar atau tidak. Nah, bukankah di dalam wacana para ‘ulama itu masih ada peluang untuk ‘menyampaikan daripada Rasulullah walaupun sepotong ayat’. Keluarkanlah apa sahaja dalil dan nas yang diketahui di dalam wacana para ‘ulama kerana memang sifat wacana itu ilmiah. Mengapa harus dibawa kepada masyarakat? Adakah kerana ingin dikenali, ingin dilihat sebagai jaguh? Jika benar ingin manfaat dan faedah bagi masyarakat, bukankah pandangan dan usaha ijma’ ‘ulama itu lebih kukuh dan lebih baik daripada usaha beberapa kerat individu? Logik ini terlalu mudah, hanya mereka yang tertutup minda dan hatinya sahaja yang akan gagal memahaminya.

Dr. Fauzi Deraman pula menyatakan bahawa perselisihan (dalam hal dasar agama) tidak berlaku di zaman Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam, kerana ada kaitannya dengan metodologi pada zaman itu. Saya mungkin boleh bersetuju dengan kenyataan itu kerana memang ada kebenarannya. Namun, sebab utama mengapa tidak berlakunya perselisihan pada zaman tersebut adalah semata-mata kerana baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam! Baginda adalah ikutan ulung para sahabat, baginda adalah contoh, baginda adalah rujukan utama! Para sahabat patuh dan taat kepada baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam tanpa soal: ini dinamakan taqlid! Benar, dalam Islam ada kebenaran untuk taqlid, bagi orang yang tidak mampu berijtihad seperti kita semua! Jika ada yang ingin menyanggah dengan mengatakan bahawa bertaqlid dengan Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam sahaja yang boleh, maka ketahuilah bahawa Rasulullah telah mengiktiraf generasi salafussoleh, para Khulafa’ Ar-Rasyidiin dan Ahlul Bait sebagai kelompok yang harus kita ikuti dan contohi.

Namun, saya ternyata tidak bersetuju dengan kenyataan Dr. Fauzi Deraman yang menyatakan bahawa para sahabat tidaklah belajar banyak sangat tentang ‘aqidah. Kenyataan itu ternyata adalah suatu kenyataan yang sangat biadap! Para sahabat adalah mereka yang paling ‘arif tentang ‘aqidah! Kenyataan dia seolah-olah menggambarkan bahawa umat Islam yang terkemudian lebih maju dalam hal pengajian ‘aqidah! Memang benar bahawa para sahabat tidaklah mempunyai sistem pengajian yang canggih (baca: berkecamuk) sepertimana apa yang kita ada pada hari ini. Tetapi harus difahami bahawa para sahabat adalah mereka yang paling mantap ‘aqidah mereka, dan menjadi rujukan kita semua sehingga ke hari ini! Para sahabat adalah contoh kita dalam hal ‘aqidah. Bukankah dalam pembelajaran ‘aqidah pada hari ini pun kita memetik contoh-contoh daripada kisah sahabat? Penyusunan sistem bagi kita mempelajari dan memahami ‘aqidah yang benar seperti yang dilakukan oleh Al-Imam Abu Hassan Al-Asy’ari adalah juga bersumberkan kepada para sahabat, yang sudah tentunya datangnya pula daripada Sayyiduna Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Jika dikatakan para sahabat tidak banyak belajar ‘aqidah, adalah tidak benar sama sekali kerana para sahabat berada bersama Rasulullah, dan mereka mempelajari keseluruhan isi kandungan kitab suci Al-Qur’an secara langsung daripada baginda Rasulullah! Mereka mempelajari ‘aqidah daripada dua sumber utamanya: Al-Qur’an dan Rasulullah! Mana mungkin mereka tidak banyak belajar ‘aqidah!

Justeru itulah Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady mengingatkan semua tentang niat. Menurut beliau, niat itu adalah penting kerana setiap amalan itu nilaiannya bergantung kepada niat. Niat yang tidak betul akan merosakkan amalan; sepertimana solat menjadi rosak, sedekah menjadi sia-sia jika niatnya adalah untuk membangga dan menonjolkan diri. Hal ini, menurut Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady, adalah sesuatu perkara yang sangat asas dan sangat penting tetapi ramai orang terlupa, termasuk sesetengah orang yang berilmu. Dalam melakukan pembaikan, teguran dan sebagainya kita haruslah ikhlas kerana mencari redha Allah Subhanahu wa ta’ala. Justeru, apa yang penting adalah kita menghormati orang lain, kita menghormati ‘ulil amri’. Jika ingin melakukan teguran, hendaklah dilakukan dengan cara baik dan cara berhikmah, bukannya dengan cara terus memaparkan kritikan itu di dada akhbar sehingga boleh mengakibatkan malu dan keresahan. Inilah adab namanya! Hal ini demikian kerana, jika benar kita ikhlas ingin menegur dan membuat pembaharuan maka sudah tentu boleh sahaja teguran itu disalurkan terus kepada pihak berwajib – kepada para pemerintah, kepada para ‘ulama – tanpa perlu melalui media massa. Kerana yang diinginkan adalah menyampaikan teguran dengan cara baik, bukan mencari populariti!

Mungkin disebabkan terasa dengan teguran ‘pedas’ Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady, Dr. MAZA naik suara sedikit. Dia menyatakan bahawa adalah tidak patut jika seseorang itu berbeza pendapat dengan orang lain, maka orang lain itu terus dituduh sebagai sesat, Wahabi dan sebagainya. Saya bersetuju dengan pandangan Dr. MAZA. Namun, ternyata di situ tersisip suatu keangkuhan dan cubaan untuk memutarbelitkan apa yang sebenarnya berlaku di negara ini. Harus difahami bahawa pertuduhan “sesat”, “Wahabi” dan sebagainya yang dilontarkan kepada individu-individu tertentu bukanlah dibuat secara semberono! Ya, mungkin sahaja ada di kalangan masyarakat awam di negara ini yang agak ‘emosional’ dan dengan mudahnya melabel orang dengan label yang pelbagai. Namun, di peringkat para ‘ulama dan intelektual, menghukum seseorang itu sebagai “sesat”, atau sebagai berfahaman “Wahabi” adalah sesuatu yang dibuat secara ilmiah. Apabila telah jelas dan telah zahir seseorang itu sesat, apakah mungkin kita mendiamkan diri dan tidak menyatakannya? Apakah hanya kerana semata-mata ingin meraikan ‘perbezaan pandangan’, maka kita tidak boleh menyatakan kesesatan seseorang itu apabila telah zahir kesesatannya? Jika begitu, tarikh balik sahaja pertuduhan kita terhadap Haji Kahar (Rasul Melayu). Fahaman dan aliran pemikiran yang “sesat” dan “Wahabi” itu telah lama dijelaskan dan dihadirkan dalil-dalil serta bukti bagi menyokong pertuduhan tersebut; hanya sahaja, mungkin segelintir pihak tidak mahu menerima hujah dan dalil-dalil yang dikemukakan.

Dr. Fauzi Deraman kemudiannya menekankan bahawa daripada segi sumber, tidak ada perselisihan kerana kita semua mengakui bahawa kita hanya ada dua sumber (dalam hal ‘aqidah, syariat mahupun akhlak) yakni Allah dan Rasul. Dr. Fauzi menyatakan bahawa kita tidak ada sumber-sumber yang lain selain daripada Allah dan Rasul. Hal tersebut sememangnya benar, bahawa tidak ada sumber yang lebih utama dalam agama selain daripada Allah dan Rasul. Namun, mungkin perlu dijelaskan lagi bahawa di dalam usul fiqh, melalui peruntukan di dalam nas-nas Al-Qur’an dan Al-Hadith, Ijma’ ‘Ulama juga diterima sebagai sumber – selepas Al-Qur’an dan Al-Hadith. Kegagalan mengiktiraf ijma’ ‘ulama sebagai sumber akan menyebabkan seseorang itu terjerumus ke dalam lembah kebiadaban ilmu. Memang benar sumber utama dalam Islam hanya dua, yakni Al-Qur’an dan Al-Hadith. Tetapi, siapakah yang akan menyampaikan kita kepada kefahaman yang benar tentang keduanya? Oleh sebab itulah, setelah Rasulullah berpesan para peringkat awalnya agar umat baginda berpegang kepada Al-Qur’an dan Al-Hadith, maka Rasulullah berpesan pula kepada kita menjelang penghujung kehidupan baginda di dunia ini supaya kita berpegang kepada sunnah Khulafa’ Ar-Rasyidiin dan sunnah Ahlul Bait. Hal ini demikian kerana mereka adalah kelompok yang paling ‘arif tentang Al-Qur’an dan sunnah Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Oleh sebab itulah, setelah berlalunya zaman Rasulullah, para sahabat merujuk kepada orang yang paling hampir dengan Rasulullah dalam usaha untuk memahami Al-Qur’an dan As-Sunnah. Para tabi’in merujuk kepada para sahabat dalam usaha untuk memahami Al-Qur’an dan As-Sunnah. Para tabi’ tabi’in pula merujuk kepada para tabi’in dalam usaha yang sama. Dan begitulah seterusnya berlaku, sehingga kita pada hari ini merujuk kepada para ‘ulama, guru-guru kita, masyayikh kita yang mursyid dan murabbi, dalam usaha kita untuk memahami Al-Qur’an dan As-Sunnah. Inilah dikatakan adab! Bukannya dengan cara menolak pandangan para ‘ulama tradisi dan kemudian menelaah sendiri Al-Qur’an dan Al-Hadith – kerana siapa kita untuk memahami Al-Qur’an dan Al-Hadith? Kita hidup dalam zaman yang penuh dengan dosa dan maksiat, mana mungkin Allah mengurniakan kepada kita ‘ilmu dan kefahaman yang sama sepertimana yang dikurniakan kepada generasi terdahulu – kerana kita tidak layak!

Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady kemudiannya merumuskan perbincangan pada sesi rakaman Al-Kuliyyah itu dengan menasihatkan semua agar kembali kepada kerangka Ahli Sunnah wal Jamaah – aliran arus perdana yang dijamin kebenarannya oleh Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Baginda Rasulullah telah menjamin untuk kita bahawa kerangka kebenaran (al-Haq) itu akan sentiasa ada di dalam agama ini, justeru itulah dia aliran arus perdana yang dibawa dan didokong oleh para ‘ulama secara berantaian daripada dahulu sehingga kini. Oleh sebab itulah di sisi pada ‘ulama, salah satu tradisi penting yang perlu dikekalkan bagi memastikan keberkatan dan kesahihan ilmu adalah tradisi pengajian secara bersanad. Kita haruslah mempunyai rantaian ilmu dengan guru kita, guru kepada guru kita, guru kepada guru kepada guru kita, dan begitulah seterusnya sehingga sampai kepada Al-Mu’allim Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam.

Selesai sahaja sesi rakaman itu sesi soal jawab dibuka kepada penonton yang hadir. Ada beberapa soalan dilontarkan kepada ketiga-tiga panel. Pada sesi ini semakin terzahir kebiadaban beberapa orang ahli panel dan para penonton yang menyokong mereka. Dalam usaha untuk menjustifikasikan betapa perlunya usaha ‘tajdid’ yang sedang dia lakukan, dalam erti kata memecahkan pegangan kepada mazhab syafi’e dan menjadi ‘lebih terbuka’, Dr. MAZA mengambil beberapa contoh kelemahan pandangan di dalam mazhab syafi’e sambil menyatakan bagaimana sikap Imam Syafi’e sendiri serta sikap ‘ulama terdahulu yang begitu terbuka. Dr. MAZA memperli sikap ‘golongan agamawan’ serta ‘pihak berkuasa agama’, khususnya kerana sikap tertutup mereka dan kerana tindakan yang dikenakan ke atasnya oleh JAIS. Bukankah seharusnya sudah jelas, begitu ramai orang yang menentangnya bukanlah kerana dengki dan bukanlah kerana semata-mata tidak suka kepada perbezaan pandangan; tetapi, kerana aliran pemikiran yang dibawa oleh Dr. MAZA adalah berbahaya kepada kesejahteraan umat Islam di negara ini. Sikap Dr. MAZA yang memperlekeh ‘golongan agama’, mencabar ‘autoriti agama’ secara terbuka begitu, sambil disambut dengan tepukan tangan oleh sebilangan penonton, ternyata menampakkan keangkuhan dan ketiadaan adab.
Apatah lagi apabila disambung pula oleh Dr. Fauzi Deraman yang mengikut rentak Dr. MAZA. Dr. Fauzi memperlekeh-lekeh pandangan dalam mazhab syafi’e (dalam kes ini berkaitan haji) yang katanya menyusahkan, sambil disambut dengan senyum dan gelak ketawa Dr. MAZA dan sebilangan para penonton. Kami hanya mampu terdiam melihat.

Namun, ternyata jika Allah ingin menzahirkan kebenaran maka tidak ada apa yang akan dapat menghalangnya. Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady menutup dengan suatu teguran yang langsung kepada para panelis dan penonton. Bergenang air mata tatkala Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady menyatakan kesayuan beliau melihat orang ramai bergelak-ketawa tatkala kisah para ‘ulama diceritakan dan pandangan mereka dilekeh-lekehkan. Begitu sayu beliau melihat orang ramai – termasuk para panelis – menganggap lekeh apa yang dibincangkan, sehingga boleh dijadikan bahan gelak ketawa. Ke mana perginya adab? Sungguh, persoalan adab ini adalah persoalan yang sangat penting. Ramai oleh boleh bercakap tentang adab, tetapi tidak semua orang benar-benar boleh menjadi orang yang beradab. Sekadar mengulangi pesanan Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady, bahawa ikutilah dan taatlah kepada aliran arus perdana Ahli Sunnah wal Jamaah. Taatlah kepada imam-imam Ahli Sunnah wal Jamaah. Bersikaplah dengan sikap yang betul; bercakaplah dengan bahasa dan ayat yang betul. Di dalam Al-Qur’an, Allah Subhanahu wa ta’ala menyatakan bahawa sesiapa yang tidak beradab dengan Rasulullah – cukup sekadar meninggikan suara lebih tinggi daripada suara Rasulullah – maka akan terhapus segala pahala amalannya. Nah, para ‘ulama itu pewaris Rasulullah, mengapakah kita enggan beradab dengan mereka? Memang benar mereka bukan maksum, bukan sempurna, tetapi sedarlah bahawa kita semua jauh lagi tidak sempurna daripada mereka!

Semoga Allah mengurniakan Rahmat kepada seluruh para pejuang Ahli Sunnah wal Jamaah; dan semoga Allah membuka pintu hati golongan berilmu yang sombong, serta para pengikut aliran pemikiran mereka.

Mohon maaf atas salah dan silap. Sekadar luahan rasa hasil ilham daripada Allah dan berkat sentuhan guru kita Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki. Saya hanyalah seorang insan yang sangat hina yang sedang berusaha menggapai cinta-Nya, dan cinta Baginda sallallahu ‘alayhi wasallam.

Wallahu’alam.

Dipetik dari tulisan sdr Abdul Muntaqim bin Zulkifli dari Facebook beliau.

Isnin, November 09, 2009

Memahami Isu Penangkapan Dr Asri


Yusri Mohamad ialah Naib Presiden, Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM)

dan Bekas Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia.


Tulisan ini asalnya bertujuan sebagai respons khusus kepada dua tulisan Datuk Dr.Mohd.Asri Zainul Abidin dalam Mingguan Malaysia yang bertajuk Fitnah dan Perjuangan dan Sejarah Akan Berulang. Bagaimanapun, oleh kerana sekarang ini pandangan masyarakat lebih tertumpu kepada isu penangkapan beliau, wajarlah di sini kita soroti persoalan Dr. Asri secara lebih umum.

Apabila berita beliau ditahan tersebar, tidak kurang yang simpati kerana asas penangkapannya, iaitu mengajar tanpa tauliah dirasakan terlalu kecil. Mereka yang lebih mengenali dan analitikal terhadap Dr. Asri pula beranggapan sememangnya beliau tidak wajar dibenarkan bebas menyebarkan pandangannya. Terlepas daripada soal wajar atau tidaknya Dr. Asri ditangkap, undang-undang yang mewajibkan tauliah untuk mengajar agama Islam tidaklah perlu dipertikaikan.

Undang-undang itu bukan sahaja bertujuan untuk memastikan hanya mereka yang berkelulusan dibenarkan mengajar. Ia juga bertujuan agar mereka yang tidak sesuai dan layak, dapat dihalang daripada mengajar walaupun mempunyai pelbagai kelulusan dan gelaran akademik. Jika ada yang tidak sesuai dan layak tetapi masih berdegil untuk mengajar walaupun telah diberi amaran, maka tidak salahlah tindakan penangkapan diambil jika dirasakan perlu.

Mungkin ada yang tertanya-tanya, kenapa pula seorang seperti beliau dikatakan tak sesuai dan tidak layak mengajar? Jawaban pokok kepada soalan ini adalah, Dr. Asri sebenarnya mewakili dan menjuarai suatu aliran pemikiran yang tidak selari dengan fahaman Islam sebenar atau yang biasa dinamakan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

Oleh kerana fahaman Islam ASWJ menjadi pegangan asas para ulama dan pihak berkuasa agama di semua negeri, maka Dr. Asri dalam banyak hal menjadi tokoh yang sangat kontroversial kerana beliau sering menimbulkan pandangan yang mengelirukan masyarakat dan secara langsung atau tidak, menggugat kestabilan hidup beragama di negara kita.

Oleh kerana beliau jelas mengambil pendekatan bertentangan dengan arus perdana Islam di Malaysia, tidak hairanlah beliau diminati oleh sebahagian tokoh, individu dan organisasi yang sememangnya prejudis terhadap arus perdana Islam di Malaysia. Beliau turut diminati oleh mereka yang cenderung terlebih liberalis, rasionalis dan 'pemberani' dalam soal-soal agama kerana mereka ini juga terasa terbatas dengan kuatnya arus perdana Islam ASWJ di Malaysia.

Dr. Asri juga menerima dokongan atau sekurang-kurangnya simpati segelintir tokoh agama dan orang politik yang memang sealiran dengan beliau. Aliran Islam yang diperjuangkan oleh Dr. Asri boleh digelar pelbagai nama walaupun beliau sendiri cenderung menggunakan istilah yang bunyinya lebih positif seperti 'tajdid' atau 'kaum muda' serta mengelakkan istilah yang lebih kontroversi seperti 'Wahhabi'.

Apa pun labelnya, hakikatnya aliran ini memang wujud di dunia Islam walaupun merupakan aliran minoriti umat Islam yang majoritinya beraliran ASWJ. Perlu diingat para pendokong aliran ini sendiri sering mendakwa bahawa aliran mereka adalah aliran ASWJ sebenar. Antara ciri utama aliran 'kaum muda' seperti yang dipegang oleh Dr. Asri ini adalah kecenderungan merujuk terus kepada nas-nas al-Quran dan sunah tanpa mengutamakan tafsiran dan ijma' para ulama. Kecenderungan ini membawa kepada penolakan terhadap kebakuan fiqh Mazhab yang empat, akidah 'Ash'aari- Maturidi dan kerohanian tasawuf.


Pegangan

Di Malaysia, sejak awal lagi aliran ASWJ telah menjadi pegangan majoriti dan aliran yang dominan. Pun begitu, minoriti individu dan tokoh yang cenderung kepada aliran 'kaum muda' sudah ada sebelum munculnya Dr. Asri lagi. Mereka ini berada di pelbagai tempat tetapi mereka umumnya tahu diri dan tidak cuba mencabar secara agresif aliran perdana ASWJ. Bagaimanapun, fenomena Dr. Asri yang agresif dan lantang itu dilihat telah menyuntik keberanian kepada pengikut aliran ini untuk turut cuba mencabar dominasi fahaman ASWJ di Malaysia.

Dalam 'perjuangan' mendominasikan alirannya, Dr. Asri banyak bergantung kepada bakat pidato dan penulisannya berjubahkan nas-nas al-Quran dan sunah yang terpilih dengan tafsiran yang selari dengan alirannya. Beliau juga sering berselindung di sebalik tokoh-tokoh ulama terkenal sama ada dengan memilih pandangan tertentu yang memihak kepadanya sahaja serta mengaburkan aspek kontroversi tokoh-tokoh tersebut. Inilah yang sering beliau lakukan dengan tokoh-tokoh seperti Ibnu Taymiyyah, Ibnul Qayyim, Muhammad Ibn Abdul Wahab, Yusuf al-Qaradhawi dan Hamka.

Dalam dua tulisan terbarunya, Dr. Asri cuba bersandar kepada populariti Hamka dan ayahnya yang turut membawa aliran pembaharuan dalam masyarakat Islam Indonesia. Mungkin Dr. Asri ingin mengatakan bahawa beliau sebanding dengan Hamka, ditentang kerana membawa aliran pembaharuan yang bercanggah dengan ulama tradisi. Seperti biasa, mereka yang tidak meneliti dan pada masa yang sama mengagumi Hamka secara mutlak mungkin termakan dengan hujahnya ini tetapi pada hakikatnya, Hamka juga ada sisi kontroversinya dan bukanlah serba maksum. Kritikan Hamka terhadap ulama Malaysia seperti yang dipetik oleh Dr. Asri bukanlah buah pandangan terbaiknya yang perlu kita telan bulat-bulat. Kita ingin tanyakan kepada Dr. Asri, apabila beliau memetik kata-kata Hamka, "Tidak hairan, sebab feudalisme raja-raja di sana sebagai raja Islam, bersandar kepada ulama kolot yang mengutamakan taklid kepada ulama supaya rakyat taat kepada ulama, ertinya kepada raja, erti kepada Inggeris!", adakah beliau bersetuju dengan kenyataan ini? Jika betul ia adalah suatu gambaran salah yang menghina bukan sahaja para ulama tanah air, tetapi turut memperlekehkan institusi Raja-raja yang tak dapat dinafikan sumbangannya dalam menaungi agama di negara kita dari dahulu hingga sekarang.

Dari satu sudut lain, mereka yang mengkaji juga akan segera mengakui bahawa nasib sejarah dan realiti Islam dalam perlembagaan dan pentadbiran di Indonesia dan Malaysia jelas berbeza. Di Indonesia, Islam gagal diperuntukkan secara rasmi dalam perlembagaan sehingga urusan agama tidak dapat dikawal dengan kemas oleh undang-undang dan institusi rasmi.

Teman-teman yang prihatin dari Indonesia sering mengeluh bahawa inilah suatu kelebihan Islam di Malaysia berbanding dengan negara mereka yang akhirnya menyumbang kepada kerencaman yang melampau dan kurangnya kesepaduan umat Islam Indonesia. Kita patut tanyakan Dr. Asri, adakah beliau mahu kita mencontohi Indonesia dalam aspek ini dan melemahkan lagi kesatuan suara dan rasa umat Islam di Malaysia?

Sesiapa pun yang sedia mengkaji secara tekun dan jujur segala ucapan, tulisan dan sikap Dr. Asri (yang kebanyakannya boleh didapati di laman webnya) dengan berlatarbelakangkan pertembungan aliran ASWJ dan aliran-aliran pinggiran, akan segera banyak menemukan pola-pola pemikiran yang bertentangan dengan jumhur (majoriti) umat. Taklid dan hormat kepada tokoh ulama dan mazhab ditentang hanya untuk digantikan secara halus dengan taklid kepada tokoh dan alirannya sendiri. Dr. Asri juga sering menyeru kepada minda yang terbuka tetapi pada masa yang sama sering mempermasalahkan perbezaan pandangan dalam isu-isu ranting hingga menimbulkan ketegangan sesama Islam. Pandangan mazhab dan jumhur ulama kerap digambarkan sebagai ketinggalan dan jumud sedangkan dalam pelbagai persoalan lain aliran ini jauh lebih ketat dan keras daripada pandangan jumhur ulama.

Tulisan ini bukanlah sebuah perbahasan terperinci fenomena Dr. Asri tetapi cuba melakarkan suatu gambaran besar tentang apa sebenarnya yang sedang berlaku. Gambar yang terhasil sebenarnya amat membimbangkan. Jika tidak berhati-hati, umat Islam di Malaysia yang sudah parah menanggung perpecahan mengikut garis kefahaman politik mungkin akan dirumitkan lagi dengan perpecahan aliran agama melibatkan ketiga-tiga sendi iaitu tauhid, Fikah dan tasawuf. Emosi dan simpati semata-mata tidak memadai untuk mencari sikap yang tepat dalam isu ini.

Dalam mabuk lagu perubahan dan pembaharuan yang dimainkan oleh Dr. Asri dan teman-teman sealirannya, kewibawaan kerangka fahaman agama serta keutuhan suara umat Islam boleh terhakis. Jika tidak berhati-hati kita akan mengulangi kesilapan isteri Aladdin yang termakan pujukan si tukang sihir jahat lalu menukarkan lampu lama yang penuh kesaktian dengan lampu baru yang hanya hebat luarnya tapi kosong isinya. Wallahualam.

Artikel ini dipetik dari Utusan Malaysia keluaran 20 Zulkaedah 1430 / 8 November 2009

Ilmu menjadikan Kita Takut Kepada ALlah


Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN



orang beriman yang puasa tidak akan melakukan perkara yang membatalkan amalan itu sama ada semasa bersendirian atau di hadapan orang lain. - Gambar hiasan


Pada hari ini, kita melihat rata-rata umat Islam di negara ini sudah mula berjinak-jinak dengan majlis-majlis ilmu dan ulama. Di masjid-masjid dan surau-surau majlis-majlis pengajian ilmu semakin rancak diadakan.

Ia mendapat sambutan yang memberangsangkan dari segenap lapisan masyarakat yang dahagakan ilmu dan pentarbiahan hatta terdapat masjid yang mengadakan majlis pengajian pada setiap malam. Ini suatu perkembangan yang baik kepada peningkatan kualiti umat Islam di negara ini dan agama Islam itu sendiri.

Persoalannya, apakah ilmu yang mereka perolehi ini benar-benar memberikan manfaat dan kesan ke dalam diri mereka?

Ketahuilah, bahawa sebaik-baik ilmu ialah ilmu yang menjelmakan perasaan takut kepada Allah SWT. Iaitu, takut yang disertai perasaan membesarkan Allah dan menumbuhkan amal. Allah SWT telah memuji para ulama melalui firman-Nya: Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah orang-orang yang berilmu. (al-Faatir: 28)

Inilah ilmu yang paling bermanfaat kerana ilmulah yang memandu kita ke jalan akhirat. Kalam hikmah ini diungkapkan oleh Sheikh Ibnu Atoillah al Sakandari r.a dalam Hikamnya yang bertajuk al Hikam al Atoiyyah.
Terbukti, kalam hikmahnya ini telah mampu melunakkan hati yang keras, menenangkan jiwa yang resah, mengekang nafsu yang rakus dan mengajak manusia menyelami hikmah-hikmah di sebalik kejadian Allah SWT. Semoga kita mendapat manfaat daripadanya.

Adapun orang alim yang tidak mempunyai perasaan takut kepada Allah bukanlah orang alim yang sebenarnya.
Lebih-lebih lagi, orang alim yang keinginannya untuk mendapatkan kemewahan dunia, kemegahan dan bersikap takbur dengan ilmunya.

Ilmu sebegini hanya akan menjadi hujah ke atasnya di akhirat kelak dan sebab yang akan mengundang bala dan akibat yang buruk kepadanya.

Umar ibn al Khattab r.a pernah berkata, "Perkara yang paling aku takuti berlaku terhadap umat ini ialah munculnya orang yang alim pada lisan tetapi jahil pada hati".

Ini bukanlah ciri-ciri pewaris para nabi kerana pewaris para nabi memiliki sifat zuhud terhadap dunia, berminat terhadap akhirat, ikhlas menyampaikan amanah ilmu dan bertakwa.

Orang yang memiliki ilmu yang bermanfaat, tidak memiliki sifat bongkak atau takbur, tidak suka mencaci orang lain, berlapang dada, mudah diajak berbincang dan tidak cepat melatah.

Sahl ibn Abdullah r.a pernah berkata: "Janganlah kalian memutuskan satu urusan dari urusan-urusan dunia dan agama kecuali setelah berbincang dengan ulama. Maka kesudahannya akan dipuji di sisi Allah SWT".

Abu Muhammad r.a pernah ditanya: "Wahai Abu Muhammad! Siapakah ulama?" Jawabnya: "Orang-orang yang mengutamakan akhirat daripada dunia dan mengutamakan Allah daripada diri mereka sendiri".

Saidina Umar ibn al Khattab r.a pernah mewasiatkan: "Berbincanglah mengenai urusanmu dengan orang-orang yang takutkan Allah".

Al Wasiti r.a berkata: "Manusia yang paling pengasih ialah ulama, kerana perasaan takut mereka kepada Allah dan kebimbangan mereka terhadap apa yang diajar oleh Allah SWT".

Banyak ayat dan hadis yang menyebut tentang kemuliaan ilmu atau ulama. Rasulullah SAW pernah bersabda: "Penuntut ilmu dijamin oleh Allah rezekinya".

Ketahuilah, bahawa ilmu yang diulang-ulang sebutannya di dalam al-Quran dan hadis Nabi SAW ialah ilmu yang bermanfaat yang disertai oleh perasaan takut kepada Allah. Bahkan, ilmu yang bermanfaat juga ialah ilmu yang mampu menguasai nafsu dan mengekang syahwat.

Disebut juga, ilmu yang bermanfaat ialah ilmu yang membantu pemiliknya mentaati Allah, dan berdiri di atas landasan agama Allah.

Sebahagian Salaf berkata: "Sesiapa yang bertambah ilmunya, maka bertambah jugalah kekhusyukannya (kerendahan hatinya)".

Seorang lelaki bertanya kepada Sheikh Junaid al Baghdadi r.a: "Apakah ilmu yang paling berguna?" Jawabnya, "Ilmu yang menunjukkan kamu kepada Allah SWT dan menjauhkan kamu daripada menurut hawa nafsumu".

Beliau berkata lagi: "Ilmu yang bermanfaat ialah ilmu yang menunjukkan pemiliknya kepada sifat tawaduk, sentiasa bermujahadah, menjaga hati, menjaga anggota zahir dari melakukan maksiat, takut kepada Allah, berpaling daripada dunia dan penuntut dunia, menjauhi orang-orang yang mengasihi dunia, meninggalkan apa yang ada di dunia kepada ahli dunia, suka memberi nasihat kepada makhluk, baik perilaku terhadap makhluk, suka duduk bersama golongan fuqara, memuliakan kekasih-kekasih Allah dan menghadapkan diri kepada apa yang mereka utamakan.

"Apabila orang alim yang mencintai dunia dan ahlinya, dan mengumpulkan dunia melebihi daripada keperluannya, maka dia akan lalai daripada akhirat dan ketaatan kepada Allah mengikut kadar kecintaannya kepada dunia".

Allah SWT berfirman (maksudnya): Mereka hanya mengetahui perkara yang zahir nyata dari kehidupan dunia sahaja, dan mereka tidak pernah ingat hendak mengambil tahu tentang hari akhirat. (al-Rum: 7)

Rasulullah SAW bersabda: "Siapa yang kasihkan dunia, maka dia telah membahayakan akhiratnya dan siapa yang kasihkan akhirat maka dia telah membahayakan dunianya. Justeru ingatlah, utamakanlah suatu yang kekal (akhirat) daripada yang akan rosak binasa (dunia)". (riwayat Imam Ahmad dan al Hakim)

Fudhail ibn 'Iyadh berkata: "Orang alim ialah doktor agama dan cinta dunia ialah penyakit agama. Apabila doktor telah memasukkan atau mengheret penyakit ke dalam dirinya, maka bilakah masanya dia boleh mengubati orang lain".
Sesiapa yang ilmunya memandunya kepada menuntut dunia, ketinggian di dalamnya, jawatan dan pandangan makhluk, maka ia adalah ilmu yang tidak bermanfaat. Bahkan, dia tertipu dengan ilmunya.

Tidak ada kerugian yang lebih besar daripada rosaknya orang alim dengan ilmunya yang diharapkan dapat menyelamatkannya. Kami memohon dengan Allah daripadanya.

Ilmu yang bermanfaat juga ialah ilmu yang diamalkan. Ulama mengumpamakan orang yang menghabiskan banyak waktu menuntut ilmu, duduk selama 40 atau 50 tahun belajar tanpa beramal, seperti orang yang asyik bersuci selama waktu itu dan memperbaharui wuduknya tetapi tidak solat walau satu rakaat.

Ini kerana maksud atau tujuan suatu ilmu ialah beramal dengannya sebagaimana tujuan berwuduk adalah untuk melakukan solat.

Berkata sebahagian ulama: "Kalaulah ilmu tanpa takwa itu penentu suatu kemuliaan, nescaya semulia-mulia makhluk Allah ialah iblis".

Artikel ini dipetik dari Ruangan Bicara Agama, Utusan Malaysia keluaran 21 Zulkaedah 1430/9 November 2009.

Isnin, November 02, 2009

Kewajipan Mencintai Keluarga Nabi SAW






PERARAKAN sempena Maulidur Rasul adalah antara cara memupuk kecintaan terhadap Rasulullah SAW.





RATA-RATANYA masyarakat Islam keliru mengenai apakah pegangan sebenar Ahli Sunnah Wal Jamaah terhadap ahli keluarga Nabi SAW. Kekeliruan ini membuatkan ramai di kalangan kita tidak mahu menyentuh permasalahan mengenai hak-hak Ahli Bait barangkali kerana khuatir terlibat dengan fahaman puak Syiah dan Rafidhah.

Sebahagian yang lain menganggap ia bukanlah suatu permasalahan yang penting untuk diambil berat dan diperbahaskan dengan panjang lebar.

Walau apa pun alasannya, perbuatan dan perkataan salafussoleh serta ulama telah bersalahan dengan pendirian mereka. Pendapat salaf juga menjadi bukti dan hujah bahawa mereka tidak pernah meletakkan perbahasan mengasihi Ahli Bait sebagai perkara sampingan dan hal remeh-temeh.

Sebabnya, mereka sedar dengan sebenar-benar kesedaran bahawa mencintai dan memuliakan ahli keluarga Nabi SAW adalah perintah yang wajib dijunjung walau di mana mereka berada.

Secara umumnya perintah memulia dan mencintai ahli keluarga Nabi SAW termaktub di dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Katakanlah (Wahai Nabi Muhammad): Bahawa aku tidak meminta sebarang upah di atas seruan dakwahku ini melainkan agar kalian mencurahkan rasa kasih sayang terhadap al-Qurba (kaum kerabat Rasulullah SAW). (as-Syuura: 23)

Demikian juga diriwayatkan dalam banyak hadis mengenai tuntutan mencintai dan memuliakan Ahli Bait seperti sabda Nabi SAW yang bermaksud: Aku ingatkan kamu kepada Allah (agar mencintai dan memuliakan) ahli keluargaku. (riwayat Muslim, Tarmizi, al-Nasa'i, Ahmad dan al-Hakim).

Di dalam hadis yang lain pula Baginda SAW bersabda, maksudnya: "Sesungguhnya aku tinggalkan buat kalian dua bekalan iaitu Kitabullah dan keturunanku Ahli Bait. Sesungguhnya Allah Yang Maha Pelembut dan Maha Mengetahui telah memberitahuku bahawa kedua-duanya tidak akan berselisih sehinggakan kedua-duanya masuk ke syurga, maka lihatlah bagaimana kalian melanjutkan kepimpinanku terhadap dua perkara ini". (Dikeluarkan oleh al-Haytami dalamMajma' al Zawaid)

Daripada dalil-dalil di atas, nyatalah kepada kita bahawa mencintai dan memuliakan Ahli Bait adalah merupakan perintah yang terbit dari pelita al-Quran dan Sunnah Nabi SAW.


Salafussoleh dan Ahli Bait

Para salafussoleh r.a tidak membiarkan firman Allah SWT dan hadis-hadis yang terlalu banyak menekankan peri pentingnya mencintai dan memuliakan Ahli Bait sebagai kalam yang sia-sia. Mereka telah mempraktikkan semua ini sepanjang kehidupan mereka dan menyemai rasa kasih dan penghormatan terhadap Ahli Bait ke dalam hati anak-anak mereka sejak kecil lagi.

Saidina Abu Bakar al Siddiq r.a pernah berkata: "Demi jiwaku yang berada di dalam kekuasaan-Nya, aku lebih suka menyambungkan silaturrahim dengan kerabat Rasulullah SAW daripada kerabatku. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Saidina Umar ibn al-Khattab r.a pula pernah menyatakan kepada Saidina Abbas r.a dengan katanya: "Demi Allah! Keislaman kamu pada hari kamu memeluk Islam lebih aku sukai daripada pengislaman al-Khattab (iaitu bapanya), kerana keIslaman kamu lebih dikasihi oleh Rasulullah SAW daripada pengislaman al-Khattab". (riwayat Ibnu Saad di dalam al-Tobaqat).

Demikian juga perbuatan Saidina Zaid ibn Thabit r.a yang mencium tangan Ibnu Abbas r.a lalu berkata: "Beginilah kami diperintahkan agar menghormati ahli keluarga Nabi kami".

Seorang cucu Rasulullah SAW yang bernama Abdullah ibn Hasan ibn Hasan berkata: "Aku telah datang menemui Umar ibn Abdul Aziz dengan membawa hajatku. Maka dia berkata kepadaku: Sekiranya kamu mempunyai sebarang hajat, maka utuskanlah seorang utusan kepadaku dan tulislah hajatmu itu kerana aku malu kepada Allah tatkala melihatmu berada di depan pintu rumahku".


Kecintaan Imam Mazhab Terhadap Ahli Bait

Imam-imam mazhab fiqh yang muktabar juga sentiasa meletakkan kedudukan Ahli Bait di tempat yang selayaknya seperti yang telah diperintahkan oleh Allah dan rasul-Nya.

Mereka hidup bergaul dengan zuriat Baginda SAW yang mendiami kota Madinah, Mekah dan bumi Syam dengan pergaulan yang baik, penghormatan dan kasih sayang demi meraih keredaan nenda mereka, Rasulullah SAW.
Imam Abu Hanifah r.a adalah di antara imam-imam Ahli Sunnah yang begitu mengasihi ahli keluarga Nabi SAW. Beliau telah berfatwa agar umat Islam memberikan wala' (kesetiaan), melazimi dan mentaati Saidina Ibrahim ibn Abdullah ibn al-Hasan ibn al-Hasan al-Muthanna ibn Ali r.a. Fatwanya ini menyebabkan beliau dipenjara tetapi diuar-uarkan bahawa beliau dihukum penjara kerana menolak jawatan kadi yang ditawarkan kepadanya.

Imam Malik ibn Anas r.a juga telah memuliakan dan berfatwa agar umat Islam memberi ketaatan kepada Saidina Ibrahim ibn Zaid ibn Ali Zain al-Abidin ibn al-Husain ibn Ali r.a. Lantaran daripada itu, beliau dipenjarakan selama beberapa tahun.

Imam Muhammad ibn Idris al-Syafie pula adalah di kalangan imam yang paling tebal kecintaannya terhadap ahli keluarga Nabi SAW. Beliau menegaskan di dalam serangkap syairnya yang bermaksud: "Sekiranya mencintai ahli keluarga Nabi SAW menjadikan seseorang itu digelar Rafidhah, maka saksikanlah wahai manusia dan jin bahawa aku adalah Rafidhah".

Di dalam sebuah syairnya yang lain beliau menyatakan: "Wahai Ahli Bait Rasulullah! Cinta terhadap kalian adalah satu kewajipan di dalam al-Quran yang diturunkan Allah, Cukuplah bukti betapa tingginya kedudukan kalian, sesiapa yang tidak bersalawat ke atas kalian di dalam solat, maka tidak sempurnalah solatnya".

Diriwayatkan oleh muridnya bernama al-Rabi' bahawa: Ketika kami pergi mengerjakan haji bersama Imam Syafie r.a, kami melihat beliau tidak akan mendaki suatu tempat yang tinggi atau turun ke kawasan lembah, melainkan beliau akan menangis dan mendendangkan syairnya yang bermaksud: "Ahli keluarga Nabi adalah perisaiku dan mereka adalah wasilahku kepada Allah, aku berharap kelak dengan keberkatan mereka, agar diserahkan sahifah (catatan amalan) di tangan kananku".


Mencintai Ahli Bait di sisi Ahli Sunnah Wal Jamaah

Sesungguhnya Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah kelompok umat Islam yang paling benar dan tepat dalam mempersembahkan kasihnya terhadap ahli keluarga Nabi SAW.

Kecintaan mereka pada hakikatnya berbeza dengan pegangan kaum Syiah yang bersifat melampau dalam mengagungkan Ahli Bait. Kecintaan mereka yang berpaksikan kepada al-Quran dan Sunnah ini merumuskan kepada kita kepada beberapa perkara:


  • Ahli Sunnah mewajibkan pengikutnya mencintai dan memuliakan semua Ahli Bait dan sahabat-sahabat Baginda SAW kerana tanda kasih yang tulus terhadap Nabi SAW ialah dengan mengasihi dan memuliakan Ahli Bait dan para sahabat baginda.
  • Ahli Sunnah berlepas diri (tiada kena mengena) dengan jalan orang yang melakukan pelampauan ke atas keluarga Nabi SAW seperti mana amalan kaum Rafidhah yang tercela.
  • Ahli Sunnah memuliakan isteri-isteri Nabi SAW serta mendoakan agar Allah SWT meredai mereka setiap kali disebut nama-nama mereka. Pemilihan mereka sebagai isteri adalah dari perbuatan Nabi SAW yang maksum. Sekiranya kita mencerca mereka seperti amalan kaum Syiah, secara tidak langsung kita mempertikaikan kemaksuman Rasulullah SAW.
  • Ahli Sunnah menyifatkan Ahli Bait sebagaimana yang disyariatkan dan digariskan oleh al- Quran dan Sunnah, bukan mengasihi mereka untuk menjayakan syiar dan muslihat politik seperti mana amalan kaum Syiah.
  • Ahli Sunnah tidak mengiktikadkan bahawa Ahli Bait adalah maksum, bahkan mereka juga manusia biasa yang tidak terlepas dari melakukan dosa sebagaimana manusia yang lain.
  • Ahli Sunnah beriktikad bahawa perkataan dan pendapat yang menyebut tentang kelebihan atau kemuliaan Ahli Bait tidaklah bermaksud melebihkan mereka pada setiap keadaan atau setiap orang. Bahkan dari beberapa sudut yang lain terdapat individu-individu lain yang lebih afdal daripada mereka.

Demikian juga terdapat banyak kitab karangan ulama fiqh, hadis dan tafsir mengenai gesaan mencintai dan memuliakan ahli keluarga Nabi SAW. Di antara mereka ialah al-Hafiz Jalaluddin al-Suyuti r.a.

Beliau telah menulis sebuah risalah bertajuk Ihya' al-Mayyit Bi Fadhail Aalil Bait yang menghimpunkan 60 buah hadis yang membicarakan tentang tuntutan mengasihi, keutamaan dan kelebihan ahli keluarga Nabi SAW.

Artikel ini dipetik dari ruangan Bicara Agama, Utusan Malaysia keluaran 14 Zulkaedah 1430/02 November 2009.