Isnin, Mac 29, 2010

Rasulullah SAW di Mata Sahabat


PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN


PADA minggu sebelum ini, kami membicarakan serba ringkas mengenai tuntutan memuliakan Rasulullah SAW dan perbezaan di antara maksud menyembah dan membesarkan Rasulullah SAW.

Menyambung tajuk tersebut, pada kali ini kami tidak berhasrat untuk mengemukakan dalil-dalil selanjutnya. Melihat kepada ruangan yang agak terhad kami ingin mengajak pembaca melihat bagaimana kuat dan tingginya kecenderungan para sahabat memuliakan dan mengagungkan Rasulullah SAW.

Ini adalah jalan yang paling mudah untuk kita melihat dan mengetahui cara yang sepatutnya kita menyanjung Rasulullah SAW dan bagaimana seharusnya kita meletakkan pandangan dan ikatan hati kita terhadap Baginda SAW.


Kelebihan para sahabat


Al-Quran dan hadis telah mencatatkan para sahabat ialah insan-insan agung dan jaguh-jaguh yang menjuarai keseluruhan gelaran terhebat dalam segenap aspek kehidupan duniawi dan ukhrawi.

Mereka adalah para penghulu yang mempunyai pencapaian tertinggi dalam ibadah dan pendekatan diri kepada Allah.
Mereka juga adalah sahabat-sahabat yang menjuarai gelaran tertinggi dalam persahabatan dan menjaga etika persahabatan dengan Rasulullah SAW.

Sehingga mereka merangkul gelaran pejuang terhandal dan terkuat mempertahankan Rasulullah SAW dan agama yang dibawa oleh Baginda SAW.

Apa yang jelas, sehebat mana pun manusia yang datang selepas para sahabat, tiada seorang pun yang dapat menandingi ketinggian dan ganjaran pahala yang dikurniakan kepada mereka.

Rasulullah SAW bersabda: "Sekiranya seseorang kamu membelanjakan emas setinggi gunung Uhud pun, nescaya tidak akan mencapai satu gantang seseorang daripada mereka, apatah lagi setengah daripadanya".


Keghairahan para sahabat memuji Nabi SAW


Mereka juga adalah insan yang paling kuat memuji dan mengagungkan Rasulullah SAW sehinggakan dilihat Nabi SAW sentiasa menjadi keutamaan mereka yang lebih utama daripada diri dan nyawa mereka sendiri.

Nama Rasulullah SAW sentiasa meniti di bibir mereka, wajah Nabi SAW sentiasa bertakhta di hati mereka dan keindahan Rasulullah SAW sentiasa menambat hati mereka.

Tidak ada dalam Islam tegahan daripada memuji baginda SAW. Yang ada hanya tegahan menyamatarafkan baginda SAW dengan manusia yang lain dan tegahan daripada menyamatarafkan baginda SAW dengan Allah atau menyatakan baginda SAW adalah anak tuhan seperti yang dipercayai oleh penganut ajaran Kristian.

Sirah para sahabat dipenuhi dengan kata-kata pujian dan sanjungan mereka terhadap Rasulullah SAW. Bagaimana mungkin seorang insan yang dimuliakan oleh Allah dengan sifat-sifat keistimewaan dan dinobatkan dengan ketinggian kesempurnaannya tidak menarik hati manusia untuk menyayangi dan melantunkan kata-kata pujian memujinya.

Jika Heraclius seorang raja dari bangsa Eropah yang duduk di singgahsana yang indah dan memiliki kedudukan di sisi rakyatnya terlontar di lidahnya kata pujian terhadap baginda SAW apabila mengetahui sifat-sifat Nabi SAW, bagaimana pula hati seorang Muslim yang disuluhi cahaya kebenaran dan keimanan?

Abu Sufyan pernah mengaku secara jujur rasa kagumnya melihat kecintaan para sahabat terhadap Nabi SAW dengan berkata: "Aku tidak pernah melihat dari kalangan manusia seseorang yang mencintai seseorang seperti kecintaan sahabat-sahabat Muhammad terhadap Muhammad".

Amru ibn al 'As r.a pernah berkata: Tidak ada seorang pun yang lebih aku cintai daripada Rasulullah SAW. Tidak ada seorang pun yang lebih agung pada pandanganku daripadanya. Aku tidak mampu memenuhi pandangan mataku dengan sifat-sifatnya, kerana terlalu mengagungkannya. Seandainya aku diminta untuk menggambarkan peribadi Baginda SAW, pasti aku tidak akan mampu kerana aku tidak mampu memenuhi pandangan mataku dengan kehebatannya. (riwayat Muslim)

Mereka terlalu mengagungkan Rasulullah SAW dan menjaga peradaban dan tingkah laku terhadap baginda SAW sama ada ketika Rasulullah berada di hadapan mereka atau tidak.

Imam Tirmizi r.a meriwayatkan hadis daripada Anas r.a: Bahawa Rasulullah SAW pernah menemui para sahabatnya daripada golongan Ansar dan Muhajirin ketika mereka sedang duduk. Di antara mereka terdapat Abu Bakar dan Umar ibn al Khattab. Tidak seorang pun di antara mereka yang mengangkat pandangan kepada Rasulullah SAW kecuali Abu Bakar dan Umar al Khattab. Kedua-duanya memandang baginda SAW dan Nabi SAW memandang mereka berdua.
Mereka berdua tersenyum kepada baginda SAW, dan baginda juga tersenyum kepada mereka berdua".

Usamah ibn Syarik r.a berkata: "Aku mendatangi Rasulullah SAW ketika para sahabat berada di sekeliling baginda SAW. Aku lihat seakan-akan terdapat burung di atas kepala mereka".

Apabila Nabi Muhammad SAW berbicara, maka mereka yang duduk bersamanya akan menundukkan kepala mereka, seakan-akan terdapat burung di atas kepala mereka.

'Urwah ibn Mas'ud pernah menyaksikan betapa besar penghormatan dan pengagungan para sahabat r.a terhadap Rasulullah SAW ketika dia diutuskan oleh kaum Quraisy kepada Rasulullah SAW pada Tahun Perjanjian Hudaibiah.

Menurut Urwah, jika Nabi SAW berwuduk, air wuduknya menjadi rebutan para sahabat hingga mereka hampir berbunuh-bunuhan kerananya. Tidaklah baginda SAW berludah dan berkahak, melainkan mereka menadahnya dengan telapak tangan mereka, lalu menggosok-gosokkannya ke muka dan badan mereka.

Tiada sehelai rambut baginda SAW yang jatuh ke tanah, kecuali mereka berebut-rebut mengambilnya. Apabila baginda mengeluarkan suatu perintah, mereka segera melakukannya.

Apabila baginda berbicara, mereka merendahkan suara di hadapannya. Mereka tidak menajamkan pandangan mereka kepada baginda SAW kerana membesarkannya.

Ketika kembali kepada kaum Quraisy yang mengutusnya, 'Urwah ibn Mas'ud berkata: "Wahai bangsa Quraisy! Sesungguhnya aku pernah menemui Kisra (Raja Farsi) dalam kerajaannya dan aku juga pernah menemui Qaisar (Raja Rom) di dalam kerajaannya. Aku juga pernah melihat Najasyi (Raja Habsyah) di dalam kerajaannya. Demi Allah! Sesungguhnya aku tidak pernah melihat seorang raja pada suatu kaum seperti Muhammad SAW dengan para sahabatnya".

Dalam riwayat yang lain, dia berkata: "Tidak pernah sekali pun aku melihat seorang raja yang diagungkan oleh rakyatnya, sebagaimana Nabi Muhammad SAW diagungkan oleh para sahabatnya. Sesungguhnya, aku telah melihat suatu kaum yang tidak akan menyerahkannya (Muhammad SAW) kepada musuh-musuhnya untuk selama-lamanya".

Lihatlah bagaimana para sahabat begitu mengagungkan Nabi Muhammad SAW dengan pelbagai kebesaran. Mereka tidak pernah dikatakan musyrik atau kafir kerana menyanjung baginda SAW. Mereka telah menjaga hak ketuhanan dan kerasulan dengan sempurna.

Bagaimana pula dengan kita? Adakah sirah para sahabat yang menjadi ikutan atau amalan jahiliah yang kita amalkan?
Menyempitkan perbicaraan mengenai perkara yang luas ini hanya akan menjauhkan umat manusia daripada Nabi SAW dan dari menghayati keindahan Islam itu sendiri.

Ini secara tidak langsung akan menjauhkan umat Islam dari roh Islam yang sebenar kerana Rasulullah SAW adalah lambang dan simbol kepada roh Islam yang sejati.

Ketandusan roh Islam dalam jiwa umat Islam akan melahirkan umat Islam yang lemah, lesu dan mudah diperkotak-katikkan oleh agenda musuh-musuh Islam.

Artikel ini dipetik dari Ruangan Bicara Agama, Utusan Malaysia keluaran 6 Rabiulakhir 1431 / 23 Mac 2010

Isnin, Mac 22, 2010

Jangan Abai Hak RasuluLlah SAW


Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN


SENARIO begini lumrah kelihatan acap kali tiba hari keputeraan junjungan besar Nabi Muhammad SAW.


SUDAH menjadi agenda terpenting dalam setiap majlis Maulid Nabi SAW, ucapan selawat dan memuji Baginda dialunkan dan dikumandangkan. Selain mendapatkan pahala dan keberkatan, majlis ini juga berperanan mendekatkan umat Islam kepada nabi mereka dalam rangka mengingatkan umat Islam tentang ketinggian dan keluhuran agama Islam yang dibawa Baginda SAW.

Namun, dalam kerancakan penganjuran maulid, dalam keindahan suasana keistimewaan dan ketinggian Rasulullah SAW dihayati dan dimartabatkan, ada terdengar suara-suara sumbang yang menempelak majlis seperti ini kerana dikatakan mengandungi unsur ghuluw (pelampauan) dalam memuji Baginda SAW.

Setakat manakah kebenaran dakwaan mereka ini? Jika memuji Nabi SAW dikatakan boleh membawa kepada perbuatan menyamatarafkan kedudukan Baginda SAW dengan Allah SWT, bagaimanakah pula dengan pujian dan sanjungan tinggi menjulang yang diberikan kepada manusia-manusia lain yang jauh lebih rendah kedudukannya daripada Nabi Muhammad?

Pada minggu lepas, kita telah membicarakan bahawa Baginda SAW juga adalah seorang insan ciptaan Allah, tetapi berbeza daripada manusia lain dengan dikurniakan pelbagai keistimewaan tertentu oleh Allah.
Justeru, memandang Baginda sebagai seorang manusia semestinya disertai dengan pandangan istimewa sesuai dengan kedudukan Baginda yang telah dimartabat dan dijulang oleh Allah dan bukannya menurut pandangan mereka yang terkesan dengan fahaman Jahiliah.

Jika kita tidak menyingkap ayat-ayat al-Quran dan hadis yang sarat membicarakan perkara ini pun, akal yang sejahtera sudah boleh menerima dan mudah untuk memahaminya.

Seseorang yang ditugaskan membawa suatu risalah yang agung daripada Tuhan Yang Maha Agung sudah tentu mempunyai ciri-ciri istimewa dan khusus bagi memastikan risalah agung itu dapat disampaikan dengan sempurna.


Salah faham makna ta'zhim dan ibadah

Masalah ini hanya terjadi apabila seseorang itu tidak dapat memahami dengan jelas tentang hakikat ta'zhim (mengagungkan atau membesarkan) dan hakikat ibadah (penyembahan).

Mereka juga tidak dapat membezakan antara dua kedudukan iaitu kedudukan Allah dan makhluk di mana setiap kedudukan mempunyai hak-haknya yang khusus.

Oleh itu, mereka mencampuradukkan di antara kedua-duanya dan menganggap apa jua bentuk ta'zhim yang dilakukan merupakan suatu penyembahan kepada yang diagungkan. Rentetan itu, perbuatan berdiri bagi menghormati orang yang mulia, mencium tangan, membesarkan Nabi Muhammad SAW dengan menyematkan gelaran Sayyid dan Maulana, berdiri di hadapan Nabi SAW ketika menziarahinya dengan adab-adab yang baik, penuh hormat dan merendah diri; semuanya dianggap ghuluw (berlebih-lebihan dan melampau) di sisi mereka, hingga membawa kepada penyembahan kepada selain Allah SWT.

Hakikatnya, anggapan seperti ini merupakan suatu kejahilan dan kesilapan, bahkan Allah dan Rasul-Nya tidak reda terhadapnya dan ia tidak sejalan dengan roh syariat Islam.


Sujud para malaikat kepada Nabi Adam

Kita sedia maklum, Nabi Adam as merupakan insan dan hamba Allah yang soleh dan pertama daripada jenis manusia. Allah SWT telah memerintahkan para malaikat supaya sujud kepadanya sebagai memuliakan dan membesarkan ilmunya dan sebagai pemberitahuan kepada mereka, bahawa Allah telah memilih Adam as menjadi Nabi daripada sekalian makhluk-Nya. Ini dijelaskan dalam surah al-Isra' ayat 61 hingga 62. Begitu juga dalam surah (Saad ayat 76 dan surah al-Hijr ayat 30 hingga 31.

Dari ayat-ayat ini kita melihat, para malaikat turut mengagungkan insan yang diagungkan oleh Allah SWT, cuma Iblis bersikap takbur dan enggan sujud kepada makhluk yang diciptakan daripada tanah. Alasan yang dikemukakan, ia diciptakan daripada api, sedangkan Nabi Adam diciptakan daripada tanah, sehingga ia enggan memuliakan Adam a.s dan tidak mahu sujud kepadanya.

Iblis adalah makhluk pertama yang bersikap takbur dan tidak mahu mengagungkan insan yang diagungkan oleh Allah SWT. Lantaran itu, ia diusir dan dihalau jauh daripada rahmat Allah kerana sikap sombong dan takbur terhadap hamba yang soleh.

Pada hakikatnya, sikap takbur iblis itu merupakan suatu kesombongan terhadap Allah kerana sujud itu sebenarnya kepada Allah; sebagai menurut perintah-Nya. Ini menjelaskan kepada kita perintah sujud tersebut adalah sebagai suatu penghormatan kepada Nabi Adam dan bukannya suatu penyembahan.


Hak-hak Rasulullah

Adapun hak Nabi SAW supaya diagungkan dan dimuliakan adalah sebagaimana perintah Allah SWT dalam al-Quran:
Sesungguhnya Kami telah mengutusmu (wahai Muhammad) sebagai Rasul yang menjadi saksi (yang diterima keterangannya), dan sebagai pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman), serta pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar). (Kami mengutusmu wahai Muhammad) supaya engkau dan umatmu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, dan supaya kamu kuatkan agamanya dan memuliakannya. (al Fath: 8-9)

Dalam ayat lain, disebutkan: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu memandai-mandai (melakukan sesuatu perkara) sebelum (mendapat hukum atau kebenaran) Allah dan Rasul-Nya. (al-Hujurat: 1)

Allah juga berfirman: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengangkat suara cakap kamu melebihi suara cakap Nabi SAW. (al Hujurat: 2)

Dalam ayat yang lain pula disebut: Janganlah kamu jadikan seruan atau panggilan Rasulullah di antara kamu sama seperti seruan atau panggilan sesama kamu. (al-Nur: 63)

Umat Islam dilarang mendahului Nabi Muhammad SAW dalam berkata-kata ketika berada di hadapan Baginda. Bahkan, mendahului percakapan Nabi SAW dianggap sebagai akhlak atau adab yang buruk.

Kita juga dilarang mendahului Baginda atau tergesa-gesa menghukum suatu perkara sebelum Baginda menentukan hukumannya, ataupun berfatwa tentang apa sahaja perkara; baik berkaitan dengan peperangan, mahupun hal-hal lain yang berkaitan dengan urusan agama kecuali dengan perintahnya. Kemudian Allah menasihatkan dan memperingatkan
umat Islam agar tidak menyalahi perintah tersebut, sebagaimana menurut surah al-Hujurat ayat 1 tadi.

Al Sulami ra. berkata tentang maksud ayat ini, "Maksudnya adalah bertakwalah kamu kepada Allah dengan tidak meremehkan atau mengabaikan hak-hak Nabi Muhammad SAW dan mensia-siakan kehormatannya, kerana sesungguhnya Allah Maha Mendengar segala perkataan kamu dan Maha Mengetahui segala perbuatan kamu".

Dalam ayat seterusnya, Allah SWT melarang umat Islam daripada meninggikan suara melebihi suara Nabi SAW dan mengeraskan suara kepada Baginda SAW seperti percakapan sesama rakan biasa. Menurut pendapat yang lain, maksudnya Allah SWT melarang umat Islam memanggil Baginda SAW seperti panggilan sesama mereka dengan menyebut namanya sahaja. Tetapi hendaklah mengagungkan, menghormati dan memanggil Baginda SAW dengan semulia-mulia panggilan; yang disukainya, seperti panggilan, "Wahai Rasulullah!" dan "Wahai Nabi Allah!"

Allah juga memperingatkan orang yang bersikap biadap terhadap Rasulullah SAW dengan ancaman akan dihapuskan amalan mereka jika mereka melakukan perbuatan yang tidak sopan terhadap Rasulullah SAW. Bahkan, Allah mencela mereka dengan menganggap mereka sebagai orang yang bodoh dan menyifatkan mereka sebagai orang yang tidak berakal.

Perintah dan peringatan Allah di atas ini jelas menunjukkan ketinggian Baginda SAW di sisi-Nya yang wajib kita muliakan dan besarkan sepanjang masa.

Tidak timbul dalam menyempurnakan hak dan adab terhadap Baginda SAW, soal penyembahan Nabi Muhammad SAW selagi seseorang itu mengetahui yang mana menjadi hak Allah dan yang mana menjadi hak Rasulullah SAW.

Perbincangan selanjutnya akan menyusul minggu hadapan.

Artikel ini dipetik dari Ruangan Bicara Agama, Utusan Malaysia keluaran 15 Mac 2010 / 30 Rabiulawal 1431

Isnin, Mac 08, 2010

RasuluLlah Manusia Istimewa


Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA NEGERI SEMBILAN


SELAKU umat Islam, kita meyakini dan mempercayai bahawa Nabi Muhammad SAW ialah manusia yang harus berlaku ke atas Nabi SAW apa yang harus ke atas manusia yang lain.

Ia seperti mengalami hal-hal yang mendatang dan ditimpa penyakit yang tidak mengurangi kewibawaan baginda SAW sebagai seorang nabi dan tidak menyebabkan orang menjauhkan diri daripadanya.

Nabi Muhammad SAW juga adalah seorang hamba Allah SWT yang tidak memiliki kekuasaan pada dirinya untuk menolak sebarang kemudaratan atau mendatangkan manfaat, memati atau menghidupkan atau membangkitkan, kecuali apa yang dikehendaki oleh Allah SWT.

Allah SWT berfirman: Katakanlah, "Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Dan kalau aku mengetahui (perkara-perkara) yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman. (al-A'raf: 188)

Sesungguhnya Nabi SAW telah menyampaikan risalah dengan sempurna, menunaikan amanah, menasihati ummah, menghapuskan dukacita dan berjihad di jalan Allah sehingga kewafatan baginda SAW. Kemudian baginda kembali ke hadrat Tuhannya dalam keadaan reda dan diredai, sebagaimana firman Allah SWT: Sesungguhnya engkau (wahai
Muhammad!) akan mati, dan sesungguhnya mereka juga akan mati. (al Zumar: 30)

Sifat 'ubudiyyah (perhambaan) adalah semulia-mulia sifat baginda SAW. Oleh kerana itu, baginda amat berbangga dengannya sebagaimana sabdanya: "Sesungguhnya aku hanyalah seorang hamba Allah".

Allah SWT telah menyifatkan nabi SAW sebagai hamba-Nya, pada setinggi-tinggi kedudukan ketika Allah menceritakan
anugerah Isra' kepada baginda sebagaimana firman-Nya: Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya…(al-Isra: 1)

Begitu juga firman Allah: Dan sesungguhnya tatkala hamba Allah (Nabi Muhammad SAW) berdiri mengerjakan ibadat kepada-Nya, mereka (golongan jin yang mendengar bacaan ayat al-Quran baginda di dalam solatnya) hampir-hampir menindih satu sama lain mengerumuninya. (al Jin: 19)

Sifat manusiawi Nabi SAW inilah merupakan mukjizat baginya. Baginda SAW adalah manusia seperti manusia yang lain, tetapi baginda jelas jauh berbeza daripada manusia umum; tanpa ada seorang manusia pun yang dapat menandinginya atau menyamainya.

Baginda SAW sendiri pernah bersabda di dalam hadis sahih mengenai keistimewaan dirinya: "Sesungguhnya aku tidak seperti keadaan kamu. Aku tidur di sisi Tuhanku dalam keadaan diberi makan dan minum".

Dengan ini, jelaslah bahawa menyifatkan Rasulullah SAW sebagai manusia biasa wajib disertai dengan keistimewaannya yang membezakannya daripada manusia umum; dengan menyebut keistimewaannya yang tersendiri dan biografinya yang terpuji.

Tuntutan ini bukan sahaja khusus terhadap Rasulullah SAW, bahkan terhadap nabi-nabi dan rasul-rasul yang lain supaya pandangan kita terhadap mereka bersesuaian dan layak dengan martabat dan kedudukan mereka.

Jika kita memandang mereka hanya sebagai manusia biasa semata-mata, tanpa mengaitkannya dengan ciri-ciri khusus atau istimewa mereka sebagai nabi dan rasul, maka kita telah terjerumus ke dalam tradisi dan sikap orang jahiliah.

Di dalam al-Quran, terdapat banyak ayat yang menyentuh hal tersebut. Antaranya, perkataan kaum Nabi Nuh a.s
mengenai nabi mereka sebagaimana yang dihikayatkan oleh Allah dalam firman-Nya: Maka berkatalah ketua-ketua yang kafir daripada kaumnya, "Kami tidak memandangmu (wahai Nuh!) melainkan sebagai seorang manusia seperti kami". (Hud: 27)

Ayat yang lain adalah perkataan kaum Nabi Musa a.s dan Harun a.s mengenai nabi mereka sebagaimana yang dihikayatkan oleh Allah SWT dalam al-Quran: Sehingga mereka berkata (dengan angkuhnya), "Patutkah kita beriman kepada dua manusia seperti kita, sedangkan kaum mereka (Bani Israel) menjadi orang-orang suruhan kita?" (al-Mukminun: 47)

Begitu juga dengan apa yang dikatakan oleh kaum Thamud kepada nabi mereka, iaitu Nabi Saleh a.s, sebagaimana yang dikisahkan oleh Allah dalam al-Quran: Engkau hanyalah seorang manusia seperti kami; oleh itu, bawakanlah satu tanda (mukjizat) jika betul engkau daripada orang-orang yang benar. (al-Syu'ara': 154)

Hal yang sama pernah juga dilakukan oleh kaum Nabi Syuaib a.s yang memandang nabi mereka sebagai manusia biasa, bahkan sebagai seorang pendusta, sebagaimana yang dikisahkan oleh Allah melalui firman-Nya: Mereka berkata, "Sesungguhnya engkau adalah dari kalangan pelaku sihir. Dan engkau hanyalah seorang manusia seperti kami; dan sesungguhnya kami fikir engkau ini daripada orang-orang yang dusta. (al- Syu'ara': 185)

Begitu juga dengan apa yang dikatakan oleh orang musyrikin terhadap Nabi Muhammad SAW. Mereka hanya memandang nabi SAW sebagai manusia biasa, sebagaimana yang dikisahkan oleh Allah SWT dalam al-Quran: Dan mereka pula berkata, "Mengapa Rasul ini makan, minum dan berjalan di pasar-pasar (seperti manusia yang lain)?" (al-Furqan:7)

Rasulullah SAW sendiri telah menyatakan dalam sabdanya tentang kemuliaan yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepadanya dengan semulia-mulia sifat dan pelbagai perkara yang mencarik adat (mukjizat) yang membezakannya daripada manusia yang lain.

Di antaranya ialah sabda Rasulullah SAW mengenai peribadinya di dalam hadis sahih: "Kedua-dua mataku tidur, tetapi hatiku tidak tidur".

Di dalam hadis sahih yang lain, nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya aku dapat melihat kamu dari belakangku sebagaimana aku melihatmu dari depanku".

Baginda SAW juga bersabda: "Aku dianugerahkan kunci-kunci perbendaharaan bumi."

Meskipun pada fizikalnya, baginda SAW telah wafat, tetapi baginda masih hidup dengan kehidupan Barzakhiyyah (di alam barzakh) secara sempurna. Baginda SAW dapat mendengar perkataan orang yang masih hidup di dunia dan mendengar salam mereka serta menjawabnya.

Bahkan, disampaikan kepada baginda SAW setiap selawat yang diucapkan kepada Baginda SAW dan juga diperlihatkan kepadanya segala amal perbuatan umatnya.


Keampunan

Baginda SAW berasa senang dan gembira dengan amal soleh orang-orang yang baik, dan sentiasa meminta keampunan bagi umatnya yang melakukan dosa. Sesungguhnya, Allah SWT telah mengharamkan bumi ini daripada memamah jasad nabi SAW yang sentiasa terpelihara daripada sebarang kerosakan dan pemusnah yang terdapat di dalam bumi.

Diriwayatkan daripada Aus ibn Aus r.a, beliau berkata: Sabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya, di antara hari kamu yang paling mulia ialah hari Jumaat. Pada hari itulah, Nabi Adam a.s diciptakan dan pada hari itu juga beliau diwafatkan.
Pada hari Jumaat juga, terjadinya tiupan sangkakala, dan pada hari itu juga terjadinya so'iqah (petir dahsyat atau Kiamat). Maka perbanyakkanlah membaca selawat kepadaku pada hari itu kerana selawat kalian akan dipersembahkan kepadaku". Para sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah! Bagaimanakah selawat kami akan dipersembahkan kepadamu, padahal kamu telah binasa?" Baginda SAW bersabda, "Sesungguhnya Allah mengharamkan ke atas bumi ini daripada memamah jasad para Nabi". (riwayat Imam Ahmad, Abu Daud, Ibnu Majah, Ibnu Hibban di dalam Sohihnya dan Imam Hakim mensahihkannya.)

Al Hafiz Imam Jalaluddin al Suyuti r.a menulis risalah khusus mengenai perkara ini yang bertajuk Anba' al Azkiya' bi Hayah al Anbiya' (Perkhabaran Orang Cerdik Pandai Mengenai Kehidupan Para Nabi).

Diriwayatkan daripada Ibnu Mas'ud r.a, daripada Rasulullah SAW yang bersabda: "Kehidupanku adalah baik bagi kamu, kamu berbicara (bertanya masalah dan hukum kepada Baginda SAW) dan dibicarakan bagi kamu (dengan wahyu dan syariah daripada Allah melalui perantaraan Baginda SAW). Kewafatanku juga adalah baik bagi kamu kerana dibentangkan amalan kamu ke atasku. Apa yang aku lihat dari amalan itu baik, maka aku memuji Allah dan apa yang aku lihat dari amalan itu jahat, aku memohon keampunan kepada Allah untuk kamu". (Al Haithami mengatakan bahawa hadis ini diriwayatkan oleh al Bazzar, dan rijalnya adalah sahih)

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Tiada seorang pun yang mengucapkan salam ke atasku kecuali Allah mengembalikan kepadaku rohku, sehingga aku (dapat) menjawab salamnya". (riwayat Abu Daud dan Imam Ahmad)

Menurut sebahagian ulama, maksud Allah mengembalikan rohku adalah: "Allah mengembalikan kepadaku kemampuan berbicara".

Diriwayatkan pula daripada 'Ammar ibn Yasir r.a berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah SWT mewakilkan pada kuburku malaikat yang diberikan nama-nama makhluk kepadanya. Maka tidak ada seorang pun yang membaca selawat ke atasku hingga hari kiamat, melainkan dia menyampaikan kepadaku nama orang tersebut beserta nama ayahnya, "Ini Fulan ibn Fulan telah berselawat ke atasmu". (riwayat al Bazzar dan Abu al Sheikh Ibnu Hibban).

Berdasarkan hadis tersebut, jelaslah bahawa meskipun baginda telah wafat, tetapi kemuliaan, kedudukan dan pangkatnya yang tinggi di sisi Tuhannya tetap kekal dan tidak diragui lagi di sisi orang yang beriman.

Menganggap Nabi SAW sama sahaja dengan manusia yang lain pada semua keadaan dan sifat-sifat mereka adalah suatu tanggapan yang jelas salah dan kejahilan yang ditolak sama sekali oleh dalil-dalil yang sahih dari al-Quran dan sunnah.

Jika Nabi SAW tidak mempunyai ciri-ciri istimewa dan khusus, apakah hikmah dan faedah terpilihnya mereka menjadi nabi dari manusia yang lain? Tidak ada salahnya kita memuliakan dan memuji baginda SAW. Malah sememangnya kita digalakkan memuji dan memuliakan nabi SAW lebih-lebih lagi pada bulan kelahiran baginda SAW ini selagi ia tidak sampai menyamatarafkan baginda SAW dengan sifat-sifat ketuhanan.

Artikel ini dipetik dari Ruangan Bicara Agama, Utusan Malaysia keluaran 22 Rabiulawal 1431 / 8 Mac 2010

Sabtu, Mac 06, 2010

Kenapa Pertikai Maulid Nabi?

Oleh SHEIKH MUHAMMAD FUAD KAMALUDIN AL-MALIKI 




ALHAMDULILLAH sambutan umat Islam di serata pelosok dunia terhadap hari dan bulan kelahiran Nabi SAW tetap segar dan bersemangat.

Di negara kita sendiri, pelbagai bentuk sambutan yang diadakan di pelbagai peringkat mendapat sokongan dengan kehadiran begitu ramai anggota masyarakat.

Masih banyak majlis yang dijadualkan dalam masa terdekat sehingga mungkin melimpah keluar bulan Rabiulawal. Semua ini adalah suatu nikmat dan kurniaan istimewa daripada Allah SWT bagi umat dan negara kita.

Kita berdoa agar umat Islam di Malaysia akan sentiasa terkedepan dalam mengagungkan, menyanjung, mempertahankan dan membuktikan kecintaan kita terhadap Sayyiduna Muhammad SAW yang semuanya merupakan inti dan hakikat sambutan Maulid Nabi.

Kita berdoa agar sambutan Maulid Nabi di negara kita akan terus meriah dan lebih semarak walaupun terdapat suara-suara yang nampaknya tidak senang dan kelihatan seolah-olah alahan (alergik) dengan sambutan Maulid.

Pada tahun ini, suara-suara ini turut 'menumpang' isu pembatalan perarakan sambutan Maulid di sebuah negeri.
Sebenarnya, saban tahun, apabila datang sahaja bulan Maulid, ada sahaja suara-suara yang nampaknya bersumber daripada orang-orang yang sama yang mempertikaikan dan tidak senang dengan Maulid.

Sikap tidak senang ini disuarakan pada pelbagai tahap dan dengan pelbagai ibarat. Ada yang menafikan adanya keistimewaan atau fadilat Maulid Nabi SAW dan membanding-bandingkannya dengan keutamaan Nuzul Quran. Ada yang mengungkit-ungkit bahawa sambutan Maulid tidak pernah dibuat oleh Nabi SAW dan para sahabatnya (maksud bidaah yang sesat).

Ada pula yang memilih musim Maulid ini untuk menulis dan menekankan tentang soal keinsanan Nabi Muhammad SAW. Dan ada juga yang mempertikaikan cara dan kaedah sambutan itu diadakan.

Mereka yang faham dan mengenali suara-suara ini tidaklah terlalu terperanjat walaupun tetap menepuk dahi dan mengurut dada kerana sedih dan kesal dengan kekeliruan yang cuba dijaja dan kedegilan sikap yang ditonjolkan.

Mereka yang kurang mengerti dan memahami pula mungkin sedikit-sebanyak akan terkeliru dan timbul kesangsian terhadap sambutan Maulid. Apatah lagi jika isu ini turut bercampur dan bertindan dengan isu dan sentimen politik kepartian.

Bukanlah terlalu besar isunya, jikalau yang dipertikaikan tentang Maulid ini adalah kaedah dan cara sambutannya.
Prinsip-prinsip Islam dalam menentukan kaedah dan cara dalam sesuatu amalan sudah ada pada kita. Yang haram dan halal sudah jelas dalam Islam, manakala yang syubhah eloklah dijauhi.

Kita turut diajar berlapang dada dalam persoalan yang statusnya masih khilaf. Kita juga dilarang mempertikaikan niat orang lain serta perlu bersangka baik sesama Islam. Berbekalkan sikap ini soal-soal rinci seperti berarak atau tidak, pembaziran, percampuran dan batas aurat, lafaz dan bacaan selawat, berkompang dalam masjid dan sebagainya dapat
kita singkapi tanpa menimbulkan banyak masalah.

Malangnya, sebahagian suara yang alahan Maulid ini turut mempertikaikan prinsip dan hukum Maulid serta kewajaran dan kebijaksanaan menganjurkannya dari sisi Islam. Ini adalah soal yang lebih besar dan mendasar.

Kegelinciran kaki dalam hal ini boleh melibatkan soal-soal besar termasuklah menyakiti Nabi SAW, tidak beradab dengan Baginda SAW, menentang syiar Islam, menyesatkan para ulama dan umat Islam, memecahkan kesatuan umat dan seumpamanya.

Tidak hairanlah seorang tokoh ulama Yaman, al-Allamah Abu Abdullah 'Alawi al-Yamani turut memperuntukkan bab khusus tentang persoalan Maulid dalam kitabnya yang bertajuk Intabih Diinuka fi Khotrin (Awas, Agamu Dalam Bahaya!). Memang, jika tidak berhati-hati, kata-kata dan perbuatan kita dalam bab Maulid ini boleh membahayakan dan mengancam agama kita sebenarnya.

Kerangka Fikir Menolak Maulid

Jika diteliti, ada beberapa kerangka faham agama tertentu yang dipegangi oleh mereka yang alahan Maulid ini yang akhirnya menyebabkan mereka bersikap begitu. Kerangka faham agama yang sama juga menyebabkan mereka turut
berbeza sikap dengan majoriti umat dalam soal-soal tertentu seperti fiqh bermazhab, tasawuf, dan beberapa isu-isu
khilafiyyah.

Kita boleh menyimpulkan kerangka faham agama mereka ini kepada beberapa fahaman utama:

Pertamanya: Fahaman mereka yang ganjil berkenaan prinsip dan konsep bidaah. Mereka tidak mahu menerima pandangan ulama-ulama muktabar yang membahagikan bidaah kepada yang sesat dan yang terpuji. Bagi mereka semua bidaah dalam hal agama adalah sesat. Mereka keras berpegang dengan tafsiran literal dan sempit kepada hadis yang berkaitan persoalan bidaah ini.

Kedua: Mereka terlalu menekankan sikap Ittiba' (mematuhi) dalam sikap mereka terhadap Nabi SAW dan Sunnahnya.
Seterusnya, secara langsung atau tidak mereka ini sering mempertentangkan Ittiba' dengan sikap-sikap lain kita terhadap Nabi seperti Hubb (mengasihi)Ta'dzim (mengagungkan), Tasyaffu' (memohon syafaat), Tabarruk (mengambil berkat),Tawassul (mengambil sebagai perantaraan) dan seumpamanya.

Ketiga: Mereka berpegang serta bertaklid kuat dengan fahaman dan tafsiran beberapa tokoh ulama khalaf tertentu yang akhirnya telah diolah dan terolah menjadi suatu aliran terasing daripada arus perdana Umat. Berbekalkan fahaman-fahaman dalam aliran ini yang telah mereka angkat ke tahap doktrin dan memang disebarkan secara indoktrinasi (secara perbincangan sebelah pihak serta tidak saksama ataupun objektif), mereka ini rata-rata bersikap lebih pesimistik dan cenderung mempertikaikan tafsiran para ulama lain selain daripada beberapa ulama yang menjadi ikutan mereka.

Jika direnungi fahaman-fahaman asas mereka ini maka tidak hairanlah mereka ini cenderung menolak Maulid.
Sebaliknya, mereka yang mendokong Maulid tidak perlu mengambil kira pandangan ini kerana asas-asas fahamannya ternyata berbeza dengan arus perdana umat.

Pertamanya, di sisi majoriti umat, sambutan Maulid adalah paling kurang pun dikira sebagai biaah Hassanah. Malah ada pandangan menyatakan bahawa ia termasuk sunnah yang dimulakan oleh Nabi SAW sendiri berdasarkan hadis yang menyebut bahawa kelahirannya pada hari Isnin menjadi salah satu asas Baginda SAW berpuasa sunat pada hari-hari tersebut;"Padanya (hari Isnin) aku dilahirkan dan padanya (hari Isnin wahyu pertama) diturunkan kepadaku." (Syarah Sohih Muslim, Imam Nawawi Jld 8 H: 235)

Majoriti umat juga tidak melihat konsep Ittiba', Hubb, Ta'dzim, Tasyaffu', Tabarruk dan Tawassul sebagai konsep-konsep yang bercanggahan antara satu sama lain. Malah semuanya adalah sebahagian dan selari dengan dasar mematuhi dan mentaati Nabi SAW kerana konsep-konsep ini tidaklah dilarang atau bercanggah dengan ajaran yang dibawa oleh Nabi SAW.

Merujuk kepada asas fahaman mereka yang ketiga, majoriti umat Islam telah mewarisi khazanah fahaman agama meliputi ketiga-tiga cabang utamanya Akidah/Tauhid, Syariah/Fiqh dan Akhlak/Tasawuf daripada generasi demi generasi ulama-ulama pilihan dalam suatu kerangka yang kemas dan sistematik.

Para pemuka ulama umat dalam kerangka ini rata-ratanya tidak menolak dan mendokong Maulid sehingga boleh dianggap terdapat sebentuk Ijma' Sukuti (ijma' senyap) tentang sambutan Maulid Nabi selepas ia mula dianjurkan secara besar-besaran.

Penulis ialah Ahli Majlis Agama Islam Negeri Sembilan dan Penasihat Yayasan Sofa Negeri Sembilan.

Isnin, Mac 01, 2010

Mengapa Sambut Maulid Nabi


Susunan Panel PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

Kita sekarang berada di tengah-tengah kehangatan dan keharuman hari-hari memperingati kelahiran junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW bagi tahun Hijrah 1431.

Alhamdulillah, sebenarnya, sekelumit manapun ingatan dan perasaan kasih terhadap Nabi SAW yang dicampakkan oleh Allah SWT dalam hati kita, ia adalah kurniaan istimewa dan amat bermakna dari-Nya kepada kita. Jika di hari-hari dalam bulan Rabiulawal ini ingatan dan kerinduan kita terhadap Nabi SAW lebih terasa oleh sebab pelbagai acara dan majlis yang giat diatur dan dianjur maka itu sebenarnya suatu kelebihan dan nikmat yang sudah kena pada tempatnya.

Namun, sudah menjadi lumrah alam, setiap yang baik dan bermanfaat itu tetap akan ada lawan dan tentangannya sama ada secara zahir dan terbuka atau secara tersembunyi seperti bisikan nafsu dan iblis dalam diri kita, yang saban masa cuba menghalang kita daripada mendekati amal soleh dan kebajikan.

Begitulah juga hakikatnya dengan amalan dan kebiasaan yang tersebar luas di kalangan umat Islam serata alam meraikan Maulid Nabi kita Muhammad SAW. Kemeriahan dan keriangan yang rata-rata dirasai majoriti Umat sedikit-sebanyak terganggu dengan suara-suara yang mempertikaikan dan mempermasalahkan sambutan Maulid Nabi SAW ini.

Menginsafi situasi ini, Relung Cahaya kali ini mengajak kita menjawab semula suatu soalan yang sepatutnya sudah terang dan nyata bagi setiap fitrah yang sejahtera. Kenapa dan mengapakah kita menyambut Maulid Nabi SAW?

Sebenarnya sambutan Maulid Nabi SAW seperti yang difahami dan dihayati oleh para kekasih Allah dan Rasul-Nya yang sejati tidaklah terhad kepada hari dan bulan Rabiulawal sahaja.

Sebab itulah para ulama pewaris Nabi SAW dipelbagai pelosok dunia Islam sehingga ke hari ini sentiasa menjadikan sambutan Maulid Nabi SAW sebagai majlis untuk meraikan pelbagai munasabah yang penting seperti kesyukuran, kunjungan tetamu, memohon hajat ataupun sebagai pengisian tetap amalan harian, mingguan dan bulanan.

Ini adalah tanda makrifah mereka yang tinggi terhadap kandungan dan hakikat sambutan Maulid Nabi SAW yang sebenarnya menjadi penyubur dan pengobar ikatan kasih kita dengan Nabi SAW yang merupakan pintu utama kita untuk sampai kepada Allah SWT.

Sesungguhnya terasa lemah dan kerdil jika hendak diungkapkan dengan perkataan hakikat sebenar tautan kasih dan hak Nabi SAW yang terpikul di pundak kita dan jika diberikan kekuatan untuk melakukannya sekalipun maka halaman dan ruang sebesar manakah yang cukup besar untuk menyenaraikan satu persatu segala makna dan faham yang berkaitan dengan persoalan yang begitu agung ini?

Dalam kemampuan dan ruang yang terbatas marilah kita menghimbau secara ringkas asas-asas kenapa kita perlu menyambut Maulid Nabi SAW, di sepanjang masa dan ketika, termasuklah di hari dan bulan yang memang terpilih untuk untuk peristiwa agung tersebut.

Kita menyambut Maulid kerana kasih kita terhadap Rasulullah SAW. Sambutan itu adalah gerak naluri yang melimpah daripada perasaan kasih terhadap Baginda SAW yang ada dalam diri. Ia adalah tanda dan bukti lahiriah dan amali kasih kita terhadap Baginda SAW. Perasaan kasih yang memang diajar sendiri oleh Baginda SAW sebagai suatu perintah Allah SWT ke atas hamba-hamba-Nya.

Perasaan kasih yang merupakan sebahagian daripada keimanan kepada Allah SWT sendiri. Kalaupun ada perbezaan dalam beberapa hal-hal rinci berkenaan Maulid, kita semua sepakat bahawa kita wajib mencintai Baginda SAW lebih daripada semua makhluk termasuk diri kita sendiri, seperti yang termaktub dalam pelbagai sabda nabi SAW.

Kita menyambut Maulid sebagai ibadah dan untuk beribadat. Mengingat, mengenang, menyebut nama nabi SAW dan berselawat ke atas Baginda SAW adalah ibadah. Berselawat dan memuji Nabi SAW perbuatan Allah SWT dan suatu amalan yang diperintahkan dengan jelas oleh-Nya seperti dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (melimpahkan rahmat dan keampunan) ke atas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kalian berselawat (mendoakan rahmat) baginya dan mengucapkan salam penghormatan kepadanya. (al-Ahzaab: 56)

Bukankan ini merupakan pengisian-pengisian utama majlis-majlis Maulid Nabi SAW? Maulid turut diisi dan disekalikan dengan solat fardu berjemaah, solat-solat sunat, iktikaf di masjid-masjid, tilawah al-Quran, majlis ilmu, zikir, sedekah, menjamu makan sesama Islam, berukhuwah dan bermahabbah sesama Islam, bergotong-royong dan seumpamanya yang semuanya adalah ibadah.

Bagi kebanyakan daripada kita, jika tidak menghadiri majlis-majlis Maulid ini, mungkin masa tersebut tak akan mampu kita isi dengan ibadah yang lebih baik daripadanya atau mungkin sahaja digunakan kepada perkara-perkara yang tidak berfaedah.

Kita menyambut Maulid Nabi SAW kerana dengannya kita mengagungkan dan membesarkan syiar agama Allah SWT.
Mengagungkan dan membesarkan syiar-syiar Islam adalah suatu suruhan dan ajaran yang jelas seperti yang termaktub pada firman Allah SWT yang bermaksud:Dan sesiapa yang memuliakan syiar (tanda-tanda) Tuhan, sesungguhnya ia adalah suatu manifestasi dari hati yang bertakwa kepada Allah. (al-Hajj: 32)

Dalam begitu banyak syiar Islam, bukan nabi SAW itu sendiri merupakan syiar terbesar dan teragung. Bukankah nabi SAW, dengan ketentuan Allah SWT, yang telah mengajar dan memperkenalkan kepada kita segala syiar yang lain dalam Islam?

Kita menyambut Maulid Nabi SAW untuk memantapkan lagi pijakan hati dan akal kita dalam kehidupan beragama kerana bukankah dalam majlis-majlis Maulid Nabi SAW kita meriwayatkan kembali sirah dan keistimewaan Baginda SAW.

Bukankah cara ini telah tercatat dalam al-Quran sebagai kaedah berkesan untuk memantapkan pegangan dan perjalanan kita sebagai mana firman Allah yang bermaksud: Dan tiap-tiap berita dari berita Rasul-Rasul itu, Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) untuk menguatkan hatimu dengannya. (Hud:120)

Di dalam majlis-majlis Maulid, terutama yang dibimbing oleh para ulama, apresiasi terhadap sirah Nabi SAW dilaksanakan dengan cara yang tersendiri yang mampu menggerakkan hati dan akal sekali gus serta menimbulkan sentuhan yang seni. Ia pasti tidak sama dengan kajian yang sifatnya formal dan akademik semata-mata.


Kaedah berdakwah


Kita menyambut Maulid Nabi SAW sebagai suatu kaedah berdakwah dan menyampaikan risalah Islam di tengah-tengah masyarakat.

Majlis-majlis Maulid terbukti berkesan sebagai medan untuk menarik minat masyarakat untuk bersama-sama berhimpun sejenak memperbaharui iman mereka. Dalam majlis-majlis ini masyarakat diajak mendekati dan beradab dengan Nabi SAW.

Mereka dijamu dengan pelbagai pelbagai santapan rohani dan aqli yang sangat mereka perlukan dalam perjalanan hidup mereka. Mereka diajak membetulkan kembali senarai keutamaan dalam hidup mereka dengan tentunya kembali meletakkan Allah dan rasul-Nya di atas segala yang lain.

Hinggakan segala jamuan dan santapan jasmani yang turut menjadi ciri majlis-majlis Maulid tidaklah sunyi daripada menjadi hidangan yang penuh berkat, insya-Allah.

Adakah hidangan dalam majlis seumpama ini sama sahaja keberkatannya berbandingan dengan hidangan-hidangan lain? Sudah tentu tidak. Bahkan ia merupakan keberkatan bagi yang dijamu dan kebajikan besar bagi yang menjamu.

Jika ditilik dari sudut segala persiapan yang dibuat untuk menganjurkan majlis-majlis Maulid, kita akan mendapati bahawa ia membuka begitu banyak pintu kebajikan yang boleh dikongsi oleh semua. Yang alim dan yang jahil, yang kaya dan yang miskin, yang tua dan yang muda, lelaki dan wanita, semuanya ada peranannya dan sumbangannya dalam majlis-majlis sambutan Maulid.

Kita menyambut Maulid nabi kerana sudah menjadi fitrah manusia bahawa memperingati tarikh kelahiran seseorang itu merupakan cara dan tanda kita mengasihinya dan seluruh kehidupannya.

Menjadi kebiasaan manusia menganggap istimewa dan meraikan sedikit atau banyak hari kelahirannya sendiri atau mereka yang dikasihinya. Selain daripada isteri, suami, anak-anak, keluarga dan teman terdekat, manusia juga sering meraikan hari-hari kelahiran, kematian atau hari-hari peristiwa penting dalam kehidupan orang dan tokoh yang mereka sanjung.

Maka tepatlah jika hari kelahiran tokoh segala tokoh, Nabi kita Muhammad SAW, kita raikan dengan sewajarnya. Apatah lagi jika mengenangkan bahawa kelahiran nabi kita bukanlah sama tarafnya dengan kelahiran insan biasa.

Sebagai nabi, walaupun belum diutuskan secara rasmi, kelahiran dan kehidupan baginda SAW sebelumnya sudahpun dipenuhi pelbagai keistimewaan yang diberikan istilah khusus iaituIrhas.

Nabi kita sendiri menganggap hari kelahirannya sebagai hari yang istimewa sehingga menjadi asas untuk baginda SAW berpuasa sunat pada hari Isnin. Sabda Baginda SAW yang bermaksud, Padanya (hari Isnin) aku dilahirkan dan padanya (hari Isnin wahyu pertama) diturunkan kepadaku. ( Syarah Sahih Muslim, Imam Nawawi Jld 8 H: 235)

Kita telah menghimbau beberapa sebab utama yang mulia di sebalik sambutan terhadap Maulid. Jika begitu jelas, banyak dan pelbagai asas-asasnya untuk kita menyambut Maulid kenapa masih ada yang mempertikaikan?

Daripada pengamatan kita, suara-suara yang bernada sumbang dan tidak selari dengan suara majoriti umat dalam menyambut Maulid ini dapat dikenal-pasti sebab dan puncanya.

Pepatah hikmah menyatakan, Iza 'Urifa al-Sabab, Batolal 'Ajab! (Apabila sudah diketahui sebabnya, tidak ada yang perlu dihairankan lagi!)

Jika diamati, suara-suara utama yang suka dan berani mempertikaikan, memperlekeh dan mempersoalkan sambutan
Maulid dari neraca agama datangnya daripada aliran dan madrasah pemikiran tertentu dalam Islam.

Yang perlu diingat, pada hakikatnya aliran ini bukanlah aliran arus perdana dan bukannya aliran majoriti ummah dari dahulu hinggalah sekarang. Hujah mereka dalam isu-isu sebegini telah dijawab para ulama muktabar dulu dan kini.

Bahkan dalam isu sambutan Maulid ini, pandangan para pemuka, pendokong dan mereka yang cenderung kepada aliran ini sendiri adalah tidak sepakat. Sebahagian daripada mereka tidak menolak dan bahkan turut mengakui kelebihan amalan ini.

Maka jika sebab dan asas untuk menyambut Maulid Nabi SAW sudah begitu jelas. Tiada pula di sana sebab dan asas untuk mempertikaikan atau menolaknya.

Artikel ini dipetik dari Ruangan Bicara Agama, Utusan Malaysia keluaran 15 Rabiulawal 1431 / 01 Mac 2010