Selasa, Mei 18, 2010

Sejarah Perkembangan Tasauf


Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN


Pengajian tasauf bertujuan lebih mendekatkan kita kepada Allah. - Gambar hiasan


MINGGU lepas kita telah meninjau takrif dan makna istilah-istilah utama dalam cabang ilmu tasauf. Ia memberi gambaran betapa tasauf adalah satu disiplin ilmu yang tersendiri, tersusun dan ilmiah sifatnya.

Di kalangan ulama terdapat perselisihan mengenai bila ilmu ini bermula. Ada yang berpandangan ia telah wujud sebelum Nabi SAW dibangkitkan. (Abu Nasr al Siraj, al-Luma' h.42, Ibnu al-Jawzi, Talbis al-Iblis, h.173)

Ibnu Khaldun dan beberapa ulama lain pula berpendapat bahawa tasauf mula tumbuh pada kurun ke-2 Hijrah ketika manusia mula menumpukan perhatian kepada dunia.

Maka golongan sufi berusaha mengajak mereka ke arah zuhud dan beribadat. (Muqaddimah, h. 517)

Dapat diperhatikan bahawa perbincangan tentang tasauf banyak dinaqalkan daripada tokoh-tokohnya yang awal seperti al-Hasan al-Basri r.a (w. 110 H) dan Sufyan al-Thauri r.a (w. 161 H).

Pada permulaannya, tasauf berkisar tentang sifat zuhud kepada dunia, mengosongkan diri untuk beribadat, bermujahadah melawan hawa nafsu dan mentaati perintah Allah sehingga menatijahkan akhlak yang mulia.


Tasauf di zaman nabi SAW

Jika inilah inti dan pokok ajaran tasauf maka pada hakikatnya, tasauf sudahpun wujud dan terjelma pada zaman nabi SAW lagi iaitu melalui acuan akhlak dan kehidupan Rasulullah SAW.

Amat jelas perjalanan awal baginda SAW menuju kepada Allah adalah berasaskan acuan tasauf iaitu tafakur, 'uzlah (khalwat), riadah (latihan) dan mujahadah. Elemen ini dicernakan melalui perkataan dan perbuatan baginda SAW, sehingga roh baginda SAW berjaya melalui proses penjernihan dan penyucian sebagai persiapan untuk menerima wahyu.

Kita maklum bahawa nabi SAW pernah beruzlah mengasingkan diri di Gua Hira' sebelum diturunkan wahyu. Sesudah diangkat sebagai rasul, baginda SAW menjalani kehidupan yang sarat dengan keimanan, ilmu, ibadah, zuhud, warak dan mujahadah.

Para sahabat pula berjalan di atas risalah yang dibawa oleh Rasulullah SAW dengan tekun dan penuh dedikasi. Mereka tidak menghafaz satu ayat daripada ayat-ayat al-Quran, melainkan selepas beramal dan melaksanakannya. Mereka hidup dalam keadaan zuhud dan warak semasa hayat dan selepas kewafatan Rasulullah SAW.

Selain kehidupan amali nabi SAW dan para sahabat kita juga boleh menemukan bukti hadirnya tasauf dalam ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis yang bercitra tasauf. Sekalipun istilah tasauf belum lagi dipopularkan pada zaman tersebut.


Era pengasasan dan perkembangan

Kemudiannya, tumpuan terhadap agama mula berkurangan bermula pada akhir kurun pertama Hijrah (zaman sahabat) dan ia berterusan tahun demi tahun hingga para salafussoleh bimbang akan berlaku musibah.

Untuk menyelesaikan permasalahan tersebut, para ulamalah yang menjadi wakil untuk berusaha menjaga dan memelihara agama. Maka sekumpulan mereka bangun untuk menjaga kedudukan Islam dan menulis permasalahan
hukum-hakam agama dan kaedah-kaedahnya (fiqh).

Bagi kumpulan ulama yang lain, bangun untuk menjaga kedudukan iman, menulis usul agama dan kaedah-kaedahnya (tauhid) sebagaimana yang terdapat di sisi salafussoleh mereka. Sementara kumpulan ulama yang lain, bangun menjaga kedudukan ihsan dan menulis amalan-amalannya dan keadaannya (tasauf).

Kumpulan yang pertama (fiqh) ialah imam-imam yang empat (Imam Hanafi, Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad) dan pengikut-pengikut mereka. Kumpulan yang kedua (tauhid) ialah Imam Abu Hasan al-Asy'ari r.a, sheikh-sheikh dan sahabat-sahabatnya dan golongan yang ketiga (tasauf) ialah Imam al-Junaid r.a, sheikh-sheikh dan sahabat-sahabatnya.

Berdasarkan pemerhatian ini, para imam ini bukanlah pengasas ilmu-ilmu dalam erti kata sebenar. Imam al-Junaid r.a (w. 297H) bukanlah pengasas tasauf dan tarekat kerana tasauf merupakan sebahagian daripada warisan Rasulullah SAW yang bersumberkan wahyu daripada Allah SWT.

Tasauf sering dinisbahkan kepadanya, kerana beliaulah tokoh yang mengambil inisiatif awal memperkatakan kaedah tasauf dan usulnya serta menyeru manusia beramal dengannya.

Ada juga yang mempersoalkan kenapa ilmu tasauf tidak tersebar pada kurun yang pertama Islam dan ia tidak muncul melainkan selepas zaman sahabat dan tabien?

Pada kurun yang pertama, mereka tidak berhajat kepada ilmu tasauf kerana penduduk pada zaman tersebut terdiri daripada orang yang warak, bertakwa dan kuat bermujahadah.

Oleh yang demikian, ketika itu belum timbul keperluan diadakan pengajaran tentang sesuatu ilmu secara terperinci.
Keadaan mereka samalah dengan orang Arab tulen; mereka mengetahui Bahasa Arab melalui warisan daripada satu generasi ke satu generasi sehingga mereka boleh menggubah bait syair yang indah dan tinggi mutu bahasanya berdasarkan fitrah mereka tanpa ada pengetahuan sedikitpun mengenai kaedah-kaedah Bahasa Arab, i'rab dan sebagainya. Mereka tidak perlu mempelajari ilmu nahu dan balaghah.

Namun, setelah meluasnya pelbagai lahjah dan berlakunya kelemahan untuk mengungkapkan bahasa, pembelajaran Bahasa Arab dan kaedah-kaedahnya menjadi penting untuk memberi kefahaman kepada orang asing.

Ketika itu, ilmu ini menjadi penting dalam masyarakat sebagaimana ilmu-ilmu lain yang tumbuh dan disusun mengikut urutan masa dan waktu yang munasabah.

Sahabat dan tabien, sekali pun tidak dinamakan dengan mutasawwifin, mereka adalah ahli sufi sebenar yang menerapkan nilai-nilai kesufian di dalam kehidupan mereka.

Apakah yang dikehendaki oleh tasauf selain menjuruskan kehidupan semata-mata kerana Allah dan bukannya kerana diri sendiri, sambil menghiasi diri dengan sifat zuhud dan bermulazamah(diiringi) dengan ibadah, serta menghadapkan jiwa dan roh sepenuhnya kepada Allah setiap masa.

Sifat-sifat kesempurnaan inilah yang diamalkan oleh para sahabat dan tabien sehingga melayakkan rohani mereka meningkat kepada darjat yang lebih tinggi.

Mereka tidak sekadar mengikrarkan keimanan dan melaksanakan kefarduan Islam, tetapi menyertakan pengakuan dengan zauq dan wujdan (menyelami amal dengan merasai nikmat kelazatan beramal).

Malah, mereka juga menambah amalan-amalan sehingga basirah (mata hati) mereka disuluh cahaya, dan hati-hati mereka terpancar hikmah dan limpahan cahaya ketuhanan.

Keadaan mereka diikuti pula oleh golongan tabien dan tabi' tabien. Juga penting diperhatikan, tokoh-tokoh ulama yang menyusun ilmu tasauf ini seperti al-Hasan al-Basri (w.110H), Sariy al-Saqati (w.253H), Abu Yazid al-Bustami (w.261H),
Sahl al-Tustari (w.283H) dan al-Junaid (w.297H), masih tergolong daripada generasi tiga kurun terawal Islam yang mendapat pengiktirafan nabi SAW sebagai kurun-kurun terbaik Islam.

Kesimpulannya, kandungan dan konsep ilmu tasauf telah wujud pada zaman Rasulullah SAW dan sahabat. Cuma istilah-istilah ini belum lagi digunakan dalam amalan mereka.

Pada zaman tersebut, tasauf merupakan sifat umum yang terdapat pada hampir seluruh sahabat r.a tanpa terkecuali.

Kekuatan cahaya nubuwwah dan hidayah kerasulan yang ada pada masa itu, menyebabkan mereka tidak memerlukan kepada satu bentuk yang khusus, berkenaan cara-cara menjalani perjalanan menuju kepada Allah.

Namun konsep tasauf telah pun ada dan dihayati oleh nabi SAW dan para sahabat baginda kerana perjalanan dan konsep tasauf dan tarekat itu sendiri adalah sebahagian daripada Islam.

Artikel ini dipetik dari Ruangan Bicara Agama, Utusan Malaysia keluaran 18 Mei 2010 / 4 Jamadil Akhir 1431

Sabtu, Mei 15, 2010

Definisi Sufi dan Tasauf


Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN


Imam Al Ghazali seorang tokoh sufi yang berpengaruh.


SEBAGAI memulakan siri pengenalan dan penjelasan kita terhadap tasauf dan dunianya marilah kita melihat makna istilah tasauf dan sufi itu sendiri. Terdapat banyak pendapat ulama mengenai kata asal tasauf.

Ini kerana, perkataan sufi pada asalnya diambil atau berasal daripada suatu benda atau perkara yang dinisbahkan kepadanya.

Di antaranya:

1. Perkataan sufi berasal dari nama seorang lelaki yang dipanggil Sufah. Nama sebenarnya ialah al-Ghauth ibnu Mur ibn Ud ibnu Tabikhah ibn Ilyas ibnu Mudhar. Beliau telah menumpukan seluruh kehidupannya hanya untuk beribadat kepada Allah di Masjid al Haram.

Daripada perbuatannya itu, nama sufi dinisbahkan kepada namanya. (al Fairuz Abadi, Qamus al-Muhit, Jld 2. H: 1105).

Ada ulama yang menolak pandangan ini kerana jika sufi sememangnya dinisbahkan kepada nama orang yang kuat beribadat, maka nama para sahabat dan tabien lebih layak dinisbahkan kepada sufi kerana kedudukan mereka yang lebih tinggi dan mulia.

2. Sebahagian ulama yang lain pula berpendapat, nama sufi dinisbahkan kepada perkataan sufiaitu pakaian yang dibuat daripada bulu kambing. Pendapat ini dipilih oleh Ibnu Taimiyyah, al Suhrawardi (Awarif al Ma'arif. H: 41) dan Ibnu Khaldun (Muqaddimah Ibni Khaldun, H: 517) berdasarkan beberapa perkara.

3. Dikatakan juga perkataan sufi dinisbahkan kepada Ahli Suffah. Iaitu, mereka yang tinggal di anjung Masjid Nabawi di Madinah yang disediakan oleh Rasulullah SAW untuk sahabat-sahabat yang miskin.

Di antaranya, sahabat baginda, Abu Hurairah, Abu Zar dan Abu Darda' kerana mereka mempunyai persamaan dengan orang sufi dari segi hubungan dengan Allah. Mereka telah memutuskan hubungan dengan dunia dan meluangkan masa untuk beribadat.

Pendapat ini ditolak, kerana dari segi bahasa, sekiranya mereka menyandarkan kepada Ahli Suffah, maka mereka akan dipanggil sebagai Suffi, iaitu dengan dua fa, sedangkan perkataan sufi hanya mempunyai satu fa.

Pengarang Qamus al-Muhit menyatakan, bahawa sandaran nama ini adalah salah dari segi tatabahasa Bahasa Arab.

4. Dikatakan ia berasal daripada perkataan sof iaitu saf hadapan, kerana orang-orang sufi akan berdiri di saf-saf hadapan ketika menghadap Allah di akhirat kelak. Ini juga tidak tepat dari segi bahasa, kerana sekiranya nama sufi disandarkan kepada perkataan sof, maka sudah tentu ia disebut sebagai soffi bukannya sufi.

5. Dikatakan juga, perkataan tasauf dinisbahkan kepada makhluk pilihan Allah (sofwah). Ini juga tidak tepat dari sudut bahasa, kerana mengikut bahasa, orang yang terpilih disebut di dalam Bahasa Arab sebagai Sofawi.

6. Dinisbahkan kepada Sufanah yang bermaksud tumbuhan di padang pasir. Ini kerana, mereka hidup memadai dengan makanan yang sedikit seperti tumbuh-tumbuhan yang berada di padang pasir.

Pendapat ini juga tidak betul kerana mengikut Bahasa Arab, sekiranya dinisbahkan kepadaSufanah maka ia menjadi Sufani bukannya sufi.

7. Dikatakan, perkataan sufi berasal dari perkataan Sufah al-Qafa (rambut-rambut yang tumbuh di hujung bahagian belakang kepala) kerana ahli sufi memalingkan pandangan mereka daripada makhluk dan menghadapkan pandangan mereka kepada Allah.

8. Dikatakan perkataan sufi berasal dari perkataan sofaa, yang bermaksud suci. Sekalipun terdapat pendapat yang menyangkalnya dari segi bahasa, namun ini adalah pendapat yang sahih dan dipersetujui oleh kebanyakan ulama.

Abu al-Fath al-Busti r.a (wafat 401 H) pernah menyatakan dalam syairnya:

"Manusia telah bercanggah pendapat di dalam memberikan makna sufi dan mereka telah berselisih pendapat padanya, mereka menyangka bahawa ia terbit daripada perkataan suf (pakaian bulu kambing);

"Dan aku tidak sekali-kali memberikan nama ini melainkan kepada pemuda yang mensucikan dirinya, maka ia menjadi suci sehingga dinamakan sebagai sufi".

Mereka dinamakan sufi kerana dinisbahkan kepada perkataan Sofaa disebabkan Ahli Sufi memandang kepada batin atau dalaman sesuatu perkara, ketika manusia memandang kepada zahirnya.

Orang sufi juga sentiasa berusaha membersihkan dan menyucikan diri mereka daripada kotoran zahir dan batin. (Abdul Aziz Ahmad Mansur, Al-Tasauf al-Islami al-Sohih, H: 24-27)


Tasauf dari sudut istilah

Sheikh Zarruq r.a menyebut, definisi tasauf mencapai sehingga dua ribu pentakrifan. (ibn Ajibah,Iqaz al Himam. H: 24)
Semua definisi tersebut dicetuskan oleh ulama berdasarkan zauq dan pengalaman rohani yang mereka alami dalam mujahadah mereka menuju kepada Allah.

Sebahagian mereka pula, mendefinisikan tasauf berdasarkan peringkat-peringkat yang terdapat dalam tasauf.

Di antaranya, Abu Muhammad al-Jariri r.a mentakrifkan tasauf berdasarkan keadaan Ahli Bidayah (orang yang berada di peringkat permulaan).

Beliau mentakrifkan: "(Tasauf) adalah berakhlak dengan segala akhlak yang mulia dan keluar daripada setiap akhlak yang hina". (al Qusyari, Risalah al-Qusyairiyyah fi Ilmi al-Tasauf. H: 280)

Manakala Abu al-Hasan al-Nuri mentakrifkan tasauf berdasarkan mujahadah orang-orang yang sedang salik menuju kepada Allah (Orang yang mengambil tariqah daripada penghulu kaum sufi dan menjalaninya mengikut syarat-syarat yang telah mereka tetapkan).

Beliau berkata: "Tasauf ialah meninggalkan segala kehendak nafsu". (Al-Kalabazi, al-Ta'aruf li Mazhab Ahli al Tasauf H: 32, al Munawi, Al-Kawakib al-Durriyyah fi Tarajim al-Sa'adah al-Sufiyyah, Jilid 1 H: 524)

Imam al-Syazuli r.a pula berkata: "Tasauf adalah melatih nafsu ke arah pengabdian kepada Allah dan menundukkan nafsu di bawah hukum-hakam-Nya". (Al-Mafakhir al-'Aliyyah, H: 111)

Imam al-Junaid r.a, yang diiktiraf umum sebagai Imam dan penghulu golongan sufi (w. 297H / 910M) pula mentakrifkan tasauf berdasarkan keadaan Ahli Nihayah atau orang yang telah merasai hasil perjalanannya yang dicita-citakan.

Menurutnya, tasauf adalah: "Allah mematikan kamu daripada memandang kepada diri kamu (fana') dan Dia menghidupkan kamu dengan mengingati-Nya dan bermunajat kepada-Nya (baqa')". (Al-Risalah al Qusyairiah H: 280, Awarif al Ma'arif H: 39 dan Nataij al Afkar al-QudsiyyahJilid 4 H: 6)

Ini merupakan darjat sufi yang paling tinggi dan sempurna. Berdasarkan definisi-definisi di atas, kita mendapati bahawa seseorang Ahli Sufi perlu melalui tiga peringkat berikut:

1. Bidayah
Orang yang berada di peringkat ini, akan merasai pada fitrahnya bahawa terdapat suatu hakikat yang perlu dikecapi. Hakikat itu ialah akhlak dan peradaban yang mulia.

Natijahnya, rohnya benar-benar merasa rindu untuk mengecapinya. Untuk mengenali dan mengecapinya pula, memerlukan kepada suatu perjalanan yang berbekalkan keazaman dan niat yang jujur dan benar.

2. Mujahadah
Aspek amalan yang berhubung kait dengan syariat.

3. Orang yang merasai Zauq
Merasai dan mencapai hasil yang dicita-citakan.

Dalam erti kata lain, peringkat tasauf adalah:

  •  Mengenal nafsu, rangsangan dan keinginannya.



  •  Menyucikan hati dan membersihkan roh daripada sifat-sifat yang kotor dengan bermujahadah.



  •  Menghiasi diri dengan sifat-sifat yang mulia dan meningkatkan diri dari satu makam ke satu makam untuk menjadi ahli sufi yang mempunyai hati yang sentiasa sibuk bersama Allah.



  • Maka, seseorang salik masih belum layak untuk digelar sebagai Ahli Sufi, melainkan setelah melalui ketiga-tiga peringkat ini dan orang-orang yang masih belum merentasi ketiga-tiga peringkat ini, dinamakan sebagai murid atau mutasawwif. (Abdul Aziz Ahmad Mansur, al-Tasauf al-Islami al-Sohih H:23)


    Kesimpulan

    Berdasarkan semua definisi di atas, dapatlah dibuat kesimpulan, bahawa tasauf tertegak di atas konsep kejernihan, merebahkan kedegilan nafsu, mengikut sunnah, zuhud terhadap dunia dan keseronokannya, memutuskan hubungan dengan selain Allah dan sentiasa bertafakur tentang-Nya.

    Sebahagian Ahli Sufi berkata: Permulaan tasauf ialah ilmu, pertengahannya ialah amal, dan penghujungnya ialah mendapat kurniaan daripada Allah SWT.

    Berdasarkan huraian di atas, dapat kita fahami, tasauf adalah suatu cabang ilmu yang definisinya telah ditangani secara ilmiah dan kemas. Ia juga terbit daripada usul agama yang sahih dan bukannya berpunca daripada mazhab serpihan atau agama lain, seperti dakwaan sesetengah pihak.

    Artikel ini dipetik dari Ruangan Bicara Agama, Utusan Malaysia keluaran 26 Jamadil Awal 1431 /11 Mei 2010

    Jumaat, Mei 07, 2010

    Jangan Sakiti RasuluLlah SAW


    Oleh SYEIKH MUHAMMAD FUAD KAMALUDIN AL-MALIKI


    SESIAPAPUN akan merasa sedih dan terguris hati jika keburukan kedua ibu bapanya disebut-sebut di hadapannya kalaupun ia suatu yang benar dan bukan sekadar tuduhan. Inilah fitrah hubungan kasih dan sayang yang ada di antara seseorang itu dengan ibu bapa kandungnya.

    Keburukan apakah yang lebih besar daripada kekufuran dan kekufuran siapakah yang lebih jelas daripada Abu Lahab sehingga celaan Allah SWT terhadapnya terakam jelas di dalam al-Quran. Tetapi apabila sampai ke telinga Nabi SAW bahawa ada sahabat yang mengungkit tentang kekufuran dan penentangan Abu Lahab di hadapan anak perempuannya yang Muslim, Nabi SAW telah melarang dan menegur perbuatan itu dengan sabdanya, "Jangan engkau mencerca mereka yang mati, lalu engkau menyakiti mereka yang hidup." (Riwayat al-Tirmizi).

    Jika itulah sikap Nabi SAW dalam kes Abu Lahab, bagaimanakah pula jika ibu dan ayah Nabi SAW sendiri yang disebut dan diungkit sebagai kufur dan berada dalam neraka? Adakah Nabi SAW tidak terguris hati atau merasa disakiti, tanpa mengira apa pun niat si penyebut? Lebih buruk lagi keadaannya jika diinsafi bahawa pandangan yang ibu dan ayah
    Nabi itu kufur adalah tidak benar dan bercanggah dengan pandangan jumhur ulama umat ini. Maka kenyataan tersebut turut merupakan suatu pendustaan dalam isu yang begitu dekat dengan kekasih Allah SWT dan makhluk-Nya yang paling mulia.

    Malangnya, akhir-akhir ini, telah beberapa kali dakwaan bahawa ibu dan bapa Nabi SAW itu kufur dan berada dalam neraka di ketengahkan dalam masyarakat kita secara terbuka dalam media perdana oleh para pendakwah yang popular dan dikenali ramai. Dalam keadaan begitu, tidak mustahil akan ramai ahli masyarakat yang tidak berkeahlian akan mudah terpengaruh, lantas sama-sama mengulangi kalimah yang pastinya menyakiti Nabi SAW itu. Mahukah kita jika umat Islam di Malaysia sampai terhitung sebagai tidak peka dengan apa yang menyakiti Nabi SAW? Bukankah ini boleh mengundang kemurkaan Allah dan Rasul-Nya?

    Isu Yang Tak Patut Ditimbulkan

    Jika diteliti secara insaf, sebenarnya tidak terdapat satu sebab pun yang munasabah untuk isu status ibu dan bapa Nabi SAW kita ungkit dan ditimbulkan di tengah-tengah masyarakat kita. Jika tidak ditimbulkan isu ini, masyarakat kita amnya mempunyai tanggapan yang sangat mulia terhadap ibu dan bapa Nabi SAW. Sikap ini adalah sikap yang lebih tepat dan berasas, seperti yang akan kita huraikan. Kalau pun ada yang bertanggapan bahawa ini adalah suatu sikap yang bercanggah dengan hadis, apakah isu ini menepati keutamaan yang begitu tinggi dan mendesak sehingga perlu ditimbulkan. Adakah selama ini dengan memuliakan ibu dan bapa Nabi SAW telah begitu merugikan dan memundurkan
    Islam dan umatnya di Malaysia?

    Selain kerana tiada keperluan jelas untuk ditimbulkan, isu ini juga tidak patut ditimbulkan secara terbuka kerana untuk benar-benar menganggapnya secara adil menuntut kajian dan penelitian ilmiah khusus. Kenapalah kita perlu menyibukkan masyarakat awam dengan persoalan-persoalan yang tidak mudah atau tidak mampu untuk mereka sikapi dengan adil?

    Sebenarnya, isu ini ada persamaan dengan beberapa isu-isu agama yang sifatnya kompleks dan boleh mengelirukan yang suka ditimbulkan oleh segelintir penceramah akhir-akhir ini. Walaupun kita sangat keberatan membahaskannya, tetapi apabila sudah ada yang menimbulkannya secara terbuka maka wajiblah pula penjelasan dibuat agar masyarakat tidak keliru dan tersalah faham. Pendek kata ia sudah menjadi suatu kemungkaran dan kezaliman ilmiah yang wajib dicegah dan dibetulkan.

    Fahaman Yang Lebih Sejahtera

    Pandangan yang mendakwa ibu dan bapa Nabi SAW adalah kufur dan berada dalam neraka sebenarnya berpunca daripada dua hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim. Dalam salah satunya, Nabi SAW bersabda bahawa
    Baginda tidak diizinkan oleh Allah memohon keampunan bagi ibu Baginda tetapi diizinkan menziarahi kuburnya. Dalam hadis kedua, Nabi SAW diriwayatkan menjawab pertanyaan seorang lelaki tentang nasib bapanya dengan menjawab bahawa ayah lelaki tersebut dan ayah Baginda sendiri berada dalam neraka. Walaupun sahih dari segi sanadnya tetapi jumhur ulama berpendapat bahawa teks hadis-hadis ini tidak boleh difahami secara zahir semata-mata. Ia adalah suatu yang biasa berlaku dalam kita berinteraksi dengan hadis. Bukan hanya kesahihan sanad menjadi penentuan hukum daripada sesuatu hadis. Terdapat juga kaedah-kaedah tertentu dalam memahami teks hadis itu sendiri yang perlu dipatuhi.

    Berdasarkan kaedah-kaedah dalam memahami teks hadis, hadis-hadis di atas sebenarnya tidak mendokong kesimpulan bahawa ibu dan bapa Nabi SAW kufur dan diazab. Pertamanya, makna zahir hadis-hadis ini tidak boleh dipegang kerana ia bertentangan dengan nas-nas al-Quran dan hadis-hadis lain. Antaranya, ayat-ayat dan hadis yang mensabitkan bahawa Nabi SAW adalah berasal daripada keturunan yang mulia dan terpelihara seperti ayat 219, surah al-Syu'ara' yang bermaksud, "dan (Allah melihat) pergerakanmu di antara orang-orang yang sujud". Ibnu 'Abbas r.a, seperti yang diriwayatkan oleh al-Bazzar, al-Tabrani dan Abu Nuaim serta dalam tafsir-tafsir al-Tabari dan al-Qurtubi, berpendapat bahawa ayat ini bermaksud bahawa Nabi SAW telah berpindah dari satu sulbi ke satu sulbi di kalangan nenek moyang yang sujud dan beriman. Hal ini disokong oleh hadis-hadis yang merakamkan bahawa Nabi SAW pernah memuji atau berbangga dengan ibu bapa dan keturunannya, sedangkan adalah tidak wajar Nabi SAW melakukan demikian jika mereka itu syirik atau kufur.

    Maksud zahir hadis-hadis ini juga bertentangan dengan nas-nas al-Quran berkenaan kaedah bahawa Allah SWT tidak akan mengazab sesuatu kaum sebelum dikirimkan para rasul-Nya untuk menyampaikan agama yang benar (al-Israa':15, al-An'aam:131, al-Syu'araa', al-Nisaa':165). Terdapat pula ayat-ayat yang menafikan bahawa terdapat rasul yang dikirim kepada kaum Nabi Muhammad SAW sebelum kebangkitan Baginda (Saba':44, al-Qasas:46). Maka kesimpulan yang lebih tepat adalah kedua-dua ibu dan bapa Nabi SAW sama ada beriman dengan peninggalan risalah rasul-rasul yang terdahulu ataupun tergolong dalam kalangan Ahlul Fatrah, iaitu mereka yang berada di zaman yang tiada rasul, menyebabkan mereka secara prinsipnya tidak akan diazab.

    Ada juga pandangan ulama yang mentakwilkan makna 'abi' dalam hadis kedua yang zahirnya bermaksud 'ayah' kepada Abu Talib atau Abu Lahab, bapa-bapa saudara Nabi SAW dan bukannya Abdullah, bapa Baginda SAW.

    Penggunaan panggilan sebegini memang berlaku dalam bahasa Arab dan dalam al-Quran sendiri dalam kes Nabi Ibrahim AS (al-An'aam : 74). Ada juga pandangan ulama bahawa kedua-dua hadis Riwayat Muslim itu memang perlu ditakwilkan kerana makna zahirnya bercanggah. Jika ibu Nabi SAW benar-benar kafir, Nabi SAW tidak akan diizinkan Allah SWT untuk menziarahi kuburnya.

    Kita juga telah menyentuh bagaimana mengatakan ibu dan bapa Nabi SAW berada di dalam neraka akan menyakiti Nabi SAW. Menyakiti Nabi dengan apa cara sekalipun adalah jelas diancam di dalam al-Quran dengan laknat Allah SWT di dunia dan akhirat serta dijanjikan dengan siksa yang pedih dan hina (al-Tawbah:61 dan al-Ahzab:57). Melihat betapa besarnya kesalahan ini, tidak hairanlah Saidina Umar bin Abdul Aziz dilaporkan telah mengancam seorang pegawainya yang mengatakan ibu dan bapa Nabi SAW musyrik dengan hukuman dipotong lidahnya, dipotong tangan dan kakinya dan dipancung kepalanya. Lalu pegawai itu dilarang memegang apa-apa jawatan sepanjang khilafahnya.(Tarikh Ibn 'Asakir). Imam al-Alusi (m.1127H) pula dalam Tafsir Ruh al-Maaninya ada memberi amaran keras, "Aku bimbangkan kekufuran terhadap seseorang yang menuduh ibu dan ayah Nabi SAW (kufur) (Jilid 11, ms.207).

    Perincian dan huraian lanjut tentang pandangan para ulama yang membela ibu dan bapa Nabi SAW boleh didapati dalam beberapa kitab termasuk kitab-kitab khusus karangan Imam al-Hafiz Jalaluddin al-Suyuti, Masalik al-Hunafa dan al-Ta'dzim wal Minnah, kitab al-Hujaj al-Wadhihaat karya ulama' Makkah, Al-'Allamah Sayyid Ishaq Azzuz, kitab Sadad al-Din oleh Imam al-Barzanji, kitab Hadyu al-Nairain karya al-Allamah Prof.Dr.Judah al-Mahdi dari Universiti al-Azhar Mesir dan fatwa Mufti Mesir, Al-Syeikh Dr.Ali Jum'ah dalam koleksi fatwanya, al-Bayan. Insya-Allah dalam masa terdekat, kami akan mengeluarkan terjemahan dan sedutan daripada kitab-kitab ini dalam bahasa Melayu.

    Jelas daripada perbahasan ringkas kita ini bahawa, jika kita mahu, ruang untuk kita mempertahankan keimanan dan terselamatnya ibu dan bapa Nabi SAW yang mulia adalah luas terbentang. Kalaulah bersangka baik itu terpuji, maka apakah lagi situasi yang lebih utama untuk kita bersangka baik selain dalam isu ini yang membabitkan hak kekasih dan makhluk yang paling dimuliakan oleh Allah SWT. Ia juga sebenarnya adalah sangka baik kita terhadap Allah SWT sendiri yang Maha Kaya lagi Berkuasa untuk meletakkan zuriat kekasih-Nya dalam rantaian keturunan hamba-hamba-Nya yang terpilih.

    Di sebalik episod yang sangat mengguris hati ini, mungkin ada beberapa hikmah dan pengajaran yang perlu diambil.
    Para penceramah yang giat mengisi ruang dakwah di tengah masyarakat mestilah sangat berhati-hati dalam memilih kandungan dan mesej dakwah mereka. Ini kerana, bersama populariti dan kemasyhuran itu datangnya amanah yang dipertanggungjawabkan. Bagi masyarakat pula, di zaman ledakan informasi ini yang turut menyaksikan informasi agama turut tersebar tanpa kawalan, mereka perlulah lebih berhati-hati dalam mempercayai apa yang mereka baca dan dengar. Maklumat agama yang keluar di akhbar, terdengar di radio, tersiar di TV dan popular di internet tidaklah semestinya dijamin betul dan benar. Dalam bab agama, janganlah kita malas mengkaji dan mempastikan kerana akhirat kitalah yang jadi pertaruhannya. Isu ini juga adalah satu contoh jelas bagaimana sikap terlalu merujuk kepada
    Sunnah tanpa berpandukan kaedah dan panduan para ulama muktabar adalah sikap yang silap dan merbahaya.
    Janganlah kita mudah terbawa-bawa dengan sesetengah aliran yang mendakwa sebagai menjuarai Sunnah sedangkan hakikatnya mereka sering menzalimi Sunnah dan yang empunya Sunnah SAW. Semoga Allah SWT menjadikan kita di kalangan mereka yang sentiasa menggembirakan dan mempertahankan kekasih-Nya, Nabi Muhammad SAW.

    Penulis ialah Ali Majlis Agama Islam Negeri Sembilan dan Penasihat Yayasan Sofa Negeri Sembilan

    Artikel ini dipetik dari Ruangan Rencana Utusan Malaysia keluaran 23 Jamadil Awal 1431 / 7 Mei 2010