AlhamduliLlah, syukur kita kepada ALlah swt di atas inayah dan kurniaNya, kita masih diberikan nikmat untuk hidup di dalam linkungan Islam dan Iman. Mudahan ALlah swt menyampaikan kita semua kepada nikmat Ihsan, InsyaALlah.
Ya ALlah, Limpahkanlah rahmat ke atas Junjungan kami, Nabi Muhammad s.a.w., pembuka bagi sesuatu yang terkunci, penutup segala Nabi yang terdahulu, pembela kebenaran dengan kebenaran, dan petunjuk ke jalanMu yang lurus. Limpahkanlah juga rahmat ke atas keluarganya dan sahabat-sahabatnya dengan kurniaan yang layak dengan kadar dan darjatnya yang agung pada setiap kerlipan mata dan nafas, sebanyak mana luasnya ilmu ALlah.
Kemaafan dipohon kepada pembaca setia blog Karya Generasi Salahuddin kerana agak lama tidak menyiarkan artikel-artikel pilihan untuk bacaan semua. Kesibukan melaksanakan amanah pada hari-hari terakhir sebagai pimpinan ABIM banyak memerah tenaga dan fikiran sahabat seangkatan, walaupun pastinya penuh dengan ketidaksempurnaannya. Mudahan segala usaha dan pengorbanan rakan-rakan yang telah menyumbang seikhlas mungkin untuk agama ALlah swt itu diterimaNya sebagai antara amalan soleh buat bekal di akhirat nanti, InsyaALlah dan segala kekurangan dan kelemahan peribadi diri dan rakan-rakan diampuni oleh ALlah rabb ul jalil.
AlhamduliLlah, walaupun tidak lagi aktif memimpin sebuah gerakan Islam, ruang dakwah dan jalan-jalan untuk berbuat kebajikan masih terbentang luas. Kekangan atau halangan untuk membatasi sesetengah daripada rijal dakwah ini dari terus berperanan di dalam mana-mana wadah tidak akan mematikan semangat dan melenyapkan aspirasi kami untuk terus memperjuangkan manhaj ilmiyyah-ruhaniyyah berteraskan Manhaj Nabawiyyah dan generasi salaf us soleh. Generasi baru Salahuddin ini perlu terus dibina di dalam kerangka pemikiran dan amal yang betul, tidak semata dilandasi oleh sudut-sudut tertentu apatah lagi sekiranya menjerumuskan petugas dakwah kepada obsesi siyasah dan memaksa gerakan untuk mengambil jalan pintas menyiapkan generasi walaupun belum sampai masa dan ketikanya untuk mereka bersedia memikul bebanan tersebut. Pasti ada yang bertanya sampai bila perlu menunggu? Terlalu naif percaturan dan perkiraan kita seandainya ukuran kejayaan disandarkan kepada usaha kerdil insani dan tidak dinisbahkan kepada neraca, perancangan dan ketentuan Ilahi yang selayaknya menentukan kejayaan kepada umat yang terpilih.
InsyaALlah, di mana sahaja bumi dipijak, langit Tuhan yang sama akan dijunjung, kalimah tauhid yang sama yang akan diiqrarkan, misi yang sama akan kita teruskan. Tidak ada istilah undur atau bersara di dalam kamus pejuang. Mudahan ALlah swt akan mengurniakan rezeki kepada kita semua untuk terus berkhidmat untuk jalanNya walau di dalam wadah mana kita berada, InsyaALlah.
WaLlah hu 'alam.
WSM
al faqir ila rabbihi
Shaiful Alwi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan