Konsep sanad dan ijazah memelihara serta menjamin kesahihan sesuatu perkara yang diriwayatkan serta menjadi satu keistimewaan buat umat Sayyiduna Muhammad i. Allah I berfirman:
“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji).”[1]
Oleh yang demikian, Islam amat menitikberatkan permasalahan sanad dan ijazah sebagai bukit kesahihan serta ketulenan sesuatu riwayat dalam membendung perkara-perkara yang dibawa masuk serta ditokok tambah di dalam agama dari perkara usul dan cabangnya. Golongan yang benar-benar memelihara konsep sanad dan ijazah dalam periwayatan ilmu agama ini adalah satu generasi yang akan sentiasa berada di atas jalan kebenaran walaupun pada zaman tersebut telah berlaku kerosakan yang teruk pada umat Islam. Allah I akan sentiasa memberikan pengawasan terhadap golongan ini kerana mereka adalah golongan pembawa dan periwayat agama yang akan menyebabkan agama ini kekal hingga ke akhir hayat dunia.
Wasiat Salafussoleh Mengenai Sanad dan Ijazah
Sayyiduna Abdullah ibn al Mubarak t menyatakan:
الإِسْنَادُ مِنَ الدِّيْنِ، وَلَوْ لاَ الإِسْنَادُ لَقَالَ مَنْ شَاءَ مَا شَاءَ
“Isnad itu adalah dari urusan agama dan jikalau tiadanya isnad, semua orang boleh berkata apa yang mereka kehendaki.”
Kenyataan di atas menunjukkan bahawa sanad adalah satu perkara yang amat dititikberatkan oleh Islam dan merupakan salah satu dari urusan agama. Ini bermaksud jikalau seseorang yang tidak memiliki sanad atau sumber ambilan yang diyakini kesahihannya mendakwa tentang sesuatu perkara, secara tidak langsung dakwaannya tertolak dan terkeluar dari neraca ilmu yang sebenar. Sanad yang sohih juga menjadi hujjah dan senjata dalam menolak penyelewengan musuh-musuh agama. Berkata Imam Sufyan al Thauri t:
الإِسْنَادُ سِلاَحُ الْمُؤْمِنِ، فَإِذَا لَمْ يَكُنْ مَعَهُ السِّلاَحُ فَبِأَىِّ شَىْءٍ يُقَاتِلُ؟
“Isnad adalah senjata orang mukmin, jika tiada baginya senjata, maka dengan apakah mereka hendak berperang?”
Abu Abdullah al Hakim al Naisaburi t berkata:
“Jikalau tiada isnad dan satu golongan yang mencarinya serta melazimkan diri menghafaznya, nescaya akan robohlah menara Islam dan semakin kukuhlah kedudukan golongan mulhid dan bid’ah dengan memalsukan hadith serta memutarbelitkan isnad-isnad. Sesungguhnya khabar itu apabila tidak mempunyai isnad maka ia adalah terputus.”
Abdullah ibn al Mubarak t berkata:
بَيْنَنَا وَبَيْنَ الْقَوْمِ الْقَوَائِمُ
“Perbezaan di antara kami dan ahli bid’ah ialah isnad.”
Imam Syafi’i t berkata:
مَثَلُ الَّذِي يَطْلُبُ الْعِلْمَ بِلاَ إِسْنَادٍ كَمَثَلِ حَاطِبٍ لَيْلٍِ، يَحْمِلُ حُزْمَةَ حَطَبٍ وَفِيْهِ أَفْعَى وَهُوَ لاَ يَدْرِي
“Perumpamaan orang yang menuntut ilmu tanpa isnad seumpama seorang pemikul kayu di waktu malam yang memikul seikat kayu yang terdapat seekor ular dalam keadaan dia tidak menyedarinya.”
Imam Abu al Abbas Muhammad ibn Abdur Rahman al Daghuli al Sarakhsi t berkata: Aku mendengar Muhammad ibn Hatim al Muzaffar t berkata:
إِنَّ اللهَ I قَدْ أَكْرَمَ هَذِهِ الأُمَّةَ وَشَرَّفَهَا بِالإِسْنَادِ، وَلَيْسَ لأَحَدٍ مِنَ الأُمَمِ كُلِّهَا قَدِيْمِهَا وَحَدِيْثِهَا إِسْنَادٌ، وَإِنَّمَا هِيَ صُحُفٌ فِي أَيْدِيْهِمْ، وَقَدْ خَلَطُوْا بِكُتُبِهِمْ أَخْبَارَهُمْ، وَلَيْسَ عِنْدَهُمْ تَمْيِيْزٌ بَيْنَ مَا نَزَلَ مِنَ التَّوْرَاةِ وَالإِنْجِيْلِ مِمَّا جَاءَهُمْ بِهِ أَنْبِيَاؤُهُمْ، بَيْنَ مَا أَلْحَقُوْهُ بِكُتُبِهِمْ مِنَ الأَخْبَارِ الَّتِي أَخَذُوْهَا مِنْ غَيْرِ الثِّقَاتِ.
“Sesungguhnya Allah I telah memuliakan umat ini dan meninggikan darjatnya dengan isnad, tidak ada satu umat pun yang terdahulu dan terkemudian memiliki isnad, akan tetapi hanyalah suhuf yang ada di tangan mereka yang telah mereka campur adukkan khabar-khabar ke dalam kitab-kitab mereka. Tidak ada bagi mereka tanda yang membezakan apa yang diturunkan kepada Nabi-nabi mereka dari kitab Taurat dan Injil dengan apa yang mereka masukkan ke dalam kitab-kitab mereka dari khabar yang diambil dari golongan yang tidak thiqah.”
Al Hafiz al Qadhi Abu Bakar ibn al ‘Arabi t berkata di dalam kitabnya Siraj al Muridin:
وَاللهُ أَكْرَمَ هَذِهِ الأُمَّةَ بِالإِسْنَادِ، لَمْ يُعْطِهِ لأَحَدٍ غَيْرِهَا، فَاحْذَرُوْا أَنْ تَسْلُكُوْا مَسْلَكَ الْيَهُوْدِ وَالنَّصَارَى، فَتُحَدِّثُوْا بِغَيْرِ إِسْنَادٍ
“Allah telah memuliakan umat ini dengan isnad yang tidak dikurniakan kepada umat yang lain. Maka berwaspadalah kalian agar tidak menempuh jalan kaum Yahudi dan Nasrani iaitu dengan kalian meriwayatkan hadith tanpa isnad.”
Sanad Sebagai Keberkatan
Sesungguhnya ilmu-ilmu Islam itu diambil dan dipindahkan dari satu generasi ke satu generasi secara talaqqi dan ijazah. Konsep ini ditegaskan oleh Baginda i di dalam sabdanya:
إِنَّمَا الْعِلْمُ بِالتَّعَلُّمِ وَالْفِقْهُ بِالتَّفَقُّهِ
“Sesungguhnya ilmu itu diperolehi dari pembelajaran dan fiqh itu diperolehi dengan hadir mendapatkannya dari guru-guru.”
Saranan Rasululah i ini menunjukkan kepada kita bahawa adanya berkat bagi sesuatu ilmu yang diambil dari lidah dan dada para ulama’. Mengambil ilmu dan sanad dari insan-insan yang diyakini juga adalah sesuatu yang amat ditekankan memandangkan seorang guru adalah seumpama bapa di dalam agama. Imam Nawawi t menyatakan:
إِنَّ شُيُوْخَ الإِنْسَانِ فِى الْعِلْمِ أبَآئُهُمْ فِي الدِّيْنِ
“Sesungguhnya syeikh-syeikh manusia dalam ilmu adalah bapa-bapa mereka di dalam agama.”
Sekiranya baik didikan seorang bapa terhadap anaknya, maka baiklah akhlak anaknya tersebut kelak. Begitu juga jika benar ilmu yang disajikan oleh bapa-bapa manusia di dalam agama atau yang memberikan santapan rohani buat anaknya, maka akan betullah perjalanan anak tersebut.
Sanad Dan Ijazah Sebagai Keizinan Dalam Berdakwah
Islam menetapkan bahawa di antara syarat utama untuk berdakwah ialah keizinan yang bersambungan sehingga kepada Rasulullah i. Perkara ini bukanlah satu perkara yang bid’ah dan direka-reka kerana ia mempunyai usul yang kuat dari Sunnah Nabi i. Nabi i tidak keluar berdakwah sejurus mendapat wahyu pertama di Gua Hira’. Baginda i hanya keluar berdakwah selepas datangnya perintah berdakwah kepadanya. Firman Allah:
“Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu Yang dekat.”[2]
Begitu juga para sahabat y di mana mereka terdiri dari kalangan insan-insan yang alim tentang hukum-hakam agama, menghafaz al Qur'an dan hadith Nabi i dengan sempurna. Dan apa yang menjadikan mereka lebih terkehadapan ialah keizinan atau ijazah yang diterima dari Baginda i dalam berdakwah serta menyeru masyarakat kepada agama yang benar. Perkara ini jelas berdasarkan hadith Sayyiduna Mu’az ibn Jabal t tatkala beliau diutuskan bersama keizinan Baginda i ke Yaman untuk berdakwah dan memberi petunjuk tentang hukum-hakam agama.
Seterusnya generasi Tabi’in juga berpegang teguh dengan perkara ini di mana al Hasan al Basri t telah mendapat keizinan dan ijazah mengajar daripada Sayyiduna Ali t selepas beliau membubar 99 halqah pengajian yang terdapat di Masjid Jami’ Basrah Iraq yang disampaikan oleh mereka yang tidak berkeahlian. Setelah Sayyiduna Ali t menemuduga al Hasan al Basri t maka Sayyiduna Ali t pun menyatakan kepadanya “Orang seumpama engkau layak mengajar”.
Maka keizinan dan ijazah berdakwah ini berterusan sehingga ke generasi kita ini. Ia dikenali dengan ‘Ijazah Irsyad al Dhalliin wa Ta’lim al Jahilin’ (Ijazah menunjukkan orang sesat dan mengajar orang yang jahil).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan