Isnin, Disember 28, 2009

Isu al-Din al-Nasihah, Ulul Amri Cetus Polemik



Oleh Muhammad Uthman El-Muhammady

Wahabi, Ahli Sunnah sering dilihat tidak sependapat perkara berkait kemaslahatan

OLEH kerana prinsip dalam tajuk ini sifatnya perkara pokok sama ada dari segi ajaran, amalan atau sejarah, ia perlu diberi perhatian sekali lagi untuk menekankan kepentingannya yang selama ini diabaikan. Ini dibentangkan sebagai aspek yang pokok dalam Ahli Sunnah seperti dilakukan sebelum ini, diulas dengan memberi perbandingan antara dua pendirian itu.

Pertama, al-din al-nasihah yang ada dalam hadis sahih (Bukhari dan Muslim dan lainnya) bermaksud: "Agama adalah keceriaan murni yang gigih (terjemahan saya untuk al-nasihah), ditanya (kepada baginda): Dalam hubungan dengan siapa (dan apa)? Katanya (memberi jawapan): "Dalam hubungan dengan Allah, kitab-Nya, Rasul-Nya, imam Muslimin (imam sosial dan epistemologis) serta orang awam mereka."

Muhaddithin, tentu mereka yang bukan Wahabi menghuraikan prinsip 'al-nasihah' dalam hubungan dengan Allah dengan beriman kepada-Nya secara ikhlas, mematuhi-Nya, tidak syirik terhadap-Nya, memuliakan hukum-Nya. Seterusnya seperti huraian Imam Nawawi, ibn Rajab al-Hanbali, al-Khattabi (yang disebut dalam Sharah Abi Daud 'Aunul-Ma'bud hadis 4293) dan lainnya, al-nasihah dalam hubungan dengan Kitab-Nya ialah beriman kepadanya, membacanya, mengikut ajaran dan perintahnya dan seterusnya; dalam hubungan dengan Rasul-Nya: dengan beriman kepadanya, mematuhi ajarannya, mengikut sunnahnya, demikian seterusnya. Dalam hubungan dengan imam Muslimin, imam dalam erti sosial seperti khalifah, amir, pemimpin Muslimin yang menentukan pengurusan hal-ehwal am mereka, kalau di Malaysia sekarang, termasuk yang Yang di-Pertuan Agong, Sultan dan pemimpin yang diberi watikah oleh mereka, termasuk mufti, kadi dan seterusnya diperpanjangkan rangka itu sampai kepada para imam dan penghulu.

Kata al-Khattabi mengenai bahagian ini: Ertinya taat kepada mereka dalam perkara yang betul dan tidak berpegang kepada pandangan keluar menentang mereka dengan pedang bila mereka melakukan kejahatan atau kezaliman (jaru), dan dalam hubungan dengan orang awam memandu mereka kepada perkara yang mendatangkan maslahat bagi mereka, dengan (selalu) berkehendak perkara yang baik untuk mereka (termasuk Muslimin atau yang bukan Muslimin dalam huraian diperpanjangkan). Dalam Tirmidhi hadis 1849 dalam syarahnya Tuhfah al-Ahwadhi huraian yang sama diberikan.

Dalam hadis Muslim hadis 82 dengan syarah Imam Nawawi huraiannya: Nasihah dalam hubungan dengan imam Muslimin (kalau imam dari segi kemasyarakatan atau siasah) ialah menolong mereka atas yang benar (hak), taat kepada mereka dalam perkara itu, menyuruhnya melakukan yang demikian, memberi peringatan kepada mereka mengenai perkara itu, dan mengingatkan mereka mengenainya dengan lembut, dan halus, memberitahu kepada mereka apa yang mereka terlupa, (termasuk bila mereka) tidak menyampaikan hak Muslimin dan tidak keluar menentang mereka dan menjadikan hati orang ramai jinak bagi mentaati mereka. (Menolong mereka demikian bukan menjadi penjilat mereka, maha suci Allah).
Kata al-Khattabi: termasuk sembahyang di belakang mereka (tidak memulau imam mereka), berjihad bersama mereka (bila timbul keadaan memerlukannya dan Muslimin mampu menunaikannya), menyerahkan zakat kepada mereka (bukan kutip zakat sendiri derhaka kepada mereka), tidak keluar menentang mereka dengan pedang (zaman dulu), bila zahir daripada mereka perbuatan yang salah dan pergaulan yang buruk, dan tidak memuji mereka dengan pujian yang bohong, berdoa kepada mereka supaya mereka menjadi baik dan selamat (bukan berdoa melaknat mereka, atau berdoa supaya mereka binasa, sebab kalau ulul amri binasa ia membawa padah kepada umum), ini dalam hubungan dengan khalifah dan yang selain daripada mereka yang mempunyai tanggungjawab (seperti mereka yang mendapat tauliah atau watika Yang di-Pertuan Agong dan Sultan di Malaysia).

Kemudian dinukil huraian al-Khattabi: bila imam itu difahami sebagai ulama dalam bidang ilmu Islam, maka sikap al-nasihah dalam hubungan dengan mereka ialah menerima riwayat ilmu daripada mereka, mengikut mereka dalam hukum (seperti di Malaysia mengikut imam mujtahidin seperti Imam Shafie dan lainnya, dan bersangka baik dengan mereka (bukan bersangka buruk terhadap mereka menganggap mereka, misalnya mengajar ilmu untuk mengekalkan kedudukan dan hidup dalam 'zon selesa').

Golongan Wahabi tidak taat dan tidak memuliakan ulul amri, bahkan dalam sejarah Uthmaniah mereka menentangnya dan bahkan melawannya dengan senjata, mendapat bantuan Britain dan Perancis dalam perkara itu. Ini jelas dalam sejarah mereka.

Kepada ulul amri (imam dalam agama) mereka bersikap buruk sampai menuduh merosakkan umat dan agama serta mendakwa mereka mengajarkan bidaah dan kesesatan; ada di kalangan mereka yang menuduh Imam Nawawi sebagai 'cacat akal'. Maha suci Allah. Ada yang menuduh Imam Asyari sebagai sesat, ada yang menganggapnya terkeluar daripada Islam. Demikian juga mereka menuduh Imam Abu Hanifah dengan tuduhan yang sangat keji dan hina seperti yang terkandung dalam kitab yang tidak benar yang mereka sebarkan kononnya dikarang anak Imam Ahmad bernama Abdullah.

Huraian ibn Taimiyyah mengenai hubungan dengan hubungan ulul amri sangat menarik. Di sini dinukilkan kerana pandangannya yang bersifat arus perdana dan bukan shaz atau ganjil. Katanya (dalam Majmu' al-Fatawa' jilid 35 hlm.11): "Dan oleh kerana itu (yakni kerana hadis menyuruh taat kepada ulul amri takut mati dalam Jahiliah dan derhaka kepada Allah), maka sesiapa yang berjanji atas mengamalkan apa yang disuruh oleh Allah dan Rasul-Nya: daripada ketaatan kepada ulul amri dan melakukan al-nasihah terhadap mereka, atau mendirikan sembahyang atau menunaikan zakat atau puasa Ramadan, atau menunaikan amanah, dan berlaku adil, dan yang sepertinya, maka tidak harus bagi seseorang mengeluarkan fatwa/pendapat seperti golongan mereka itu (yang derhaka kepada ulul amri) menyalahi apa yang dijanjikannya dan berkhianat dalam janjinya. Tidak harus bagi seseorang meminta fatwa dalam perkara (derhaka kepada Allah, Rasul dan ulul amri demikian) dan sesiapa yang mengeluarkan fatwa/pendapat seperti mereka itu (yang derhaka kepada Allah dan ulul amri) menyalahi apa yang mereka janjikan, dan berkhianat dalam janji mereka, maka demikian ialah orang yang mengada-adakan pembohongan terhadap Allah, memberi pendapat atau fatwa bukan dengan agama Islam, bahkan kalaulah orang perseorangan dalam golongan orang 'ammah' yang melakukan apa yang menyalahi perkara yang dijanjikannya supaya ia menunaikannya (itu pun terlalu amat keji): menunaikan janji dalam berjual beli, atau nikah, atau menyewa, atau yang lain daripada terdiri daripada perkara yang wajib ditunaikan, termasuk kontrak yang wajib ditunaikan, walaupun ia tidak berjanji atau bersumpah, dan kalau ia berjanji atau bersumpah, maka itu lebih kuat lagi (tanggungannya dan lebih hina lagi halnya kalau derhaka), maka sesiapa yang memberi fatwa seperti fatwa membatalkan janji ini, dan berkhianat dalam janji seperti ini, maka ia adalah orang yang melakukan pembohongan terhadap Allah, memberi fatwa bukan dengan fatwa agama Islam (agaknya ramai orang sekarang yang disebut ulama memberi fatwa mengenai ulil amri yang bukan daripada agama Islam) maka bagaimana pula halnya dengan perkara akad taat kepada ulul amri yang menjadi akad sebesar-besarnya, yang diperintah oleh Allah supaya ia ditunaikan (termasuk janji taat kepada ulul amri sekarang, katakan di Malaysia), ini mengikut apa yang menjadi pendirian jumhur ulama yang berpendapat bahawa janji yang dilakukan secara paksa, tanpa hak, tidak menjadi sama ada dengan nama Allah atau nazar atau talak atau membebaskan hamba sahaya, dan ini Mazhab Malik Syafie, dan Ahmad. Kemudian apabila dilakukan dengan paksa oleh ulil amri atas orang ramai, supaya taat kepadanya dan melakukan al-nasihah kepadanya, dan menjadikan mereka berjanji atas perkara itu, tidak harus bagi seseorang membenarkan mereka meninggalkan apa yang disuruh oleh Allah dan Rasul-Nya dalam perkara itu, dan memberi keringanan kepada mereka dalam melakukan khianat dalam janji dan sumpah mereka (untuk taat kepada ulul amri) kerana apa yang menjadi wajib dengan tidak bersumpah dan janji, maka dengan sumpah ia menguatkannya bukan menjadikannya lemah, dan walaupun difardu takdirkan bahawa orangnya memaksa atas perkara itu. Dalam hubungan dengan ahli ilmu dan ahli agama pula dan mereka yang mempunyai kelebihan (dalam masyarakat dan umat) maka tidak ada keringanan bagi seseorang (daripada kalangan mereka) untuk melakukan perkara yang dilarang Allah dan Rasul-Nya yang terdiri daripada derhaka terhadap ulul amri, menipu mereka, dan keluar menentang mereka dengan apa cara sekalipun (dengan satu wajah daripada wajah yang ada], seperti diketahui dalam adat kebiasaan Ahli Sunnah (Wal Jamaah) dan orang agama, zaman awal dulu atau zaman baru kemudian (ramai pula agaknya ahli ilmu dan ulama sekarang yang melakukan perbuatan yang bercanggah dengan prinsip Ahli Sunnah yang pokok ini. Disebut 'pokok' sebab ia bukan menyentuh hal perseorangan tetapi hal peradaban sekali)" (ibid.juz 35. juz 11-12).

Kembali kepada huraian Imam Nawawi (dalam Sharah Muslim mengenai hadis 82), sikap al-nasihah dalam hubungan dengan orang awam Muslimin (dan diperpanjangkan dengan berbuat baik kepada jiran yang bukan Islam) yakni golongan yang selain daripada ulil amri, dengan memberi panduan kepada mereka dalam perkara yang mendatangkan maslahah kepada mereka (bukannya mengheret mereka ke dalam kontroversi yang memeningkan mereka dan mengelirukan mereka, mengajak mereka berkeriau di tepi jalan, kononnya itu perbuatan 'suci') dalam perkara akhirat dan dunia mereka, mengelakkan kejahatan daripada mereka, mengajar apa yang mereka tidak tahu dalam agama, menolong mereka dengan kata dan perbuatan, menyuruh mereka kepada yang makruf, mengelak kejahatan, menutup aib mereka, bukan membuka aib mereka di hadapan ramai, demikian seterusnya dalam huraian Imam al-Nawawi.

Sejarah menunjukkan Wahabi dan pihak yang terkena pengaruhnya membuka aib Muslimin dan menakutkan mereka dengan bidaah dan neraka sehingga ada menjadi pening dan keliru. Golongan Wahabi bukan saja tidak bergaul dengan jiran dengan akhlak yang baik, bahkan ada yang menghalalkan darah sama Islam dalam peristiwa tertentu seperti yang tercatat dalam Unwan al-Majdi dan Tarikh Najdin mereka.

Demikian konsep besar al-nasihah dan dasar perhubungan dengan ulul amri dalam Ahli Sunnah dan bandingannya dengan pendirian Wahabiah. Ini semua relevan sekarang dan seterusnya, demi kesejahteraan dan survival umat. Kalau tidak habis umur kita dalam konflik yang sia-sia, berbahaya dan mencelakakan. Allahumma sallimna wal-Muslimin. Wallahualam.

Artikel ini dipetik daru Ruangan Rencana, Berita Harian keluaran 10 Muharram 1431 / 27 Disember 2009

Kufur Nikmat Kerugian Manusia


Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN



setiap manusia itu bertanggungjawab terhadap nikmat-nikmat yang diamanahkan kepadanya dan akan disoal di akhirat kelak. - Gambar hiasan


BERSUA kembali dalam ruangan Relung Cahaya pada tahun baru 1431 Hijrah. Semoga cahaya kebenaran sentiasa mengiringi perjalanan kita sekalipun berbagai onak dan duri terpaksa kita tempuhi.

Rasanya baru sahaja kita melangkah masuk ke tahun 1430 Hijrah, hari ini ia telah pun berlalu meninggalkan kita dan tidak akan kembali lagi. Bagaimana kita telah memanfaatkan waktu-waktu yang telah berlalu, hanya kita yang dapat menjawabnya. Sheikh Ibnu 'Atoillah telah mengingatkan kita tentang nilai waktu menerusi kalam hikmahnya: "Apa yang telah terluput daripada umurmu tidak ada gantiannya, dan apa yang telah terhasil daripada umurmu, tiada ukuran nilai harganya."


Memanfaatkan masa

Mensia-siakan hak waktu bererti mensia-siakan umur yang begitu berharga kerana umur yang telah berlalu tidak akan kembali lagi. Apabila kita membiarkan ia berlalu tanpa melakukan sebarang amal soleh, maka kita telah terlepas daripada kebaikan yang amat banyak.

Allah berfirman yang bermaksud: Dan sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya; dan sesungguhnya usahanya itu akan diperlihatkan (kepadanya, pada Hari Kiamat kelak); kemudian usahanya itu akan dibalas dengan balasan yang amat sempurna. (al Najm: 39-41)

Sabda Rasulullah SAW ini wajar dijadikan renungan: "Tidak datang kepada seseorang hamba satu waktu yang tidak disebut nama Allah di dalamnya melainkan akan mendatangkan penyesalan kepadanya pada Hari Kiamat kelak."

Apabila waktu telah pergi, ia tidak akan dikecapi kembali, dan tiada suatu pun yang lebih mulia daripada waktu. Al Hasan al Basri RA berkata: Saya pernah menemui beberapa kaum yang begitu menjaga dan mengasihi diri dan waktu mereka melebihi daripada penjagaan mereka terhadap dinar dan dirham. Sebagaimana seseorang itu tidak mengeluarkan dirham dan dinar melainkan pada perkara yang mendatangkan manfaat dan faedah kepada dirinya, dia juga tidak akan mensia-siakan diri mereka pada perkara-perkara yang tidak menjurus kepada ketaatan kepada Allah.

Para salafussoleh begitu berhati-hati dan tamak menjaga masa mereka sehinggakan Sayyiduna Ali RA pernah berpesan kepada isterinya Sayyidah Fatimah RA supaya melembutkan dan mencairkan masakan bagi mengurangkan masa mengunyah makanan yang mencuri masanya untuk bertasbih.


Menunda amal

Hari ini, kita melihat ramai manusia yang mengambil sikap menangguhkan waktu beramal atas alasan pekerjaan dan urusan dunia yang lain. Sheikh Ibnu 'Atoillah, seorang yang sangat tinggi pengalamannya dalam menghidupkan amalan salafussoleh dan dunia tarbiah menegaskan bahawa sikap gemar menunda amal kebaikan pada waktu ada kelapangan dengan kesibukan dunia, adalah suatu kebodohan.

Ketahuilah! Menangguhkan suatu amalan disebabkan urusan duniawi kerana menantikan masa lapang adalah suatu kebodohan kerana kamu lebih mengutamakan dunia daripada akhirat sedangkan kesibukan dunia tidak akan pernah habis. Kesibukan dengan pekerjaan dan kesibukan dunia akan menghalang seseorang itu daripada melakukan amal kebaikan yang akan menyambungkan hubungannya dengan hadrat Tuhannya.

Menangguhkan amalan kebaikan kerana urusan duniawi dianggap sebagai suatu kebodohan kerana tiga perkara:

1. Mendahulukan dunia dari akhirat. Ini bukanlah sifat orang Mukmin yang berakal dan ia bercanggah dengan tuntutan Allah. Firman Allah SWT: Bahkan kamu utamakan kehidupan dunia, padahal kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal. (Al A'la: 16-17)

2. Menunda amal kerana menanti akan ada masa lapang kadang kala tidak diperoleh. Bahkan, kadang kala maut lebih dahulu menjemput ajalnya ataupun pekerjaannya menjadi semakin banyak dan sibuk kerana kesibukan duniawi adalah satu perkara yang saling tarik menarik dan bertali arus. Sebagaimana yang disebut oleh penyair: "Maka tidak akan habis-habis kehendak seseorang dari dunia ini, dan tidak akan berkesudahan suatu keperluan melainkan berkehendak kepada keinginan yang lain pula."

3. Berkemungkinan kesempatan waktu untuk beramal itu diperoleh ketika dia tidak lagi bersemangat untuk beramal, ataupun ketika dia telah menukar niatnya. Oleh sebab itu, wajiblah seseorang itu bersegera melakukan amal dalam apa jua keadaan sekalipun, dan dia perlu merebut segala peluang sebelum tibanya maut dan terluputnya masa atau kesempatan, di samping bertawakal kepada Allah bagi mendapat kemudahan dalam urusannya dan menjauhkan segala rintangan yang menghalangnya membina dan merapatkan hubungan dengan Allah.

Allah berfirman: Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas seluruh langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa. (Ali Imran: 133)

Di antara tanda orang yang mengenal Allah ialah sempurna akalnya dan tajam pemikirannya. Tanda orang yang berakal ialah bersegera melakukan suatu amal. Mengejar umur, tidak boleh ada padanya sebarang penangguhan kerana apa yang terluput daripadanya tidak akan berganti dan apa yang terhasil daripadanya tidak ternilai harganya. Di dalam hadis
Rasulullah SAW bersabda: "Ingatlah! Di antara tanda orang yang berakal ialah menjauhi dari dunia yang menipu, kembali ke negara yang kekal abadi, menyiapkan bekalan untuk mendiami kubur dan bersiap sedia untuk Hari Kebangkitan."

Sabda Rasulullah SAW lagi: "Orang yang berakal ialah orang yang menahan nafsunya dan beramal untuk selepas mati. Manakala orang yang bodoh ialah orang yang mengikut kehendak nafsu dan suka berangan-angan ke atas Allah."

Di dalam Suhuf Nabi Ibrahim AS menyebut: "Hendaklah orang yang berakal yang tidak ditewaskan oleh akalnya mempunyai beberapa waktu; waktu bermunajat dengan Tuhannya, waktu muhasabah dirinya, waktu bertafakur tentang kejadian Allah dan waktu dikosongkan untuk menunaikan hajatnya daripada makan dan minum."

Orang yang menangguhkan amalnya ialah orang yang bukan sahaja bodoh tetapi tertipu. Dari manakah jaminan yang kamu peroleh untuk sampai kepada waktu tersebut, sedangkan maut sentiasa menanti masa untuk menerkam kamu, ketika kamu tidak menyedarinya?

Rasulullah SAW bersabda: "Dua nikmat yang sering menjadi kerugian kebanyakan manusia ialah nikmat kesihatan dan waktu lapang." Kebanyakan manusia tidak dapat menggunakan kesempatan ini melainkan sibuk dengan dunianya, terfitnah dengan nafsunya atau ditimpa sakit.

Kesimpulan daripada hadis ini, hanya segelintir manusia yang dikurniakan nikmat kesihatan dan kelapangan waktu.
Sekiranya mereka dapat memakmurkannya dengan amalan ketaatan kepada Tuhan, maka mereka mensyukurinya dan mendapat keuntungan yang besar. Sekiranya mereka mensia-siakannya, mereka akan mendapat kerugian yang nyata dan kufur dengan kedua-dua nikmat ini. Bahkan, ia juga merupakan tanda kesedihan.

Syeikh Ibnu 'Atoillah RA berkata: "Perkara yang paling menyedihkan, setelah dikurangkan halangan kamu, kamu pula tidak mengadap-Nya." Semoga kita dapat mengambil iktibar. Orang yang hidup akan terasa sekiranya ditusuk dengan jarum. Tetapi orang yang mati tidak akan terasa sekalipun dipotong dengan pedang-pedang yang tajam. Renungilah!!

Artikel ini dipetik dari Ruangan Bicara Agama, Utusan Malaysia keluaran 11 Muharram 1431 / 28 Disember 2009

Rabu, Disember 23, 2009

Usah Terpesona Tajdid Segera Wahabi


Oleh Muhammad Uthman El-Muhammady

Mula abad ke-18 Wahabi menentang ulil amri sehingga musnah kerajaan Islam Uthmaniah

KALI ini perbincangan tertumpu kepada perbandingan antara tajdid cara Wahabiah dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Kerap disuarakan golongan ini sedang laksanakan 'tajdid' yakni pembaharuan atau penyegaran semula fahaman yang betul dan amalan dalam agama.

Konsep tajdid terkandung dalam erti hadis riwayat Abu Daud bermaksud: "Sesungguhnya Allah akan membangkitkan bagi umat ini pada permulaan setiap 100 tahun tokoh yang memperbaharui agama ini untuknya." (Aunul-Ma'bud Sharah Abi Daud, al-malahim).

Maksud memperbaharui di sini ialah menjadikan apa yang dilupakan, diamalkan semula, terkeliru dijernihkan mengikut ajaran sebenar atau salah faham difahami semula dengan betul. Dalam hadis riwayat Muslim ada sabda Baginda SAW yang bermaksud: "Terus menerus ada dalam umat ini golongan yang tertonjol menang dalam kebenaran sampai datang perintah Allah, tidak mendatangkan mudarat pihak merendahkan mereka sehingga datang perintah Allah (kiamat) walhal mereka dalam keadaan demikian." (Riwayat Muslim)

Tokoh tajdid sama ada difahamkan peribadi tertentu yang cukup syarat ilmunya mengenai al-Quran dan sunnah serta huraiannya; dan ilmu yang zahir serta mengenai hal kerohanian, dengan peribadinya yang beramanah, atau beberapa peribadi bermula dengan Umar Abd al-Aziz, Syafie, ibn Suraij, al-Asy'ari, al-Baqillani, Sahal, al-Isfara'ini, al-Ghazali, Fakhr al-Din al-Razi, al-Rafi'I, ibn Daqiq al-'Id atau al-Bulqini, (disebut dalam Aunul-Ma'bud Sharah Abi Daud) dan seterusnya dengan menyebut ulama hadis – usaha mereka ialah menghidupkan sunnah dan menghilangkan bidaah, menghidupkan apa yang dilupakan serta menguatkan apa yang lemah.

Tajdid yang berlaku berhubung dengan tokoh yang disebut dalam teks syarah hadis seperti Syarah Bukhari, Abu Daud dan Muslim menunjukkan jasa menyebarkan keadilan dan pelaksanaan ajaran Rasul, menguatkan sunnah dan pemahaman hukum dalam Ahli Sunnah Wal Jamaah, penyusunan ilmu dalam Ahli Sunnah, akidah, ajaran kerohanian yang sahih, akhlak yang teguh, mengalahkan hujah yang menyerang Ahli Sunnah dan membantu dalam menjayakan hidup tamadun dalam Ahli Sunnah. Kemunculan Salahuddin al-Ayyubi, misalnya adalah hasil daripada tajdid ulama Ahli Sunnah termasuk ajaran rohaniah Imam al-Ghazali, Waliyullah al-Dihlawi abad ke-18, usaha dakwah abad ke-20 oleh al-Banna dan Said Nursi adalah hasil kesan daripada tajdid sahih Ahli Sunnah.

Kemunculan ulama Dunia Melayu dalam pengembangan ilmu dan amalan Ahli Sunnah hasil daripada tajdid sepanjang zaman itu. Dengan itu, akidah menjadi betul, ibadat dan hidup kerohanian menjadi berjaya, akhlak menjadi jernih, hidup masyarakat tersusun, hubungan antara ulil amri dan rakyat menjadi tersusun, hubungan umara dan ulama terurus walaupun ada gangguan dalam sejarah, amalan dan pegangan Ahli Sunnah terus berjalan dan tamadun Islam wujud sampai sekarang walaupun mengalami zaman kelemahan dan menghadapi cabaran dari luar dan dalam. Dengan tajdid yang sahih Ahli Sunnah menyelesaikan masalah cabaran falsafah yang menyeleweng, ajaran dan akidah sesat, kejahilan, kekeliruan, ilmu Islam tersusun, panduan jelas, dan tamadun menjadi teguh.
Berbanding tajdid Ahli Sunnah kita boleh sebutkan tajdid segera Wahabi bermula dari abad ke-18 itu. Antara yang berlaku ialah tuduhan umat Islam melakukan kesyirikan dan bidaah, lalu atas nama mengembalikan sunnah dan memerangi bidaah, berlaku penentangan terhadap ulil amri waktu itu iaitu kerajaan Uthmaniah Turki yang berabad mempertahankan Islam yang sedang dimusuhi Barat.

Apabila ia dilemahkan dari dalam oleh usaha golongan itu atas nama menegakkan tauhid dan sunnah, akhirnya ia lemah dari dalam, apa lagi apabila golongan itu bermuafakat dengan British dan Perancis seperti tercatat dalam 'Unwan al-Majdi, akhirnya, jatuhlah khalifah itu dengan Kamal Attaturk memberi pukulan maut ke atasnya. Ertinya tajdid membawa kepada maut khalifah Islamiah. Maha suci Allah! Tajdid yang mereka lakukan muncul dalam bentuk memberi huraian tauhid yang dipecahkan kepada tiga (dikatakan itu huraian orang salaf, walhal tidak demikian), yang dijadikan alat untuk mengkafir dan mensyirikkan Muslimin yang bertawassul dan beristrighothah di kubur nabi dan lainnya, dan mengatakan penyembah berhala ahli tauhid rububiah yang ikhlas tauhidnya.

Tidak pernah berlaku sebelum ini penyembah berhala dikatakan ahli tauhid yang ikhlas walau dalam apa erti dan segi sekalipun. Juga tidak pernah berlaku yang Muslim dikatakan kafir kerana bertawassul dan beristighothah.

Golongan ini, akibatnya senang menghukum kafir sesama Muslimin; tauhid hasil tajdid segera mereka juga membawa kepada timbulnya kepercayaan mujassimah terhadap Allah walau bagaimana kuatnya mereka menolak hal ini dan akibatnya timbul kekacauan dalam masyarakat.
Tajdid mereka juga lahir dalam bentuk menghukum bidaah terhadap amalan Muslimin seperti talkin, qunut Subuh, berdoa beramai-ramai, membaca Yasin malam Jumaat, mengadakan majlis Maulud Nabi, membaca barzanji, mengadakan kenduri arwah, tahlil, berzikir beramai-ramai, mengaji Sifat 20 dan seterusnya ditolak terus, tidak ada bidaah yang baik.

Sebelum ini tidak ada tajdid bermula dengan pembicaraan mengenai talkin, qunut, berzanji dan yang sepertinya kerana itu semua perkara ranting dalam hukum dan amalan. Sikap mereka berhubung hal itu berlawanan dengan pendirian arus perdana Ahli Sunnah.

Itu semua dianggap bidaah yang mesti ditolak sebagai akibat yang timbul daripada sikap mereka memahami bidaah hanya satu jenis yang mesti ditolak. Timbul tajdid melarang orang mengikut mazhab fiqh kononnya seperti menyembah ulama. Ia lahir daripada sikap mereka menyuruh orang membuat keputusan sendiri daripada al-Quran dan sunnah.

Kata mereka senang saja seperti yang terkandung dalam kitab golongan ini Hal al-Muslim Mulzam Bittiba' Madhhabin Mu'ayyanin min Madhahib al-Arbaah oleh al-Khojandi al-Ma'sumi, yang dipertahankan al-Albani. Berhubung dengan sikap demikian timbul perbuatan menghukum mereka yang sembahyang mengikut imam mazhab bukan melakukan sembahyang nabi. Sembahyang nabi ada dalam huraian golongan mereka seperti yang dalam buku Solatun-Nabi oleh al-Albani.

Kesannya timbul perkelahian dalam masyarakat sampai berlaku perceraian. Di sesetengah negara berlaku pertumpahan darah dan pembunuhan akibat daripada perkembangan sedemikian ini.

Tajdid golongan ini juga berlaku dengan menolak ilmu seperti tasawuf, astronomi dan mantik, perkembangan sains dan teknologi mendapat tentangan, perubahan hanya baru berlaku dalam kalangan mereka yang mengikut aliran ini. Ini berlawanan dengan sikap ulama Ahli Sunnah yang mempunyai sikap terbuka dalam hubungan dengan ilmu sedemikian seperti yang ternyata dalam al-Muqaddimahy ibn Khaldun dan Kashshaf Istiulahat al-Funun oleh al-Tahanawi.

Kesan 'pembaharuan' gaya tajdid segera golongan ini timbul perbuatan melanggar peraturan dalam negeri di mana mereka berada. Kalau golongan mereka tidak diberi tauliah untuk mengajar dan berceramah, mereka langgar peraturan itu dengan mengatakan itu bercanggah dengan ajaran Islam yang menyuruh berdakwah, sedangkan mereka terlupa dalam Ahl Sunnah, ulil amri berkewajipan untuk menjaga agama dan amalannya supaya berjalan atas landasan Ahli Sunnah dan mazhab yang diamalkan dalam negeri yang berkenaan.

Contohnya, boleh didapati dalam perbuatan Saidina Ali yang melarang mereka tidak layak daripada mengajar di masjid Basrah, walhal tokoh yang layak seperti Hasan al-Basri dibenarkan mengajar.

Demikian pula al-Mawardi dalam al-Ahkam al-Sultaniyyahnya dalam bab al-hisbah, menyebut keperluan ulil amri mengawal masjid supaya dakwah dan pengajaran berjalan lancar dalam aturan dan mazhab yang ditentukan dan amalan yang baik terlaksana. Ini dapat mengelakkan orang yang memberi penafsiran mengelirukan tidak mengganggu ketenteraman awam.

Ringkasnya perlu kita kembali kepada usaha memahami tajdid dan hasil kerja tajdid yang sebenarnya berlaku dalam ajaran dan sejarah Ahli Sunnah, apa lagi sempena awal Muharram tahun baru Islam 1431 Hijrah ini. Dengan ini kita tidak terpesona dan terpengaruh dengan dakwaan tajdid segera yang dilakukan golongan ini dan cuba ingatkan sejenak di mana timbulnya pemikiran seperti ini adakah kita melihat keamanan di dalamnya? Adakah kerja membina tamadun sebenar di dalamnya? Adakah sama dengan negeri Ahli Sunnah tertentu yang aman? Dengan itu mudah-mudahan kita dapat memiliki kefahaman yang tepat dan bermanfaat mengenai tajdid dan tokoh tajdid yang sebenar dalam umat ini, dan tidak terpesona dengan tajdid segera kelompok ini walaupun disebutkan nama yang hebat untuk mempromosikannya. Wallahu'alam.

Artikel ini dipetik dari ruangan Rencana Berita Harian, keluaran 3 Muharram 1431 / 20 Disember 2009 

Penjelasan Definisi ASWJ vs Tulisan Dr MAZA: Golongan Ahlussunnah Menurut Imam al-Baghdadi


Oleh DR. ASMADI MOHAMED NAIM



manusia diseru supaya tunduk kepada Allah serta berpegang kepada al-Quran dan hadis.


SAYA membaca tulisan mengenai makna atau definisi Ahlu al-sunnah wal Jamaah (ASWJ) daripada seorang penulis mingguan pada pertengahan November 2009 lepas. Penulis mengutip definisi Ahlussunnah yang ditulis oleh Imam al-Baghdadi (wafat429H) dalam kitabnya, al-Farq Baina al-Firaq.
Namun malangnya perkataan al-turuq al-sifatiah atau 'jalan-jalan sifat' dalam definisi tersebut diabaikan. Walhal, itulah antara perkara yang penting untuk menentukan sama ada tauhid yang mensyarahkan sifat-sifat 20 adalah sesuatu yang baru atau sememangnya sudah lama.

Pada saya, ada sedikit masalah 'ketidakjujuran ilmu', bila dia tidak menerangkan secukupnya maksud al-Baghdadi apabila mensyarahkan pengertian ASWJ.

Demikian juga, ada sebuah lagi penulisan yang menceritakan aliran pemikiran tauhid di Nusantara, yang merujuk bahawa aliran yang mensyarahkan Sifat 20 hanyalah muncul selepas tahun 1,000 Hijrah melalui Imam Sanusi dengan kitabnya Umm al-Barahin.

Penulis tidak merujuk kemunculan metod tersebut kepada penyusunnya yang sebenar iaitu Abu Hassan al-Asy'ari (wafat324H) yang muncul pada akhir kurun ke 3 Hijrah. Ini masalah 'sikap amanah' dalam penulisan.

Dalam kesempatan ini, saya hanya mahu menjelaskan siapakah Ahlussunnah menurut penulisan Imam al-Baghdadi yang telah menjadi rujukan definisi ASWJ supaya pembaca dapat memahaminya secara jelas.

Beliau menyatakan (hal.19): "Maka golongan yang ke 73 ialah Ahli Sunnah Wal Jamaah iaitu golongan ahl al-ra'y (Ibu Hanifah dan murid-muridnya) dan ahlu al-hadis; bukan mereka yang mempermain-mainkan hadis; dan ulama fikah mereka, penghafal al-Quran mereka, perawi hadis daripada mereka, dan ulama hadis di kalangan mereka, semuanya sepakat atas keesaan Pencipta, keesaan sifat-sifat-Nya, keadilan-Nya, hikmah-Nya dan nama-nama-Nya dan pada bab kenabian dan kepimpinan, hukum hudud dan pada perkara usuluddin."

Seterusnya, Imam al-Baghdadi Rahimahullah memperincikan lapan golongan yang termasuk dalam Ahlusunnah wal Jamaah (lihat bukunya dari halaman 240-243):


  • Golongan pertama, mereka yang menguasai ilmu khususnya dalam bab Tauhid (meng-esa-kan Allah) dan kenabian, hukum-hukum wa'ad (khabar gembira) dan wa'id (ancaman seksa), pahala dan balasan, syarat-syarat ijtihad, pemerintahan dan kepimpinan. Mereka yang melalui jalan ini ialah ulama Kalam (Tauhid) yang bebas dari fahaman tasybih (menyerupakan sifat Allah dengan makhluk) dan bebas daripada fahaman ta'til (yang menafikan sifat-sifat yang Azali bagi Allah SWT), dan bebas daripada bidaah al-Rafidhah, Khawarij, Jahmiah, Najariah dan seluruh pengikut bidaah dan hawa nafsu.
  • Golongan kedua ialah imam-imam fiqh sama ada kumpulan yang cenderung pada rakyun (dalil aqal) atau hadis. Iaitu mereka yang beriktikad (berkeyakinan) pada perkara usuluddin dengan mazhab-mazhab sifat pada Allah dan pada sifat-sifatnya yang azali (membicarakan sifat-sifat Allah SWT sebagaimana sifat 20), dan mereka bebas daripada fahaman Qadariah dan Muktazilah; mereka menetapkan melihat Allah Taala dengan mata (di akhirat kelak) dengan mata tanpa tasybih (menyerupakan Allah dengan makhluk), tanpa ta'til' (menafikan sifat-sifat Allah). Termasuk dalam golongan ini ialah murid-murid kepada Malik, al-Shafie, al-Auza'i, al-Thauri, Abu hanifah, Ibn Abu Laila (wafat148H), sahabat-sahabat Abu Thaur (wafat240H), sahabat-sahabat Ahmad bin Hanbal (wafat241H), ahli al-Zahir, keseluruhan ulama fiqh yang beriktikad dalam bab-bab akal ini dengan prinsip-prinsip Sifat (tauhid yang membahaskan Sifat-sifat Allah). Dan mereka tidak mencampurkannya dengan apa-apa daripada ahli bidaah dan hawa nafsu.
  • Golongan ketiga ialah mereka yang menguasai ilmu-ilmu yang berkaitan dengan periwayatan hadis dan sunnah yang disampaikan oleh Nabi SAW, mereka berupaya membezakan antara sahih dan cacat antaranya, mengetahui sebab-sebab al-jarh wa al-ta'dil (kredibiliti seorang rawi) dan mereka tidak memasukkan ilmu mereka dengan apa-apa daripada ahli bidaah dan nafsu yang menyesatkan.
  • Golongan keempat ialah kaum yang menguasai kebanyakan topik-topik sastera Arab, nahu dan saraf. Mereka berada atas jalan pakar bahasa seperti al-Khalil (wafat175H), Abu 'Amr bin al-'Ala (wafat 145), Sibawaih (wafat 180H), al-Farra' (wafat 207H), al-Akhfash (wafat 215H), al-Asma'i, al-Mazini (wafat 236H), Abu Ubaid (wafat 224H) dan seluruh imam-imam Nahu sama ada ulama-ulama Kufah atau Basrah, yang mana mereka tidak mencampurkan ilmu mereka dengan sesuatu daripada bidaah al-Qadariah, atau Rafidhah atau Khawarij.Maka sekiranya seseorang itu cenderung ke arah nafsu yang menyesatkan, maka bukanlah ia daripada golongan Ahlussunnah walaupun kata-katanya adalah 'hujah' dalam ilmu bahasa dan Nahu.
  • Golongan kelima, antaranya ialah mereka yang menguasai ilmu yang berkaitan dengan jenis-jenis qiraat untuk al-Quran dan jenis-jenis tafsiran al-Quran, penakwilannya berdasarkan mazhab-mazhab Ahlussunnah, tanpa berpegang dengan takwilan ahli nafsu yang sesat.
  • Golongan keenam ialah, antaranya ialah para ahli zuhud sufi yang mempunyai ilmu maka jauh pandangan, yang telah dinilai maka ia diiktibarkan, mereka reda dengan hidup yang ringkas, mereka mengetahui bahawa penglihatan, pendengaran dan hati dipertanggungjawabkan terhadap kebaikan dan kejahatan; menghisab dengan neraca zarah-zarah, justeru menyediakan diri mereka dengan sebaik-baik persiapan untuk hari Kiamat. Perkataan mereka berjalan di atas dua jalan iaitu secara jelas dan isyarat di atas jalan ahli hadis, tanpa mereka 'membeli' pandangan yang mempermainkan hadis. Mereka tidak melakukan kebaikan kerana riak, tidak pula meninggalkan kebaikan kerana malu kepada orang lain. Agama mereka hanya satu dan menafikan pentasybihan (menyerupakan Allah dengan makhluk), mazhab mereka ialah tafwidh (menyerahkannya) kepada Allah SWT, bertawakal kepada-Nya, penyerahan kepada-Nya, tenang dengan apa yang direzekikan-Nya.
  • Golongan ketujuh ialah, antaranya kaum yang terikat dengan barisan hadapan peperangan dengan orang-orang kafir, berjihad melawan musuh-musuh Islam, mereka menjadi benteng melindungi umat Islam, meninggalkan isteri-isteri mereka dan negara mereka dan menzahirkan pada barisan hadapan mereka Mazhab ASWJ.
  • Golongan kelapan ialah, antaranya kebanyakan negara-negara yang secara kebiasaannya terdapat syiar ASWJ, bukannya negara yang menzahirkan syiar ahli hawa-nafsu yang sesat.

Itulah huraian sebenar al-Imam Abdul Qahir bin Tohir bin Muhammad al-Baghdadi. Rupanya, ramai sebenarnya yang diiktiraf sebagai Ahlussunnah. Ia berbeza dengan pandangan yang meminoritikan dan mengeksklusifkan ASWJ hanya untuk golongannya sahaja, dengan tuduhan sesat dan bidaah pada perkara remeh-temeh seperti qunut, talkin, zikir selepas solat, berdoa beramai-ramai dan sebagainya.

Lihat kata Imam al-Baghdadi tentang perkara-perkara cabang (hal. 19): "Mereka (ASWJ) hanya khilaf mengenai halal dan haram pada cabang hukum, bukanlah khilaf tersebut mengundang kepada sesat dan fasik; mereka adalah puak yang terselamat, kerana mereka bersatu pada keesaan Pencipta dan qidam-Nya, qidam segala sifatnya sejak azali, dan harus melihat-Nya tanpa sebarang perumpamaan dan gangguan, serta yakin terhadap isi kandungan kitab-Nya dan rasul-Nya, dan mengikut segala syariat Islam dan menghalalkan segala yang dihalalkan oleh al-Quran, dan mengharamkan segala yang diharam oleh al-Quran serta menerima apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan beriman pada hari kebangkitan dan perhitungan, dan soal dua Malaikat dalam kubur, beriman dengan telaga Kauthar dan Timbangan.

Semoga masyarakat Islam tidak terbelenggu dengan perpecahan yang lebih parah, lantaran perkara-perkara tersebut.
Banyak masa yang perlu digunakan untuk memperbetulkan generasi muda yang menyongsang arus dengan pelbagai gejala sosial. Wallahu a'lam.

Artikel ini dipetik dari Ruangan Bicara Agama Utusan Malaysia keluaran 6 Muharram 1431 / 23 Disember 2009

Meneroka Makna Hijrah


Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN



sambutan tahun baru Hijrah sepatutnya memperkukuh usaha umat Islam mencapai kejayaan yang lebih cemerlang.


SEMPENA meraikan tibanya tahun baru Hijrah 1431, ruangan ini menangguhkan dahulu siri tulisan mengenai persoalan tauhid tiga serangkai yang sudah memasuki siri keempat sebelum ini.

Alhamdulillah, nampaknya perbincangan tajuk tersebut di ruangan ini mendapat perhatian dan turut dipanjangkan di ruang-ruang lain.

Selain ramai yang menghargai kerana jarang-jarang didapati tajuk tersebut dibahaskan secara kritikal begitu, ada juga yang keras menyanggah pandangan dan pendekatan kami.

Kami tidaklah terkejut dengan reaksi sebegini kerana sedia maklum memang ada di kalangan kita, individu dan kelompok yang sudah bertaklid kepada aliran yang penuh komited terhadap pemisahan antara tauhid rububiah dan uluhiah.

Mereka mungkin sukar menerima mana-mana pandangan yang tidak selari dengan aliran atau mazhab yang menjadi tumpuan dan dokongan mereka.

Selain daripada mereka ini mungkin di sana ada juga sebahagian anggota masyarakat yang sudah terbiasa dengan penggunaan istilah tauhid kepada uluhiah, rububiah dan asma wa sifatdalam apa yang telah mereka baca dan dengar.

Mungkin agak janggal bagi mereka mendengar kritikan dan sanggahan terhadap istilah yang sudah terbiasa bagi mereka. Pihak kami maklum dengan realiti ini dan akan cuba membuat jawapan dan penjelasan yang seadil dan secukupnya terhadap pelbagai sudut persoalan tersebut dalam kesempatan-kesempatan mendatang, insya-Allah.

Benar dan salah tidaklah ditentukan oleh yang mana lebih lantang dan agresif. Sering berlaku kegagalan kita bersabar dan bertertib dalam pencarian kebenaran akhirnya menyebabkan kita gagal menemukannya.

Memang menjadi hasrat kami agar persoalan tauhid tiga serangkai ini mendapat perhatian yang lebih dan lebih analitikal dalam masyarakat kita agar kita dapat menjauhi fahaman dan tafsiran yang tidak sesuai dengan faham tauhid yang murni dalam Islam.

Alhamdulillah, kita diizinkan Allah SWT untuk memasuki tahun hijrah yang baru. Umat Islam menyambutnya dengan cara yang berbeza. Ada yang hanya menyedari ketibaannya kerana ia ditentukan sebagai cuti umum.

Ramai juga yang menyambutnya dengan mengatur pelbagai majlis dan acara termasuk berkumpul di masjid dan surau dengan pengisian seperti bacaan doa akhir dan awal tahun, bacaan al-Quran, selawat dan tazkirah.

Semoga Allah SWT menerima niat baik dan doa-doa mereka yang tentunya merangkumi kebajikan dan kesejahteraan negara dan umat Islam seluruhnya dalam tahun baru ini.

Kepekaan terhadap peredaran masa dan zaman memang suatu tuntutan Islam. Penggantian tahun dalam kalendar
Islam turut diraikan kerana ia terkait dengan suatu peristiwa besar dalam sirah junjungan kita, Nabi Muhammad SAW iaitu peristiwa Hijrah.

Hijrah memang mengandungi pelbagai makna dan erti. Sudut yang sering mendapat sorotan ramai adalah peralihan fasa risalah Islam daripada dakwah kepada fasa dawlah atau pembinaan negara.

Tanpa menafikan kepentingan dimensi luaran peristiwa ini, adalah perlu diinsafi bahawa hijrah luaran dan fizikal ini tidak akan berhasil dan bermakna tanpa disertai hijrah rohani dalam hati dan jiwa umat.

Hakikat ini ditegaskan dalam sabda Nabi SAW dalam hadis yang masyhur mengenai niat dan amalan, "Sesungguhnya amalan itu ditentukan oleh niat, dan bagi seseorang itu apa yang diniatkannya. Maka sesiapa yang berhijrah kepada
Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya adalah kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan sesiapa yang berhijrah kepada dunia yang ingin diperolehinya atau wanita yang ingin dikahwininya maka hijrahnya adalah kepada apa yang menjadi maksud hijrahnya".

Sangat jelas dalam hadis ini yang merupakan antara induk segala hadis bahawa sebesar mana pun amalan agama seseorang itu, penentunya adalah niat dan maksud dalaman di sebalik amalan tersebut.

Hijrah Nabi SAW adalah episod yang begitu hebat dan sangat menentukan kerana ia adalah suatu projek keagamaan yang dijayakan oleh sekelompok insan agung yang memiliki hati paling suci dan ikhlas di bawah pimpinan penghulu para mukhlisin, Nabi Muhammad SAW.

Menyedari hakikat ini, janganlah dimensi kerohanian ini diabaikan dalam kita menyambut Maal Hijrah. Dimensi Islam, iman dan ihsan dalam agama kita sentiasa utuh dan terkait.

Tidak hairanlah, dalam salah satu karya terbesar dalam dunia kerohanian dan tasauf iaitu kitabAl-Hikam oleh Sheikh Ibnu 'Atoillah al-Sakandari, hadis ini dan persoalan hijrah dalaman ini ada dinukilkan dan dihuraikan pula oleh para ulama tasauf yang mensyarahkan kata-kata hikmah tersebut.

Sheikh Ibnu 'Atoillah al-Sakandari menegaskan perlunya berlaku hijrah dalam diri kita keluar daripada keterikatan dengan alam-alam (kawnakwan) menuju kepada Sang Pencipta alam (Al-Mukawwin).

Beliau berkata: "Janganlah kamu bergerak dari satu alam hanya ke satu alam yang lain maka jadilah kamu seperti keldai pengisar yang berjalan di sekitar pengisarnya sahaja; tempat tujuan perjalanannya sama dengan tempat asal perjalanannya.

"Tetapi hendaklah kamu bergerak (berpindah) dari semua alam kepada Sang Pencipta alam. Sesungguhnya kepada Tuhanmulah puncak segala tujuan".

Perhatikanlah sabda Rasulullah SAW, "Dan sesiapa yang berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya …(hingga akhir hadis)"
Inti kepada peringatan Sheikh Ibnu 'Atoillah al-Sakandari ini adalah agar kita membulatkan keikhlasan kita kepada Allah SWT dalam segala amalan kebaikan kita.

Tumpuan hati kita dalam beribadat adalah keredaan Allah SWT semata-mata. Hendaklah dielakkan ingatan kepada yang selain Dia hatta terhadap soal perhatian dan pandangan mulia oleh makhluk, karamah, ganjaran pahala, mahligai atau bidadari syurga walaupun ini adalah sunnah Ilahi bagi mereka yang bertakwa.

Kesemua perkara ini hakikatnya masih merupakan alam dan makhluk. Kita masih belum berhijrah menuju Allah SWT dengan sebenar-benarnya jika masih terikat tumpuan kepada alam dan makhluk.

Dalam ilmu tasauf, kalimah al-aghyar yang berakarkan kata ghayr yang bermakna 'selain' sering digunakan kepada segala sesuatu yang selain daripada Allah SWT untuk menjelaskan maksud prinsip ini.

Harus diingat bahawa sesungguhnya Allah SWT itu amat cemburu. Dia tidak suka dan reda jika seseorang yang menuntut-Nya turut mencari sesuatu yang selain Dia di samping-Nya.

Oleh itu, tidak akan sampai kepada-Nya seseorang yang masih terdapat di hatinya keinginan hawa nafsunya.

Salah seorang ulama yang terkenal dengan syarahnya terhadap Hikam Ibnu 'Atoillah, Sheikh Ibnu 'Ajibah ada menyebut
bahawa seseorang yang berjalan dari satu alam ke satu alam yang lain ialah orang yang berjalan dari selain Allah kepada selain Allah juga.

Seseorang yang zuhud di dunia tetapi menuntut kerehatan badan dan perhatian dunia kepadanya masih termasuk dalam golongan ini.

Hijrah dalam erti kata ini juga bolehlah dirumuskan sebagai berpindah dari tiga negeri kepada tiga negeri iaitu:

  • Dari negeri maksiat ke negeri taat.
  • Dari negeri kelalaian ke negeri kesedaran.
  • Dari alam asybah (jasad) ke alam arwah (roh).

Sheikh Ibnu 'Ajibah juga meriwayatkan pesanan gurunya bahawa jika kita hendak menilai sama ada kita sedang benar-benar berpindah dari alam dunia menuju alam malakut atau tidak, kita hendaklah membentangkan segala keinginan dan kecenderungan kita satu persatu.

Jika kita mendapati bahawa kita telah meninggalkannya dan perasaan kasih terhadap kesemuanya telah keluar daripada hati kita maka barulah kita boleh bergembira.

Mengeluarkan kecintaan dan keinginan terhadap selain Allah SWT bukanlah suatu yang mudah dan akan terjadi dengan sendiri. Ia menuntut keazaman, kesungguhan, perancangan, panduan dan bimbingan.

Satu perkara yang tidak harus luput daripada perhatian kita dalam merenungi hijrah adalah bagaimana peristiwa tersebut menagih perancangan, keperitan dan pengorbanan yang tinggi daripada Rasulullah SAW dan generasi awal Islam yang merupakan generasi para kekasih Allah.

Jika mereka yang paling dikasihi Allah ini pun terpaksa bersusah payah merancang dan berkorban demi mendaulatkan Islam, maka sudah tentu kita hari ini perlu bersedia untuk berkorban dan berjerit-payah jika kita benar-benar serius dengan agama kita.

l(Rujukan utama: kitab Cahaya yang Lurus: Syarah Hikam Sheikh Ibnu ‘Atoillah al-Sakandarioleh Sheikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki (Kuala Lumpur, Sofa Production, 2007)

Artikel ini dipetik dari Ruangan Bicara Agama, Utusan Malaysia keluaran 3 Muharram 1431 / 21 Disember 2009

Isnin, Disember 14, 2009

AJARAN AQIDAH WAHHABIYYAH: SATU PENGAMATAN AWAL DALAM KONTEKS FAHAM ILMU AHLISSUNNAH WALJAMAAH



Kertas “Ajaran Aqidah Wahhabiyyah: Satu Pengamatan Awal Dalam Konteks Faham Ilmu Ahlissunnah Waljamaah” ini telah dibentang oleh Ustaz Muhammad ‘Uthman El-Muhammady semasa usrah bulan Disember 2009.
**************
بسم الله الرحمن الرحيم

نحمده ونصلى على رسوله الكريم

AJARAN AQIDAH WAHHABIYYAH: SATU PENGAMATAN AWAL DALAM KONTEKSFAHAM ILMU AHLISSUNNAH WALJAMAAH[1]
OLEH:
MUHAMMAD ’UTHMAN EL-MUHAMMADY[2]

Dalam nota ringkas ini akan dibicarakan beberapa perkara pokok berkenaan dengan ajaran Muhammad ibn ‘Abd al-Wahhab khususnya yang menyentuh konsep tauhid dan syahadah serta implikasi-implikasi daripada ajaran yang demikian dengan menyebut juga beberapa fakta sejarah. Dalam huraian ringkas ini juga akan disebutkan soal mengikut mazhab dan amalan-amalan yang dikirakan bid’ah dan sesat oleh kelompok ini. Fakta-fakta yang dibicarakan diambil daripada rujukan-rujukan yang ‘primary’ dan juga teks-teks yang muktabar. Kemudian implikasi-implikasi pendekatan itu akan diperhatikan, berdasarkan kepada pendekatan itu, contoh-contoh sejarah tentangnya, dan kemungkinan-kemungkinan yang boleh timbul akibat daripada pengembangan pendekatan itu.(..)

Kesimpulan
Jelas bahawa ajaran Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab, pada beberapa perkara asasi, dari segi aqidah dan syariatnya serta akhlak dan ajaran rohaniahnya tidak mengikut ajaran Ahlissunnah wal-Jama’ah. Pemahaman tauhidnya yang tidak mengikut arus perdana Ahlissunnah dengan pembahagian tauhidnya kepada tiga, yang membawa kepada menyamakan Orang Islam dengan penyembah berhala, dan hukum yang berikutnya, huraiannya tentang syahadah, sikapnya menentang aliran Imam Ash’ari dengan terang-terang, konsepnya tentang taklid dan bid‘ah (termasuk yang menganggap bahawa ilmu kalam adalah bid’ah yang sesat atau kufur), sikapnya yang negatif terhadap ulul-amri sebagaimana yang jelas berhubungan dengan khilafah Uthmaniah, sikapnya menjadikan mazhab empat sebagai sesuatu yang negatif, peringanan ijma’, demikian seterusnya memberi pendekatan dan kedudukan yang berlainan sama sekali daripada Ahlissunnah. Sudah tentu ini bercanggah sekali dengan apa yang menjadi pegangan di negeri ini.
Sayangnya golongan ini sedang mencanangkan bahawa merekalah adalah yang Ahlissunnah sebenarnya dan golongan lain tidak Ahlissunnah. Mereka adalah saudara-saudara kita yang membid’ah bahkan kadang-kadang mengkafirkan kita. Cara berfikir dan sikap sedemikian perlu jangan dibiarkan berkembang di kalangan Muslimin Malaysia. Sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Mawardi rh dalam ‘al-Ahkam al-Sultaniyyah’ ulil amri negeri ini bertanggungjawab untuk menjaga supaya ajaran dan amalan Ahlissunnah waljamaah disemarakkan dan tidak terganggu. Wallahu a’lam.
Untuk membaca teks penuh artikel ini, sila ke blog www.muafakatmalaysia.wordpress.com.



Dalil Sanggah Beza Tauhid Uluhiah dan Rububiah


Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN



MENYAMBUNG persoalan minggu lepas tentang tauhid uluhiah dan rububiah yang dibezakan oleh pereka tauhid ini, adakah terdapat perbezaan di antara kedua-duanya? Maka minggu ini kami memaparkan pula dalil aqal dan naqal yang menafikan sama sekali perbezaan ini.

Kami tegaskan sekali lagi, bahawa dengan membezakan di antara kedua-dua tauhid ini, mereka menganggap orang musyrik sebagai ahli tauhid dengan tauhid rububiah.

Dalam erti kata lain, melalui konsep tauhid rekaan Ibnu Taimiyyah ini, orang musyrik atau orang yang tidak mengucapkan kalimah syahadah dianggap sebagai ahli tauhid atau orang yang mengesakan Allah.

Ini kerana, kononnya mereka percaya dan mengakui bahawa Allah yang mencipta segala sesuatu dan mentadbir segala urusan alam ini, tetapi mereka tidak bertauhid dengan tauhiduluhiah kerana menyekutukan Allah dalam sembahannya.

Maknanya juga, dalam satu masa seseorang itu boleh dikira sebagai ahli tauhid dan musyrik. Inilah salah satu kepincangan tauhid ini yang mendapat sanggahan yang hebat daripada ulama Ahli Sunnah.

Sebagai menjelaskan lagi kepincangan dan kebatilan tauhid ini, marilah sama-sama kita merujuk kepada dalil-dalil ulama dari sudut akal dan naqal.


Dari sudut aqal

Sekiranya orang-orang musyrik termasuk di dalam golongan ahli tauhid rububiah (sebagaimana yang mereka percayai), bermakna mereka ini beriktikad dengan iktikad yang jazam (teguh dan tidak berbelah bahagi).

Dengan iktikad ini, sudah pasti mereka tidak akan meragui bahawa Allah itu Esa pada ciptaan, kekuasaan, pentadbiran, takdir dan perbuatan-Nya serta dalam mendatangkan suatu kesan sama ada manfaat atau pun mudarat, yang kesemuanya ini adalah komponen bagi tauhidrububiah.

Jika inilah keadaannya, bolehkah diterima akal, dengan iktikad sedemikian mereka boleh pula mengambil tuhan selain Allah untuk disembah, sedangkan tuhan yang lain itu tidak berkuasa mendatangkan sebarang manfaat atau mudarat kepada mereka?

Orang-orang musyrik pada setiap zaman dan tempat menyembah pelbagai sembahan selain Allah. Mereka mempercayai bahawa sembahan-sembahan mereka itu boleh melakukan sesuatu perbuatan, mendatangkan kesan, manfaat dan mudarat.

Boleh mendekatkan mereka kepada Allah, boleh mendatangkan sesuatu kebaikan bagi setiap orang yang datang meminta pertolongan kepada tuhan-tuhan mereka dan boleh mendatangkan mudarat kepada setiap orang yang berpaling daripadanya.

Semua kepercayaan ini menafikan tauhid rububiah.


Dari sudut naqal

Nas-nas syariat telah menetapkan secara jelas, terang dan qatie (pasti) bahawa orang-orang musyrik pada setiap masa dan tempat tidak akan mampu bertauhid dengan tauhid rububiahsemata-mata dan menafikan uluhiah, tetapi mereka semua adalah orang-orang musyrik padauluhiah dan rububiah sekali gus kerana kedua-duanya adalah perkara yang satu.

Sebagai contoh, kami sebutkan di sini dalil-dalilnya:

1. Firman Allah SWT dalam menceritakan tentang orang-orang musyrik ketika ditanya tentang rahsia sebenar mereka menyembah berhala selain Allah: Tidaklah kami (orang musyrik) menyembah atau memuja mereka (sembahan-sembahan mereka), melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah dengan sedamping-dampingnya. (al-Zumar: 3)

Ayat ini jelas menunjukkan, orang-orang kafir beriktikad bahawa patung-patung mereka mempunyai kekuasaan untuk memberikan hidayah kepada mereka dan mendekatkan diri mereka kepada Allah. Maksudnya sembahan mereka itu mampu memberi kesan dengan sendirinya.

Maka di manakah letaknya tauhid mereka bagi tauhid rububiah?!.

2. Nabi Hud a.s ketika berdialog dengan orang musyrikin tentang patung-patung sembahan mereka dan ketika diterangkan kepada mereka bahawa sembahan mereka itu tidak berkuasa untuk mendatangkan sesuatu kepada mereka melainkan Allah, mereka berkata: Kami hanya boleh berkata bahawa setengah daripada tuhan-tuhan kami telah mengenakanmu sesuatu penyakit gila (disebabkan engkau selalu mencaci penyembahan kami itu). (Hud: 54)

Kepercayaan bahawa sembahan-sembahan mereka boleh mendatangkan kesan yang buruk, jelas menunjukkan bahawa orang musyrik mempercayai pada sembahan-sembahan mereka ada kekuasaan yang boleh melakukan sesuatu perbuatan dan mendatangkan kesan mudarat atau manfaat.

Ini menunjukkan bahawa orang musyrikin tidakpun mengesakan Allah pada rububiah tetapi menyekutukan Allah dengan tuhan-tuhan yang lain pada tauhid uluhiah. Iktikad mereka ini ternyata berbeza dengan apa yang dipercayai oleh pendokong bidaah pembahagian tauhid.

3. Allah SWT berfirman: Tidakkah engkau pelik memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai tuhannya (Rabb) kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan? Ketika Nabi Ibrahim berkata: Tuhanku (Rabbi) ialah Yang Menghidupkan dan Yang Mematikan. Ia (Namrud) menjawab: Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan. (al-Baqarah: 258)

Berdasarkan ayat di atas jelas dapat dilihat, Namrud telah mendakwa dirinya dengan perkara yang berkaitan tentang rububiah seperti mempunyai kerajaan, kekuasaan dan pemerintahan.

Dia juga mempercayai mempunyai keistimewaan rububiah yang boleh menghidupkan dan mematikan. Kemudian selepas itu, dia berdebat dengan Nabi Ibrahim a.s tentang Rabbnya (tuhan yang menjadikan) dan bukan tentang Ilahnya (tuhan yang disembah) sebagaimana penggunaan istilah dalam ayat tersebut.

Adakah selepas penjelasan ini, masih ada yang mendakwa: Sesungguhnya Namrud adalah ahli tauhid dengan tauhid rububiah dan Nabi Ibrahim a.s telah datang kepadanya untuk mengajak kepada tauhid uluhiah sahaja?

4. Allah SWT telah berfirman dalam menceritakan tentang Nabi Yusuf a.s yang mengajak sahabat-sahabat sepenjaranya kepada akidah tauhid yang suci:

Wahai sahabat sepenjaraku berdua! Memuja dan menyembah berbilang-bilang tuhan (Arbaab - jama' kepada Rabb) yang bercerai-berai itukah yang lebih baik atau menyembah Allah Tuhan yang Maha Esa lagi Maha Berkuasa? (Yusuf: 39)

Marilah bersama saya memerhatikan perkataan Nabi Yusof a.s ketika mempersoalkan tentang Tuhan yang lebih baik disembah: "Adakah Tuhan-tuhan (Arbab) yang bercerai-berai. Beliau tidak berkata: "Tuhan-tuhan (Aalihah - jamak kepada Ilah)."

Adalah jelas bahawa penghuni penjara menyembah lebih daripada satu Rabb dan lebih daripada satu Ilah.

Adakah masih boleh diterima oleh akal yang sejahtera, jika dikatakan: Orang-orang musyrikin bertauhid dengan tauhid 
rububiah dan Nabi Yusuf datang kepada mereka dengan membawa tauhid uluhiah sahaja? Maha Suci Allah, ini adalah suatu pembohongan yang besar!.

5. Allah SWT berfirman menceritakan tentang Firaun yang berkata ketika menakut-nakutkan kaumnya agar mereka mentaatinya. Firaun berkata: Akulah tuhan kamu (Rabbukum) yang tertinggi. (al-Naazi'aat: 24)

Demikianlah dakwaan rububiah Firaun bagi dirinya dan dia cuba mengagamakan kaumnya dengan rububiah ini. Maka dari sini, tidakkah ada langsung sebesar zarah perasaan salah bagi mereka yang mendakwa bahawa Firaun dan kaumnya bertauhid dengan tauhid rububiah dan telah datang kepada mereka Musa Kalimullah a.s dengan tauhid uluhiah sahaja?

Di ketika yang lain, Firaun juga mendakwa uluhiah bagi dirinya ketika dia berkata: Wahai orang-orangku, aku tidak mengetahui adanya bagi kamu sebarang tuhan (ilah) selain daripadaku. (al-Qasas: 38)

Ini menunjukkan bahawa tidak ada perbezaan di antara rububiah dan uluhiah. Oleh kerana itu, sesiapa yang mendakwa dirinya dengan rububiah, maka dia telah menjadikan dirinya Ilah(sebagai tuhan yang patut disembah).

Sesiapa yang mendakwa dirinya dengan uluhiah pula, maka dia telah menjadikan dirinya sebagai Rabb (tuhan yang menciptakan, mentadbir dan sebagainya) bagi orang lain.

6. Mayat-mayat yang berada di dalam kubur, masing-masing tidak ditanya tentang uluhiah dan tauhidnya, tetapi malaikat akan bertanya kepadanya: Man Rabbuka? (Siapakah rab (tuhan) kamu?"

Sekiranya tauhid itu seperti yang dipercayai oleh Ibnu Taimiyyah, yang mana semua manusia di sisinya beriktikad dengan tauhid rububiah, kenapakah soalan malaikat ini masih diperlukan dan bermanfaat?

Ini menunjukkan bahawa dakwaan Ibnu Taimiyyah adalah tidak benar dan palsu semata-mata.
Kesimpulannya, orang yang syirik pada uluhiahnya dikira sebagai syirik pada rububiahnya juga. Sesiapa yang syirik
pada rububiah maka dia juga adalah syirik pada uluhiah.

Minggu hadapan kami akan mengemukakan dalil-dalil mereka dan jawapan ulama tentang kesamaran dakwaan mereka. Benarlah perumpamaan Quraniy bahawa, sesungguhnya rumah yang paling rapuh ialah rumah labah-labah. (al-Ankabut: 41). Wallahu a'lam.

Artikel ini dipetik dari Ruangan Bicara Agama, Utusan Malaysia keluaran 27 Zulhijjah 1430 / 14 Disember 2009

Isnin, Disember 07, 2009

Tauhid Uluhiah dan Rububiah


Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN.



Syarat sah syahadat kita adalah mengucap dengan lisan, membenarkan dengan hati dan beramal dengan anggota.


Menyorot ruangan Relung Cahayaminggu lepas, kita telah pun mempersoalkan dan membincangkan secara ringkas tentang sumber tauhid tiga serangkai ini.

Setelah kita mengetahui dengan jelas bahawa pembahagian tauhid kepada tiga ini tidak mempunyai sumber yang sahih di sisi syarak, maka pada minggu ini kami ingin mengajak pembaca menghalusi lagi penelitian tentang permasalahan ini agar kebenaran akan terserlah dan kebatilan akan terpadam.

Memandangkan pereka tauhid bidaah ini mengklasifikasikan tauhid kepada tiga, maka kami ingin mengemukakan persoalan, apakah terdapat perbezaan di antara tauhid uluhiah dan rububiah?

Sebelum persoalan ini dijawab, kami ingin berkongsi dengan pembaca tentang jawapan ringkas melalui e-mel yang kami terima daripada seorang pembaca yang pro-tauhid tiga serangkai ini.

Namun, jawapan yang mewakili penghantar tidak menjawab persoalan yang diutarakan pada minggu lepas.
Beliau hanya mengemukakan hujah hasil dari pemikiran Ibnu Taimiyyah seperti yang dapat dilihat di dalam kitab-kitabnya, sedangkan hujah Ibnu Taimiyyah ini telah lama disangkal oleh ulama ahli sunnah.

Perlu kita fahami, tidak semua ilmu yang diformulasikan atau semua hasil istiqra' (telaah) atau pemikiran seseorang itu boleh diterima jika tidak sejajar dengan al-Quran dan sunnah.

Apatah lagi, ilmu yang berkaitan dengan akidah yang mesti dirujuk dengan rapi dan betul kepada sumber yang sahih lagi mutawatir. Jika wujud kepincangan, maka ia tertolak sama sekali.

Kepincangan itu telah pun dibincangkan oleh ulama dan telah pun kami paparkan dan akan kami sebutkan, insya-Allah.
Menurut penghantar e-mel itu lagi, mengingkari tauhid tiga ini bererti tidak bertafaqquh terhadap kitab Allah, tidak mengetahui kedudukan Allah, mengetahui sebahagian dan tidak mengetahui sebahagian yang lainnya.

Dengan spontan benak hati kami bertanya, inikah jawapan yang sepatutnya kami peroleh daripada seseorang yang merasa telah bertafaqquh dengan kitab Allah?

Kami juga agak terkejut dengan kenyataan ini. Jika mereka yang mengingkari tauhid tiga ini dianggap tidak bertafaqquh dengan kitab Allah, bagaimanakah kedudukan ulama dan para sarjana yang telah saya sebutkan pada siri pertama yang mengingkari pembahagian tauhid ini?

Apakah al-Azhar, sebuah universiti yang diiktiraf oleh dunia Islam, mempunyai ulama dan tokoh-tokoh yang lemah kefahamannya tentang kitab Allah? Bagaimana pula dengan Mufti Mesir yang telah menafikan dengan lantang perkara ini di dalam fatwanya?

Apa pun jawapan yang dikemukakan oleh pro tauhid tiga serangkai ini, ia telah kami rujuk di dalam kitab asalnya yang sememangnya tersimpan kemas di perpustakaan kami.

Ramai ulama yang telah menjawabnya, cuma pada keluaran kali ini kami tidak berkesempatan untuk menyertakannya.
Sebaiknya kita tinggalkan dahulu tajuk ini dan kembali kepada persoalan hari ini.

Kenapa soalan ini dikemukakan dan sebelum persoalan ini dijawab, kami ingin nyatakan di sini bahawa melalui tauhid tiga serangkai ini didapati perekanya, Ibnu Taimiyyah dan pengikut-pengikutnya telah menyatakan bahawa:

1. Orang musyrik atau orang yang menyekutukan Allah adalah ahli tauhid (orang yang mengesakan Allah) dengan tauhid rububiah.

2. Tauhid orang musyrik ini samalah dengan tauhid sebahagian orang Islam yang bertawassul, beristighathah dan bertabarruk dengan para nabi dan orang-orang soleh.

Ini bermaksud orang Islam yang bertawassul (memohon kepada Allah melalui perantaraan), beristighathah (menyeru minta tolong) dan bertabarruk (ambil berkat) samalah dengan orang musyrik kerana tidak memiliki tauhid uluhiah kerana dianggap menyembah apa yang ditawassulkan.

Kenyataannya berbunyi: "Tauhid rububiah sahaja tidak menafikan kekufuran seseorang dan tidak mencukupi bagi keimanan/keislaman seseorang". (Risalah Ahli al Suffah H: 34.)

"Sesungguhnya orang-orang musyrik adalah ahli tauhid dengan tauhid rububiah. Mereka tidak termasuk dari kalangan ahli tauhid uluhiah kerana telah mengambil sembahan-sembahan yang lain untuk mendekatkan diri mereka kepada Allah SWT".

Mereka juga menyatakan: "Sesungguhnya orang-orang Islam yang bertawassul dan beristighathah dengan para Nabi dan orang-orang soleh serta bertabarruk dengan mereka (para nabi dan orang-orang soleh), adalah kufur. Bahkan, kekufuran mereka lebih dahsyat daripada kekufuran Abu Lahab, Firaun, Haman dan lain-lain". (Fatawa Ibni Taimiyyah 14/380).

Ini adalah antara kenyataan yang tidak ditulis dan tidak ditemui di dalam kebanyakan kitab-kitab berkaitan pembahagian tauhid ini di Malaysia.

Di negara kita, tauhid ini masih berada dalam peringkat pengenalan. Tetapi jika kita merujuk kepada kitab Ibnu Taimiyyah, Muhammad ibn Abdul Wahhab dan pemuka-pemukanya, kenyataan ini banyak ditulis di dalam kitab-kitab mereka. Inilah natijah sebenar yang akan kita dapati dari pembahagian tauhid ini.

Oleh kerana itu, kita dapati di kebanyakan negara timur tengah yang telah lama memakai tauhid ini berlaku pergolakan, perpecahan dan pembunuhan akibat gejala sembarangan mengkafirkan dan menghalalkan darah umat Islam yang dianggap menyanggahi tauhid ini.

Malah, dengan tauhid inilah menyebabkan berlakunya keruntuhan kepada Empayar Uthmaniyyah yang merupakan empayar terbesar Islam suatu ketika dahulu. Insya-Allah, perinciannya akan kami susuli pada keluaran akan datang.

Apa yang pasti, kenyataan Ibnu Taimiyyah ini jelas bertentangan dengan dalil-dalil syarak dan telah diketahui secara dharuri di sisi ulama.

Bagi menjelaskan tentang kesalahan dan kebatilan pendapat mereka ini, maka soalan ini dijawab: Sesungguhnya tidak ada perbezaan di antara tauhid uluhiah dan tauhid rububiah.

Kedua-duanya adalah perkara yang sama dan tidak boleh dipisahkan serta tidak menerima sebarang pembahagian. Allah tidak menerima daripada hamba-hamba-Nya, melainkan akidah tauhid yang tulus dan suci kepada-Nya, Tuhan sekelian alam, yang dilafazkan dengan lidah, diiktikad dengan hati, diamalkan dengan anggota jasad dan dimanifestasikan dengan kalimah (Laa Ilaaha Illallah).

Dengan perkara inilah, semua Nabi dan Rasul diutuskan.


Adakah orang kafir ahli tauhid?

Terhadap pendapat yang menyatakan bahawa orang kafir dan musyrik sejak zaman berzaman adalah ahli tauhid dengan tauhid rububiah dan para Rasul a.s tidak diutuskan melainkan dengan tauhid uluhiah.

Jawabnya: Hakikatnya, pendapat ini merupakan suatu perkara yang telah menutup pintu kebenaran dan hakikat, menyalahi akal dan syarak dan mendustai penjelasan daripada nas-nas al-Quran dan sunnah.

Perkara ini juga merupakan perkara bidaah yang sesat dan tidak terdapat pada umat salaf yang terawal. Tauhid seperti ini meruntuhkan akidah dan bersifat saling bercanggah.

Dalam satu masa, mereka telah menjadikan sekelompok orang Islam sebagai ahli tauhid dan bukan ahli tauhid. Ini suatu perkara yang pelik.

Sedangkan, realitinya ialah seseorang itu mesti berada di salah satu kedudukan, iaitu sama ada berada dalam kedudukan ahli tauhid atau pun musyrik. Tidak boleh seseorang itu berada di antara dua keadaan (tauhid dan kufur).

Kepercayaan mereka juga tentang ketauhidan orang musyrik dengan tauhid rububiah tidaklah benar. Bahkan dakwaan ini adalah suatu penipuan yang ditolak sama sekali oleh akal dan naqal.

Insya-Allah, kami akan mengemukakan dalil-dalil dari akal dan naqal pada minggu hadapan.

Sesungguhnya perkara yang paling pelik ialah menganggap orang kafir sebagai ahli tauhid dan menganggap orang Islam yang telah mengucapkan kalimah tauhid sebagai bukan ahli tauhid.

Renungilah! Berfikir sesaat lebih baik daripada beribadat 70 tahun. Ibadah Abu Darda' r.a yang paling utama selepas melaksanakan kefarduan ialah bertafakur kerana dengannya dia sampai kepada hakikat suatu perkara dan membezakan di antara yang hak dan batil.

Bahkan, dengannya juga dia dapat menilik kerosakan dan helah nafsu yang halus, tipu daya dunia, dan mengenali helah-helah untuk lebih berwaspada dengannya.

Artikel ini dipetik dari ruangan Bicara Agama, Utusan Malaysia keluaran 19 Zulhijjah 1430 / 7 Disember 2009

Rabu, Disember 02, 2009

Mencari Kebenaran Dalam Beragama



Mencari Kebenaran Dalam Beragama

Dari neraca agama, hidup ini adalah satu ujian besar daripada Tuhan ke atas hamba-hambaNya. Ujiannya datang dari berbagai sudut. Salah satu sudutnya adalah tuntutan untuk kita menyesuaikan hidup kita mengikut kehendak agama. Lebih daripada itu, kita juga dituntut untuk memperjuangkan agama dalam hidup kita. Tetapi turut perlu diinsafi, terutama bagi kita yang hidup diakhir zaman ini, antara ujian terbesar kita dalam kehidupan beragama adalah untuk mencari dan memilih fahaman dan ikutan yang benar dan murni dalam beragama.

Antara Yang Zahir dan Yang Benar

Ada beberapa faktor yang tambah menyukarkan kita dalam membezakan yang benar dan yang tidak dalam beragama. Masyarakat awam misalnya mudah terpengaruh pada sesuatu yang menonjol, aggresif, lantang dan dilihat yakin. Oleh itu, sering berlaku pihak yang zahirnya lebih berani, lantang, fasih dan mendapat liputan meluas itulah yang lebih didengari dan dianggap betul. Selain daripada faktor itu, aliran yang batil atau keliru dalam agama pula sering turut bercampur dengan kebenaran. Jadi perlulah diingat bahawa kebatilan yang bercampur kebenaran itu lebih berbahaya berbanding dengan kebatilan tulen yang tidak bercampur kebenaran. Samalah seperti bahayanya hidangan menarik yang mengandungi racun berbisa. Disamping itu, dalam konteks masyarakat Malaysia khususnya, saya dapati, ramai juga yang mudah terkeliru dan tidak dapat membebaskan diri daripada kerangka persaingan politik kepartian dalam menilai isu-isu agama. Sedangkan sering juga isu agama yang timbul adalah pertembungan fahaman dan prinsip yang lebih mendasar dan melangkaui batas politik kepartian.

Petua-petua Utama.

Mencari yang benar dan salah dalam hal agama bukannya mudah dan merupakan ibu segala pencarian dalam hidup manusia. Tiada yang akan berjaya tanpa usaha yang disertai rahmat dan hidayah Allah SWT. Dalam mencari yang kebenaran dalam agama, sangat bertepatan kita merujuk petua masyhur yang diungkapkan dengan fasih oleh Imam Ibnu Sirin dari kalangan Tabiin dalam pesannya, “Ilmu ini (ilmu-ilmu agama) adalah agama kamu, maka hendaklah seseorang itu benar-benar kenal (memilih) daripada siapa dia mengambil agamanya”. Inilah petua dan prinsip inspirasi Al-Quran dan al-Sunnah yang sangat asasi dan menyelamatkan. Menariknya, petua ini kurang ditekankan di kalangan mereka yang cenderung membawa fahaman yang Syaaz dikalangan umat ini. Mungkin kerana petua ini tidak menguntungkan mereka. Sebenarnya, jika petua yang satu ini benar-benar dihayati oleh anggota masyarakat, insyaAllah, mereka akan lebih mudah mengenal yang mana intan dan yang mana kaca.

Cabaran mengenal-pasti sumber ikutan dan ambilan ilmu agama yang benar disukarkan lagi dengan munculnya, dari awal sejarah Islam, individu dan aliran sesat yang berwajah agama, siap dengan kelayakan zahiriyah dan retorik yang memukau. Contoh yang sangat jelas adalah episod Saidina Ali RA yang ditakdirkan terpaksa menghadapi fitnah kemunculan kelompok Khawarij. Mereka ini yang gagal betul-betul ‘mengenali’ Saidina Ali RA telah keluar dari mentaatinya atas niat dan asas keagamaan. Mungkin mereka pun merasa perlu membawa perubahan dan tajdid terhadap arus perdana Umat ketika itu. Seperti yang masyhur dalam sejarah Islam, kelompok Khawarij ini zahirnya sangat kuat berpegang dengan agama. Sangat kuat ibadahnya dan tinggi semangat agamanya tetapi terpesong daripada fahaman agama yang benar. Pembunuh Saidina Ali RA, Ibnu Maljam yang muncul daripada kalangan mereka diriwayatkan sedia menghadapi apa sahaja hukuman kecuali dipotong lidahnya kerana mahu lidahnya sentiasa basah dengan zikr. Saidina Ali yang berpengalaman dengan sepak-terajang kelompok sebegini ada berpesan, “Akan ada zamannya, dimana yang batil itulah yang paling zahir dan yang Haq itulah yang paling tersembunyi.”

Menginsafi pengajaran sejarah dan pesan Saidina Ali ini, janganlah kita mudah terpukau dengan semboyan-semboyan perubahan dan tajdid (pembaharuan). Tidak semua yang melaungkan tajdid itu mujaddid sebenar. Tidak semua orang berimej agama yang ditangkap, dipenjarakan atau diperangi itu pejuang agama yang hakiki! Janganlah kita mudah terkeliru dengan gelar, sijil dan pangkat. Sangat bahaya jika kita terlalu taksub kepada seseorang kerana satu-dua pandangannya yang kita minati atau kebetulan menghentam pihak yang kita tidak sukai. Kenalilah dan kajilah betul-betul seseorang tokoh agama sebelum mengikutnya atau mendokongnya habis-habisan. Janganlah terlalu mudah mempertaruhkan agama kita yang menjadi penentu untung-nasib kita di dunia ini dan di akhirat yang kekal abadi.

Tolak Yang Syaaz, Ikutilah Arus Perdana

Selain daripada mengenali latarbelakang dan kecenderungan seseorang yang ingin diikuti, satu lagi panduan yang sangat utama dalam memilih kebenaran dalam agama adalah dengan kesetiaan dengan aliran arus perdana dan mengelakkan aliran-aliran yang Syaaz (ganjil, asing dan kontroversi).

Dalam menilai aliran atau tokoh agama sering kali berlaku kekeliruan antara perjuangan yangSyaaz dan memperjuangkan pembaharuan (Tajdid) dalam agama. Islam bukannya anti-perubahan dan Tajdid adalah unsur dinamika yang penting didalam tradisi Islam. Tapi sebagai risalah terakhir yang terpelihara dan dijamin Tuhan Rabbul Jalil, ruang untuk perubahan dan Tajdid dalam Islam adalah jelas dan lebih terbatas berbanding dengan agama dan ideologi lain. Dalam agama Islam, kita boleh isytiharkan dengan yakin bahawa kita tidak perlukan seorang Martin Luther dengan gerakan reformasi Protestantnya seperti yang berlaku dalam sejarah Kristian. Dalam neraca Islam tuntutan perubahan diluar batas-batasnya bukanlah Tajdid yang hakiki tetapi adalah pandangan dan gerakan yang Syaaz. Yang meruntuh dan bukannya membina. Yang melemahkan bukannya menguatkan. Yang memecah-belahkan dan bukannya menyatukan.

Mengenali dan menolak yang Syaaz adalah prinsip pokok dalam Islam seperti yang dinyatakan nas-nas termasuk ayat 115, Surah al-Nisa` dan hadith yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menghimpunkan Umat ini diatas suatu kesesatan, dan sesungguhnya Tangan Allah itu bersama al-Jamaah, maka ikutlah as-Sawaad al-A`zam (majority ulama) dan sesiapa yang mengasingkan diri maka dia mengasingkan dirinya ke Neraka” (Riwayat Abu Nu’aim, Hakim dan al-Tirmizi seperti disebut oleh al-`Ajluni dalam Kasyful al-Khafa’). Persoalan ini boleh didapati huraiannya dalam perbahasan berkaitan prinsip-prinsip Ijma`, Jumhur, Mu`tamad dan as-Sawaad al-A’zam dalam bab-bab ilmu yang berkaitan.

Untuk mengenali dan menilai seseorang adalah tidaklah memadai sekadar membaca kolumnya dan mendengar ucapan-ucapannya tanpa kemampuan menilainya secara kritikal daripada kerangka fahaman agama yang mendalam. Seperti yang kita sebutkan, dalam sejarah Islam, memang sering muncul orang-orang agama bijak berdalih dengan hujah dan dalil agama untuk mendokong fahamannya sehingga menyukarkan orang awam yang tidak kuat latar belakang agamanya serta tidak cukup maklumat untuk menilainya dengan saksama.

Tetapi berpandukan petua-petua utama yang baru kita himbau, kita sepatutnya sudah boleh membuat penilaian yang lebih tepat dalam isu beberapa aliran dan tokoh agama semasa yang timbul dalam masyarakat kita. Antara sikap dan pendirian yang Syaaz yang timbul dalam masyarakat kita ialah tidak boleh menerima perbezaan pandangan dalam isu-isu khilafiyyah. Ini merujuk kepada isu-isu yang mana terdapat perbezaan pandangan dikalangan mazhab dan ulama muktabar dalam dunia Islam. Sikap arus perdana dalam soal-soal sebegini adalah tidak menolak, memperlekehkan atau membid’ahkan amalan-amalan tersebut.

Malangnya, kita dapati ada tokoh-tokoh tertentu yang banyak mempertikaikan (baca menyesatkan) amalan-amalan yang sudah diterima umum dalam masyarakat kita yang ada asasnya didalam Islam seperti tahlil arwah, bacaan Yaasin diwaktu tertentu dan berubat dengan air yang dijampi. Malah ada yang dengan sinis meminta mereka yang percaya dengan air jampi ini untuk terus menjampi sahaja air di empangan agar semua orang boleh jadi baik!

Ada juga percubaan memakaikan imej yang buruk terhadap pendekatan tarekat dalam dunia tasawuf dan keruhanian Islam sedangkan pendekatan tarekat diterima oleh majoriti umat ulama termasuk Ibnu Taymiyyah. Menolak dan mempermasalahkan tasawuf dan tarekat adalah sikap yang bertentangan dengan arus perdana ulama dan umat Islam. Ia juga bererti menolak dan mempertikaikan tokoh-tokoh ulama tanahair yang disepakati jasa dan sumbangan mereka dalam menegakkan agama Islam seperti Tok Kenali, Tuan Tabal, Tokku Paloh, Tok Selehor, Sheikh Abdullah Fahim dan Sheikh Ahmad bin Hj. Mohd Said dan lain-lain yang kesemuanya mesra dengan dunia tasawuf dan tarekat. Sebenarnya kelompok sesat dan batil dalam tarekat adalah kelompok minoriti tetapi ada yang cuba memberi gambaran yang sebaliknya kepada masyarakat.

Akhir-akhir ini ada juga yang cenderung mempermasalahkan kedudukan mazhab Syafie sebagai mazhab utama dan rasmi di Negara kita. Sebenarnya pilihan ini adalah pilihan semulajadi berdasarkan sejarah sampainya dan tersebarnya Islam di Nusantara. Kita umumnya memahami sistem bermazhab yang menyebabkan kita tidak terlalu taasub mazhab Syafie. Cuma kita mungkin akan curiga jika ada amalan-amalan kita yang berdasarkan mazhab Syafie hendak dipertikaikan dan ditukar tanpa ada asas dan alasan yang kukuh serta dibuat diluar kerangka fatwa rasmi. Anehnya ada yang membayangkan kita terlalu taasub dengan Mazhab Syafie sehingga ke tahap menganggap Imam-imam lain seperti Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan Imam Ahmad terkeluar daripada kalangan Ahli Sunnah wal Jama`ah. Adakah ada dikalangan kita yang ada menganggap begitu?

Apapun nama dan gelarannya, tidaklah terlalu sukar mengenali yang tokoh atau aliran yang Syaaz dalam Islam. Jika pandangan dan kecenderungan seumpama ini diberi kebebasan untuk disebarkan dalam masyarakat kita, pelbagai kesan negatif akan timbul. Selain kekeliruan fahaman agama sehingga ke tahap melanggar hak dan adab terhadap para ulama muktabar silam dan semasa, ia juga boleh menimbulkan ketegangan dan perpecahan dalam masyarakat awam.

Peliharalah Keutuhan Umat

Dari masa ke semasa, Umat Islam di Malaysia di uji dengan munculnya tokoh dan aliran yang menggugat kesepakatan dan keutuhan dalam fahaman beragama. Berkat gandingan Umara-Ulama, setakat ini kesepaduan dan keutuhan suara Umat telah berjaya dipertahankan. Ini membolehkan umat Islam di Malaysia bertahan menghadapi pelbagai gugatan luar dan dalam. Kestabilan dalaman ini membolehkan kita memberi tumpuan kepada agenda lain yang lebih produktif dan membawa kesejahteraan kepada Umat. Tidak dinafikan kita masih dan terus menghadapi perselisihan politik antara parti-parti utama umat Islam di Negara kita dan hal yang satu ini pun sudah merupakan cabaran besar kepada kekuatan Umat. Jika kita tidak berhati-hati, suatu medan atau ‘front’ pertembungan dalaman yang lebih besar, memeritkan dan merugikan boleh muncul.

Saya baru pulang daripada jemputan lawatan sepuluh hari ke Jepun untuk belajar daripada pengalaman kejayaan negara tersebut. Saya perhatikan bahawa salah satu faktor utama disebalik kejayaan mereka adalah kestabilan dalaman masyarakat Jepun yang bersifathomogenous (tidak pelbagai) dari berbagai sudut. Malaysia ditakdirkan sebagai sebuah Negara pelbagai bangsa dan agama. Mengurus kepelbagaian ini tetap menjadi cabaran semulajadi yang besar dan berterusan serta menentukan jatuh-bangunnya Negara kita. Oleh itu amatlah tidak wajar kita hendak menambah lagi pertentangan dalaman dalam tubuh Umat yang akan lebih mengalihkan fokus kita daripada agenda yang lebih membina. WaLlahu a’lam, Semoga Allah Subahanahu Wataala menyelamatkan umat Islam di Malaysia dalam cabaran yang sedia kita hadapi dan menjauhkan kita daripada bebanan yang boleh dielakkan.

Yusri Bin Mohamad

Pensyarah UIAM, Bekas Presiden ABIM


Artikel ini dipetik dari ruangan Facebook sdr Yusri Mohamad.

Tauhid Tiga Serangkai Disyariat Dalam Islam?


Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN



WAlau di mana kita berada, ketauhidan kepada allah yang esa tetap sama.
- gambar hiasan


MINGGU ini kita menyambung kembali persoalan tauhid tiga serangkai yang telah pun diberikan lontaran awal pada dua minggu lepas. Sebelum soalan pertama dilontarkan mengenai tauhid tiga serangkai atau tauhid tiga bahagian yang diformulasikan atau direka oleh Ibnu Taimiyyah ini,
sebaiknya kita melihat dahulu secara ringkas definisi yang diberikan kepada ketiga-tiga tauhid ini.

Tauhid rububiah didefinisikan dengan makna mengesakan Allah pada ciptaan, pemerintahan, takdir, pentadbiran dan perbuatan-Nya serta dalam memberikan suatu kesan.

Manakala tauhid uluhiah didefinisikan dengan makna mengesakan Allah dalam hal peribadatan tanpa mengambil seorang manusia pun bersama Allah sebagai sembahan.

Tauhid Asma' dan Sifat pula didefinisikan dengan makna mengesakan Allah pada apa yang dinamakan dan disifatkan dengan diri-Nya, sebagaimana yang terdapat di dalam kitab-Nya atau yang didapati daripada lidah nabi-Nya yang telah menetapkan dengan apa yang telah ditetapkan bagi diri-Nya.

Dalam membincangkan pembahagian ini, maka perkara utama yang perlu dipersoalkan dan bincangkan ialah adakah pembahagian ini telah dinaskan oleh syarak dan terdapat dalil-dalil yang menunjukkan ke atasnya? Adakah pembahagian ini merupakan perkara yang disyariatkan ataupun perkara baru yang dicipta (bidaah)?

Persoalan ini, mengandungi beberapa jawapan:


Jawapan Pertama

Ibnu Taimiyyah yang merupakan pereka pembahagian tauhid ini mendakwa dirinya bermazhab Hanbali.

Namun Imam Ahmad ibnu Hanbal r.a. sendiri, yang dikatakan menjadi tempat sandaran bagi orang-orang yang melakukan pembahagian tauhid bidaah ini, tidak pernah menyatakan bahawa tauhid itu mempunyai beberapa bahagian; tauhid rububiah, tauhid uluhiah dan tauhid asma' dan sifat.

Beliau juga tidak pernah menyatakan bahawa sesiapa yang tidak mengetahui tauhid uluhiah, tidak dikira makrifatnya tentang tauhid rububiah kerana tauhid rububiah ini telah diketahui oleh orang musyrikin.

Sesungguhnya akidah Imam Ahmad ibn Hanbal r.a telah disusun di dalam kitab-kitab karangan pengikutnya. Misalnya, di dalam kitab biografinya yang ditulis oleh Ibnu Jauzi dan lain-lainnya, tidak terdapat langsung pembahagian tauhid rekaan ini. Maka dari manakah Ibnu Taimiyyah mengambil tauhid ini?


Jawapan Kedua

Tidak berkata walau seorang daripada Sahabat-sahabat Nabi r.a: "Sesungguhnya tauhid itu ialah tauhid rububiah dan tauhid uluhiah, dan sekiranya seseorang tidak mengetahui tentang tauhid uluhiah, maka tidak dikira makrifahnya tentang tauhid rububiyyah kerana tauhid rububiahini telah diketahui oleh orang musyrikin".

Justeru, saya mencabar kepada setiap orang yang mempunyai ilmu yang mendalam, supayamenaqalkan kepada kami pembahagian yang diada-adakan ini daripada sahabat-sahabat Nabi r.a, sekalipun dengan mengemukakan satu riwayat yang lemah.


Jawapan Ketiga

Tidak terdapat dalam sunnah Nabi SAW yang luas dan menjadi penjelas kepada kitab Allah, sama ada dalam kitab-kitab hadis sahih, sunan-sunan, musnad-musnad dan mu'jam-mu'jam yang menyebut bahawa Nabi SAW pernah bersabda dan mengajar sahabat-sahabatnya, bahawa tauhid itu terbahagi kepada tauhid uluhiah dan juga rububiah yang telah diketahui oleh orang musyrik.

Sekiranya berkumpul jin dan manusia bersama-sama mereka untuk menetapkan bahawa pembahagian ini adalah datang daripada Nabi SAW dengan isnadnya, sekalipun dengan isnad yang lemah, nescaya mereka tidak akan mampu
untuk mendatangkannya walaupun dengan satu jalan.


Jawapan Keempat

Telah tercatat dalam sunnah yang banyak, bahawa dalam dakwah Rasulullah SAW mengajak manusia kepada Allah, Baginda SAW menyeru mereka ke arah penyaksian kalimah syahadah:Tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Nabi Muhammad adalah pesuruh Allah. Baginda SAW juga mengajak mereka meninggalkan penyembahan berhala.

Di antara hadis yang paling masyhur menyebut tentang perkara ini ialah hadis Muaz ibnu Jabal r.a. Ketika beliau diutuskan oleh Nabi SAW ke Yaman, Baginda SAW bersabda kepadanya:Serulah mereka kepada penyaksian "Bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Nabi Muhammad adalah pesuruh Allah". Sekiranya mereka mentaatinya, maka hendaklah kamu khabarkan kepada mereka bahawa diwajibkan ke atas mereka solat lima waktu sehari semalam. (riwayat al-Bukhari dalam Sahihnya)

Diriwayatkan oleh pengarang kitab Sunan dan Ibnu Hibban, bahawa seorang Arab Badawi memberitahu Rasulullah SAW bahawa dia telah melihat anak bulan. Lantas Rasulullah SAW memerintahkan supaya berpuasa dan Baginda SAW tidak menyoalnya melainkan tentang pengakuannya terhadap kalimah syahadah. (diriwayatkan oleh Abu Daud, al Nasaei, al Tirmizi dan lain-lain)

Sekiranya tauhid itu terbahagi kepada tiga bahagian sebagaimana yang mereka perkatakan, maka sudah tentulah Nabi SAW menyeru sekelian manusia kepada tauhid uluhiah yang tidak mereka ketahui dan bukannya tauhid rububiah kerana mereka telah mengetahuinya.

Demikian juga, perlulah Baginda SAW bersabda kepada Muaz r.a, "Serulah mereka kepada tauhid uluhiah," dan Baginda SAW bertanya terlebih dahulu kepada orang Arab Badawi yang melihat anak bulan Ramadan, "Adakah kamu mengetahui tentang tauhid uluhiah dan perbezaan di antara tauhid ini dengan tauhid rububiah, dan adakah kamu mengetahui tauhid asma' dan sifat?"


Jawapan Kelima

Di dalam kitab Allah yang ternyata tidak dicemari dengan kebatilan, tidak membezakan di antara tauhid uluhiah dan tauhid rububiah.

Begitu juga tidak dikatakan kepada mereka: Sesiapa yang tidak mengetahui tauhid uluhiah tidak dikira imannya, bahkan dia adalah lebih kafir daripada Firaun dan Haman. Tetapi Allah SWT memerintahkan dengan kalimah tauhid secara mutlak sebagaimana firman Allah SWT kepada Nabi-Nya dalam surah Muhammad ayat 19: Ketahuilah, bahawasanya tiada Tuhan melainkan Allah. Begitu jugalah dengan keseluruhan ayat tauhid yang disebut di dalam al-Quran.

Sekiranya kamu kehendaki, maka bacalah surah al-Ikhlas yang menyamai sepertiga al-Quran. Adakah kamu mendapati di dalamnya ayat yang membezakan di antara uluhiah dan rububiahsebagaimana yang mereka sangkakan?


Jawapan Keenam

Melalui pembahagian yang direka ini, memberi kefahaman kepada kita, seolah-olah Allah masih belum lagi menyempurnakan agama-Nya. Kemudian, datang seseorang yang kononnya untuk menyempurnakan agama Allah yang masih lagi mempunyai kekurangan dan menjelaskan tentang tauhid dan pembahagiannya kepada manusia pada kurun ke-7 Hijrah.

Pada kurun ini, lahirnya pembahagian tauhid uluhiahrububiahasma' dan sifat yang dicetuskan oleh Ibnu Taimiyyah (661- 724 H). Seolah-olah semua umat tidak mengetahui tentang apa yang diperkenalkan oleh pemuka-pemuka pembahagian tauhid rekaan ini.

Selepas kita mengetahui jawapan daripada soalan pertama ini, yakinlah kita dengan sempurna bahawa tauhid ini tidak mempunyai sumber yang sah daripada al-Quran dan hadis.

Ia menunjukkan bahawa pembahagian ini hanyalah rekaan semata-mata. Persoalan kedua akan dikemukakan pada minggu hadapan, insya-Allah.

Artikel ini dipetik dari Ruangan Bicara Agama, Utusan Malaysia keluaran 12 Zulhijjah 1430 / 30 November 2009