Rabu, Disember 23, 2009

Usah Terpesona Tajdid Segera Wahabi


Oleh Muhammad Uthman El-Muhammady

Mula abad ke-18 Wahabi menentang ulil amri sehingga musnah kerajaan Islam Uthmaniah

KALI ini perbincangan tertumpu kepada perbandingan antara tajdid cara Wahabiah dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Kerap disuarakan golongan ini sedang laksanakan 'tajdid' yakni pembaharuan atau penyegaran semula fahaman yang betul dan amalan dalam agama.

Konsep tajdid terkandung dalam erti hadis riwayat Abu Daud bermaksud: "Sesungguhnya Allah akan membangkitkan bagi umat ini pada permulaan setiap 100 tahun tokoh yang memperbaharui agama ini untuknya." (Aunul-Ma'bud Sharah Abi Daud, al-malahim).

Maksud memperbaharui di sini ialah menjadikan apa yang dilupakan, diamalkan semula, terkeliru dijernihkan mengikut ajaran sebenar atau salah faham difahami semula dengan betul. Dalam hadis riwayat Muslim ada sabda Baginda SAW yang bermaksud: "Terus menerus ada dalam umat ini golongan yang tertonjol menang dalam kebenaran sampai datang perintah Allah, tidak mendatangkan mudarat pihak merendahkan mereka sehingga datang perintah Allah (kiamat) walhal mereka dalam keadaan demikian." (Riwayat Muslim)

Tokoh tajdid sama ada difahamkan peribadi tertentu yang cukup syarat ilmunya mengenai al-Quran dan sunnah serta huraiannya; dan ilmu yang zahir serta mengenai hal kerohanian, dengan peribadinya yang beramanah, atau beberapa peribadi bermula dengan Umar Abd al-Aziz, Syafie, ibn Suraij, al-Asy'ari, al-Baqillani, Sahal, al-Isfara'ini, al-Ghazali, Fakhr al-Din al-Razi, al-Rafi'I, ibn Daqiq al-'Id atau al-Bulqini, (disebut dalam Aunul-Ma'bud Sharah Abi Daud) dan seterusnya dengan menyebut ulama hadis – usaha mereka ialah menghidupkan sunnah dan menghilangkan bidaah, menghidupkan apa yang dilupakan serta menguatkan apa yang lemah.

Tajdid yang berlaku berhubung dengan tokoh yang disebut dalam teks syarah hadis seperti Syarah Bukhari, Abu Daud dan Muslim menunjukkan jasa menyebarkan keadilan dan pelaksanaan ajaran Rasul, menguatkan sunnah dan pemahaman hukum dalam Ahli Sunnah Wal Jamaah, penyusunan ilmu dalam Ahli Sunnah, akidah, ajaran kerohanian yang sahih, akhlak yang teguh, mengalahkan hujah yang menyerang Ahli Sunnah dan membantu dalam menjayakan hidup tamadun dalam Ahli Sunnah. Kemunculan Salahuddin al-Ayyubi, misalnya adalah hasil daripada tajdid ulama Ahli Sunnah termasuk ajaran rohaniah Imam al-Ghazali, Waliyullah al-Dihlawi abad ke-18, usaha dakwah abad ke-20 oleh al-Banna dan Said Nursi adalah hasil kesan daripada tajdid sahih Ahli Sunnah.

Kemunculan ulama Dunia Melayu dalam pengembangan ilmu dan amalan Ahli Sunnah hasil daripada tajdid sepanjang zaman itu. Dengan itu, akidah menjadi betul, ibadat dan hidup kerohanian menjadi berjaya, akhlak menjadi jernih, hidup masyarakat tersusun, hubungan antara ulil amri dan rakyat menjadi tersusun, hubungan umara dan ulama terurus walaupun ada gangguan dalam sejarah, amalan dan pegangan Ahli Sunnah terus berjalan dan tamadun Islam wujud sampai sekarang walaupun mengalami zaman kelemahan dan menghadapi cabaran dari luar dan dalam. Dengan tajdid yang sahih Ahli Sunnah menyelesaikan masalah cabaran falsafah yang menyeleweng, ajaran dan akidah sesat, kejahilan, kekeliruan, ilmu Islam tersusun, panduan jelas, dan tamadun menjadi teguh.
Berbanding tajdid Ahli Sunnah kita boleh sebutkan tajdid segera Wahabi bermula dari abad ke-18 itu. Antara yang berlaku ialah tuduhan umat Islam melakukan kesyirikan dan bidaah, lalu atas nama mengembalikan sunnah dan memerangi bidaah, berlaku penentangan terhadap ulil amri waktu itu iaitu kerajaan Uthmaniah Turki yang berabad mempertahankan Islam yang sedang dimusuhi Barat.

Apabila ia dilemahkan dari dalam oleh usaha golongan itu atas nama menegakkan tauhid dan sunnah, akhirnya ia lemah dari dalam, apa lagi apabila golongan itu bermuafakat dengan British dan Perancis seperti tercatat dalam 'Unwan al-Majdi, akhirnya, jatuhlah khalifah itu dengan Kamal Attaturk memberi pukulan maut ke atasnya. Ertinya tajdid membawa kepada maut khalifah Islamiah. Maha suci Allah! Tajdid yang mereka lakukan muncul dalam bentuk memberi huraian tauhid yang dipecahkan kepada tiga (dikatakan itu huraian orang salaf, walhal tidak demikian), yang dijadikan alat untuk mengkafir dan mensyirikkan Muslimin yang bertawassul dan beristrighothah di kubur nabi dan lainnya, dan mengatakan penyembah berhala ahli tauhid rububiah yang ikhlas tauhidnya.

Tidak pernah berlaku sebelum ini penyembah berhala dikatakan ahli tauhid yang ikhlas walau dalam apa erti dan segi sekalipun. Juga tidak pernah berlaku yang Muslim dikatakan kafir kerana bertawassul dan beristighothah.

Golongan ini, akibatnya senang menghukum kafir sesama Muslimin; tauhid hasil tajdid segera mereka juga membawa kepada timbulnya kepercayaan mujassimah terhadap Allah walau bagaimana kuatnya mereka menolak hal ini dan akibatnya timbul kekacauan dalam masyarakat.
Tajdid mereka juga lahir dalam bentuk menghukum bidaah terhadap amalan Muslimin seperti talkin, qunut Subuh, berdoa beramai-ramai, membaca Yasin malam Jumaat, mengadakan majlis Maulud Nabi, membaca barzanji, mengadakan kenduri arwah, tahlil, berzikir beramai-ramai, mengaji Sifat 20 dan seterusnya ditolak terus, tidak ada bidaah yang baik.

Sebelum ini tidak ada tajdid bermula dengan pembicaraan mengenai talkin, qunut, berzanji dan yang sepertinya kerana itu semua perkara ranting dalam hukum dan amalan. Sikap mereka berhubung hal itu berlawanan dengan pendirian arus perdana Ahli Sunnah.

Itu semua dianggap bidaah yang mesti ditolak sebagai akibat yang timbul daripada sikap mereka memahami bidaah hanya satu jenis yang mesti ditolak. Timbul tajdid melarang orang mengikut mazhab fiqh kononnya seperti menyembah ulama. Ia lahir daripada sikap mereka menyuruh orang membuat keputusan sendiri daripada al-Quran dan sunnah.

Kata mereka senang saja seperti yang terkandung dalam kitab golongan ini Hal al-Muslim Mulzam Bittiba' Madhhabin Mu'ayyanin min Madhahib al-Arbaah oleh al-Khojandi al-Ma'sumi, yang dipertahankan al-Albani. Berhubung dengan sikap demikian timbul perbuatan menghukum mereka yang sembahyang mengikut imam mazhab bukan melakukan sembahyang nabi. Sembahyang nabi ada dalam huraian golongan mereka seperti yang dalam buku Solatun-Nabi oleh al-Albani.

Kesannya timbul perkelahian dalam masyarakat sampai berlaku perceraian. Di sesetengah negara berlaku pertumpahan darah dan pembunuhan akibat daripada perkembangan sedemikian ini.

Tajdid golongan ini juga berlaku dengan menolak ilmu seperti tasawuf, astronomi dan mantik, perkembangan sains dan teknologi mendapat tentangan, perubahan hanya baru berlaku dalam kalangan mereka yang mengikut aliran ini. Ini berlawanan dengan sikap ulama Ahli Sunnah yang mempunyai sikap terbuka dalam hubungan dengan ilmu sedemikian seperti yang ternyata dalam al-Muqaddimahy ibn Khaldun dan Kashshaf Istiulahat al-Funun oleh al-Tahanawi.

Kesan 'pembaharuan' gaya tajdid segera golongan ini timbul perbuatan melanggar peraturan dalam negeri di mana mereka berada. Kalau golongan mereka tidak diberi tauliah untuk mengajar dan berceramah, mereka langgar peraturan itu dengan mengatakan itu bercanggah dengan ajaran Islam yang menyuruh berdakwah, sedangkan mereka terlupa dalam Ahl Sunnah, ulil amri berkewajipan untuk menjaga agama dan amalannya supaya berjalan atas landasan Ahli Sunnah dan mazhab yang diamalkan dalam negeri yang berkenaan.

Contohnya, boleh didapati dalam perbuatan Saidina Ali yang melarang mereka tidak layak daripada mengajar di masjid Basrah, walhal tokoh yang layak seperti Hasan al-Basri dibenarkan mengajar.

Demikian pula al-Mawardi dalam al-Ahkam al-Sultaniyyahnya dalam bab al-hisbah, menyebut keperluan ulil amri mengawal masjid supaya dakwah dan pengajaran berjalan lancar dalam aturan dan mazhab yang ditentukan dan amalan yang baik terlaksana. Ini dapat mengelakkan orang yang memberi penafsiran mengelirukan tidak mengganggu ketenteraman awam.

Ringkasnya perlu kita kembali kepada usaha memahami tajdid dan hasil kerja tajdid yang sebenarnya berlaku dalam ajaran dan sejarah Ahli Sunnah, apa lagi sempena awal Muharram tahun baru Islam 1431 Hijrah ini. Dengan ini kita tidak terpesona dan terpengaruh dengan dakwaan tajdid segera yang dilakukan golongan ini dan cuba ingatkan sejenak di mana timbulnya pemikiran seperti ini adakah kita melihat keamanan di dalamnya? Adakah kerja membina tamadun sebenar di dalamnya? Adakah sama dengan negeri Ahli Sunnah tertentu yang aman? Dengan itu mudah-mudahan kita dapat memiliki kefahaman yang tepat dan bermanfaat mengenai tajdid dan tokoh tajdid yang sebenar dalam umat ini, dan tidak terpesona dengan tajdid segera kelompok ini walaupun disebutkan nama yang hebat untuk mempromosikannya. Wallahu'alam.

Artikel ini dipetik dari ruangan Rencana Berita Harian, keluaran 3 Muharram 1431 / 20 Disember 2009 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan