Ahad, Disember 08, 2013

Terperangkap di dalam sangkar

Burung yang bersayap fitrahnya pasti mahu terbang sebebas-bebasnya. Tiada sekatan mahupun batasan. Langit yang luas adalah sempadannya. Ke mana sahaja mahu terbang tiadalah ia terikat dengan apa-apa sekalipun.

Burung yang dikurung di dalam sangkar tiada ia merasa kebebasan untuk terbang walaupun seluas mana sekalipun sangkarnya. Walau diberi makanan yang tiada putus, fitrahnya ialah untuk bebas terbang. Jiwanya terbelengu dengan rutin yang mengikat, pandangannya hanya sekadar mana yang dibataskan sahaja mengikut sempadannya, jauh dan dekatnya berbatas. Lalu jadilah ia sang burung yang terbelengu di dalam kehidupannya.

Bebas atau tidak sang burung itu bergantung akan kehendak dan pilihannya. Memilih untuk selesa di dalam sangkar maka begitulah kehidupan mereka. Memilih untuk bebas maka bebaslah kehidupan mereka.

Ada burung yang terperangkap di dalam sangkar, ada juga burung yang memilih untuk diperangkap. Yang membezakan diantara mereka ialah jiwa yang menginginkan kebebasan akan berusaha untuk mencari kebebasan. Jiwa yang menyerah akan berterusan hidup di dalam penghambaan sangkar. Berterusan kehidupan sebegitu sehinggakan mereka melihat kehidupan di dalam sangkarlah kehidupan yang sebenar. Lalu mereka pasrah sebegitu sehingga mereka tiada lagi ingin merasai kebebasan yang hakiki sebagai seekor burung.

Lama-kelamaan mereka mulai takut untuk terbang bebas, mereka mulai khuatir tiada lagi makanan di luar sana, tiada lagi kehidupan yang terjamin di luar sangkar mereka, malahan apabila ada ruang untuk bebas mereka memilih untuk berada di dalam sangkar yang kecil itu, lantaran tiada lagi keyakinan mereka terhadap kehidupan fitrah mereka sebagai seekor burung.

Terbanglah duhai burung, setinggi-tingginya... sejauh-jauhnya kerana itu lah dunia mu.. bebas terbang ke mana jua..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan