Oleh Dr Haslina Ibrahim
Islam adalah agama yang menekankan unsur-unsur kesejagatan selaras dengan misi pengutusan Rasulullah s.a.w yang bersifat rahmat kepada seluruh alam yang melangkau batas waktu dan tempat. Oleh kerana itu, Islam diperkenalkan sebagai agama fitrah, iaitu agama yang meraikan unsur tabi’ie manusia yang cintakan nilai-nilai kesederhanaan (al-wast), kesejahteraan/kebahagiaan (al-sa’adah), dan kebenaran (al-haq). Kesederhanaan dalam ertikata menolak sebarang unsur melampau dan bukan bermaksud kompromi dari aspek kualiti. Kesejahteraan memberi makna lebih dari kebahagiaan malah keselamatan. Manakala kebenaran bererti sesuatu yang sahih dan betul.
Pengertian nilai-nilai ini mungkin menurut sesetengah rasionalis hanyalah bersifat interpretasi individu terhadap apa yang difahami sebagai nilai-nilai keagamaan. Namun para rasionalis tidak mungkin dapat menolak logik kecenderungan aqal manusia kepada nilai-nilai tersebut berbanding norma-norma yang berlawanan seperti keterlaluan yang melampaui batas (extremism), kesengsaraan (misery) dan kesesatan (astray). Oleh yang demikian, nilai-nilai yang bertepatan dengan tabi’ie manusia ini, bukanlah hak ekslusif Muslim malahan ianya adalah nilai-nilai sejagat yang sewajarnya diterima pakai oleh setiap agama yang menginginkan kebaikan kepada penganutnya.
Nilai-nilai yang disebutkan di atas hanyalah merupakan sebahagian dari nilai-nilai kehidupan yang sejagat yang dipelihara oleh Islam. Dalam konteks perbincangan ini, penulis memberi penekanan terhadap nilai-nilai tersebut yang merupakan sebahagian daripada maksud atau objektif undang-undang Islam (maqasid al-syari’ah). Perlu ditekankan di sini, walaupun undang-undang Islam dari segi praktisnya tertakluk kepada orang Islam namun dari segi idealnya undang-undang Islam dibina di atas nilai-nilai yang bertepatan dengan nilai-nilai sejagat (universal value). Kemungkinan untuk pernyataan ini ditolak dan disanggah oleh mereka yang ragu-ragu terhadap agama, mahupun individu bukan Islam yang prejudis terhadap Islam sememangnya ada. Namun, keraguan mereka tidaklah sebegitu kronik sekiranya keraguan tersebut turut melanda individu Muslim itu sendiri yang mungkin terdiri daripada golongan pelampau Muslim samada yang berhaluan kiri mahupun kanan, atau skeptik Muslim yang ragu-ragu dengan Islam mahupun individu Muslim yang tersasar jauh dari asas-asas dan tradisi agama,
Hubungkait di antara kesejagatan Islam dan keluhuran undang-undang Islam inilah yang mengundang persoalan terutamanya di kalangan golongan bukan Islam. Bagi golongan Islam pula, cabarannya adalah bukan sahaja dari segi memperjelaskan hubungan tersebut, bahkan yang lebih perit lagi ialah untuk menterjemahkan kefahaman mereka terhadap hubungan tersebut secara teori dan praktisnya dengan tepat, berhemah dan berhikmah.
Sesungguhnya, golongan Islam dan bukan Islam di Malaysia memerlukan platform yang bersesuaian di mana persoalan-persoalan berkaitan keagamaan boleh diperjelaskan. Penulis tidak bermaksud bahwa platform tersebut akan menjadi suatu pentas yang ideal yang boleh menyelesaikan semua krisis kefahaman antara agama yang mungkin timbul. Namun platform ini perlu wujud bagi membuka ruang komunikasi maklumat, interaksi, dialog dan perdebatan yang sihat di antara kaum berbilang agama di Malaysia. Sekurang-kurangnya jika di masa hadapan, berlaku lagi krisis kefahaman antara agama yang diheret ke mahkamah, beberapa persepsi mahupun kekeliruan telah sempat diperjelaskan. Hak untuk masyarakat umum memahami apa yang berlaku, mempunyai dan memperbetulkan persepsi peribadi tidak sewajarnya dinafikan dengan kuasa mahkamah semata-mata. Ini hakikat yang perlu diterima oleh semua penganut agama di Malaysia kerana realiti kehidupan bermasyarakat majmuk di Malaysia bukanlah suatu fenomena yang baru. Realiti ini perlulah difahami secara tuntas dan dipelihara. Realiti ini juga sudah menjadi realiti global di mana tidak ada agama pun hari ini yang boleh hidup secara ekslusif dan tertutup.
Perkembangan yang berlaku baru-baru ini di negara kita, yang melibatkan konflik penggunaan kalimah Allah, adalah insiden agak malang bagi sebuah negara yang dari segi sejarahnya telah menempuhi separuh abad hidup dalam masyarakat majmuk. Sedar atau tidak, kehidupan bermasyarakat majmuk sudah menjadi realiti di peringkat global dan bukan lagi fenomena unik di Malaysia. Sementera negara-negara lain sudah mula merangka pelan tindakan bagi menangani krisis antara agama mahupun antara kaum, Malaysia masih lagi ketinggalan. Rakyat Malaysia secara umumnya lebih melihat unsur-unsur kepelbagaian yang terhad kepada perayaan festival dan faham kebudayaan yang sempit. Kalau adapun inisiatif untuk memahami realiti kepelbagaian ini ianya hanya terhad di wacana-wacana akademik yang kesannya tidak dirasai oleh rakyat secara umumnya. Badan-badan Bukan Kerajaan yang mewakili penganut pelbagai agama masih bersikap tunggu dan lihat dan melihat interaksi antara agama sebagai suatu agenda yang ad-hoc sifatnya. Selebihnya, realiti kepelbagaian ini diambil mudah (taken for granted) dan hanya berakhir dengan slogan-slogan yang retorik dan bermusim sifatnya.
Perlu diingatkan bahawa krisis kefahaman yang baru berlaku ini hanyalah suatu pembukaan kepada krisis-krisis lain yang akan datang yang kemungkinan juga akan menggunakan saluran mahkamah sebagai mencari jalan penyelesaian. Keluhuran undang-undang Islam sememangnya suatu perkara yang sangat sensitif bagi umat Islam. Justeru itu respon dari umat Islam terhadap krisis yang berlaku seharusnya dijangka dan penulis beranggapan ia adalah suatu respon yang normal. Hakikat keluhuran inilah yang perlu difahami oleh golongan bukan Islam di Malaysia. Dalam konteks hubungan antara agama, setiap penganut perlu memahami garis sempadan yang wujud supaya hubungan antara agama yang postitif dapat dikekalkan. Namun adakah garis sempadan ini difahami secara tuntas oleh setiap agama yang ada di Malasyia? Di manakah platformya agar garis-garis sempadan ini boleh diperjelaskan?
Kesan dari penggunaan kalimah Allah sebenarnya bukan shaja tertakluk kepada umat Islam khususnya di Malaysia. Malah dalam konteks dunia tanpa sempadan hari ini, kesan yang paling akan dirasai tentulah penganut agama Kristian sendiri. Kalimah Allah mempunyai makna yang amat berbeza dari faham Triniti yang dipegang oleh penganut agama kristian. Kemungkinan implikasi penggunaan kalimah Allah ini kepada kefahaman penganut agama kristian juga perlu difikirkan oleh pemimpin agama Kristian di Malaysia sendiri. Sejarah merekodkan bahawa aliran unitarianisma (Unitarianism) di kalangan Christian (yang mendokongi faham monotisma dan menentang doktrin yang mengaitkan Jesus sebagai anak tuhan, sebaliknya sebagai rasul utusan tuhan) telah diperangi habis-habisan oleh Gereja Katholik. Apakah mungkin penggunaan kalimah Allah ada hubungkaitnya dengan faham unitarianisma, dan bagaimanakah respon Gereja Katolik terhadap aliran ini yang nyata bertentangan dengan aliran Triniti. Apakah mungkin pada dekad ini Gereja Katolik tidak akan mensabitkan tindakan mengguna pakai kalimah Allah ini sebagai suatu usaha membawa semula faham monotisma ke dalam agama Kristian yang seterusnya disabitkan sebagai sesat (blasphemy) dan seterusnya dinyahkan dari Gereja (excommunicated) sebagaimana yang terjadi pada Arius.
Sesungguhnya di sebalik yang tersurat banyak lagi yang tersirat. Namun bagi umat Islam di Malaysia, sudah tiba masanya menghayati semangat kesejagatan Islam dan melihat masalah yang berlaku sebagai peluang muhasabah dan peluang dakwah. Oleh yang demikian, umat Islam di Malaysia disarankan untuk melihat permasalahan penggunaan kalimah Allah ini dalam konteks yang lebih terbuka dan bukan berdasarkan sentimen semata-mata. Isu ini telah dibawa ke mahkamah, keputusan telah pun diketahui dan peruntukan memperbolehkan rayuan untuk dibuat. Demikianlah keadaannya prosedur undang-undang yang perlu dipatuhi. Bagi golongan bukan Islam pula, jika nilai-nilai kesejagatan, kesejahteran dan kebenaran yang difahami Islam dianggap tidak relevan, maka mereka juga perlu mencari nilai-nilai tesebut di dalam agama mereka sendiri.
Bagi pihak yang berkenaan, mungkin inilah masa yang sesuai untuk mengkoreksi strategi memperbaiki hubungan antara kaum di Malaysia yang selama ini hanya bergantung kepada slogan. Institusi-institusi agama Islam di Malaysia juga perlu bekerja lebih praktikal dalam menerangkan nilai-nilai kesejagatan Islam dan tidak tertumpu kepada menerangkan Islam sebagai dasar dan polisi negara semata-mata. Pemimpin-pemimpin agama, dari majoriti dan minoriti, perlu kembali menyoroti nilai-nilai kesederhanaan, kesejahteraan dan kebenaran dalam konteks agama masing-masing. Inilah masanya untuk membuktikan slogan yang sering dilaung-laungkan oleh setiap mereka yang beragama bahawa tiada agama yang mahukan fanatisma, kesengsaraan dan kesesatan!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan