Rabu, Mei 20, 2009

Fiqh al-Hadharah (5) Tasawur Reformis Modenis Islam

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Ya Allah, limpahkanlah kesejahteraan dan kedamaian kepada junjungan kami, Muhammad, pembawa dan penyampai khabar gembira kepada orang-orang muhsinin (aktif dalam berbuat kebaikan), sebagaimana firman Allah SWT: Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya bersalawat kepada Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, bersalawatlah baginya dan berilah salam kepadanya dengan penuh penghormatan (al-Qur'an 33:56). Dia akan memberikan kepadamu dua bahagian dari rahmatNya dan memberikan kepadamu cahaya penerang yang dengannya engkau berjalan, dan Dia akan mengampunimu. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang (al-Qur'an 57:28).

Pengenalan Kepada Pemikiran Reformis Modenis Islam

Antara slogan dan retorik yang sering berkumandang dalam dunia semasa umat satu-dua abad yang lalu ialah keperluan kepada agenda "reform", perubahan, tajdid dan islah. Golongan reformis modenis dari pelbagai aliran kecenderungan biasanya adalah antara golongan paling vokal dan agresif dalam mendesak agenda ini. Seolah-olahnya agenda ini tidak dapat tidak mestilah dilaksanakan sesegera mungkin tanpa berfikir panjang dan tanpa menoleh-noleh kebelakang. Dimomok-momokkan bahawa umat dalam kekeliruan dan kejumudan yang amat sangat. Maka digembar-gemburkan bahawa ajaran Islam mestilah ditafsirkan semula sesuai dengan kehendak zaman dan lingkungan, bahawa pintu-pintu ijtihad masih terbuka luas kepada sesiapapun tanpa bersyarat, bahawa para ulama silam bukan sahaja telah menambah-nambahkan malah menyusah-nyusahkan ajaran Islam, bahawa umat tidak perlu terikat atau mengikuti mana-mana kaedah-kaedah memahami dan menghayati agama sepertimana yang ditunjukkan oleh para ulama, dan bahawa umat mesti disuci-bersihkan dari segala macam amalan bida'ah, khurafat dan ajaran yang karut-marut, penuh tahyul dan kesaktian.

Kelompok reformis modenis ini menyangka bahawa kesemua perkara yang disebutkan tadi adalah punca utama kenapa dunia umat Islam menjadi lemah, tertindas, mundur, tidak bermaya jika dibandingkan dengan dunia umat-umat lain. Secara praktikalnya, segala kelemahan dan ketinggalan umat Islam dalam sektor politik, sosial dan ekonomi, pendidikan, kebudayaan dan kebendaan dikaitkan dengan perkara-perkara diatas sebagai sebab-musababnya. Justeru dengan menafsirkan semula Islam, membuka pintu ijtihad, mempermudahkan kaedah beragama, membebaskan agama dari panduan ulama dan membuang segala macam amalan yang dianggap bida'ah, maka umat Islam akan memecut laju kehadapan tanpa sebarang halangan dan akhirnya berjaya untuk setanding dengan umat-umat bukan Islam yang lain. Sebenarnya inilah juga gesaan Immanuel Kant (failusuf Jerman) kepada orang Eropah dalam gagasan Pencerahan "Enlightenment/Afklarung" beliau pada abad ke 18 dahulu dalam konteks agama Kristian. Bahawa umat Kristian Eropah mestilah "dare to know", "dare to be brave" meninggalkan belenggu, rantai dan bebanan tradisi dan autoriti silam mereka untuk menjadi moden, untuk mendapat pencerahan jiwa-raga dan untuk memperolehi kebebasan yang hakiki. Kant juga adalah pemikir agung Eropah yang memperjelaskan lagi faham rasionalism Decartes (failusuf Perancis) dan faham empiricism Locke (failusuf British).

Kritikan utama kita kepada golongan reformis modenis bukanlah sangat terhadap niat dan semangat mereka untuk membuat perubahan dalam masyarakat Islam. Semua insan yang mengambil amanah sebagai khalifah (wakil Allah) di muka bumi mestilah insaf dan sedar akan kewajipan memakmurkan muka bumi ini sesuai dengan kehendak Ilahi. Tentu sekali kita bersama dengan mereka dalam niat dan semangat untuk melakukan penambahbaikan (islah) dalam kehidupan duniawi ini. Tetapi Allah juga menyebut orang-orang yang walaupun mengistiharkan bahawa mereka adalah golongan muslihun (pelaksana penambahbaikan), reformis dan islahiyyun; mereka sebenarnya tidak lain dari golongan mufsidun (pelaksana kerosakan) dalam kehidupan ini tanpa mereka sedar. Golongan reformis modenis biasanya terpedaya dengan sangkaan merekalah sebenarnya pembawa tajdid dan islah kepada umat walaupun hakikatnya adalah sebaliknya.

Bayangkan jika umat Islam hari ini mengikut jejak langkah reformis modenis, dengan menafsir semula Islam, berijtihad sendiri, mempermudahkan agama, tidak mengikuti autoriti, tradisi dan mazhab dan membuang segala amalan yang dianggap 'bida'ah'. Bagaimanakah agaknya rupa dan gaya agama Islam hari ini tanpa itu semua? Bukankah ini yang diperjuangkan selama ini dikalangan reformis modenis Islam yang liberal misalnya dalam konteks negara kita sendiri atas nama gender, profesionalism dan hak asasi manusia? Bukankah itu juga yang diseru selama ini dikalangan reformis modenis Islam yang literal dalam negara kita atas alasan membasmi kejumudan, membersihkan pengaruh bida'ah, syi'ah dan israiliyyat? Malah lebih penting lagi bukankah itu yang dicanangkan oleh para orientalis, pendialog antara agama, politikus Barat supaya ajaran Islam ini mestilah dirubah sistem aqidah, syariah dan akhlaqnya supaya menyamai pengalaman Kristian Eropah untuk menjadi moden dan selari dengan semangat modeniti? Lalu dicarilah beberapa sarjana Islam supaya setaraf dengan Luther (Reformis ulung Kristian) untuk menjadi An Islamic Luther, Islamic Mordenist Reformist par-excellence. Meskipun pengkategorian reformis modenis liberal/literal perlu kepada penjelasan lanjut sekiranya dianggap sebagai tindakan tuduhan self-labelling. Kita mendapati di kalangan reformis modenis sendiri telah dengan bangganya mengistiharkan diri mereka sebagai pendokong Islam liberal, Islam progresif, Islam moderat dan seumpamanya. Disebalik pelbagai kencenderungan kelompok reformis modenis ini, terdapat persamaan yang rapat di kalangan mereka ini dalam kerangka pandangan dan perolehan ilmu dan sumber-sumber ilmu iaitu faham reformis modenis yang berpegang kuat kepada rasionalism dan empiricism. Inilah dampak epistemologi atau faham ilmu modeniti yang mempengaruhi worldview/pandang alam dan lifeworld/pengalaman mereka dalam melaungkan slogan dan retorik agenda "reform", perubahan, tajdid dan islah yang mereka.

Epistemologi Reformis Modenis Liberal Islam (ala muktazilah - obsesi kepada akal-rasional)

Telah kita nyatakan bahawa teori ilmu atau epistemologi modeniti ditegakkan atas dasar rasionalism dan empiricism. Rasionalism bermaksud akal-rasional / akal-ratio / akal juz'iy (akal serpihan) adalah kaedah dan alat bagi memperolehi kebenaran dan ilmu. Dalam faham epistemologi modeniti semasa, ini kita boleh kaitkan dengan proses abstraksi, konseptualisasi atau kognisi. Ilmu yang bersifat abstrak, konseptual dan kognitif adalah penghasilan utama faham rasionalism. Tetapi ilmu sebegini bukanlah definisi ilmu dan kebenaran yang sebenar dalam tradisi Islam. Ilmu kognitif yang hari ini ialah kriteria/kategori paling utama dalam sistem pendidikan dan peperiksaan adalah salah satu komponen kecil (juz'iy) dalam faham ilmu Islam. Ilmu tidak boleh hanya ditakrifkan sebagai entiti kognitif, abstrak, konseptual semata. Malah dalam Islam, ilmu itu adalah makna, realiti atau hakikat sesuatu benda. Dan ilmu ini pula rumahnya atau pengkalannya menurut epistemologi Islam ialah di HATI/QALB bukan di akal juz'iy atau akal rasional. Oleh kerana ilmu itu adalah sifat dan tabi'at hati dan bukan sekadar akal maka apa yang kita namakan TAJDID mestilah juga disertai dengan TAZKIYYAH. Dalam ertikata yang lain, proses perubahan / reform / islah bukanlah sekadar proses TAJDID AQLIYYAH/INTELEKTUAL/RASIONAL tetapi sebarang bentuk tajdid mestilah juga TAJDID/TAZKIYYAH RUHIYYAH/NAFSIYYAH. Reformis modenis liberal Islam kebiasaannya tidak mengambil komponen tazkiyyah sebagai mauduk atau objek tumpuan mereka dan mereka lebih menumpukan kepada "intellectual/conceptual reforms/changes". Mereka sering berkata masyarakat Islam, sistem Islam, aqidah, syariat dan akhlak, hukum-hakam Islam mestilah diubah dan perlu kepada perubahan sesuai dengan perubahan semasa tanpa sedikitpun merujuk kepada diri mereka sendiri. Apakah mereka telah benar-benar berada dalam ijmak umat Islam, mentaati sistem aqidah, syariat dan akhlak Islam, menghormati hukum-hakam Islam dan perkara-perkara asasiah dalam ajaran agama Islam seadanya? Ataupun sebenarnya mereka inginkan agar umat Islam juga mengikuti mereka untuk menyesuaikan Islam menurut kehendak hawa-nafsu mereka? Memanglah wajar kehendak mereka itu jika TAJDID itu hanya TAJDID INTELEKTUAL. Tetapi TAJDID dalam Islam adalah menyeluruh dengan sifat dan tabi'at insan itu sendiri yang terkandung pada diri mereka aqal, ruh dan nafs. Tajdid aqliyyah mestilah diselarikan dengan tajdid ruhiyyah dan nafsiyyah kerana Islam itu bukan sahaja agama yang mengislahkan aqal tetapi juga agama yang mengislahkan ruh dan nafs. Malah jika aqal itu tidak dipandu oleh ruh ia akan menjadi rosak lebih-lebih lagi kalau nafs itu yang lebih dominan. Lihat sahajalah kepada sifat dan sikap para pendokong reformis modenis Islam liberal, dimensi aqliyyah mereka kelihatan "smart" lagi "sharp" tetapi dimensi ruhani dan nafsani mereka seperti terbiar dan terabai. Mana mungkin tajdid Islam boleh berlaku tanpa tazkiyyah ruh dan nafs. Melainkan kita mengikut ideologi modeniti iaitu tajdid / reform ke arah - secular religiousity - beragama tetapi sekular. Akan tetapi perubahan Islam bukanlah sekadar perubahan konsep/kognitif, ia mesti juga perubahan ruh dan nafs insan juga. Justeru itulah kita mendapati agenda reformis modenis liberal Islam ini jarang mendapat perhatian dari umat Islam majoriti. Kalau pun ada ia bersifat musiman dan "trendy". Faktor paling utama tertolaknya atau penolakan agenda reformis modenis liberal Islam ialah kerana agenda mereka hampa dan kosong dengan keruhanian dan kekudusan yang mencahayai sebarang proses tajdid Islam sejak zaman berzaman. Dalam faham modeniti, agenda reformis modenis liberal Islam gagal kerana mereka melakukan tajdid yang entzauberung/engotterung iaitu tajdid tanpa rasa taqwa, tawwadu', ta'zim dan ta'jub kepada Islam dan Rasullullah dan Allah itu sendiri atau dalam bahasa kasar tajdid tanpa Tuhan. (Mungkin dinegara kita puak-puak anti-hadis, muslim feminist sisters, human rights lawyers adalah contoh terdekat reformis modenis liberal Islam - wallahu'alam)

Epistemologi Reformis Modenis Literal Islam (ala mujassimah - obsesi kepada panca-indera)

Kita juga telah menyebutkan bahawa empiricism juga menjadi teras epistemologi modeniti dalam mencari kebenaran dan ilmu. Empiricism berpegang bahawa ilmu dan kebenaran hanya boleh diperolehi melalui jalan panca-indera, sense-perception, hissi, tajribah, eksperimentasi atau pengalaman diri insani semata-mata. Segala sesuatu yang selain dari ini tidak dianggap ilmu dan kebenaran yang sahih lagi boleh diterima. "Hard-facts" dan "hard-evidences" adalah the sole source of truth dan knowledge. Kepada empiricist, ilmu dan kebenaran hanya diperolehi dari MATA-KEPALA (ainul-basyariyyah). Seperti rakan-rakan mereka rasionalist, empiricist juga tidak menerima HATI sebagai rumah atau pengkalan ilmu, justeru MATA-HATI (ainul-qalbiyyah)tidak pernah mendapat tempat dikalangan empiricist. Oleh kerana itu tajdid bagi golongan reformis modenis literal Islam hanya boleh bersumberkan "hard-facts" atau "hard-evidences" maka secara automatis nas atau teks adalah satu-satunya rujukan bagi kelompok ini. Dalam konteks semasa nas dan teks adalah sumber yang kita perolehi secara inderawi meskipun pada asalnya dalam epistemologi Islam ia dinamakan khabar sadiq atau perkhabaran yang benar. Justeru sebagai empiricist, reformis modenis literal Islam tidak akan menerima apa-apa sumber termasuk ijmak dan qiyas sebagai input memahami dan menghayati agama. Dan sering disebut, tajdid bagi mereka hanyalah melalui nas dan teks al-Qur'an dan al-Hadith (itupun hanya yang sahih) tolak ijmak dan qiyas yang bagi mereka tidak lebih dari rekaan dan ciptaan para ulama silam semata-mata. Disebabkan proses tajdid itu hanya dicakupi dari perspektif empiris iaitu hanya al-Qur'an dan al-Hadith sebagai "hard-facts/hard-evidences" yang boleh digarap dengan MATA-KEPALA maka sumber-sumber tradisi Islam dengan segala pengalaman ijma' dan qiyas dan keagamaan dan keruhanian yang begitu kaya itu mesti diexpungekan atau disingkirkan dalam proses tajdid. Dan kalau diambilpun hanya secara terpilih (selective recalling) untuk sekadar mengesahkan sifat empiris mereka. Sekali lagi akibat tersirna dengan pengaruh entzauberung/engotterung modeniti, tajdid dilaksanakan secara gersang dan kering dari suluhan dan pancaran tradisi keilmuan, keruhanian, peradaban Islam dengan segala kepelbagaiannya. TAJDID yang simplistic, naive dan reductionist ini dibuat dengan menyahkan segala unsur-unsur keta'ziman dan keta'juban insan tehadap Allah dan Rasul malah Alam itu sendiri. Maka dalam konteks ini tajdid / reform /islah reformis modenis literal Islam lebih bersifat TAJDID ZAHIRIYYAH/HISSIYYAH di mana seperti juga TAJDID AQLIYYAH reformis modenis liberal Islam soal TAZKIYYAH RUHIYYAH DAN NAFS tidak mendapat tempat dalam agenda tajdid mereka. Sekali lagi atas pengaruh modeniti, akal juz'iy dan bukan HATI menjadi sumber ilmu dan kebenaran tajdid. Justeru apa yang menjadi keprihatinan reformis modenis literal Islam ialah soal-soal amalan, ritual dan ibadah tradisi umat Islam yang perlu diubah agar benar-benar mengikuti nas dan teks seperti yang difahami oleh akal-rasional moden mereka. Sangat sedikit penghormatan dan tawadhu' mereka kepada tafsiran dan penghuraian para ulama muktabar dalam tradisi ahli sunnah wal jamaah terhadap amalan, ritual dan ibadah tersebut. Selagi tidak terdapat dalam nas dan teks, semuanya ditolak sebagai bida'ah, khurafat dan karut-marut. (Mungkin di negara kita puak-puak yang sering menganggap umat Islam berada dalam lingkungan bida'ah, khurafat, taqlid buta, menolak kebenaran barakah dan karamah, ilham dan kasyaf dan melabelkan ini semua sebagai "ajaran sesat dan sakti yang tahyul dan karut-marut" adalah contoh terdekat reformis modenis literal Islam - wallahu'alam)

Kesimpulan Epistemologi Reformis Modenis Islam

Pada dasar dan prinsipnya epistemologi reformis modenis Islam sama ada yang liberal, literal, moderat dan progresif jelas bersumber dari ideologi modeniti yang sama iaitu rasionalism dan empiricism. Oleh kerana ideologi ini mula mempengaruhi umat Islam selepas abad 17 (waktu kebangkitan modeniti) dan terutamanya pada abad ke 18-19 (era penjajahan ke atas dunia umat Islam) dan abad ke 20 (tokoh-tokoh sarjana Islam mula terikut-ikut dengan modeniti akibat kejayaan sains, teknologi dan industri Barat dan kegagalan politik, ekonomi dan sosial Islam), tidak dapat tidak reformis modenis Islam juga terperangkap dengan faham rasionalism dan empiricism ini dalam pelbagai bentuk dan walaupun kadang-kala bercanggah antara mereka. Tetapi jelas semangatnya sama iaitu rasionalism dan empiricism yang berpaksi kepada manusia moden (human-centric/anthrophocentric) tidak akan menerima tradisi dan autoriti silam, pengalaman ruhani dan intuisi, potensi barakah dan karamah dalam melaksanakan agenda agenda "reform", perubahan, tajdid dan islah. Akhirnya seperti juga agama Kristian yang telah melalui modenisasi melalui rasionalism dan empiricism hanya menjadi agama peribadi, gersang dan hampa dari cahaya, nur ataupun limpahan rahmah Tuhan. Apakah Islam juga mesti melalui nasib seperti agama Kristian menjadi agama legalistik, ritualistik, literal-liberal dan hampa kerana keengganan atau kesombongan manusia moden untuk menerima hakikat bahawa tradisi dan autoriti silam, pengalaman ruhani dan intuisi, potensi barakah dan karamah adalah manifestasi kekudusan kehidupan beragama yang dilatari oleh limpahan cahaya dan nur Ilahiyyah. Maka tidak dapat tidak segala bentuk tajdid yang hakiki mestilah diiringi dengan takzkiyyah meliputi taqwa, tawadhu', ta'zim dan ta'jub kepada kebesaran dan kehendak Allah dan ketentuan dan keredhaan kepada qada dan qadarNya. Tanpa elemen-elemen ini Tajdid Modeniti tanpa Tuhan ala Nietzcshe hanyalah usaha-usaha insaniyyah basyariyyah yang tidak akan mendapat perhatian apatah lagi pertolongan dari Allah SWT kerana para pentajdid itu sendiri tidak kenal siapa Tuhan, Pesuruh dan PenolongNya.

Wallahu'alam

Al-Faqir Ibn Muhammad

Tiada ulasan:

Catat Ulasan