Assalamu'alaikum teman-teman seperjuangan yang masih mengikuti wacana ini secara nyata dan mahupun maya.
Selawat dan Salam ke atas Junjungan Muhammad SAW Penghulu Segala Manusia, Para Anbiya', Para Awliya' Para Syuhada' dan Para Ulama'.Ya Allah! Limpahkanlah rahmat ke atas penghulu kami, Muhammad, dengan salawat yang akan memenuhi perbendaharaan Allah dengan cahaya dan menjadi pelepasan (farajan), kegembiraan (farahan) dan keriangan (sururan) bagi kami dan juga kaum Mukminin.
Modeniti ternyata telah memberi dampak yang sungguh mendalam dalam jiwa sanubari dan akal budi umat Islam. Malah sejarah perkembangan umat Islam abad ke 19 dan 20 adalah sejarah pertembungan antara Islam dan modeniti dari sudut teori dan amali. Kesarjanaan tokoh-tokoh besar Islam abad ke 19 dan 20 bermula dari Jamal al-Din al-Afghani, Muhammad Abduh, Rasyid Redha, Muhammad Iqbal, Sayyid Ahmad Khan, Malek Bennabi sehingga ke Fazlur Rahman, Ismail Faruqi, Syed Naquib al-Attas, Syed Hossein Nasr adalah kesarjanaan pemikiran Islam vis-a-vis cabaran modeniti. Sarjana awal abad ke 19-20 seperti al-Afghani, Abduh dan Rasyid Redha sangat tersirna dengan pengaruh modeniti khususnya peranan akal rasional, rasionaliti, pemikiran saintifik, sains dan teknologi dalam pembentukan pandangan alam Islami. Malah mereka adalah tokoh-tokoh modenis Islam awal yang kemudiannya meninggalkan kesan langsung terhadap corak pemikiran Islam selepas dari itu. Tasawur Gerakan Islam khususnya Ikhwan al-Muslimin adalah salah-satu kesan langsung dari pemikiran al-Afghani, Abduh dan Rashid Redha dari sudut amaliyyah dan jamai'yyah. Sejarah awal as-Syahid Hassan al-Banna dan Ikhwan al-Muslimin jelas menunjukkan perhubungan yang rapat antara pemikiran ketiga-tiga tokoh ini dengan gerakan Islam.
Perkara ini sangat perlu untuk diteliti sekiranya kita ingin mengenalpasti paradigma atau kerangka falsafah dan pemikiran gerakan Islam atau harakah Islamiyyah. Ini kemudiannya memberi kesan terhadap orientasi, modus-operandi atau corak pemikiran gerakan Islam. Modeniti seperti mana yang telah dihuraikan dahulu terbina atas dasar anti-tradisi atau penolakan mutlak terhadap tradisi dan warisan silam. Bukan itu sahaja modeniti berpegang kepada epistemologi rasional dan empirikal dan kepada ontologi materialis dan objektivis. Selanjutnya modeniti melakukan entzauberung iaitu menyah kekudusan dari alam dan entgotterung menyahkan Tuhan dari kehidupan. Sikap anti-Tuhan dan desakrilisasi kehidupan inilah yang menjadi semangat zaman / ziet-geist modeniti. Akhirnya kehidupan moden adalah kehidupan sekular, peradaban moden adalah peradaban sekular.
Bagaimana modeniti menjangkit ke dalam pemikiran dan tindakan gerakan Islam moden abad ke 19-20 memerlukan perbincangan yang lebih terperinci kerana sekali imbas tidak mungkin gerakan Islam menjadi gerakan modenis. Secara mudahnya respon terhadap modeniti di kalangan umat Islam boleh dibahagikan kepada 3. (1). Menerima modeniti secara totok menolak agama dan menjadi sekular, modenis sekular seperti Kamal Atartuk. (2). Menerima modeniti secara epistemologi/ontologi tetapi masih mengekalkan peranan/kepentingan agama, modenis agama seperti al-Afghani, Abduh dan Rasyid Redha. (3). Menolak modeniti dan biasanya digelar tradisionalis-konservatif.
Modenis sekular mudah difahami manakala tradisionalis-konservatif juga tidak sukar dikenalpasti. Tetapi modenis agama lebih mempersonakan disamping mengelirukan kerana akhirnya ia akan merosakkan sifat dan hakikat agama Islam itu sendiri. Beberapa perkara asasiah modenis agama yang seiring dengan mereka yang berfaham modenis dalam keadaannya yang umum termasuklah:
(1) Sikap menolak tradisi dan warisan silam peradaban Islam sebagai menjadi beban dan punca kelemahan dan kemunduran umat Islam (anti-tradition);
(2) mengganggap tradisi keilmuan Islam seperti tradisi falsafah, kalam dan tasawuf sebagai tidak relevan sebaliknya kefahaman agama yang lebih 'rasional' dan 'saintifik' mestilah digunapakai (positivist epistemology);
(3) banyak tradisi pemikiran dan amalan umat Islam telah bercampur-baur dengan unsur-unsur yang tidak Islamik sama ada dari unsur yunaniyyah, israiliyyah dan syiah, justeru proses 'penjernihan' mesti dilaksanakan (objectivist epistemology);
(4) pergantungan kepada autoriti dalam pelbagai manifestasi seperti taqlid, mahzab, shaykh, tawassul, barakah dan karamah dianggap tidak benar dan sesat dalam ajaran Islam (materialist/objectivist ontology); dan
(5) sebarang bentuk perubahan mestilah melalui perubahan sosial masyarakat, politik, kuasa dan undang-undang (sacrilization of society).
Secara tidak sedar, gerakan Islam banyak dipengaruhi oleh pemikiran modenis agama meskipun Islam tetap menjadi slogan utama perjuangannya. Sebagai contoh, sejarah gerakan Islam abad ke 19-20 adalah sejarah pertembungan politik gerakan Islam (baca modenis agama) dengan pemerintah sekular nasionalis (baca modenis sekular). The obsession with politics and the quest for power menjadi the reason of being gerakan Islam. Justeru agenda for change dari sacrilization of society adalah perubahan sosial, masyarakat, politik, kuasa dan undang-undang i.e negara Islam/ daulah Islamiyyah. Sedangkan dalam tradisi dan warisan silam Islam, semua perubahan bermula dari dalam diri insan bukan di luar sana dan justeru itu para ulama kita sangat menumpukan Ilm al-Nafs sebagai ilmu utama bukan ilmu masyarakat. Perbahasan mereka tentang politik kenegaraan dimulakan dengan persoalan etika atau akhlak malah buku-buku akhlak mereka jauh lebih banyak dari buku-buku siayah. Science of the soul mendahulu science of the state.
Manakala modeniti mengsakralkan masyarakat melalui aktivism politik-sosial, tradisi Islam mengsakralkan indvidu insan melalui aktivism intelektual-spiritual. Malah inilah yang menerbitkan konflik dan krisis sosial-politik kemanusiaan yang tidak berkesudahan akibat aktivism politik-sosial yang lupa tentang sifat dan hakikat diri insan sebagai makhluk ciptaan Tuhan. Itulah sebabnya para ulama kita sangat konsisten pada mengingatkan konflik dan krisis luaran sosial-politik kemanusiaan itu tidak lain hanyalah sebagai manifestasi konflik dan krisis intelektual-spiritual dalaman insan semata-mata. Inilah yang mereka huraikan sebagai faham alam saghir dan alam kabir. Bahawa tipudaya paradigma modeniti dalam mengalihkan tumpuan insan dari sifat dan hakikat sebenar insaniah kepada slogan dan retorik "social change" adalah tidak lain dari satu escapism ataupun pengelakkan amanah atau taklif hakiki manusia untuk melakukan "individual change" yang tentu lebih sukar dan mencabar berbanding dengan "social change".
Wallahu'alam.
Ibn Muhammad.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan