Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh, teman-teman yang dirahmati Allah dalam dunia yang serba fana ini.
Segala puji bagi Allah, Tuhan Semesta Alam. Ya Allah, limpahkanlah kesejahteraan dan kedamaian kepada junjungan kami, Muhammad, pembawa dan penyampai khabar gembira (basya'irul khayrat) kepada kaum mukminin, sebagaimana firman Allah SWT: Dan berikanlah khabar gembira bagi orang-orang yang beriman (2:223). Dan bahawa Allah tidak mengabaikan pahala orang-orang beriman (3:171).
Saya mula-mula menyebut mengenai Fiqh al-Hadharah ini sewaktu menyampaikan ucapan dasar sebagai Presiden MISG-UK&Eire pada tahun 2001-2002. Kemudian teman-teman meminta saya mengembangkan idea ini tetapi tidak berpeluang kerana pulang dari UK saya terus diamanahkan sebagai YDP Wilayah Persekutuan. Kemudian Saudara Presiden Yusri Mohamad mempelawa saya sebagai Ketua Biro Pendidikan ABIM Pusat selain memangku jawatan Setiausaha Agung. Bagaimanapun Alhamdulillah, oleh kerana amanah saya sebagai pimpinan ABIM sudah dipenghujung maka saya berpeluang semula untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman mengembangkan idea Fiqh al-Hadharah sebagai satu projek mengemukakan peranan besar Islam dalam menangani Modeniti. InsyaAllah.
Sekitar akhir 1990an dan awal 2000an, terdapat sarjana yang telah membicarakan soal "post-Islamism", "post-political-Islam" yang merujuk kepada fenomena pasca-gerakan Islam atau pun pasca-aktivisma gerakan politik Islam. Perkara ini timbul kerana pengkaji "Islamism" atau "Islamic activism" mendapati semacam gerakan Islam telah kehilangan jika tidak kehabisan dinamika dan relevan dalam paradigma yang sedia ada. Dinamism dan relevansi manhaj Sayyid Qutb, Abu al-'Ala al-Mawdudi malah Ayatullah Ruhullah Khomeini mula memperlihatkan ketidakupayaan dalam menghadapi cabaran zaman dan lingkungan. Paling jelas idea "Pembentukan Negara Islam dan Perlaksanaan Hukum Hudud" kini menjadi passe/outdated bagi aktivis Islam.
Diwaktu yang sama juga kita mendapati kritik terhadap manhaj gerakan Islam dan aktivisma gerakan Islam ini bukanlah satu perkara baru. Dahulu lagi Allahyarham Fazlur Rahman telah menyebut perkara ini, begitu juga Allahyarham Malik Bennabi. Malah di negara kita Prof. Al-Attas juga seringkali memperkata persoalan ini dalam kuliah-kuliah beliau. Antara perkara pokok yang membawa kepada ketidakupayaan manhaj gerakan Islam atau aktivisma gerakan politik Islam ialah kurangnya perhatian yang diberikan terhadap dimensi tradisi keilmuan dan keruhanian yang menjadi teras kepada kekuatan peradaban Islam sejak zaman-zaman. Dalam bahasa yang agak "extreme" bahawa "ill-informed and naive political and social activism resulted in intellectual bankruptcy and spiritual impotency".
Pada fahaman saya fenomena "paradigmatic exhaustion" yang berlaku kepada manhaj "fiqh al-harakah" bukanlah hal yang memeranjatkan jika kita melihat kepada asal-usul pemikiran manhaj "fiqh al-harakah" itu sendiri. Pengaruh Jamal al-Din al-Afghani, Muhammad 'Abduh dan Rashid Rida (Semuga Allah mencucuri rahmat ke atas ruh-ruh mereka) jelas sekali membentuk orientasi aktivisma politik dan sosial gerakan Islam. Tetapi yang lebih utama lagi bahawa kesemua tokoh-tokoh ini dikenali sebagai tokoh-tokoh modenis Islam. Dalam ertikata yang lain pembentukan manhaj "fiqh al-harakah" terbina dari faham-faham modenis yang meskipun telah di"Islamisasikan" masih meninggalkan kesan modenism dalam pemikiran dan tindakan gerakan.
Saya mengusulkan manhaj "fiqh al-hadharah" sebagai ganti kepada "fiqh al-harakah" melihatkan kepada kegagalan gerakan Islam dan aktivism Islam untuk menggarap kekuatan tradisi ilmiah, ruhaniah dan adabiah Islam dalam modus operandi mereka. "Fiqh al-harakah" dalam banyak hal dipengaruhi oleh pemikiran modenis terutamanya dalam penolakannya terhadap tradisi ilmiah, ruhaniah dan adabiah Islam dan juga penumpuan yang berlebihan terhadap persoalan politik dan kuasa. Ini bagaimanapun memerlukan kita menghuraikan terlebih dahulu apakah itu modeniti, modernism dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya seperti secularism, postmodern dan seumpamanya. Persoalannya ialah tanpa disedari bagaimana mungkin gerakan dan aktivisma Islam yang dipengaruhi, dicorakkan dan diwarnakan dengan faham modenism/modeniti boleh mengemukakan alternatif Islam dalam menangani kemelut kehidupan manusia semasa. Cabaran kepada gerakan dan aktivisma Islam ialah untuk mengeluarkan diri mereka dahulu dari penjara dan perangkap modenism/modeniti dan kemudian barulah mereka boleh menawarkan sumbangan Islam terhadap kehidupan moden masakini. Jika tidak kita akan terus-terusan bermain dalam permainan yang telah diatur oleh falsafah/kaedah/prinsip modenism/modeniti itu sendiri.
InsyaAllah jika berkesempatan kita akan melihat persoalan modeniti/modenism ini dan hubungkaitnya dengan Islam diperbincangan akan datang.
Sekian wabillahi tawfiq wal hidayah wasamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
al-Faqir ilallah al-Ghani Dr. Amran Muhammad.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan